Author: Admin

  • Tuduhan ‘pendakwaan salah’ terhadap Najib tidak berasas – Tommy

    Tuduhan ‘pendakwaan salah’ terhadap Najib tidak berasas – Tommy

    BEKAS Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dan kerajaan menafikan cuba menghalang perbicaraan mahkamah mengenai dakwaan salah laku terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

    Najib menyaman Tommy dan kerajaan Malaysia atas dakwaan membuat pendakwaan salah dalam beberapa kes jenayah.

    Antara kes itu adalah kes rasuah RM2.28 bilion melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kes pecah amanah RM6.64 bilion melibatkan International Petroleum Investment Corporation (IPIC).

    Dalam pemfailan mahkamah berasingan yang dilihat oleh Malaysiakini, Tommy dan kerajaan mengulangi bahawa tindakan sivil itu tidak mempunyai asas undang-undang.

    Mereka juga berkata, ia adalah percubaan untuk mengganggu kes jenayah yang sedang dijalankan terhadap Najib.

    Menerusi afidavit yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Februari lalu, Tommy menafikan dakwaan cuba menghalang perbicaraan mahkamah terhadap saman Najib.

    “Defendan memfailkan permohonan untuk membatalkan saman Najib kerana, antara sebab lain yang dinyatakan dalam afidavit pertama saya, bahawa Najib tidak mempunyai tuntutan yang sah mengikut undang-undang Malaysia,” dakwanya.

  • Andai Dr. Sahruddin diberi ruang secukupnya

    Andai Dr. Sahruddin diberi ruang secukupnya

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    CALON kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong yang ditampilkan Perikatan Nasional (PN) bukan calang-calang orang. Beliau bekas Menteri Besar Johor yang ke-17 dan pernah menjadi Exco Kesihatan dan Alam Sekitar yang menguruskan tragedi Sungai Kim Kim.

    Datuk Dr. Sahruddin Jamal, 47, mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar pada 13 April 2019 iaitu hanya lebih sebulan setelah Pasir Gudang dilanda pencemaran bahan kimia yang menyaksikan beliau setiap masa berada di lapangan untuk memobilisasi pasukan.

    Ketika itu, beliau memainkan peranan penting secara ‘hands-on’ dan turun padang sejak hari pertama, 7 Mac serta melihat sendiri keadaan di lokasi kejadian selain turut mempraktikkan ilmu perubatan beliau dengan memeriksa mangsa-mangsa yang terkena ‘Simptom Kim Kim’.

    Tujuh bulan selepas itu, Dr. Sahruddin berdepan tugas besar apabila perlu membentuk dan membentangkan Belanjawan Johor 2020 yang akhirnya menyaksikan lebihan sebanyak RM2.36 juta.

    “Anggaran hasil kerajaan negeri pada 2020 mencapai RM1.78 bilion, meletakkannya sebagai tertinggi dalam sejarah penyediaan Belanjawan Johor. Berdasarkan kedudukan kewangan negeri yang terus berdaya tahan, kerajaan negeri mencadangkan anggaran perbelanjaan pada tahun 2020 adalah sebanyak RM1.783 bilion.

    “Belanjawan Johor 2020 dijangka mengalami lebihan berpunca daripada dasar fiskal negeri yang berkesan dengan melaksanakan perbelanjaan berhemah dan berintegriti selain pengurusan cekap atas hasil yang mampan,” petikan kata-kata Dr. Sahruddin ketika pembentangan berkenaan.

    Ini bermakna, walaupun dalam tempoh yang singkat, Dr. Sahruddin berjaya menguruskan kerajaan negeri dengan cukup berkesan dan berintegriti tanpa sebarang kontroversi yang menarik perhatian pelbagai pihak untuk mengecam.

    Tetapi sayang beribu kali sayang. Akibat pergolakan politik yang berlaku, Dr. Sahruddin terpaksa melepaskan jawatan beliau hanya selepas 11 bulan mentadbir negeri yang memiliki sempadan antarabangsa dengan Singapura itu.

