Author: Admin

  • Leissner bimbang 1MDB disiasat lepas PH menang PRU-13

    Leissner bimbang 1MDB disiasat lepas PH menang PRU-13

    BEKAS rakan kongsi Goldman Sachs, Tim Leissner mengaku menerima sogokan AS$60 juta, menipu bank mengenai transaksi rasuahnya, dan dua kali memalsukan dokumen perceraian untuk mengahwini wanita lain.

    Memetik laporan MalaysiaNow, beliauialah saksi utama pendakwaan dalam perbicaraan Roger Ng, bekas rakan sekerjanya di Goldman yang didakwa membantu dalam penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 2009 hingga 2014.

    Pada 2018, beliau mengaku bersalah bersubahat dalam pengubahan wang haram dan melanggar undang-undang anti rasuah.

    Beliau juga bersetuju untuk bekerjasama dengan pendakwa raya dalam perbicaraan mengenai kes melibatkan syarikat itu.

    Roger, 49, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang sama dan kini sedang dibicarakan di mahkamah persekutuan Brooklyn.

    Sepanjang seminggu memberi keterangan di mahkamah, Leissner menyifatkan gaya hidupnya yang mewah selepas urus niaga melibatkan 1MDB telah menjadikannya sebagai seorang “bintang” di bank itu.

    Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan kepada mahkamah langkah-langkah yang diambilnya bagi mengelak daripada ditangkap pihak berkuasa atas jenayah yang dilakukannya.

    Beliau juga berharap dapat menebus kesalahan yang dilakukannya.

    “Ia bukanlah masa yang membanggakan dalam hidup saya, pada masa itu saya mahu dapatkan lebih banyak wang, walaupun saya sudah dibayar dengan baik,” katanya.

    Pertuduhan terhadap Ng dijalankan selepas siasatan dilakukan terhadap kira-kira AS$6.5 bilion bon 1MDB yang dijual oleh Goldman pada 2012 dan 2013.

    Pendakwa raya berkata, AS$4.5 bilion daripada jumlah jualan itu telah diselewengkan oleh pegawai kerajaan, pegawai bank dan rakan subahat mereka dalam salah satu skandal terbesar dalam sejarah Wall Street.

    Pada 2020, Goldman bersetuju membayar denda AS$3 bilion dan cawangannya di Malaysia turut mengaku bersalah di mahkamah AS.

    Bank pelaburan antarabangsa itu berkata, pada masa penyelewengan berlaku ia tidak “meneliti dengan cermat pasukan pegawainya dalam rundingan urus niaga yang dijalankan.”

    Leissner berkata, Roger yang merupakan pegawai Goldman di Malaysia, secara rahsia menjalin hubungan dengan dalang penyelewengan dana itu di luar Goldman, dan menerima sogokan.

    Bagaimanapun, peguam Roger, Marc Agnifilo mengatakan Leissner berbohong dalam mengaitkan anak guamnya dengan jenayah itu bagi mengurangkan sabitan hukuman.

    Namun, pihak pendakwaan berkata dakwaan Leissner disokong oleh bukti lain.

    Leissner berkata, beliau membelanjakan wang sogokan itu membeli kapal layar bernilai AS$15 juta, pangsapuri di London dan New York, dan membuat pelaburan dalam pasukan bola sepak Itali, Inter Milan.

    Pada 2013, beliau bertemu Kimora Lee Simmons, seorang model AS dan bekas isteri penerbit muzik Russell Simmons.

    Mereka berdua menetapkan tarikh perkahwinan sebelum Leissner memuktamadkan perceraiannya dengan seorang lagi wanita.

    Bagi membolehkan perkahwinan itu dijalankan, Leissner memalsukan dokumen perceraiannya – kali kedua dia melakukan tindakan sedemikian.

    Leissner berkata, akibat perbuatannya, beliau bimbang dirinya akan ditangkap.

    Semasa menyiapkan rundingan urus niaga bon 1MDB terakhir beberapa bulan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pada 2013, Leissner berkata beliau bimbang pembangkang memenanginya dan akan menyiasat perkara itu.

