Author: Admin

  • 19 kontraktor ditahan kemuka penyata bank palsu RM49 juta

    19 kontraktor ditahan kemuka penyata bank palsu RM49 juta

    SERAMAI 19 kontraktor ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah kerana dipercayai mengemukakan penyata bank palsu bernilai kira-kira RM49 juta kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.

    Semua suspek yang berusia antara 24 hingga 53 tahun itu ditahan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Kota Kinabalu, kira-kira pukul 10 pagi tadi.

    Astro Awani melaporkan, penyata bank palsu itu dikemukakan sebagai dorongan untuk memasuki tender beberapa buah sekolah di seluruh Sabah.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan.

    Tambahnya, kesemua suspek yang terdiri daripada 10 lelaki dan sembilan wanita tersebut akan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu dalam masa terdekat.

    “SPRM Sabah pada tahun 2020 telah menahan seramai 39 kontraktor yang dipercayai mempunyai modus operandi sama melibatkan nilai kontrak berjumlah lebih RM80 juta.

    “Susulan daripada tangkapan tersebut, sebanyak 132 pertuduhan telah berjaya dilaksanakan di Mahkamah Khas Rasuah di Sabah tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Tegasnya, SPRM memandang serius berhubung kesalahan tersebut dan susulan daripada kes-kes berkenaan, beberapa aktiviti pencegahan telah dilaksanakan bagi menangani isu berkaitan.

    “Antara usaha yang telah dilaksanakan ialah mengadakan beberapa sesi penerangan kepada pihak kontraktor seperti penganjuran seminar integriti bersama kontraktor hasil kerjasama antara Kementerian Kewangan Negeri Sabah dengan SPRM Sabah pada 25 Ogos 2020.

    “Selain itu, SPRM Sabah pada 27 Mac tahun lalu juga telah mengadakan Forum Anti Rasuah: Peranan Kontraktor Dalam Menangani Rasuah hasil kerjasama antara SPRM Sabah, Majlis Perbandaran Tawau (MPT) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB),” katanya.

    Dalam masa yang sama, Karunanithy turut mengingatkan golongan kontraktor supaya tidak mengemukakan sebarang dokumen palsu bagi tujuan memasuki mana-mana kontrak kerajaan kerana ia merupakan satu kesalahan.

  • ‘Demi pemimpin berintegriti, berkebajikan’ – Hadi Awang doa kemenangan PN dalam PRN Johor

    ‘Demi pemimpin berintegriti, berkebajikan’ – Hadi Awang doa kemenangan PN dalam PRN Johor

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berharap semua 56 calon Perikatan Nasional (PN) akan memperoleh kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.

    Menurut beliau, harapan itu disandarkan kepada gerak kerja jentera PN yang setakat ini berada pada tahap yang sangat baik.

    “Perkembangan positif ini sekali gus mampu menarik pengundi untuk memberikan sokongan kepada calon-calon PN.

    “Insya-Allah semoga segala usaha dan amal soleh yang dilakukan oleh jentera-jentera diterima oleh Allah dan beroleh kemenangan dalam PRN Johor.

    “Ini demi memastikan pemimpin yang dipilih untuk mentadbir Kerajaan Negeri Johor dalam kalangan yang berintegriti dan berkebajikan,” katanya dalam kenyataan dalam akaun Facebook miliknya, hari ini.

    Dalam masa yang sama, Abdul Hadi berkata beliau juga berkesempatan melawat Bilik Gerakan Umum PN bagi mendengar taklimat tentang perkembangan terkini situasi PRN Johor, semalam.

    Selain Pas, komponen parti dalam PN ialah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Gerakan Malaysia (Gerakan).

    Pada PRN Johor kali ini, Pas bertanding di 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Parti Pribumi Bersatu Malaysia (33), dan Gerakan (lapan).

    PRN Johor akan berlangsung pada 12 Mac ini, dengan hari pengundian awal ditetapkan pada 8 Mac.

  • Abdul Hadi seru beri peluang PN perintah Johor

    Abdul Hadi seru beri peluang PN perintah Johor

    PRESIDEN PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyeru pengundi Johor memberi peluang kepada Perikatan Nasional (PN) untuk memerintah selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Mac ini, dengan mempercayai bersungguh-sungguh sumpah calon-calon parti gabungan itu dalam memerangi rasuah.

    Menurut Timbalan Pengerusi PN itu lagi, negara telah berdepan dengan penyakit yang sangat parah iaitu rasuah dan salah laku yang bukan sahaja melibatkan pegawai berpangkat rendah yang gajinya tidak cukup, malah turut membabitkan individu bergaji besar.