    Apatah lagi baru dua bulan melangkah ke tahun 2020, belum sempat beliau membuktikan kewibawaan untuk melaksanakan sepenuhnya 183 titik fokus yang digariskan dalam Belanjawan Johor 2020 seperti dibentangkan.

    Belanjawan bertema Memakmur Dan Mensejahterakan Johor Bestari itu mengandungi enam teras strategik iaitu Mensejahterakan Rakyat, Memakmur Ekonomi, Melestari Alam Sekitar, Membangun Modal Insan dan Memperkasa Syiar Islam.

    Dua teras lain adalah Mengukuh Jati Diri dan Memugar Warisan Budaya serta Menambahbaik Tadbir Urus Yang Cekap dan Berintegriti.

    Memang bajet negeri itu diteruskan oleh kerajaan seterusnya yang mengambil alih tampuk pemerintahan daripada Dr. Sahruddin di pertengahan jalan, tetapi ia ibarat lembu punya kerja, sapi dapat nama.

    Andai kata Dr. Sahruddin mempunyai masa secukupnya untuk kekal menerajui Johor, pastinya banyak lagi perkara yang boleh beliau lakukan. Personaliti beliau pula usah dicerita lagi kerana jika tidak memakai pelitup muka senyuman sentiasa terukir dibibirnya. Menyantuni masyarakat tanpa mengira waktu dan mudah untuk berjumpa.

    Meminjam kata-kata seorang selebriti ketika kempen PRU-14 terhadap seorang calon di Simpang Renggam dahulu. ‘Beliau orang baik-baik, untung orang Bukit Kepong dan Johor’.

  • PM tak perlu letak jawatan kalau Agong tidak perkenan bubar Parlimen

    PM tak perlu letak jawatan kalau Agong tidak perkenan bubar Parlimen

    PERDANA Menteri tidak perlu meletak jawatan sekiranya Yang di-Pertuan Agong tidak memperkenankan pembubaran Dewan Rakyat.

    Memetik laporan FMT, peguam perlembagaan, Bastian Pius Vendargon berkata, jawatan Pedana Menteri hanya perlu dikosongkan jika majoriti Ahli Parlimen hilang keyakinan terhadap penyandangnya.

    “Perdana Menteri memohon perkenan Agong untuk membubarkan Parlimen (Dewan Rakyat) dan terpulang kepada budi bicara Seri Paduka untuk memperkenan atau tidak memperkenan bawah Perkara 40(2)(b) Perlembagaan Persekutuan,” katanya kepada FMT.

    Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bahawa Perdana Menteri perlu meletak jawatan jika Yang di-Pertuan Agong tidak memperkenankan permohonan pembubaran Parlimen.

    Mohamad berkata, ini bermakna Seri Paduka tidak lagi mempunyai kepercayaan kepada Perdana Menteri dan, mengikut konvensyen, Perdana Menteri harus meletak jawatan.

    Pada sidang media di Machap, beliau berkata, UMNO akan terus mendesak agar Pilihan Raya Umum Ke-15 diadakan awal, sama ada Barisan Nasional (BN) memperoleh kemenangan besar atau tidak dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac.

    Beliau berkata, UMNO akan mendesak Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen tetapi terpulang kepada beliau untuk membuat keputusan.

    Vendargon menambah, jika Seri Paduka menolak, ia tidak ada kena mengena dengan keyakinan majoriti di Dewan Rakyat dan Ismail Sabri tidak perlu risau selagi beliau mendapat sokongan majoriti.

    Sokongan, atau ketiadaannya, untuk Perdana Menteri boleh ditentukan melalui undian dalam dewan dan dalam bentuk akuan berkanun, seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan pada 2009.

    Vendargon berkata, Perkara 43(4) hanya akan terpakai jika Perdana Menteri hilang keyakinan majoriti Ahli Parlimen.

