SEBUAH tadika di Telok Panglima Garang, Kuala Langat, berdepan detik cemas apabila seorang lelaki warga Bangladesh disyaki mengalami masalah mental menceroboh masuk dan cuba mendekati kanak-kanak dengan memberi roti.
Kejadian itu berlaku pukul 7.50 pagi Jumaat selepas suspek menceroboh tadika terbabit dengan alasan mahu memberikan roti kepada anaknya.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, apabila guru tadika itu memberitahu ibu bapa tidak dibenarkan masuk, suspek bertindak merampas topi keledar pelajar tadika yang dipegang oleh guru sebelum meluru masuk ke dalam kelas.
“Ibu bapa yang menyedari kejadian itu bertindak menahan lelaki berkenaan dan semasa tangkapan dibuat, suspek tidak berhenti membacakan ayat Al-Quran sebelum dia dilepaskan oleh orang awam,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.
Beliau berkata, siasatan mendapati suspek tiada mengeluarkan kata ugutan serta tidak mendatangkan kecederaan kepada sesiapa malah pihak tadika juga tidak menerima kemasukan pelajar warga asing.
Katanya, bertindak hasil maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat telah menahan suspek berusia 23 tahun di Taman Pahlawan, Telok Panglima Garang, pukul 10.30 malam Ahad.
Tambahnya, semasa tangkapan dibuat, suspek gagal memberikan dokumen pengenalan diri.
“Siasatan awal mengesyaki suspek mempunyai masalah mental dan tiada anak suspek berada di tadika berkenaan. Ujian saringan air kencing terhadapnya juga negatif dadah,” katanya.
Tegas Ahmad Ridhwan, suspek yang tidak bekerja itu kini direman empat hari untuk siasatan di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan.
Semalam, tular dalam media sosial Facebook satu video berdurasi satu minit memaparkan seorang lelaki yang menceroboh masuk sebuah tadika di Telok Panglima Garang, Banting.
Zahid Hamidi dok kecoh dakwa Muhyiddin Yassin jumpa Dr.Mahathir nak jadi PM semula..
Apa masalah dia? Muhyiddin bukannya ada kes mahkamah atau pernah hantar surat kat Agong sokong Anwar jadi PM…
SEORANG lelaki warga Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Majistret Gerik hari ini atas tuduhan membunuh seorang lelaki senegaranya, Mac lalu.
Namun, tiada pengakuan direkodkan apabila pertuduhan terhadap So To Nay, 26, dibacakan di hadapan Majistret Norhayati Mohammad Nasroh, lapor Astro Awani.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa telah melakukan bunuh menyebabkan kematian seorang lelaki Myanmar yang dikenali sebagai So Ko.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Lot 9256 Padang Sembai, Mukim Gerik antara pukul 12.30 tengah hari hingga 3.30 petang, 19 Mac lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Tertuduh bersama-sama seorang lagi lelaki Myanmar, Min Aye Min Win, 34, turut didakwa di bawah Seksyen 6 (I) (C) Akta Imigresen 1959/ 63 kerana memasuki Malaysia tanpa memiliki pas yang sah.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di kebun getah Padang Sembai, kira-kira pukul 4.30 petang, 21 Mac lepas.
Jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga tidak lebih enam sebatan.
Tiada jaminan ditawarkan kepada kedua-dua tertuduh.
Mahkamah juga menetapkan 17 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi memanggil jurubahasa Myanmar.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Fairoz Abd Mutalib manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
SEBUAH syarikat dan pengarahnya mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di Petaling Jaya, hari ini, masing-masing atas dua pertuduhan memiliki dan menjual kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).
Syarikat LC Marketing Network Media Sdn Bhd dan pengarahnya, Chen Kaiyi, 37, selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Jamaluddin Mat.
Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 26 April ini untuk mendengar fakta kes sebelum menjatuhkan hukuman.
LC Marketing Network dan Chen didakwa memiliki dan menjual dua unit pemain media tanpa wayar jenama TX3 model TX3 mini-L serta TX6 model TX6-H yang tidak diperakui sebagaimana dikehendaki di bawah Peraturan 16(1)(b) dan 16(3) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 yang boleh dihukum di bawah Peraturan 37 Peraturan-peraturan sama, membawa hukuman denda RM100,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
OKS didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di KS-01, Digital Mall, Seksyen 14 di Petaling Jaya, pada pukul 12.57 tengah hari, 26 Jun 2020 dan pada pukul 11 pagi, 14 Mei 2021.
Kes itu dikendalikan Pegawai Pendakwa dari SKMM, Nur Nazhzilah Mohammad Hashim, manakala OKS diwakili peguam Jay Moy Wei Juin. – Bernama
CUBAAN sekumpulan lelaki menyeludup 12 ekor lembu yang dibawa masuk ke negara ini menggunakan perahu dengan menyelusuri Sungai Golok pada pukul 11 malam Sabtu gagal apabial berjaya dihidu Pasukan Gerakan Am (PGA).