    Memetik hadis Rasulullah SAW mengenai laknat Allah ke atas pemberi dan penerima rasuah, beliau menjelaskan bahawa salah satu cara untuk menghapuskan rasuah adalah dengan mengambil tindakan dengan memberi pengajaran kepada perasuah.

    Untuk rekod pada 3 Mac lalu semua 56 calon PN pada PRN Johor mengangkat sumpah dan akujanji menolak amalan rasuah. PN menjadi satu-satunya parti yang mensyaratkan semua calonnya mengangkat sumpah menolak rasuah.

    Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Maran memberi contoh rakyat Amerika, Britain dan India yang menukar kerajaan melalui pilihan raya apabila mendapati parti pemerintah melakukan rasuah dan salah laku.

    “Ni dak… kita (di Malaysia) lepas UMNO…(pilih) UMNO… lepas UMNO, UMNO… dia buatlah nak buat apa pun… pilih selama-lama. Itu (tindakan yang) tak kena.

    “Bila kita dah tahu dia ada salah laku, kita kena ambil satu tindakan untuk ajar dia melalui pilihan raya.

    “Kita dah ada penyakit yang sangat parah, penyakit salah laku. Sudahlah gaji pegawai kerajaan tak cukup yang pegawai-pegawai rendah ni… yang duduk di bandar nak tanggung anak isteri. Kadang-kadang melakukan rasuah… melakukan salah laku kerana gaji tak cukup. Ini kena jadi tanggungjawab kita untuk naikkan gaji. Biar cukup nak tanggung.

    “Kemudian yang gaji mahal pun rasuah juga… berbilion-bilion… payah sangat nak ambil tindakan. Ini suasana tak betul. Bukan kita setuju rasuah… tidak. Nabi kata Tuhan laknat orang yang beri rasuah dan terima rasuah,” katanya pada ceramah umum PN di Bilik Gerakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulai Sebatang, malam tadi.

    Untuk rekod, beberapa pemimpin utama UMNO sebelum ini telah dituduh di mahkamah kerana terlibat dalam rasuah membabitkan berbilion-bilion ringgit, termasuk Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, rakyat perlu sama-sama menghapuskan penyakit rasuah dan salah laku itu, bukan sahaja dengan kata-kata dan tulisan sahaja, malah menawarkan gaji yang mencukupi kepada pegawai kerajaan serta mengambil tindakan tegas.

    “Dan kita telah melantik calon-calon yang bersumpah untuk lawan rasuah. Sumpah orang Islam ni sangat besar. Dengan sebab itu, percayalah pada kita (Perikatan Nasional) sungguh-sungguh dan saya harap rakyat akan pilih kita.

    “Pilih Perikatan Nasional dalam pilihan raya ni. Beri peluang kepada kami memerintah… tengok bagaimana kami buat. Baru beberapa bulan saja kita memerintah (sebelum ini)… berilah masa panjang sikit untuk kita memerintah… nak tunjuk bagaimana kita nak perbetulkan balik keadaan ini.

    “Mudah-mudahan pengundi-pengundi (di Johor) dapat menunaikan tanggungjawab. Dari situlah pesanan saya… nasihat saya… semoga Allah Taala memberi petunjuk kepada semua untuk memilih Perikatan Nasional,” kata Abdul Hadi.

  • Malaysia warisi beban hutang kerajaan terdahulu – Muhyiddin

    Malaysia warisi beban hutang kerajaan terdahulu – Muhyiddin

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MALAYSIA pada hari ini menanggung beban hutang yang besar disebabkan penyelewengan dan rasuah dilakukan pemimpin kerajaan terdahulu.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beban hutang terus ditanggung kerajaan hingga kini dan perkembangan itu menyukarkan Malaysia untuk terus melangkah ke hadapan.

    Bekas Perdana Menteri itu berkata, semua itu berpunca daripada kepimpinan terdahulu yang tidak amanah dan tiadanya integriti.

    “‘It’s all about leadership’…ini soal nilai-nilai kepimpinan yang mesti ada integriti, saya tak nak sebut pasal masalah kewangan negara lebih-lebih lagi terima legasi hutang daripada kerajaan terdahulu.

    “Malu Apa bosku, (Malaysia) dikenali dunia sebagai negara korup, harta negara berpuluh bilion ringgit dirompak, sampai hari ini kita warisi isu besar yang belum dapat diselesaikan sehingga kini,” katanya.