    Dalam situasi itu, beliau berkata, Perdana Menteri boleh memohon pembubaran; jika gagal, beliau perlu meletak jawatan agar Seri Paduka dapat melantik Ahli Parlimen lain untuk mengisi jawatan itu.

    Sementara itu, peguam Rafique Rashid Ali berkata, Mohamad bercakap mengenai politik tanpa mengambil kira kedudukan perlembagaan sebenar.

    Beliau berkata, Perdana Menteri terdahulu berjaya memohon pembubaran walaupun sebelum penggal lima tahun tamat.

    “Jika pembubaran seperti itu ditolak, ia tidak bermakna mereka hilang keyakinan majoriti,” katanya.

    Beliau berkata, bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, ketika itu bersama Barisan Nasional (BN) / UMNO, mengadakan pilihan raya untuk mendapatkan mandat baharu selepas empat tahun atas beberapa sebab, termasuk keadaan ekonomi yang baik ketika itu.

    “Dalam keadaan sekarang, lebih bijak untuk melengkapkan penggal lima tahun disebabkan wabak COVID-19 agar tidak membebankan rakyat tanpa keperluan,” tambahnya.

  • Anak muda keliru punca tidak mengundi – Calon PN Parit Yaani

    Anak muda keliru punca tidak mengundi – Calon PN Parit Yaani

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor tidak seharusnya menjadi medan untuk memburukkan satu sama lain sebaliknya perlu menjadi medan politik yang sihat sekali gus membentuk budaya politik baharu.

    Calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Yaani, Ahmad Nawfal Mahfodz berkata, cara berpolitik lama dengan menyerang antara satu sama lain perlu dihentikan.

    Beliau yang juga Ketua Pemuda PN Pusat itu berkata, keadaan itu menjadi antara faktor yang menjauhkan anak muda untuk keluar mengundi.

    “Kita kena tahu dan kenal pasti kenapa mereka tidak keluar mengundi, kadang-kadang mereka keliru. Kenapa politik menjadi medan pertempuran, bergaduh dan bermacam-macam lagi.

    “Jadi kita kena kenal pasti sebab adik-adik kita ini tidak mahu keluar mengundi, takut ke, tak ‘clear’ ke, tidak rasa ‘confident’ ke. Ini peranan kita sebagai abang-abang untuk beri penerangan yang meyakinkan.

    “Saya cuba ketengahkan politik lebih segar, politik baharu, nafas lebih segar, kita generasi muda bawa politik yang menerangkan. Apa yang kita boleh bawa apa kepada masyarakat,” katanya dalam Program Apa Khabar di Parit Yaani, Batu Pahat, malam tadi.

    Beliau yang juga Ketua Pemuda Pas Johor itu berkata, penerangan perlu diberi kepada anak muda bahawa PN tidak membawa politik tikam menikam tetapi menawarkan kerajaan yang stabil dan bersih.

    Jelas beliau, sekiranya mana-mana calon menang pilihan raya dengan budaya politik tidak sihat dengan mencaci dan menghina lawan, satu pembentukan budaya politik yang buruk akan berlaku pada masa depan.

    “Kalau kita menang dengan memburukkan orang lain, itu sebenarnya satu pembentukan budaya politik dan bila jadi kerajaan akan dikutuk dan dimaki orang, ini tidak berbaloi. Kita mahukan negeri dan negara yang stabil,” katanya.

    Beliau juga kesal kerana terdapat parti lawan yang menyuburkan budaya tidak malu apabila menampilkan pemimpin dengan gelaran ‘kluster mahkamah’ untuk berkempen dalam PRN Johor.

    “Anak muda ada terkesan dengan kluster mahkamah. Ya, sebenarnya ini sangat mengelirukan, orang yang duduk dalam kluster mahkamah selamba ja keluar berkempen. Anak muda pasti kecewa, kenapa orang ini macam tidak tahu malu, oh ‘tagline’ Malu Apa Bosku, memang takde malu la,” katanya.