    Walaupun Barisan Nasional (BN) menang dalam PRU-13 itu, Leissner berkata liputan akhbar yang kritikal mengenai 1MDB telah menyebabkan dirinya terus bimbang jika ditangkap.

    Pada Februari 2016, ejen FBI telah menghantar perintah sepina kepadanya.

    Berharap dapat memperolehi permit untuk tinggal di Los Angeles bersama keluarga barunya, Leissner berkata, beliau mengupah seorang peguam untuk memulakan kerjasama dengan kerajaan.

    Leissner bagaimanapun telah ditangkap pada Jun 2018.

    Menurutnya, pengakuan bersalah yang dilakukannya adalah untuk meringankan hukuman dan sedar peluangnya untuk tinggal di AS tidak dapat dilakukan.

    Kini, peguamnya berkata, Leissner dan Lee Simmons tinggal berjauhan.

    “Saya harap saya tidak perlu pergi menjalani hukuman penjara,” kata Leissner.

  • Lelaki maut tergelincir jatuh sungai semasa cuci motosikal

    Lelaki maut tergelincir jatuh sungai semasa cuci motosikal

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki maut selepas terjatuh dari tebing sungai dipercayai tergelincir semasa membasuh motosikalnya di Estet Gemas Baru, Gemas, Segamat, semalam.

    Kejadian tersebut dilaporkan kepada pihak bomba pada pukul 6.56 petang sebelum 16 anggota dengan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian.

    Menurut Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Segamat, Penolong Penguasa Bomba Muhd Hazim Abdul Razak, operasi mencari dan menyelamat remaja lelaki tersebut, G. Hematharshan, 19, digerakkan malam tadi.

    “Hasil pencarian secara ‘surface searching’ oleh pasukan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), mangsa berjaya ditemui pada pukul 2.27 pagi pada jarak lebih kurang 10 meter dari lokasi mangsa dilaporkan jatuh.

    “Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi tamat pada jam 3.40 pagi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

  • Penerimaan terhadap PN di Johor positif-Hadi Awang

    Penerimaan terhadap PN di Johor positif-Hadi Awang

    TINGGAL sehari lagi tempoh berkempen, pnerimaan terhadap calon Perikatan Nasional pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menunjukkan perkembangan positif walaupun belum mencapai tahap yang boleh dibanggakan.

    Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, perkembangan itu dilihat selepas beliau melakukan tinjauan beberapa hari lalu termasuk semasa pelancaran ikrar PN.

    Sinar Harian melaporkan, Abdul Hadi berkata, untuk PN menang adalah tidak mudah tetapi tidak juga mustahil untuk parti itu menakluk PRN Johor.

    Malah, beliau juga memberikan contoh prestasi PRN Sabah yang mana PN mendapat kejayaan manakala BN merosot. Di PRN Melaka pula, BN menang kerana peratusan keluar mengundi rendah serta undi kepada PH sudah pun merosot.

    Undi diperoleh PN menunjukkan peningkatan tetapi parti itu tidak menang di Melaka kerana pengundi muda tidak keluar mengundi dan undi protes.

    Beliau menegaskan jika PN berjaya berusaha untuk meningkatkan jumlah pengundi yang keluar, maka parti itu tidak mustahil untuk memperoleh kemenangan.

    Abdul Hadi juga menjelaskan ikrar PN mampu untuk menarik pengundi mengundi calon PN selain rakyat dapat menilai apabila Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU 14) lalu ditolak kerana kegagalan, salah laku rasuah dan pelbagai hal lain.

    Abdul Hadi mendakwa, Pakatan Harapan (PH) ditolak kerana gagal menunaikan janji yang dibuat dalam manifesto PRU14 kerana manifesto mereka amat tinggi melangit dan tidak berpijak di bumi nyata.

    Sebaliknya PN banyak melaksanakan pelbagai agenda demi kepentingan rakyat walaupun tempohnya pendek.

  • Lelaki maut dibaham buaya di muara sungai

    Lelaki maut dibaham buaya di muara sungai

    SEORANG lelaki meninggal dunia akibat dibaham buaya ketika mencari kerang di muara Sungai Kampung Mapan-Mapan, Pitas, semalam.