    Beliau berkata demikian berucap dalam Majlis Dialog Bersama Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Menteri-Menteri Berkaitan Ekonomi di Pulai Spring Resort, Kulai, hari ini.

    Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

    Muhyiddin berkata, Malaysia sebelum ini antara negara paling maju di rantau ini mengatasi negara lain antaranya Vietnam dan Thailand.

    Malah katanya, satu ketika dahulu Korea Selatan datang ke Malaysia untuk mencontohi usaha kerajaan dalam menangani kemiskinan tetapi kini negara-negara tersebut sudah lebih maju berbanding negara ini.

    Sementara itu, beliau berkata, sekiranya PN menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, gabungan itu merancang untuk merangka satu pelan pembangunan untuk tempoh 10 tahun bagi membangunkan negeri itu.

    Beliau berkata, pelan tersebut tidak akan dibuat secara sambil lewa sebaliknya akan melibatkan pakar-pakar dalam bidang berkaitan.

  • PN akan kembalikan zaman kegemilangan Johor jika menang PRN

    PN akan kembalikan zaman kegemilangan Johor jika menang PRN

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PENGUNDI pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor wajar memberi peluang dan kepercayaan kepada Perikatan Nasional (PN) untuk mengembalikan Johor ke zaman kegemilangan seperti sebelum ini.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini kerana Johor mempunyai potensi besar untuk dimajukan namun potensi itu tidak digilap sebaiknya pada ketika ini.

    Bekas Perdana Menteri dan bekas Menteri Besar Johor selama kira-kira 10 tahun itu berkata, Johor sepatutnya menjadi negeri yang terkehadapan dalam pelbagai sektor seperti pembangunan ekonomi, agrikultur, pelancongan dan sebagainya.

    “Johor ini adalah sebuah negara yang berpotensi tinggi untuk dimajukan, saya arif tentang ini kerana pernah menjadi Menteri Besar hampir 10 tahun kira-kira 30 tahun yang lalu.

    “Saya boleh beri jaminan sekiranya PN mampu membentuk kerajaan negeri yang baharu, dengan berbekalkan nasihat dan pengalaman yang dimiliki, kita akan jadikan Johor lebih baik daripada sekarang dari pelbagai aspek mencakupi bidang ekonomi, sosial dan budaya,” katanya.

    Beliau berkata demikian berucap dalam Majlis Dialog Bersama Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Menteri-Menteri Berkaitan Ekonomi di Pulai Spring Resort, Kulai, hari ini.

    Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

    Muhyiddin berharap, langkah pemulihan perlu disegarakan termasuk pembukaan sempadan agar ekonomi di negeri ini akan semakin pulih.

    “Johor adalah antara negeri yang terkesan teruk akibat pandemik bukan kerana negeri ini bergantung kepada Singapura tetapi negara jiran itu terlibat secara langsung dan tidak langsung memberi sumbangan kepada pelbagai sektor di negeri ini,” katanya.

    Beliau berkata, peniaga tempatan terkesan yang berurusan membabitkan negara republik itu apabila tersekat laluan disebabkan tidak ada laluan mudah antara kedua-dua negara.

    Justeru beliau sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), antara perkara yang diputuskan supaya kerajaan dengan secepat mungkin membuka semula sempadan negara.

    “Rakan-rakan dalam Kabinet kata telah bincang, laporan MPN telah dibentang dan saranan saya pada 1 Januari kemudiannya 1 Mac untuk buka sempadan, nampaknya macam belum boleh lagi.

    “Kita harap segerakanlah dan penting di Johor sempadan cepat dapat dibuka, ini kerana hampir 300,000 rakyat johor yg berulang alik kerja di singapura masih berada di sana,” katanya.

  • Perlekeh, angkuh, tidak sensitif pemberian air percuma-Muhyiddin

    Perlekeh, angkuh, tidak sensitif pemberian air percuma-Muhyiddin

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin membidas bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang merendah-rendahkan dua tawaran manifesto PN bagi meringankan golongan berpendapatan rendah.

    Muhyiddin yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, Mohamed Khaled dilihat tidak sensitif malah tidak wajar merendah-rendahkan tawaran yang boleh memberi manfaat kepada orang ramai.

    “Kita menawarkan untuk memberikan 20 meter padu air secara percuma kepada rakyat di bawah kategori B40 di Johor tetapi seorang bekas Menteri Besar UMNO mempersendakan komitmen itu.

