Author: Admin

  • Dua hari hilang, pembantu kesihatan ditemukan meninggal dunia

    Dua hari hilang, pembantu kesihatan ditemukan meninggal dunia

    SEORANG Pembantu Kesihatan Awam dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Sabak Bernam, Selangor yang dilaporkan hilang sejak dua hari lalu, ditemukan meninggal dunia dalam tali air Parit 8 Barat, semalam. 

    Mayat mangsa berusia 50 tahun ditemukan oleh rakannya dalam keadaan terlingkup di lokasi kejadian pada pukul 2.15 petang. 

    Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd. Alias berkata, pihaknya bergegas ke tempat kejadian untuk menjalankan pemeriksaan sejurus menerima maklumat daripada rakan mangsa.

    “Siasatan awal mendapati terdapat satu mayat dalam keadaan terlingkup berserta topi keledar bersebelahan dengannya.

    “Pemeriksaan lanjut juga mendapati motosikal mangsa berada dalam tali air terbabit dengan jarak kira-kira 400 meter daripada lokasi mangsa ditemukan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini. 

    Agus Salim berkata, pihaknya meminta bantuan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besar untuk mengeluarkan mayat mangsa dan motosikal miliknya dari tali air itu. 

    Beliau juga berkata, hasil pemeriksaan awal ke atas tubuh badan mangsa mendapati tiada sebarang kecederaan. 

    “Berdasarkan keterangan rakan mangsa yang juga pengadu, dia bersama mangsa akan ke Klang bagi mengambil racun bagi tujuan kerja ‘fogging’. 

    “Pada pukul 7 pagi semalam, pengadu sampai di Unit Vektor PKD Sabak Bernam dan mendapati mangsa belum sampai.

    “Dia menunggu sehingga pukul 8 pagi sebelum menghubungi keluarga mangsa. Bagaimanapun, keluarganya memaklumkan mangsa tidak pulang ke rumah sejak kelmarin. 

    “Pengadu kemudian memaklumkan perkara itu kepada penyelianya dan mereka bertindak mencari mangsa,” katanya.

    Agus Salim berkata, rakan mangsa kemudian menjumpai topi keledar dipercayai milik mangsa dan ketika diperiksa, mereka mendapati ada mayat berdekatan topi keledar itu.

    Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sabak Bernam dan diserahkan kepada Jabatan Forensik untuk bedah siasat.

    “Bedah siasat akan dijalankan selepas ujian saringan COVID19 diperoleh dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

    Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, sepasukan tujuh anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besar dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada pukul 3.48 petang.

  • PN tarik undi Melayu BN – Penganalisis

    PN tarik undi Melayu BN – Penganalisis

    PARTI-parti politik perlu mengambil kira peralihan generasi dalam corak pengundian menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang, kata pakar memetik beberapa perubahan dalam landskap politik negara ketika perbincangan terus hangat mengenainya.

    Menurut Pengasas Bersama Merdeka Centre, Ibrahim Suffian peralihan seperti itu dapat dilihat pada pilihan raya negeri (PRN) di Johor baru-baru ini, di mana lebih ramai pengundi muda Melayu menyokong Perikatan Nasional (PN) berbanding Barisan Nasional (BN) sementara kedudukan Pakatan Harapan (PH) ketinggalan jauh di belakang.

    “Corak pengundian generasi dan politik identiti masih memainkan peranan.

    “PN muncul sebagai alternatif kepada BN bagi pengundi Melayu, khususnya golongan muda,” katanya semasa webinar anjuran Institut Masa Depan Malaysia, hari ini, seperti yang dilaporkan oleh portal Malaysian now.

    Pada PRN Johor 12 Mac lalu, BN kehilangan kira-kira 8 peratus undi Melayu.

    Ketika PRN Melaka pada November tahun lepas, gabungan itu menyaksikan penurunan sokongan Melayu sebanyak 1 peratus sementara PH kehilangan kira-kira 55 peratus.

    Dalam pada itu, Felo Penyelidik dari Ilham Centre, Prof. Bersekutu, Dr. Hamidin Abd. Hamid pula berkata, jika dilihat dari segi corak pengundian di Johor, peranan pengundi baru terlalu dititikberatkan.

    “Bergantung kepada kawasan, di kawasan bandar dan separa bandar, belia sangat bebas dalam undi mereka,” katanya.

    “Di kawasan bandar, kita perhatikan pengundi muda banyak dipengaruhi rakan sebaya dan keluarga dari segi corak pengundian.

