(KEMAS KINI) BEKAS penyanyi nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Petaling Jaya hari ini atas dakwaan memiliki dan menanam pokok ganja di kediamannya.

Pengakuan Yasin Sulaiman, 47, terhadap pertuduhan itu dibuat selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin, lapor Astro Awani.

Dalam prosiding pertuduhan hari ini, Yasin dituduh mengikut Seksyen 6B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6B (3) akta yang sama.

Pertuduhan pertama, Yassin telah didapati menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya canabis boleh diperolehi secara terus atau tidak langsung yang ditemui di rumahnya Casa Indah Kondominium Kota Damanasara pada 24 Mac lepas.

Jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara seumur hidup dan sebat tidak kurang daripada enam sebatan.

Pertuduhan kedua iaitu Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 39B (2) akta sama.

Yasin didapati telah mengedar dadah berbahaya jenis ganja anggaran berat 214 gram yang ditemui di kondominium sama.

Jika disabitkan kesalahan boleh dijatuh hukuman mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang dari 15 sebatan.

Tertuduh sebelum ini ditahan polis bersama 17 pasu pokok ganja yang dipercayai ditanam sejak dua bulan lalu dalam serbuan di kediamannya di sebuah kondominium di Kota Damansara, Petaling Jaya, Khamis lalu.

Polis turut merampas ketulan mampat ganja seberat 214 gram.

Hasil ujian saringan air kencing terhadap artis itu didapati positif dadah jenis THC (ganja).

Terdahulu beliau yang memakai baju T hitam dan diiringi pasukan polis tiba di mahkamah pada kira-kira pukul 10 pagi diiringi anggota polis.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here