    “Ini jelas menunjukkan sikap tidak sensitif dan angkuh. Beliau tidak peka dengan nasib rakyat Johor terutama mereka yang pendapatannya terjejas teruk

    “Beliau juga kata perkara ini telah dilakukan sebelum ini dan tetapi ini bukan soal meniru tetapi bagaimana untuk membantu rakyat.

    “Perkara kecil seperti ini amat bermakna kepada rakyat tetapi tidak bagi mereka kerana mereka sudah kaya,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Dialog Bersama Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Menteri-Menteri Berkaitan Ekonomi di Pulai Spring Resort, Kulai, hari ini.

    Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

    Pada 2 Mac menerusi manifesto PN yang dipanggil Ikrar IKRAR Perikatan Nasional#DemiBangsaJohor yang dilancarkan oleh Muhyiddin sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, antaranya menawarkan penghapusan bayaran lesen dan sewa tapak perniagaan serta pemberian air percuma.

    Menerusi satu entri dimuat naik dalam Facebook Mohamed Khaled memaklmkan, kerajaan negeri Johor terdahulu telah melaksanakan inisiatif untuk menyediakan 10 meter padu air percuma kepada mereka dalam kategori B40 dalam Bajet Johor 2021.

  • Lelaki mengaku tidak bersalah bunuh dua wanita Indonesia

    Lelaki mengaku tidak bersalah bunuh dua wanita Indonesia

    SEORANG pekerja ladang kelapa sawit pada Jumaat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di Sibu, atas pertuduhan membunuh dua wanita warga Indonesia yang mayat mereka ditemukan terapung di Sungai Samong, Daro bulan lepas.

    Ahmad Robin, 31, didakwa membunuh Pandang Sarang di sebuah ladang kelapa sawit pada jam 11 pagi, 11 Februari lepas dan Muli Laha di sebuah ladang kelapa sawit lain di Daro pada jam 11 malam hari sama mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

    Pada prosiding pada Jumaat, selepas pengakuan tertuduh direkodkan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Christopher Chin, pendakwaan memanggil saksinya untuk memberi keterangan.

    Sijaya, 50, suami Pandang Sarang, memaklumkan mahkamah bahawa pada jam 7.20 pagi hari kejadian, mangsa memberitahunya mahu ke pasar Daro bersama-sama Muli Laha dan seorang lagi wanita warga Indonesia bernama Tene dengan menumpang kereta tertuduh.

    “Isteri saya ada membawa wang sebanyak RM2,500 untuk membeli barangan keperluan selain memakai rantai dan anting-anting emas,” katanya dalam pernyataan bertulis yang dibaca di mahkamah.

    Selepas Pandang Sarang tidak pulang ke rumah hingga 7 pagi esoknya, dia dan Ero Nyale (suami Muli Laha) mencari isteri mereka di kawasan ladang sehingga ke Kampung Tebaang.

    Dia berkata, pada 12.30 tengah hari, mereka dimaklumkan bahawa polis telah menjumpai mayat isteri mereka oleh seorang pemandu van ladang.

    “Saya berasa amat terkejut dan tidak dapat berkata apa-apa apabila mendapat tahu mayat yang dijumpai terapung di sungai itu adalah mayat isteri saya,” katanya sambil menambah dia amat mengenali serta berkawan baik dengan Ahmad dan Pandang Sarang sering menggunakan khidmat tertuduh untuk ke Daro bagi membeli barangan keperluan selepas menerima gaji.

    Sijaya berkata, dia dan isterinya mula bekerja di ladang kelapa sawit itu sejak tiga tahun lepas dan mengenali tertuduh yang juga pemandu van di ladang tersebut.

    Terdahulu, ketika Ero Nyale, 48, dipanggil memberi keterangan, jurubahasa Makasar yang dilantik oleh konsulat Indonesia Muhiddin Salihi berdepan kesukaran berkomunikasi dengan saksi yang kelihatan masih takut dan mengalami gangguan emosi akibat kejadian itu.

    Perbicaraan bersambung 25 Mac ini.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Dona Liyanna Sabariah Azmi manakala Ahmad diwakili peguam Ben Lau. – Bernama

  • Penyelia direman tepuk punggung janda

    Penyelia direman tepuk punggung janda

    SEORANG penyelia direman selepas dikatakan menepuk punggung pekerjanya yang juga janda di sebuah kilang di Telok Gong, Klang, kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, suspek diberkas polis pada 11 malam di sebuah gudang penyimpanan penyaman udara di kilang itu.

    Beliau memberitahu, suspek berusia 35 tahun direman selama 14 hari untuk membantu siasatan.