    “Namun persoalan besarnya, ialah apakah mereka akan keluar mengundi,” katanya merujuk kadar peratusan keluar mengundi yang rendah dalam kalangan pengundi muda di Johor.

  • SPRM boleh sediakan platform ADUN, Exco Johor isytihar harta

    SPRM boleh sediakan platform ADUN, Exco Johor isytihar harta

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh menyediakan platform kepada semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Johor atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang baharu di negeri itu untuk mengisytihar harta.

    Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, proses tersebut boleh mengguna pakai kaedah sama yang dilakukan ketika Ahli Parlimen mengisytiharkan harta masing-masing sebelum ini.

    Beliau berkata, pihaknya bersedia melakukan proses itu pada bila-bila masa dan mencadangkan agar ia tidak dilakukan secara bersendirian supaya kaedahnya lebih sistematik dan teratur.

    “SPRM tiada masalah bagi mewujudkan platform berkenaan pada bila-bila masa kerana panduannya sudah ada.

    “Bagi mewujudkan platform untuk kegunaan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor sahaja, Speaker DUN perlu menghantar surat permohonan kepada SPRM terlebih dahulu bagi proses selanjutnya.

    “SPRM mencadangkan agar ia dipercepatkan seperti titah Tuanku Sultan Johor selain diwujudkan kod etika pengisytiharan harta seperti yang dilakukan di peringkat Parlimen dan anggota pentadbiran di peringkat Pusat,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Pegawai SPRM siri 25 bilangan 1/2021 (Penolong Penguasa Gred P29) di Padang Kawad, Kompleks SPRM Johor, Johor Bahru, hari ini.

    Sebelum ini, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah supaya calon-calon Exco Johor yang bakal dilantik perlu membuat pengisytiharan harta.

    “Mereka (bakal calon Exco) perlu juga melalui semakan latar belakang yang menyeluruh dengan polis serta SPRM,” titah Sultan Johor.

  • Muhyiddin jumpa Tun M cadang kerjasama dalam PRU15

    Muhyiddin jumpa Tun M cadang kerjasama dalam PRU15

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bertemu Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad bagi mengemukakan cadangan bergabung dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

    Perkara itu disahkan Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

    Menurut Mukhriz, perjumpaan itu berlangsung sekitar dua minggu lalu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    “Tan Sri Muhyiddin ada datang jumpa Tun (Mahathir) dua minggu lalu selepas PRN Johor. Dia mohon jumpa, Tun kata ‘ok’ untuk jumpa. Cadangan dikemukakan ialah untuk bergabung dengan semua (parti) walaupun dia (Muhyiddin) dalam kerajaan (Perikatan Nasional).

    “Setakat ini ‘approach’ sudah ada tetapi setuju atau tidak belum ada lagi. Mungkin saya boleh katakan buat masa ini kita kurang setuju dengan apa yang dicadangkan,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Bekas Menteri Besar Kedah itu berkata demikian dalam sidang akhbar selepas program bersama Pejuang Terengganu, di Kuala Terengganu, hari ini

    Menurut Mukhriz, selain Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pejuang turut menerima pelawaan daripada pembangkang untuk menjalinkan kerjasama dalam PRU-15, namun tiada sebarang keputusan dibuat setakat ini.

    Dalam pada itu, Mukhriz mengakui hubungan antara Tun Mahathir dan Muhyiddin kini agak dingin ekoran beberapa krisis yang berlaku sebelum ini.

    “Setakat ini hubungan masih dingin. Kena fahamlah ‘luka’ kami belum pulih lagi dan masih ‘berdarah’, namun kami faham demi negara dan rakyat tak ada benda yang kami tak sanggup buat kalau niat itu betul.

    “Namun, jika niat tak betul macam mana kami nak setuju, misalnya, tidak akan bergabung bagi tujuan melepaskan diri daripada mahkamah. Kami sejak awal lagi tidak mahu bersekongkol dengan mereka,” katanya.

  • Kes Mara Corp akan dibawa ke mahkamah – Azam Baki

    Kes Mara Corp akan dibawa ke mahkamah – Azam Baki

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yakin tiga pegawai Mara Corporation Sdn. Bhd. (Mara Corp) yang terlibat dalam salah guna kuasa dan urus syarikat akan dituduh di mahkamah dalam masa terdekat.

    Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, keputusan mengenai pendakwaan tersebut melibatkan individu terbabit akan diserahkan sepenuhnya kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

    “Kita telah melengkapkan siasatan mengenai dakwaan salah guna kuasa dan salah urus Mara Corp dan telah kemukakan kepada AGC sebelum ini. Jadi, kita akan tunggu keputusannya tidak lama lagi.

    “Saya percaya keputusannya nanti akan berakhir dengan pertuduhan kepada pihak yang kita cadangkan. Mereka yang disyaki terbabit tiga orang, namun kita serahkan kepada AGC untuk memperhalusi lagi sama ada tiga dituduhkan atau sebahagian daripadanya,” ujarnya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Perbarisan Tamat Latihan Khusus Asas Pegawai SPRM Siri 25 Bilangan 1/2021 (Penolong Penguasa Gred P29) di Padang Kawad, Kompleks SPRM Johor, Johor Bahru, hari ini.

    Sebelum ini, lima pegawai kanan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dipanggil untuk dirakam keterangan dan seramai 17 individu akan dipanggil bagi membantu siasatan.

    SPRM sudah memanggil 14 saksi terdiri daripada empat ahli lembaga pengarah dan tujuh individu pengurusan Mara Corp, dua pegawai Mara serta seorang dari sebuah syarikat setiausaha korporat dan syarikat perkhidmatan penyumberan luar korporat (CoSec) kepada agensi itu.

    Dalam pada itu, Azam berkata, SPRM akan melakukan siasatan forensik terhadap akaun syarikat didakwa terlibat kes rasuah projek bernilai RM85 juta yang membabitkan institut berkaitan automotif negara.

    “Semua yang ditahan (dalam kes ini) masih dalam siasatan kita, banyak perkara kita perlu lihat, terutama kita kena lihat wang-wang yang disalurkan kepada syarikat lapisan kedua. Ini memerlukan kita buat forensik akaun kepada syarikat berkenaan,” katanya.

    Azam berkata, kes tersebut disiasat mengikut Akta SPRM 2009 dan juga Akta Penggubahan Wang Haram.

    Seramai 10 individu telah ditahan membabitkan kes itu termasuk seorang bergelar Datuk dan seorang wanita yang ditahan pada 23 Mac lalu.

    Dua daripada individu ditahan disyaki telah meminta dan menerima rasuah lebih RM14.9 juta daripada tiga individu yang ditahan sebagai balasan membantu syarikat mendapatkan geran menerusi tiga syarikat lain antara 2018 dan 2020.

    Sembilan individu termasuk Datuk itu pula telah ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung nilai projek berjumlah RM85 juta membabitkan sebuah institut berkaitan automotif di negara ini.

  • Mahkamah tolak permohonan Umno gantung prosiding kes saman SRC

    Mahkamah tolak permohonan Umno gantung prosiding kes saman SRC

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan UMNO untuk menggantung prosiding kes saman SRC International Sdn Bhd terhadap parti politik itu bagi menuntut RM16 juta yang didakwa dipindahkan secara salah kepada UMNO.

    Peguam Shahrul Fazli Kamarulzaman yang mewakili UMNO berkata Pesuruhjaya Kehakiman (JC) Datuk Mohd Arief Emran Arifin menolak permohonan itu selepas mendapati tiada keadaan khas untuk menggantung prosiding kes saman itu pada ketika ini.

    “JC Mohd Arief juga membayangkan bahawa perbicaraan kes saman ini mungkin akan didengar dua tahun lagi, iaitu pada 2024 bagi memberi laluan kepada pelupusan kes-kes sedia ada yang lain.

    “Mahkamah menetapkan 9 Mei ini untuk pengurusan kes selanjutnya secara e-review,” kata peguam itu kepada pemberita selepas prosiding yang berlangsung secara dalam talian hari ini yang turut disertai peguam Nur Syafinaz Vani Abdullah mewakili kesemua plaintif.

    Permohonan UMNO itu difailkan pada 24 November 2021 antaranya atas alasan parti berkenaan telah mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi pada 10 Nov tahun sama, yang menolak permohonan parti politik berkenaan untuk membatalkan kes saman itu dan membenarkan permohonan SRC International, Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Jendela Pinggiran Sdn Bhd selaku plaintif bagi meminda writ saman dan pernyataan tuntutan.

    Menerusi afidavit sokongan yang difailkan bersama permohonan itu, Setiausaha Kerja UMNO Datuk Mohd Sumali Reduan mendakwa tiada sebarang prejudis kepada plaintif-plaintif sekiranya mahkamah membenarkan permohonan penggantungan prosiding kes saman berkenaan.

