Author: Admin

  • Guru didakwa lakukan amang seksual terhadap kanak-kanak lelaki

    Guru didakwa lakukan amang seksual terhadap kanak-kanak lelaki

    SEORANG guru sains dan matematik didakwa di Mahkamah Sesyen, Kota Bharu hari ini, di atas lapan pertuduhan termasuk amang seksual dan kelucahan melampau terhadap seorang kanak-kanak lelaki antara 2014 hingga 2021.

    Bagaimanapun tertuduh, Muhammad Nasution Noh, 49, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

    Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merangsang seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun ketika kejadian untuk melakukan suatu perbuatan kelucahan melampau di perumahan guru di daerah Kuala Krai, pukul 5 pagi, pada 24 November 2014.

    Kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377E Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang tiga tahun dan maksimum 15 tahun dan juga sebatan jika sabit kesalahan, lapor Harian Metro.

    Pertuduhan kedua hingga ketujuh, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa yang sama di perumahan guru di daerah Kuala Krai dan sebuah rumah di Melor, Kota Bharu.

    Perbuatan itu dilakukan antara pukul 11 malam hingga 3 petang di antara 11 Mac 2016 hingga April 2021.

    Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun sehingga 20 tahun dan juga sebatan.

    Bagi pertuduhan kelapan, tertuduh didakwa melakukan kelucahan melampau terhadap mangsa yang sama di sebuah rumah di Gunong, dekat Bachok, kira-kira 3 pagi pada 6 November 2021.

    Perbuatan itu didakwa mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fariz Abdul Hamid, manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Hasif Hassan.

    Terdahulu, Ahmad Fariz tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh kerana kesalahan serius dan mohon kes dibicarakan bersama semua pertuduhan kerana membabitkan tertuduh, mangsa dan saksi yang sama.

    Bagaimanapun, Muhammad Hasif memohon supaya tertuduh diberi jaminan yang minimum kerana tertuduh mempunyai seorang isteri dan empat anak yang masih bersekolah.

    Katanya, lelaki itu adalah penanggung tunggal keluarga dan tidak akan mengganggu mangsa serta saksi. Tertuduh juga tidak akan lari kerana tinggal dan bekerja di Kota Bharu.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM40,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 12 Mei akan datang sebagai tarikh sebutan semula kes.

  • “Kirim salam pada YB Syed Saddiq,” Yasin curi tumpuan di mahkamah

    “Kirim salam pada YB Syed Saddiq,” Yasin curi tumpuan di mahkamah

    PENYANYI Lagu Mimpi Laila yang lebih dikenali sebagai Yasin mencuri tumpuan semasa di kompleks mahkamah Petaling Jaya hari ini apabila menyebut nama Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

    Penyanyi dan komposer berkenaan memohon agar Syed Saddiq dapat menyegerakan kelulusan dadah jenis kanabis untuk perubatan, lapor Sinar Harian, hari ini.

    “Kirim salam pada YB Syed Saddiq,” kata Yasin atau nama sebbenarnya Muhammad Yasin Sulaiman mahkamah berkenaan.

    Yasin, 47, berkata demikian ketika dibawa ke mahkamah bagi menghadapi dua pertuduhan kes berkaitan dadah, iaitu menanam 17 pokok disyaki ganja dan mengedar dadah jenis sama, minggu lalu.

    Ketika prosiding di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah, Yasin berkata, dia sudah diberi ubat namun sejak akhir-akhir ini, tahap kesihatannya sangat terjejas.

    “Saya khuatir pada bila-bila masa saya boleh jadi gila, ia pernah berlaku tiga kali dalam masa 10 tahun. Jadi mungkin saya perlukan ubat tambahan,” katanya.

    Sementara itu, peguam, Yusmadi Yusoff yang mewakili Yasin berkata, fakta menunjukkan penyanyi itu mempunyai masalah kesihatan dan dia perlu dibantu untuk mendapatkan rawatan segera.

    Katanya, Yasin telah mendapatkan rawatan sejak 2009 dan dimasukkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), namun tidak pernah menceritakan perkara itu kepada peminat.

    Pada dua bulan lalu, beliau berkata, anak guamnya mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta.

    “Dia ada penyakit bipolar tahap kronik dan memohon agar peminat serta rakan-rakannya dapat memanjatkan doa,” katanya ketika ditemui selepas prosiding kes.