Pegawai Pemerintah Medan, Superintendan Azhari Nusi berkata, rampasan lembu itu dilakukan sepasukan anggota Batalion 9 PGA Kuala Terengganu yang melakukan penugasan Op Wawasan di sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan.
“Nilai rampasan keseluruhan lembu-lembu seludup dalam serbuan di kawasan semak berhampiran Sungai Tok Rusa, Meranti di Pasir Mas itu dianggarkan berjumlah RM67,200.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Batalion 9 membuat intipan di kawasan serbuan dan melihat pergerakan perahu membawa lembu diseludup dari negara jiran ke Malaysia melalui bawah jambatan Jalan Kasban Sungai Tok Rusa yang bersambung dengan Sungai Golok,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.
Menurutnya, sebaik sahaja perahu itu berhenti kelihatan beberapa orang lelaki menarik lembu keluar dari dalam perahu ke atas darat.
Beliau berkata, sejurus menyedari kehadiran pengadu bersama anggota, beberapa lelaki terbabit bertindak melarikan diri ke negara jiran menggunakan perahu bagi mengelakkan daripada dicekup.
Azhari berkata, pemeriksaan menemui 12 ekor lembu di lokasi serbuan.
“Kita tidak menolak kemungkinan lembu-lembu ini dibawa masuk untuk memenuhi permintaan sepanjang bulan Ramadan,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat bawah 11(1) Akta Pekhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011.
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad mahu pihak berkuasa agama negeri digesa mengambil tindakan sewajarnya bagi membanteras kegiatan sindiket nikah di Thailand.
Jelas beliau, ini kerana sindiket itu kembali ‘beroperasi’ susulan pembukaan semula sempadan.
Namun katanya, sebarang tindakan bergantung kepada bidang berkuasa agama negeri masing-masing.
“Ini adalah bidang kuasa pihak kerajaan negeri atau pihak berkuasa agama negeri yang ada undang-undang tersendiri. Ada sesetengah negeri memberi kelonggaran (berhubung undang-undang nikah di sempadan), sesetengahnya pula ada yang ambil tindakan.
“Kita harapkan pihak berkuasa agama negeri akan ambil tindakan,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Bank Simpanan Nasional (BSN) Dana Wakaf Al-Ikhlas membabitkan kerjasama antara Permodalan BSN Berhad dan Yayasan Waqaf Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini.
Media hari ini melaporkan ada sindiket nikah di Thailand yang menawarkan semula ‘pakej VIP’dengan caj sehingga RM50,000 kepada pasangan Malaysia yang ingin berpoligami.
Idris menasihati orang ramai supaya tidak mudah terjerat dengan kegiatan sindiket pernikahan yang dibimbangi akan memberi implikasi jangka panjang bukan sahaja kepada pasangan tetapi anak-anak.
“Apa yang paling penting, waktu mereka hendak buat perkara begini (nikah di sempadan menggunakan khidmat sindiket), kena fikirkan jangka panjang.
“Kita harapkan ia tidak berikan masalah terutama kepada anak-anak. Kena fikirkan dari semua sudut, jangan nanti yang menjadi mangsa adalah anak-anak.
“Oleh itu, saya berharap perkara ini dapat dirujuk ke pihak berkuasa agama negeri,” katanya.
PERUBAHAN dalam bentuk kerjasama dan hubungan antara parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH) dijangka berlaku sekiranya mereka tidak bertanding di bawah logo yang sama pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Walau bagaimanapun, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke percaya parti-parti di bawah PH akan menggunakan logo yang sama pada PRU-15.
Malaysia Gazetteyang memetik Sinchew Daily melaporkan, beliau berkata, pada masa yang sama, PH tidak akan menekankan tentang soal calon Perdana Menteri pada PRU-15.
Sebaliknya, kata Ahli Parlimen Seremban itu, PH akan menumpukan terhadap agenda politik.
“Secara umumnya, pengundi berasa muak dengan orang politik dan mereka akan berpendapat orang politik sedang merebut kuasa jika soal calon Perdana Menteri asyik ditekankan,” katanya.
Namun, menurut beliau, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih merupakan calon Perdana Menteri untuk PH, melainkan terdapat perubahan dalam barisan kepimpinan PH.
Anthony memberitahu, perbincangan telah diadakan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pendirian Anwar adalah mahu menggabungkan semua tenaga dan Presiden PKR itu juga percaya isu lambang bersama dapat diselesaikan.