  • Polis siasat rakaman ceramah politik tular berbaur ugutan

    Polis siasat rakaman ceramah politik tular berbaur ugutan

    POLIS sedang menyiasat satu rakaman video berbaur ugutan yang dibuat semasa satu ceramah politik bersempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan tular dalam media sosial.

    Memetik laporan Utusan TV, dalam video berdurasi 1:22 saat itu menunjukkan penceramah telah meminta pihak polis melanjutkan tempoh masa berkempen, namun tidak dibenarkan.

    Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, penceramah tersebut kemudiannya telah mengeluarkan ungkapan “Bila kita jadi kerajaan balik, korang taulah nanti” dalam bahasa Cina.

    Menurutnya, siasatan awal mendapati, ceramah yang diadakan pada 26 Februari di bilik gerakan sebuah parti politik di Yong Peng, Batu Pahat bermula pukul 8.30 malamdan berakhir pada pukul 10 malam.

    “Ceramah berkenaan mempunyai permit polis dan tiada pelanggaran SOP dikesan semasa pemantauan dilakukan.

    “Susulan daripada itu juga pihak polis telah menerima laporan daripada orang awam berkaitan video tersebut dan sedang menjalankan siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

    Mengulas lanjut Ismail berkata, pihak polis menyeru kepada semua parti politik yang bertanding supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

    “Mereka juga diminta mematuhi arahan Pegawai Penguatkuasa yang bertugas bagi sama-sama membendung penularan COVID-19,” tambahnya.

    Difahamkan, ceramah politik tersebut melibatkan seorang Ahli Parlimen pembangkang yang pernah menjadi menteri Kabinet semasa rejim Pakatan Harapan (PH) berkuasa dahulu.

  • Bukan saya saja, seluruh dunia sebut Najib penjenayah – Mahathir

    Bukan saya saja, seluruh dunia sebut Najib penjenayah – Mahathir

    Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, bukan beliau seorang sahaja yang menggelar Datuk Seri Najib Razak sebagai penjenayah, malah banyak pihak di seluruh dunia juga melakukan hal yang sama.

    Kata Dr Mahathir, seluruh dunia mengenali nama Najib serta jenayah yang dilakukannya, dan perbuatan itu akan dikenang generasi akan datang.

    “Saya bukanlah seorang sahaja yang menyebut nama Najib dan kaitannya dengan jenayah. Seluruh negara, bahkan seluruh dunia menyebut nama Najib sebagai penjenayah dalam ucapan, tulisan, buku (termasuk buku adiknya), radio dan televisyen dan lain-lain media.

    “Buku sejarah akan catit nama Najib supaya generasi akan datang kenal Najib sebagai penjenayah yang telah curi duit berbilion yang mahkamah telah sahkan.

    “Saya akan sebut nama Najib sebagai penjenayah setiap kali yang diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Kata Dr Mahathir, beliau mengulang-ngulang menyebut nama Najib kerana tidak mahu nilai hidup masyarakat rosak.

    Ini kerana katanya, bekas presiden Umno itu cuba memadam kaitan namanya dengan jenayah dengan membawa tanggapan bahawa rakyat tidak perlu malu apabila “boss” mencuri – merujuk slogan ‘Malu Apa Bosku’ yang sinonim dengan Najib.

    “Jika tidak disangkal akan rosaklah masyarakat. Sebab itu hujah “tak malu” bila mencuri perlu ditolak untuk mengekal nilai asal yang mulia. Adalah mustahil Najib dan jenayah yang dilakukan olehnya tidak disebut.

    “Demikian naluri manusia sesuatu itu akan diterima apabila diulangi berkali-kali,” katanya lagi.