    Sementara itu, Shahrul Fazli berkata rayuan anak guamnya di Mahkamah Rayuan akan didengar pada 14 Jun ini.

    Dalam tuntutan saman itu, plaintif mendakwa UMNO mengetahui bahawa wang RM16 juta itu adalah milik SRC International dan parti politik itu tidak mempunyai asas untuk menerima dana berkenaan. 

    Pada 10 Mei 2021, Kementerian Kewangan mengesahkan bahawa 1MDB dan anak syarikatnya SRC International Sdn Bhd telah memfailkan 22 saman bagi mendapatkan semula aset bernilai lebih RM96.6 bilion termasuk RM300 juta daripada pelbagai pihak tempatan.

    Kementerian itu menyebut writ saman itu difailkan pada 7 Mei 2021 iaitu enam oleh 1MDB dan 16 oleh SRC. – Bernama

  • Polis berkas enam penyamun kilang

    Polis berkas enam penyamun kilang

    POLIS menahan enam lelaki tempatan dalam serbuan di kawasan Senai, Ulu Tiram dan Johor Bahru, semalam, susulan kes samun sebuah kilang di Jalan Seelong, Senai Jaya, Kulai pada 6 Mac lalu.

    Ketua Polis Daerah Kulai, Superitendan Tok Beng Yeow berkata, kejadian samun tersebut berlaku pada pukul 5.11 pagi.

    “Pengadu yang juga pekerja warga asing kilang terbabit didatangi empat lelaki bersenjatakan besi panjang. Mangsa dipukul dan mengalami kecederaan dibahagian bahu sebelah kiri.

    “Dalam kejadian samun terbabit, dua bag masing-masing seberat satu tan berisi gangsa dan tembaga milik kilang serta telefon bimbit pengadu diambil suspek.

    “Semalam, sepasukan polis dari bahagian siasatan jenayah IPD Kulai bersama D9 serta D4 Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Johor membuat serbuan dibeberapa lokasi sekitar Senai, Ulu Tiram dan Johor Bahru, berjaya menahan 6 lelaki tempatan berusia 17 hingga 48 tahun,” katanya menerusi kenyatan, hari ini.

    Menurut Tok, hasil semakan rekod jenayah lampau mendapati lima daripada suspek mempunyai kes berkaitan jenayah dan penyalahgunaan dadah.

    “Dalam serbuan itu kita turut merampas peti besi, dua parang, kuku kambing, lapan telefon bimbit dan lori.

    “Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat dibawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 5 April depan,” katanya.

  • Dah ada kedudukan dan kuasa, jangan lupa orang lain – Wan Saiful

    Dah ada kedudukan dan kuasa, jangan lupa orang lain – Wan Saiful

    PEMIMPIN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diingatkan agar tidak mudah lupa pada orang lain selepas mendapat kedudukan dan kuasa.

    Peringatan itu disuarakan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan ketika mengadakan pertemuan dengan Jentera Penerangan Bersatu Sabah Selasa lalu.

    Menurut Wan Saiful, setiap pemimpin diingatkan agar tidak melupakan orang yang membantu mereka mendapat kedudukan tersebut.

    “Kedudukan itu bukan hasil seorang diri tetapi sudah pasti ramai yang berusaha secara bersama.

    “Parti ini tidak boleh membenarkan wujudnya sikap terlalu cepat terlupa jasa sahabat-sahabat.

    “Sebaliknya kita mesti membudayakan ukhuwah yang saling menghargai usaha dan sumbangan sebegitu ramai pejuang di sekeliling,” katanya menerusi perkongsian dalam Facebook, hari ini.

    Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata,ukhuwah sebagai sahabat amat penting dalam perjuangan membawa perubahan.

    Tegas beliau, hubungan dalam parti bukan hanya birokrasi bersandarkan jawatan semata-mata.

    “Kita mesti jadikan hubungan sesama kita sebagai hubungan berteraskan persahabatan agar sahabat menjadi pelengkap kepada kelemahan diri sendiri.

    “Kita juga sentiasa lapang dada apabila ditegur dengan ikhlas oleh rakan-rakan seperjuangan,” katanya.

  • 60,000kg tepung gandum mahu diseludup ke Thailand dirampas

    60,000kg tepung gandum mahu diseludup ke Thailand dirampas

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah Cawangan Kubang Pasu merampas 60,000 kilogram (kg) tepung gandum dianggarkan bernilai RM132,000, dalam serbuan ke atas sebuah gudang di Bukit Kayu Hitam, Kubang Pasu, semalam.