    Bagaimanapun mayat mangsa yang belum diketahui identitinya dikatakan telah dibawa ahli keluarga ke Pulau Banggi, Kudat.

    Pihak bomba menerima laporan berhubung kejadian itu daripada Balai Polis Pitas pada pukul 1.30 petang.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, Rony Sikawan berkata, dimaklumkan seorang mangsa dipercayai dibaham buaya ketika mengutip kerang di muara sungai berkenaan.

    “Bagaimanapun, menurut maklumat polis juga, mangsa kemudian ditemukan kira-kira jam 5 petang hari yang sama dan dibawa ke Pulau Sibugo, Banggi,” katanya memetik laporan Sinar Harian hari ini.

    Katanya lagi, maklumat mangsa tidak dapat diperoleh disebabkan keluarga mangsa enggan memberi kerjasama dan operasi ditamatkan pada pukul 4.30 petang Rabu.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Zairolnizal Ishak berkata, usaha mengesan semua saksi berhubung kejadian itu sedang dilakukan.

    “Setakat ini kejadian belum dapat disahkan dan hanya sekadar dakwaan.

    “Dipercayai mangsa yang terlibat seorang Palauh dan usaha mengesan saksi-saksi sedang dilakukan bagi mengesan di mana mayat dibawa,” katanya.

  • Peneroka terhutang budi dengan Muhyiddin

    Peneroka terhutang budi dengan Muhyiddin

    PERIKATAN Nasional (PN) menawarkan kursus kemahiran dalam bidang keusahawanan untuk anak muda bertapak dalam bidang perniagaan.

    Calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Yaani, Ahmad Nawfal Mahfodz berkata, kursus tersebut berkaitan perusahaan mikro kecil sederhana (PMKS) dan latihan kemahiran.

    Beliau berkata, tawawan tersebut sememangnya mampu diberikan dan PN tidak menjanjikan tawaran bulan dan bintang.

    “PN tidak menjanjikan bulan dan bintang kepada pengundi tanpa mengambil kira kemampuan melaksanaka janji tersebut,” katanya memetik laporan HarakahDaily, hari ini.

    Ahmad Nawfal yang juta Ketua Pemuda Pas Johor berkata, pengundi ini bijak menilai mana-mana parti yang mampu menunaikan janji.

    Dalam pada itu, beliau berkata, jasa kerajaan PN yang melupuskan 80 peratus hutang peneroka Felda amat melegakan golongan peneroka.

    “Peneroka terhutang budi terhadap pengorbanan Tan Sri Muhyiddin, selepas berpuluh tahun tahun mereka memperjuangkan isu tersebut,” ujarnya.

  • PN angkat pemimpin yang telus, berintegriti:Mufti Perlis

    PN angkat pemimpin yang telus, berintegriti:Mufti Perlis

    MUFTI Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin mengingatkan pengundi supaya memilih gabungan politik yang bersih, telus dan mengamalkan integriti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Mohd. Asri berkata, Perikatan Nasional (PN) dilihat tiada berkompromi dengan gejala tersebut selain Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai keperibadian yang tinggi dab baik.

    “Sesungguhnya terbukti tiada kompromi Perikatan Nasional dalam mengangkat kepimpinan yang telus dan berintegriti. Selain banyak berbakti dan memusatkan khidmat semata-mata untuk rakyat,” katanya memetik laporan HarakahDaily, hari ini.

    Katanya, ketika hendak memilih pemimpin perlu mengutamakan seseorang yang beragama, menunaikan solat dan mengambil ambil tahu tentang kehidupan beragama.

    “Data seperti ini yang kadang kala kita perlukan. Orang yang ambil tahu soal halal dan haram dan solat berjemaah merupakan ciri-ciri yang baik.

    “Mudah-mudahan ia boleh memelihara seseorang pemimpin daripada perbuatan tidak elok. Jadi itu kredit untuknya.

