Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

MALAYSIA pada hari ini menanggung beban hutang yang besar disebabkan penyelewengan dan rasuah dilakukan pemimpin kerajaan terdahulu.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beban hutang terus ditanggung kerajaan hingga kini dan perkembangan itu menyukarkan Malaysia untuk terus melangkah ke hadapan.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, semua itu berpunca daripada kepimpinan terdahulu yang tidak amanah dan tiadanya integriti.

“‘It’s all about leadership’…ini soal nilai-nilai kepimpinan yang mesti ada integriti, saya tak nak sebut pasal masalah kewangan negara lebih-lebih lagi terima legasi hutang daripada kerajaan terdahulu.

“Malu Apa bosku, (Malaysia) dikenali dunia sebagai negara korup, harta negara berpuluh bilion ringgit dirompak, sampai hari ini kita warisi isu besar yang belum dapat diselesaikan sehingga kini,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap dalam Majlis Dialog Bersama Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Menteri-Menteri Berkaitan Ekonomi di Pulai Spring Resort, Kulai, hari ini.

Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Muhyiddin berkata, Malaysia sebelum ini antara negara paling maju di rantau ini mengatasi negara lain antaranya Vietnam dan Thailand.

Malah katanya, satu ketika dahulu Korea Selatan datang ke Malaysia untuk mencontohi usaha kerajaan dalam menangani kemiskinan tetapi kini negara-negara tersebut sudah lebih maju berbanding negara ini.

Sementara itu, beliau berkata, sekiranya PN menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, gabungan itu merancang untuk merangka satu pelan pembangunan untuk tempoh 10 tahun bagi membangunkan negeri itu.

Beliau berkata, pelan tersebut tidak akan dibuat secara sambil lewa sebaliknya akan melibatkan pakar-pakar dalam bidang berkaitan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here