    Sementara itu, abang Yasin, Zain Sulaiman, 50, berkata, dua anak saudaranya berusia 17 dan 12 tahun sudah mengetahui keadaan yang menimpa bapa saudara mereka dan setia menunggu kepulangannya.

    “Kami sekeluarga mendoakan agar dia dipermudahkan urusan,” katanya

  • Betul kata Rafizi…Najib tak dapat atasi populariti Muhyiddin

    Betul kata Rafizi…Najib tak dapat atasi populariti Muhyiddin

    TEBUAN Tanah (TT) bukanlah sokong Rafizi Ramli. Cuma TT kagum bila Rafizi buat kemunculan semula ke dalam gelanggang politik, ramai ‘kepanasan’ bukan sahaja dalam PKR malah dalam kalangan parti kerajaan pun tak senang duduk.

    Walaupun baru beberapa hari , Rafizi sudah mula menjadi topik dalam sembang-sembang politik.  Team ‘boss kau’ pun macam tak senang duduk, sebab ada sahaja bekas Ahli Parlimen Pandan itu ‘cuit’ Najib Tun Razak. Sebelum ini, tidak ramai nak melawan hujah dengan Najib, walaupun ada kala hujah macam budak-budak.

    Tetapi Rafizi ternyata buat team ‘boss kau’ bagaikan cacing kepanasan. Terbaru, Rafizi dilaporkan berkata, populariti Najib banyak dipengaruhi kempen ‘bossku’ dan penguasaannya dalam media sosial meluas, namun beliau masih gagal mengatasi populariti Muhyiddin.

    Betul apa kata Rafizi, Muhyiddin sebenarnya lebih popular dan populariti Muhyiddin adalah atas apa yang beliau buat masa jadi PM selama 18 bulan. Ahli Parlimen Pagoh itu boleh buat lebih baik lagi kalau tak ada ‘duri dalam daging’ ketika beliau memimpin kerajaan.

    Jangan lupa bila esok kita melangkah masuk ke fasa endemik dan pembukaan sempadan semua itu adalah hasil perjuangan Muhyiddin. Kalau Muhyiddin tak laksanakan program vaksinasi negara ketika pandemik Covid ‘menggila’ dulu, negara kita tak kan pulih sekarang. Begitu juga pembukaan sempadan, sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Muhyiddin yang syorkan supaya ia dilaksanakan bermula pada 1 Mac lalu tetapi kerajaan buka 1 April atas sebab-sebab tertentu.

    Semuanya adalah hasil kepemimpinan Muhyiddin. Jadi kita tidak boleh lupa perkara itu. Sebab itulah walaupun UMNO cuba ‘nak benamkan’ Muhyiddin di Melaka dan ‘tanamkan’ Bersatu di Johor, mereka gagal. Ia kerana ramai lagi pengundi yang memahami dan mengenang jasa Muhyiddin ketika beliau menjadi PM.

    Betullah Muhyiddin lebih popular daripada Najib. Muhyiddin popular kerana sepanjang 18 bulan, rakyat dapat rasai apa yang beliau lakukan ketika berperang dengan pandemik Covid-19, beratus bilion kerajaan salurkan untuk pulihkan kehidupan rakyat dan ekonomi negara. Hanya orang tak tahu bersyukur, tak kenang budi dan bermotif politik saja yang dok canang ‘kerajaan gagal’.

    Memanglah Muhyiddin tak ada la ‘nak memekak’ selalu dalam media sosial macam Najib. Semua benda Najib sentuh sebab beliau paling berpengaruh dalam UMNO. Pemimpin-pemimpin lain mana ada pengaruh macam Najib, semua ikut saja…kalau buat kenyataan pun tak dapat sambutan sangat. Rasanya kalau Najib tak ada, orangpun tak tahu apa UMNO buat, selain cetus dua PRN dan jawatan PM dipegang oleh Ismail Sabri.

    Cuba Muhyiddin pun setiap hari ini ‘dok memekak’ dalam media sosial seolah-olah beliau sahaja boleh jadi Perdana Menteri terbaik dan mampu menguruskan urus negara macam ‘orang tu’, dah pasti Muhyiddin pun akan popular. Tetapi Muhyiddin ada cara tersendiri, bila buat kerja serah kepada rakyat menilai dan Allah menentukannya.