    “Saya berharap kelebihan itu kerana ada kesedaran agama. Beliau ambil berat tentang hukum hakam agama yang diharap dapat mengawal dirinya, keluarga dan orang di sekliling mengelakkan rasuah sehingga merosakkan pentadbiran negara,” ujarnya.

    Menurutnya, sebagai rakyat perlu mendoakan supaya seseorang pemimpin yang akan naik dapat melakukan sesuatu yang baik.

    Beliau berkongsi Hadis Nabi Muhammad Saw yang bermaksud “Atas seseorang individu Muslim itu perlu taat kepada pemerintah sama ada dia suka atau tidak, selagi dia (pemerintah) tidak menyuruh kepada maksiat.”

    Dalam konteks demokrasi kata Dr Mohd Asri, jika pemimpin itu menyeru kepada kerosakan maka rakyat perlu membantah.

  • Bapa sembunyi mayat bayi lebih setahun dalam peti sejuk

    Bapa sembunyi mayat bayi lebih setahun dalam peti sejuk

    MAYAT bayi baru lahir ditemui dalam peti sejuk beku selepas disembunyikan bapanya di sebuah rumah selama lebih setahun, lapor Bangkok Post.

    Menurut Komander Polis Chiang Mai, Thawatchai Pongwiwatchai, mayat bayi yang dibalut dengan tuala kuning ditemui pekerja yang diupah mengubah suai sebuah rumah di perkampungan Wa Ket di daerah Muang, Chiang Mai.

    “Bayi yang mati selepas dilahirkan itu adalah milik pasangan kekasih yang dahulunya tinggal di rumah tersebut yang tidak dapat mengebumikan bayi itu selepas ibunya ditangkap atas dakwaan mencuri.

    “Sebelum ibu bayi yang dikenali sebagai Uew berusia 24 tahun dihantar ke penjara, pemilik asal rumah itu berpindah semula ke rumahnya dan apabila pekerja pengubah suaian membuka peti ais tersebut, dia menemui mayat bayi dibungkus dan diletakkan mainan bersamanya,” katanya.

    Tambahnya, pegawai polis dan pasukan penyelamat bergegas pergi ke rumah tersebut dan mendapati mayat bayi itu telah meninggal dunia lebih setahun lalu. – Agensi

  • Bekas penyandang ADUN Bukit Pasir tidak goyahkan calon PN

    Bekas penyandang ADUN Bukit Pasir tidak goyahkan calon PN

    MENJADI calon bebas bukan satu kelebihan kepada penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Pasir, Najib Lep sehingga membolehkan beliau menggoyahkan calon PN bagi kawasan berkenaan, Mohd. Nor Iqbal Razak.

    Menurut Mohd. Nor Iqbal, kemenangan Najib pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang lalu bukan kerana kekuatan diri beliau sebagai calon, tetapi disebabkan oleh penolakan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) dan keberkesanan gerak kerja jentera parti pada ketika itu.

    Perkara yang sama, menurut beliau, diyakini akan menjadi faktor yang akan memberikan PN kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan berlangsung pada 12 Mac.

    Cuma yang berbeza ialah, Najib pada PRN kali ini merupakan calon Bebas sedangkan sokongan rakyat Bukit Pasir ialah kepada Pas dan gabungan politik yang disertai parti itu.

    “Rakyat kini sudah matang dan bijak berfikir mengenai politik serta kesannya kepada kepentingan mereka. Mereka mahukan pimpinan dan kerajaan yang telah terbukti prihatin dan mampu membawa kebaikan kepada mereka.

    “Tidak seperti dahulu, calon bebas tidak mampu berbuat apa-apa untuk rakyat, suka atau tidak, dia perlu bersama dengan pihak yang membentuk kerajaan dan rakyat khususnya di Bukit Pasir tahu mengenai perkara ini,” katanya ketika ditemui SatuBerita hari ini.

    Tambah beliau, prestasi cemerlang yang ditunjukkan oleh PN dan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sewaktu menjadi Perdana Menteri juga menjadi faktor penarik kepada pengundi di Bukit Pasir.