    “Lelaki itu dipercayai melakukan perbuatan terhadap wanita berusia 29 tahun yang juga ibu tunggal kepada dua anak pada 9 pagi, hari sama.

    “Siasatan mendapati mangsa sedang menyusun barangan sebelum didatangi suspek yang kemudian menepuk bahagian punggungnya.

    “Mangsa baru tiga bulan bekerja di kilang itu manakala suspek pula bekerja selama empat tahun di lokasi sama.

    “Bertindak atas maklumat, polis kemudian menahan suspek yang ketika itu sedang bekerja,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Kata beliau, motif kejadian masih dalam siasatan dan suspek direman selama 14 hari mengikut Akta Imigresen.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • PN sudah tembusi kubu kuat BN di Kota Tinggi

    PN sudah tembusi kubu kuat BN di Kota Tinggi

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PERIKATAN Nasional (PN) sudah berjaya meruntuhkan kubu kuat Barisan Nasional (BN) di Kota Tinggi yang telah didominasi sejak dahulu.

    Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Kota Tinggi, Rasman Ithnain berkata, itu merupakan satu kejayaan besar PN.

    Beliau yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili berkata, terdapat tanda positif yang ditunjukkan oleh pengundi- pengundi di Kota Tinggi dalam sokongan mereka terhadap PN.

    “Soal kemenangan (BN di Kota Tinggi dalam pilihan raya sebelum ini) itu kita tidak dapat nafikan. Itu adalah kekuatan BN. Tapi kesimpulannya, kita dapat memecahkan tembok (dominasi) itu pun pada saya satu yang positif.

    “Insya-Allah telah ada tanda-tanda untuk PN menguasai di Kota Tinggi,” katanya ketika ditemui di Kota Tinggi, hari ini.

    Beliau sebelum itu menerima kunjungan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bilik Gerakan PN Zon Timur di Kota Tinggi.

    Mengulas lanjut, Rasman berkata, tanda peralihan sokongan itu dapat dilihat daripada generasi baharu yang tinggal di kawasan Felda dan kampung tradisional.

    “Macam generasi peneroka, dia tidak ada masalah dengan pendapatan dan tempat tinggal. Dia dah boleh bertahan hidup.

    “Tetapi generasi kedua dan ketiga berhadapan dengan isu tidak ada tempat tinggal, pekerjaan dan perniagaan yang masih tidak meluas. Mereka berhadapan dengan ‘survive’ hidup macam mana generasi lain yang ada di bandar, ” ujarnya.

    Dua Dewan Undangan Negeri (DUN) berada di bawah Parlimen Kota Tinggi ialah DUN Sedili dan DUN Johor Lama yang kedua-duanya diwakili ADUN Bersatu sebelum ini.

  • Calon PN tawar klinik guaman percuma jika menang PRN

    Calon PN tawar klinik guaman percuma jika menang PRN

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Lama, Mohamad Alias Rasman menawarkan perkhidmatan klinik guaman percuma kepada penduduk jika menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Menurut Mohamad Alias, khidmat guaman yang ditawarkannya meliputi aspek ekonomi, pendidikan dan sosial kepada penduduk.

    “Daripada sudut golongan Felda khasnya, saya dapat lihat isu-isu di Felda kebanyakan berkaitan dengan soal perwarisan dan dapat dilihat sebenarnya wujud kepincangan daripada segi lot-lot tanah generasi kedua.

    “Walaupun mempunyai bidang kuasa yang terhad kerana melibatkan urusan dari pejabat pihak felda, saya tetap akan menyusun langkah untuk mengetengahkan isu-isu dari segi pengurusan lot-lot tanah ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Menurut Alias, apabila generasi pertama meninggal, generasi kedua mengikut undang-undang Felda hanya membenarkan dua penama sahaja di dalam geran.

    “Undang-undang tersebut mungkin boleh digubal semula pada masa akan datang jika saya terpilih,” ujarnya.

    Beliau juga akan berusaha menaikkan ekonomi setempat terutama di bandar Kota Tinggi selain membantu mempromosi tempat bersejarah dan produk pelancongan.

    “Saya perasan kita mempunyai begitu banyak tempat-tempat bersejarah dan ingin menjadikan sejarah Kota Tinggi ini sebagai produk pelancongan.

    “Di Johor Lama, contohnya di Teluk Sengat, ada pantai, laut, rumah rakit mungkin dari segi itu boleh menaikkan taraf pelancongan,” katanya.