    Beliau tak buat perangai ‘orang tu’, walaupun parti sendiri dok kerajaan tetapi dok kritik kerajaan seperti mana berlaku 18 bulan masa Muhyiddin sampai ‘nak huru hara’; negara. Jadi betullah Rafizi kata Muhyiddin lebih popular daripada Najib dan pastinya, populariti Muhyiddin bukan kerana ada kes mahkamah atau skandal kewangan yang dianggap menggegarkan dunia…

    ** Tak posa…apa masalah kau?’’

    INSHAALLAH, umat Islam akan sambut Ramadan pada Sabtu atau Ahad ini. Seperti tahun-tahun sebelumnya, jabatan-jabatan agama Islam mula mengeluarkan amaran kepada ‘spesis’ yang suka ponteng puasa. Kalau tak boleh puasa sebab-sebab kesihatan tak apa la, tapi ni masalahnya ada yang jenis memang sengaja ponteng.

    Dah la ponteng lepas tu selambanya pi beli makanan…jadi geng plastik hitam atau plastik merah. Kedai yang juga makanan kepada geng ponteng ni pun satu hal…apa masalah kau? Tak cukup lagi untung selama ini? Macam jugak kepada geng suka ponteng posa, TT nak tanya juga ‘apa masalah kau’?

    Kalau tak nak posa tu, kau orang punya pasal…tetapi jangan dok mengada-gada nak pi beli makanan dalam plastik hitam. TT sokong penuh apa saja tindakan jabatan agama ke atas geng ponteng puasa ni…kalau dulu terkenal kena naik kereta jenazah, kali ini TT nak cadang bawa naik kereta jenazah terus ke tanah perkuburan..letak kejap kat liang lahad…kot-kot mereka akan insaf.

    Kalau ada geng hak asasi nak memekak biarkan saja. Tanya mereka, ‘’apa masalah kau’’…

    *Tebuan Tanah (TT) berpengalaman lebih 30 tahun dalam dunia kewartawanan.

  • JHEAT sudah kenal pasti ‘port’ geng ponteng puasa

    JHEAT sudah kenal pasti ‘port’ geng ponteng puasa

    AWAS bagi golongan tidak berpuasa yang menjadikan lokasi tertentu sebagai tempat berkumpul untuk makan dan minum pada Ramadan.

    Ini kerana Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) sudah mengenal pasti lokasi tumpuan ‘kaki ponteng puasa’ sepanjang Ramadan ini.

    Menurut Pesuruhjaya JHEAT, M. Rozi Bidin, pegawai Penguat Kuasa Syariah sudah mengenal pasti beberapa lokasi ‘kaki ponteng puasa’ untuk makan dan minum di siang hari seperti di kedai makan, tempat perkelahan, kawasan perindustrian dan juga tempat rekreasi.

    Katanya, dalam melaksanakan penguatkuasaan, pegawai dan anggota akan menggunakan pendekatan memberi nasihat jika melakukan kesalahan pertama dan dikenakan tindakan tegas jika didapati melakukan kesalahan kedua, lapor Harian Metro.

    M. Rozi yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) ketika dihubungi memberitahu, tindakan tegas juga akan dikenakan ke atas individu yang menjual makanan kepada golongan tidak berpuasa.

    “Seramai 171 pegawai dan anggota termasuk 85 anggota sukarela akan melakukan rondaan di semua lokasi yang dikenal pasti,” katanya.

    Menurut M. Rozi, mereka yang makan dan minum termasuk merokok secara terbuka di tempat awam boleh dikenakan tindakan mengikut Enakmen A54, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir), (Terengganu) Pindaan 2015.

    Ujarnya, tindakan yang sama juga boleh dikenakan ke atas orang yang menjual makanan, minuman dan rokok kepada umat Islam pada waktu berpuasa sepanjang Ramadan.

    “Umat Islam yang didapati melakukan kesalahan itu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau keduanya sekali,” katanya.

  • Proses kemasukan di sempadan Malaysia-Singapura sama seperti sebelum Covid-19

    Proses kemasukan di sempadan Malaysia-Singapura sama seperti sebelum Covid-19

    PENGEMBARA harian dari Singapura yang mahu masuk ke Malaysia bermula esok, hanya perlu menjalani proses kemasukan sama seperti sebelum pandemik Covid-19 melanda.

    Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, berkata pengembara terbabit boleh memasuki Malaysia dan pulang ke negara asal seperti biasa.

    “Proses bagi pengembara harian dari Singapura seperti sebelum pandemik Covid-19. Masuk dan keluar seperti biasa,” katanya memetika laporan BH, hari ini.

    Berdasarkan protokol kesihatan ditetapkan KKM, pengembara dari Singapura lengkap divaksinasi yang menggunakan laluan darat tidak perlu menjalani ujian saringan COVID-19 dalam tempoh dua hari sebelum masuk ke Malaysia. Mereka juga tidak perlu menjalani kuarantin atau memiliki insurans perjalanan COVID-19.

    Bagi pengembara yang belum lengkap divaksinasi atau tidak menerima vaksin, mereka juga tidak perlu menjalani ujian saringan terbabit, namun perlu menjalani tempoh kuarantin selama lima hari serta memiliki insurans perjalanan COVID-19.

    Protokol sama juga diguna pakai bagi pengembara dari Singapura yang menggunakan laluan udara serta laut. Maklumat berkaitan prosedur dan protokol kesihatan membabitkan pengembara dari Singapura boleh didapati di https://mysafetravel.gov.my/travel-from-sg.

    Sebuah portal berita dalam talian melaporkan beberapa warga Singapura dalam dilema untuk memasuki Malaysia susulan pembukaan pintu sempadan negara esok.

    Rata-rata mereka mendakwa terpaksa membatalkan hasrat untuk masuk ke Malaysia kerana mengalami kesulitan membabitkan proses kemasukan terutama bagi pengembara harian.

    Antara kesulitan itu ialah mereka tidak memiliki alamat tempat tinggal di Malaysia, selain keliru dengan proses ditetapkan dalam aplikasi MySejahtera dan keperluan untuk mendapatkan insurans perjalanan.

    Seorang warga Singapura yang hanya mahu dikenali sebagai Chong berkata, beliau berhasrat ke Johor hujung minggu ini tetapi bimbang tidak dibenarkan masuk kerana tidak memiliki insurans perjalanan.

    Sementara itu, Khairul Dzaimee berkata, pengembara warga asing yang merancang memasuki negara ini perlu mematuhi peraturan ditetapkan Jabatan Imigresen dan mematuhi protokol kesihatan yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan (KKM), termasuk memuat naik aplikasi MySejahtera.

    “Pelawat perlu mempunyai kewangan atau kemudahan kredit mencukupi untuk menampung perbelanjaan di Malaysia, termasuk memiliki tiket pulang ke negara asal serta tempat tinggal yang sudah ditempah selain pasport perlu melebihi tempoh enam bulan.

    “Bagi negara yang memerlukan visa, mereka wajib membuat permohonan melalui sistem eVisa secara dalam talian,” katanya.

    Mengulas lanjut, Khairul Dzaimee berkata, dari segi keanggotaan, Jabatan Imigresen memiliki kakitangan mencukupi untuk menerima kehadiran pelawat asing.

    “Sebelum pandemik melanda, jumlah anggota dan pegawai yang bertugas di pintu masuk sempadan adalah kira-kira 5,000 orang dan ketika pandemik, ada dalam kalangan mereka yang diberi tugasan menjaga depoh sementara bagi menguruskan pendatang asing tanpa izin (PATI).

    “Dengan pembukaan semula pintu masuk sempadan negara, mereka ini akan dibawa balik menjaga kaunter kemasukan secara berperingkat,” katanya.

  • Teliti kurikulum tahap satu sekolah rendah:KPM

    Teliti kurikulum tahap satu sekolah rendah:KPM

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) sedang meneliti kurikulum tahap satu sekolah rendah sebelum melaksanakan penambahbaikan pelbagai sudut.

    Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin berkata, perincian perlu dilakukan bagi melakukan perubahan.

    Beliau berkata, kitaran sekolah rendah akan berakhir tahun ini dan kurikulum baharu bakal dilaksanakan.

    “Berkaitan dengan kurikulum ini sebenarnya saya sudah jelaskan kurikulum ini ada pusingan, jadi untuk KSSM (Kurikulum Standard Sekolah Menengah) kumpulan murid tingkatan 5 yang menamatkan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) adalah kumpulan yang sudah menamatkan satu pusingan KSSM.