    Tambah Dr Mahathir, nama pemimpin-pemimpin negara terdahulu dikaitkan dengan perkara baik – seperti Onn Jaafar yang menewaskan rancangan Malayan Union; Tunku Abdul Rahman yang membawa kemerdekaan kepada negara; Tun Razak yang membawa pembangunan.

    Namun, malang sekali, kata Mahathir, tidak seperti bapanya, Najib memilih untuk melakukan jenayah dan “melihat kuasa sebagai peluang memperkaya diri”.

    Sebelum ini, Najib menyindir Dr Mahathir kerana kembali “meratib” namanya menjelang pilihan raya negeri (PRN) Johor, sebagai petanda beliau sudah pulih daripada masalah kesihatan.

    Dr Mahathir kemudian mengakui beliau malu meratib nama Najib yang terpalit dengan tuduhan penyelewengan wang negara.

    Namun kata Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu, beliau akan terus berbuat demikian bagi memastikan Najib tidak kembali berkuasa.

    Mahkamah Rayuan sebelum ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd (SRC).

    Bagaimanapun pelaksaan hukuman itu ditangguhkan sehingga rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

    Selain itu Najib juga menghadapi pertuduhan dalam kes penyelewengan 1MDB yang kini masih dalam proses perbicaraan.

  • Pertikai kelayakan Muhyiddin: Kenapa Najib silap?

    Pertikai kelayakan Muhyiddin: Kenapa Najib silap?

    DALAM satu majlis di Bukit Kepong, Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu pemberita Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak layak dilantik sebagai Penasihat Ekonomi Johor jika Perikatan Nasional menang.

    Alasan Najib yang didapati bersalah atas kesemua tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM 42 juta milik SRC oleh dua buah mahkamah dan empat orang hakim ialah, Muhyiddin sewaktu menjadi PM telah menunjukkan rekod tidak baik dan gagal menguruskan negara.

    Benarkah Muhyiddin menunjukkan rekod tidak baik dan gagal menguruskan negara. Kita telusuri kembali dengan melihat bagaimana Muhyiddin melepaskan jawatan Perdana Menteri pada 16 Ogos 2021.

    Pertama, semua orang tahu Muhyiddin meletakkan jawatan bukan disebabkan rekod tidak baik dan gagal menguruskan negara dan jauh sekali didakwa di mahkamah atas kesalahan rasuah atau salah guna kuasa  

    Sebaliknya meletak jawatan kerana menjunjung tinggi keluhuran perlembagaan dan meletakkan kepentingan rakyat di atas melebihi segalanya.

    Bukan lagi rahsia, peletakkan jawatan itu berpunca daripada kumpulan Ahli Parlimen yang dikaitkan sebagai penyokong Najib dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menarik sokongan kepada kerajaan pimpinan Muhyiddin. 

    Tidak pernah sekali pun diperkatakan peletakkan jawatan itu kerana rekod tidak baik dan gagal urus negara seperti didakwa Najib.

    Seterusnya, selepas Muhyiddin berundur, tidak ada satu pun langkah memulihkan negara di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dirancang dan diperkenalkan Muhyiddin dan barisan Kabinetnya dihenti mahu pun diubah.

    Sebaliknya diteruskan oleh kerajaan masa kini yang diterajui pemimpin UMNO di mana Najib merupakan penasihat parti tersebut.

    Jika Muhyiddin gagal, sudah tentu PPN dirombak atau dihentikan. Ironinya, Muhyiddin juga kemudian dilantik menerajui Majlis Pemulihan Negara, sebuah organisasi penting yang ditubuhkan Kabinet bagi menjayakan pelan pemulihan negara, sekali gus mencapai objektif Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12)

    Hakikatnya apa yang rakyat termasuk Najib nikmati hari ini, boleh bergerak bebas dengan yakin, menikmati semula pertumbuhan ekonomi adalah hasil daripada kejayaan pentadbiran Muhyiddin sebelum ini.