    Jelas beliau, rakyat terutamanya di DUN tersebut masih mengingati dan menghargai jasa-jasa yang telah ditaburkan Muhyiddin dan PN sehingga kini kerana semua itu telah banyak membantu mereka diwaktu kesusahan dan juga untuk bangkit kembali ketika ini.

    “Saya yakin, semua faktor berkenaan akan memberikan kemenangan yang lebih besar daripada sebelum ini kepada PN pada PRN kali ini,” katanya. 

  • Calon PN DUN Bekok terus kerja kuat selepas difitnah cuba beli undi

    Calon PN DUN Bekok terus kerja kuat selepas difitnah cuba beli undi

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekok, Tan Lek Khang menafikan tuduhan cuba membeli undi selepas tular mesej daripada telefon bimbitnya.

    Beliau menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tersebut dan satu laporan sudah dibuat di Balai Polis Chaah menafikan perbuatan tersebut.

    “Laporan polis ini supaya satu siasatan dapat dibuat dilakukan. Tuduhan serta sandiwara politik jelek ini semata-mata dijalankan untuk melemahkan semangat saya dan jentera pilihan raya PN.

    “Ini memandangkan pesaing politik kini kecut dan gentar apabila beberapa kawasan panas yang menjadi kubu kuat parti politik tertentu telah berjaya ditembusi PN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Menerusi mesej yang tular itu mendakwa beliau dikatakan cuba menyogok pengundi di DUN Bekok dengan menawarkan RM1,000.

    Mengulas lanjut, beliau menyifatkan tindakan tersebut sebagai politik bacul dan pihaknya akan menentang habis-habisan.

    Pada sama katanya, insiden itu menjadikannya untuk bekerja lebih kuat untuk memenangi kerusi DUN Bekok.

    “Saya harap orang ramai tidak terpedaya dengan sebarang khabar angin yang disebarkan melalui media sosial berkenaan mesej itu,” katanya.

  • Mekanik edar ganja dijatuhi hukuman gantung sampai mati

    Mekanik edar ganja dijatuhi hukuman gantung sampai mati

    MAHKAMAH Tinggi Melaka hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang mekanik atas kesalahan mengedar dadah jenis kanabis seberat 449 gram pada 2017.

    Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Ahmad Nasfy Yasin yang bersidang di Mahkamah Tinggi Melaka memutuskan hukuman itu selepas mendapati tertuduh, Izzat Asnawe Noor Azami, 26, gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pendakwaan di akhir kes pembelaan hari ini.

    Beliau berkata sebaliknya, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah, lapor Berita Harian.

    Antara lain beliau berkata, keterangan tertuduh adalah penafian semata-mata, tidak konsisten dan bersifat ‘difikirkan semula’ termasuk dalam soal pemilikan dadah dirampas dan rumah sewa tempat kejadian boleh diakses ramai orang.

    Mengikut pertuduhan pertama Izzat Asnawie didakwa mengedar 449 gram kanabis di sebuah rumah, No B-3-4 Jalan Malim, Taman Pangsapuri Malim pada 1 Jun 2017 kira-kira 8.30 malam.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

    Dalam pada itu, mahkamah turut menjatuhkan hukuman penjara masing-masing 12 tahun dan 10 sebatan bagi dua pertuduhan mengikut Seksyen 39A(2) kerana memiliki masing-masing 166.5 gram dan 116.46 gram kanabis di tempat, masa dan tarikh sama.

    Untuk dua lagi pertuduhan mengikut Seksyen 12(2) kerana memiliki 5.2 gram methamphetamine dan 0.10 gram nimetazepam di tempat, masa dan tarikh sama, tertuduh dijatuhi hukuman penjara masing-masing tiga tahun.

    Semua hukuman penjara ditetapkan berjalan serentak daripada tarikh tertuduh ditangkap pada 1 Jun 2017.

    Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Muzila Mohamed Arsad, manakala tertuduh diwakili peguam R. Subash.

    Sepanjang perbicaraan bermula 17 Jun 2019, lapan saksi pendakwaan memberi keterangan, manakala pembelaan mengemukakan seorang saksi iaitu tertuduh.