    “Jadi mengikut pendekatan yang digunakan oleh KPM selama ini apabila selesai satu pusingan itu, ia akan dilihat (dan) diteliti balik kurikulum yang berkaitan untuk dilihat sekiranya perlu dibuat penambahbaikan atau perubahan.

    “Untuk murid di sekolah rendah, kitarannya akan berakhir pada tahun ini sebab sekolah rendah (tempohnya) enam tahun, jadi murid yang pertama sekali masuk kurikulum baharu pada waktu itu akan tamat tahap pertama ini pada tahun ini.

    “Kita akan terus meneliti, apakah penambahbaikan yang boleh dibuat, perubahan kurikulum tidak boleh dilihat secara kecil-kecilan sebaliknya membabitkan keseluruhan termasuk tahap satu, tahap dua, sekolah menengah dan seterusnya supaya sukatan digunakan pada masa ini hingga akan datang terus relevan,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Gerakan Massa Terima Kasih Cikgu Sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-51 Tahun 2022 di Kuala Nerus, malam tadi.

    Terdahulu, KPM disarankan untuk mengembalikan semula Sistem3M iaitu membaca, menulis dan mengira untuk tahap satu sekolah rendah bagi menggantikan sukatan sedia ada.

    Ini sekali gus dilihat dapat menangani isu beg berat murid yang berlarutan sekian lama melalui tujuh inisiatif utama yang digariskan oleh KPM.

  • Penunggang, pembonceng maut langgar treler tepi jalan

    Penunggang, pembonceng maut langgar treler tepi jalan

    Penunggang dan pembonceng maut selepas motosikal dinaiki terbabas dan melanggar sebuah treler yang berhenti di bahu jalan di Batu 3, Jalan Gambang, Kuantan pukul 4.30 pagi tadi.

    Nahas tersebut mengakibatkan Mohamad Izhar Iskandar Mohamad Pazelong, 18, dan pembonceng, Wan Ezremy Shaqir Wan Erman Shafri, 18, meninggal dunia di tempat kejadian.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu, pemandu treler, Mook Peng Cheong, 44, tidak mengalami sebarang kecederaan.

    “Kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Gambang menghala ke bandar Kuantan.

    “Ketika tiba di lokasi kejadian, penunggang dipercayai gagal mengawal motosikalnya lalu terbabas dan melanggar treler yang berhenti di bahu jalan arah bertentangan.

    “Akibat kejadian, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya memetika laporan Sinar Harian, hari ini.

    Wan Mohd. Zahari berkata, kemalangan berlaku dalam keadaan cuaca hujan dan permukaan jalan basah.

    “Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk proses bedah siasat.

    “Punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

    Beliau berkata, orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.

  • Suami isteri didakwa bunuh kanak-kanak

    Suami isteri didakwa bunuh kanak-kanak

    MAHKAMAH Majistret Kuching, hari ini mendakwa pasangaan suami isteri atas tuduhan membunuh kanak-kanak berusia empat tahun, Eric Chang Wei Jie, awal bulan ini.

    Harian Metro melaporkan, tertuduh, Ling Kok Liang, 51, dan isterinya Wendy Chai Xue Zhen, 36, didakwa melakukan perbuatan itu antara jam 5 petang 4 Mac hingga 9.15 pagi, 7 Mac lalu.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibacakan Timbalan Pendakwa Raya, Tan Chuan Yi di hadapan Majistret Zaiton Anuar.

    Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam berikutan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Zaiton kemudian menetapkan 9 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.

    Beliau turut memerintahkan kedua-dua tertuduh ditahan reman di Penjara Puncak Borneo sementara menunggu tarikh berkenaan.

    Mengikut kertas pertuduhan, pasangan terbabit yang juga penjaga kanak-kanak berkenaan didakwa secara bersama membunuh kanak-kanak itu di rumah bernombor 1493, Lorong 2, Taman Riverview, Jalan Daya, Bintawa, di sini.

    Pada 7 Mac lalu, ibu mangsa, Dynasty Chang Ka Hui, 25, membuat laporan polis di Balai Polis Bintawa berhubung kehilangan anak lelakinya selepas gagal mencari anaknya itu yang dilaporkan hilang dari rumah penjaganya.

    Berikutan itu, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan pencarian dilakukan di kawasan Bintawa.

    Bagaimanapun, hasil perkembangan lanjut siasatan, kes berkenaan kemudian diklasifikasikan sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan pada 13 Mac lalu.