    Pengenalan pakej-pakej rangsangan ekonomi berbillion ringgit, Pelaksanaan Program Imunisasi Covid Kebangsaan (PICK) dan pengenalan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang selalu dijaja Najib sebagai ‘separuh masak’ adalah kunci kepada kebebasan dan pemulihan ekonomi hari ini.

    Pemulihan ekonomi Malaysia bergerak seiring situasi semasa dengan merekod KDNK 3.1 peratus pada tahun lalu, selari dengan jangkaan sasaran ditetapkan iaitu antara tiga dan empat peratus. 

    Malah, pelaburan terus dari luar negara (FDI) juga meningkat mencecah RM50 bilion untuk tahun 2021 lebih tinggi dari tahun sebelumnya. 

    Tahun ini ekonomi negara diunjur tumbuh antara 5.5 hingga 6.5 peratus seperti diumumkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz. 

    Ini fakta ekonomi dan ia selari dengan lain-lain negara yang masih bergelut keluar daripada kesan pandemik Covid-19 yang masih menjadi ancaman termasuk kemunculan varian baharu seperi Omricon.

    Jelas sekali rekod buruk yang digembar-gemburkan Najib satu tuduhan tidak berasas.

    Oleh itu tidak mustahil, tuduhan Najib itu timbul kerana beliau takut jika rakyat Johor betul-betul memberi peluang kepada Perikatan Nasional (PN)  menerajui kerajaan negeri dan Muhyiddin menjadi Penasihat ekonomi maka tembelang Najib selama ini bahawa Muhyiddin dan Kerajaan PN gagal akan pecah.

    Jika bercakap soal rekod Perdana Menteri, sekurang-kurangnya negara sudah pun merasai hasil usaha Muhyiddin melalui PPN. 

    Setakat ini Muhyiddin belum meninggalkan rekod yang merimaskan dan memalukan rakyat. Ini berbeza rekod yang ditinggalkan Najib. 

    Tak fasal-fasal Malaysia malu kerana skandal 1MDB yang dianggap antara skandal kewangan yang menggemparkan dunia. Siapa buat 1MDB? Siapa yang tubuhkan 1MDB? Siapa kawan Jo Lho? 

    Ketika Najib berdegar-degar burukkan Muhyiddin, dunia sedang tekun mengikuti keterangan bekas Eksekutif Goldman Sachs, Tim Leissner dalam  prosiding berkaitan 1MDB di Amerika Syarikat (AS). 

    Macam-macam Leissner dedahkan termasuk nama Najib pun disebut. Inilah rekod ditinggalkan Najib. Najib sepatutnya malu memperkatakan tentang rekod Muhyiddin.

    Artikel dipetik dari portal SatuBerita.

  • Zahid, bersihlah nama di mahkamah, UMNO jugak yang jatuhkan Muhyiddin

    Zahid, bersihlah nama di mahkamah, UMNO jugak yang jatuhkan Muhyiddin

    Biarlah mahkamah tentukan…

    TEBUAN TANAH (TT) kadang kala kasihan tengok Ahmad Zahid Hamidi. Presiden UMNO itu cuba menggambarkan kepada ahli-ahli parti itu, 87 pertuduhan di mahkamah yang dihadapi oleh beliau disebabkan beliau menolak arahan Dr.Mahathir Mohamad membubarkan UMNO dan menyertai Bersatu.

    ‘’Kerana saya tak ikut arahan dia untuk tidak masuk Bersatu kerana saya mempertahankan UMNO, saya terpaksa bayar harga yang mahal dengan 87 pertuduhan,’’ kata Ahmad Zahid semasa kempen di Parit Yaani, semalam.

    TT faham tersiratnya Ahmad Zahid nak kata, beliau teraniaya dan berkorban demi UMNO. Tetapi TT rasa lebih baik, Ahmad Zahid tak payah ‘menjaja’ kes beliau di PRN Johor, lagipun Ahmad Zahid bukannya bertanding di situ. Beliau patut tunggu sahaja bela diri seperti mana diperintah oleh mahkamah.