    Serbuan pada pukul 11 pagi itu selepas gudang berkenaan disyaki menyimpan barangan kawalan itu tanpa lesen dan seorang lelaki tempatan ditahan dalam serbuan berkenaan, lapor Berita Harian.

    Pengarah KPDNHEP Kedah, Rae Morn Verak berkata, serbuan itu susulan hasil risikan selama tiga hari yang diketuai oleh Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Kedah Cawangan Kubang Pasu, K. Muniandy.

    “Hasil siasatan mendapati gudang itu dipercayai dijadikan tempat transit sebelum tepung gandum berkenaan disyaki diseludup ke Thailand.

    “Kilang pengeluar tepung gandum terbabit dipercayai terletak di Ipoh, Perak.

    “Dalam serbuan itu, kita turut menahan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an dan dia dibebaskan selepas keterangan diambil,” katanya pada sidang media di stor KPDNHEP di Tunjang, hari ini.

    Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan, termasuk mendapatkan dokumen berkaitan daripada pemilik gudang itu untuk tindakan seterusnya.

    “Setakat ini, bekalan tepung gandum dalam pasaran adalah mencukupi. Namun kita bimbang jika langkah segera tidak diambil, berkemungkinan bekalan tepung gandum yang juga antara barangan kawalan, akan terjejas dalam pasaran

    “Permintaan tepung gandum dijangka meningkat dalam fasa peralihan ke endemik di mana banyak perniagaan sudah mula atau kembali beroperasi.

    “Kita akan menjalankan pemeriksaan lebih ketat bagi memastikan bekalan seperti tepung, gula dan minyak masak sentiasa ada dalam pasaran,” katanya.

    Rae Morn turut memaklumkan, harga subsidi bagi satu kilogram tepung gandum ialah RM1.35, manakala harga bukan subsidi pula RM2.20 sekilogram

    Justeru, beliau berkata, pihaknya juga akan menyiasat sama ada tepung gandum dirampas itu adalah tepung subsidi ataupun tidak.

    “Gudang itu tidak mempunyai sebarang rekod serbuan. Bagaimanapun, kita akan menjalankan siasatan lanjut berkaitan status gudang itu, manakala tepung gandum terbabit dipercayai dikilangkan di Ipoh, Perak,” katanya.

    Rae Morn berkata, pihaknya antara lain akan memeriksa rekod transaksi perniagaan terbabit sama ada ia untuk kegunaan tempatan atau aktiviti lain.

    “Kes akan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 yang jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

    Dalam pada itu, Rae Morn memaklumkan setakat ini, pihaknya hanya menerima laporan berkaitan kekurangan bekalan minyak masak di Kedah.

    Beliau berkata, seramai 172 penguat kuasa di Kedah akan melakukan pemeriksaan setiap hari, termasuk pegawai pemantau harga, ketika Ramadan ini.

  • Berhati-hati dengan tawaran pakej haji 2022 – Tabung Haji

    Berhati-hati dengan tawaran pakej haji 2022 – Tabung Haji

    LEMBAGA Tabung Haji (TH) menasihati orang ramai terutamanya umat Islam di Malaysia supaya lebih berhati-hati dengan tawaran pakej haji oleh segelintir agensi pelancongan bagi musim haji 2022.

    Pengarah Eksekutif Haji TH Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, ketika ini kerajaan Malaysia dan TH masih lagi menunggu pengumuman rasmi berhubung urusan haji bagi musim haji 2022 daripada kerajaan Arab Saudi.

    “Pihak kami dan kedutaan Arab Saudi mendapati ada segelintir agensi pelancongan mengambil kesempatan untuk mengiklankan pakej-pakej haji mahupun badal haji yang amat meragukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sementara itu Syed Saleh turut mengingatkan, mana-mana individu atau agensi pelancongan yang menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa kelulusan daripada TH boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).

    Beliau berkata pada awal Mac, TH telah melantik 22 syarikat pelancongan tempatan untuk beroperasi sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) bagi musim haji tahun ini sebagai langkah awal persediaan haji yang dilakukan TH saban tahun.

    “Kesemua PJH yang dilesenkan tidak dibenarkan lagi mengeluarkan sebarang iklan pakej haji sehingga kebenaran rasmi dikeluarkan oleh TH,” katanya.

    Untuk sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan Tabung Haji (THCC) dengan menelefon 03- 6207 1919. – Bernama