    Berdasarkan maklumat daripada tertuduh, operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan di kawasan Muara Tebas, di sini.

    Operasi yang membabitkan anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagaimanapun dihentikan 19 Mac selepas tujuh hari pencarian gagal menemui sebarang petunjuk.

  • Kaki ponteng puasa di Pulau Pinang boleh didenda RM1,000, penjara 6 bulan

    Kaki ponteng puasa di Pulau Pinang boleh didenda RM1,000, penjara 6 bulan

    KAKI ponteng puasa di Pulau Pinang boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali sekiranya didapati bersalah.

    Bagi kesalahan kedua atau berikutnya pula, umat Islam yang ditangkap kerana sengaja tidak berpuasa itu boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

    Perkara itu ditegaskan Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abd. Rahman yang menjelaskan, tidakan penguatkuasaan tersebut bersandarkan Seksyen 15 Enakmen Undang-Undang Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996.

    Jelas beliau, sepanjang Ramadan tahun ini juga, Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) akan menjalankan pemantauan di kira-kira 120 lokasi panas yang dipercayai menjadi tumpuan individu ponteng puasa.

    “Pemantauan itu akan dijalankan menerusi operasi bersepadu bulan Ramadan 2022/ 1433H dan dibantu oleh agensi-agensi seperti Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang serta Bahagian Pengurusan Halal JHEAIPP.

    “Operasi itu turut memberi tumpuan kepada aspek kebersihan premis serta pengendalian makanan, pematuhan terhadap syarat-syarat permohonan lesen dan lain-lain yang berkaitan mengikut peruntukan undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tambah beliau, operasi bersepadu bulan Ramadan itu merupakan manifestasi kesungguhan pentadbiran Islam di Pulau Pinang untuk mengajak umat Islam sama-sama memuliakan bulan suci yang dijangka disambut Ahad ini.

    Ujarnya, operasi bersepadu itu juga bertujuan meningkatkan kesedaran umat Islam melalui ‘Kempen Hormati Ramadan’ di Pulau Pinang.

    Di samping itu juga katanya, operasi tersebut bertujuan membanteras tindakan tidak menghormati bulan Ramadan seperti sengaja makan atau minum di khalayak ramai tanpa sebarang halangan atau uzur syarie.

    “Semoga dengan operasi bersepadu ini mampu menimbulkan kesedaran buat umat Islam negeri ini untuk menjadikan Ramadan pada tahun ini adalah Ramadan yang terbaik bagi kita semua,” katanya.

  • Yasin mengaku tidak bersalah miliki, tanam ganja

    Yasin mengaku tidak bersalah miliki, tanam ganja

    (KEMAS KINI) BEKAS penyanyi nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Petaling Jaya hari ini atas dakwaan memiliki dan menanam pokok ganja di kediamannya.

    Pengakuan Yasin Sulaiman, 47, terhadap pertuduhan itu dibuat selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin, lapor Astro Awani.

    Dalam prosiding pertuduhan hari ini, Yasin dituduh mengikut Seksyen 6B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6B (3) akta yang sama.

    Pertuduhan pertama, Yassin telah didapati menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya canabis boleh diperolehi secara terus atau tidak langsung yang ditemui di rumahnya Casa Indah Kondominium Kota Damanasara pada 24 Mac lepas.

    Jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara seumur hidup dan sebat tidak kurang daripada enam sebatan.

    Pertuduhan kedua iaitu Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 39B (2) akta sama.

    Yasin didapati telah mengedar dadah berbahaya jenis ganja anggaran berat 214 gram yang ditemui di kondominium sama.

    Jika disabitkan kesalahan boleh dijatuh hukuman mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang dari 15 sebatan.

    Tertuduh sebelum ini ditahan polis bersama 17 pasu pokok ganja yang dipercayai ditanam sejak dua bulan lalu dalam serbuan di kediamannya di sebuah kondominium di Kota Damansara, Petaling Jaya, Khamis lalu.

    Polis turut merampas ketulan mampat ganja seberat 214 gram.

    Hasil ujian saringan air kencing terhadap artis itu didapati positif dadah jenis THC (ganja).

    Terdahulu beliau yang memakai baju T hitam dan diiringi pasukan polis tiba di mahkamah pada kira-kira pukul 10 pagi diiringi anggota polis.