    Kalau Ahmad Zahid tidak bersalah dan tidak melakukan apa-apa kesalahan Ahmad Zahid tak perlu takut. Allah SWT bersama-sama dengan orang yang benar dan sebaik manapun manusia merancang, perancangan dan ketentuan Allah SWT lebih tepat.

    Jadi TT nasihatkan Ahmad Zahid tenang-tenang sahaja. Bila berkempen, lebih baik perkenalkan calon, bukannya nak pertahankan diri apatah lagi hendak bersihkan diri dalam gelanggang PRN…tak sesuai sangat bila buat macam tu.  Ahmad Zahid pun dah berkali-kali cakap akan bersihkan nama di mahkamah dan tidak pernah minta tolong Dr.Mahathir atau Muhyiddin gugurkan kes beliau sampaikan hantar surat tuntutan kat mereka.

    Sama ada Ahmad Zahid bersalah atau tidak, biarlah mahkamah tentukan. TT yakin Ahmad Zahid sudah bersedia membela diri di mahkamah bagi membuktikan beliau tidak menyalahkan gunakan dana Yayasan Akal Budi dengan cara yang dianggap ‘tidak masuk akal’.

    Di luar mahkamah, kita boleh berhujah apa sahaja tetapi di mahkamah ia berdasarkan fakta dan bukti, di situlah kebenaran akan diketahui. Oleh itu TT harap Ahmad Zahid hentikan tindakan menjadikan gelanggang PRN Johor untuk ‘membersihkan diri’. Bukan apa, takut rakyat Johor ‘meluat’.

    • Kerana jasa Muhyiddin, UMNO dapat jadi kerajaan

    Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Ahli Parlimen Pagoh itu menjadi Perdana Menteri dulu atas sokongan Ahli Parlimen UMNO termasuklah Ahmad Zahid dan Najib Razak yang digelar ‘kluster mahkamah’.

    TT tersenyum bila dengar Ahmad Zahid kata macam tu di Parit Yaani semalam. Memang betul, Muhyiddin jadi PM atas sokongan UMNO tetapi Ahmad Zahid kena ingat, 15 ahli Parlimen UMNO juga yang menarik sokongan terhadap Muhyiddin dengan alasan beliau gagal menguruskan pandemik Covid-19.Tapi orang tengok tindakan tu lebih bermotif politik.

    Kalau nak cakap soal sokong menyokong ni, rasanya Muhyiddin lebih layak bercakap. Sebabnya, walaupun dijatuhkan oleh ahli Parlimen UMNO, Muhyiddin dan ahli  Parlimen Bersatu sokong Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO jadi PM…Ahmad Zahid kena ingat la sikit benda ni.

    Muhyiddin ikhlas bagi sokongan tu. Muhyiddin tak buat perangai diam-diam utus surat kat Yang di-Pertuan Agong sokong Anwar Ibrahim atau mana-mana individu lain jadi PM. Muhyiddin pun tidak pernah ada rakaman audio perbualan ‘anak murid’ dengan ‘guru’ yang heboh dulu.

    Muhyiddin tak tergamak buat kerja macam tu sebab perangai macam itu  khianati amanah ahli-ahli parti dan sekutu. Muhyiddin pun takut juga nanti kubur  kena kencing. Lagipun  kalau Muhyiddin nak nafikan atau sembunyi macam manapun dengan manusia bolehlah dengan Allah SWT mana boleh. Allah Maha Mengetahui. Muhyiddin tahu dalam hidup ini bila kita cakap lain, buat lain, Allah tak suka…sebab tu ciri-ciri orang munafik.

    Bersatu juga sokong ADUN UMNO jadi MB Perak, walaupun jawatan itu Bersatu punya.

    Ahmad Zahid jangan lupa, Bersatu bukan ‘dalang’ yang cetus  PRN Melaka dan PRN Johor. Jadi tak payah Ahmad Zahid nak cakap soal kenang jasa.

    Sepatutnya UMNO perlu belajar kenang jasa Muhyiddin. Beliau sanggup jemput UMNO yang kalah dalam PRU-14 untuk kembali  ada kuasa sehingga ahli Parlimennya jadi PM hari ini.Tak kan lupa kot…

    • Tebuan Tanah (TT) berpengalaman lebih 30 tahun dalam bidang kewartawanan.
  • Trak bantuan mangsa banjir dinaiki ADUN Ajil terbalik

    Trak bantuan mangsa banjir dinaiki ADUN Ajil terbalik

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim yang menaiki trak membawa bantuan mangsa banjir bersama-sama anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu terbalik dan hampir tenggelam kerana dibadai arus deras.

    Semasa kejadian pada pukul 2.15 petang tadi, wakil rakyat Pas itu bersama-sama 13 anggota APM menyertai operasi menghantar bantuan makanan mangsa banjir di Kampung Bukit Biah, di sini.

    Maliaman ketika dihubungi mengakui masih terkejut dengan insiden itu namun tidak mematahkan semangat untuk terus bersama rakyat yang kini ditimpa kesusahan.

    “Saya merasai pengalaman yang mendebarkan kerana lori yang saya dinaiki bersama anggota APM dibawa arus deras dan terbalik di tepi jalan betul-betul di sungai Kampung Lembah.

    “Waktu tu saya hanya mampu berdoa agar dimudahkan urusan kerana ketika itu arus air cukup laju dan hampir menenggelamkan lori yang kami naiki,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Maliaman bagaimanapun bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa dan mereka berjaya diselamatkan anggota penyelamat yang tiba bersama bot 15 minit kemudian.

    “Saya bersyukur semuanya selamat namun agak terkilan kerana barang bantuan untuk banjir seperti makanan, pakaian semuanya dibawa arus deras, kenderaan logistik juga tidak dapat diselamatkan.

    “Saya sangat memohon maaf kerana gagal menghantar barang keperluan barangan untuk mangsa banjir tadi,” ujarnya.

    Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu dalam kenyataan pada Ahad berkata, mangsa banjir di Terengganu meningkat kepada seramai 6,963 orang sehingga jam 8 malam ini.

  • Pegawai polis maut dipercayai tembak diri sendiri

    Pegawai polis maut dipercayai tembak diri sendiri

    SEORANG pegawai polis yang bertugas di Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul maut dipercayai menembak diri di kepala dengan menggunakan pistol di sebuah rumah di Jalan Selingsing, Kuala Lumpur, hari ini.

    Kejadian itu dimaklumkan kepada pihak polis selepas Pusat Kawalan IPD Sentul menerima panggilan daripada Sistem MERS 999 kira-kira pukul 3.30 petang.

    Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, siasatan di tempat kejadian mendapati mangsa lelaki yang berumur 35 tahun merupakan seorang pegawai kanan yang kini sedang berkhidmat di IPD Dang Wangi.

    “Siasatan awal dipercayai mangsa telah menembak dirinya sendiri di bahagian kepala dengan menggunakan sepucuk pistol.

    “Pihak ambulans telah sampai ke tempat kejadian dan pegawai perubatan yang bertugas telah mengesahkan kematian mangsa pada jam 3.59 petang,” katanya memetika laporan Sinar Harian, hari ini.

    Tambahnya, punca kejadian masih belum dapat dikenal pasti dan masih dalam siasatan pihak polis dan kes ini telah diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

    “Pihak Polis Kuala Lumpur menasihati orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes ini untuk tampil memberikan keterangan ataupun menghubungi Pegawai Penyiasat kes iaitu Asisten Superintendan Foo Keat How di talian 012-7461500 atau boleh juga menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul ditalian 03-40482206,” katanya.