Beliau berkata, walaupun terdapat suara dari DAP dan PKR yang mahukan ‘tindakan secara solo’ tetapi Anwar tidak bersetuju dengan cara itu.
Mengenai pengagihan kerusi pula, Anthony berkata, prinsip asas perundingan adalah kerusi yang dimenangi DAP tidak perlu dirundingkan.
“Untuk kerusi yang ditinggalkan wakil rakyat yang lompat, rundingan boleh dijalankan berdasarkan peluang kemenangan,” jelasnya.
SEORANG lelaki ditemukan meninggal dunia dipercayai akibat dibunuh di hadapan sebuah kedai makan di Jalan BS 6/8 Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan, Serdang, semalam.
Kejadian tersebut dilaporkan orang awam kepada pihak polis pada pukul 5.56 pagi selepas melihat seorang lelaki tidak sedarkan diri terbaring depan kedai makan tersebut.
Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner A. A. Anbalagan berkata, Siasatan awal mendapati mangsa iaitu seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun dibunuh.
“Mangsa dipercayai menggunakan senjata tajam seperti parang dan terdapat kesan tetak pada bahagian muka, leher serta tangan,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Serdang untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.
“Siasatan lanjut bagi mengesan dan menahan kesemua suspek yang dikenal pasti masih bebas sedang dijalankan.
“Motif kejadian itu juga masih dalam siasatan. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
PASANGAN suami isteri, Louise Goss-Custard dan Thomas Arnold Schmidt memfailkan saman terhadan Ketua Menteri Pulau Pinang, kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang kerana bimbang pembangunan mega yang dirancang akan merosakkan banglo warisan yang mereka diami serta kediaman penduduk lain.
Memetik laporan FMT, pemilik banglo yang dibina pada 1935 di Chow Thye Road berkata, projek mega itu mendatangkan risiko serius terhadap rumah mereka dan penghuni lain kerana strukturnya tidak mempunyai tapak.
Mereka berkata, kawasan itu mudah mendap sekiranya berlaku pembangunan.
Syarikat milik kerajaan negeri Pulau Pinang mencadangkan pembinaan pangsapuri servis 23 tingkat dan bangunan kondominium 30 tingkat.
Pembinaan melibatkan 558 ruang pejabat dan unit kediaman serta ruang niaga 10 tingkat turut dicadang.
Goss-Custard dan Schmidt telah memfailkan saman pemula meminta Mahkamah Tinggi memerintahkan supaya kajian kebolehlaksanaan, termasuk laporan impak alam sekitar, lalu lintas dan sosial, didedahkan kepada umum.
Mereka juga memohon perintah untuk memaksa pemaju mendedahkan kajian yang telah dijalankan.
Pasangan itu menamakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, PDC Properties Sdn Bhd, Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan kerajaan negeri Pulau Pinang sebagai responden.
Goss-Custard menambah, projek itu akan mengubah secara drastik ciri-ciri dan keaslian kawasan itu yang menempatkan kediaman warisan yang mengelilingi Victoria Green.
Dalam afidavit sokongan, beliau berkata, wujud kebimbangan mengenai kerosakan rumahnya serta orang lain di sepanjang jalan itu termasuk kesan ke atas lalu lintas, pencemaran dan nilai harta benda sebaik sahaja ‘struktur gergasi’ itu dibina.
Menurutnya, pemaju enggan mendedahkan laporan walaupun permintaan telah dibuat menerusi peguamnya.
Katanya juga, terdapat konflik kepentingan apabila ketua menteri dan pemimpin kerajaan negeri adalah pengarah dalam Penang Development Corporation, yang memiliki syarikat pemaju terbabit.
Tambahnya lagi, kepimpinan tertinggi majlis bandar raya itu dipilih oleh kerajaan negeri dan mungkin mengikut arahan daripada negeri.
Kawan-kawan Tok Chey semuanya ceria apabila dapat kembali solat dengan merapatkan saf setelah terpaksa ‘berjauhan’ ketika menunaikan ibadah itu sejak Covid-19 melanda negara kita bermula Mac 2020.
Tok Chey lihat semangat untuk beribadah juga berlipat-ganda pada tahun ini apabila kehadiran jemaah ke surau tempat Tok Chey tinggal melimpah hingga ke luar walaupun dalam keadaan sudah merapatkan saf.
Semuanya bersemangat dan memanfaatkan peluang untuk ke surau setelah sebelum ini nikmat tersebut diragut oleh virus yang telah mengubah segala kehidupan manusia.
Solat juga boleh dilakukan 21 rakaat bersama solat witir dan dimulakan dengan tazkirah oleh ustaz jemputan selepas solat Maghrib. Tok Chey lihat kebenaran untuk solat rapat saf bukan semata-mata kepada perbuatan itu, tetapi ia lebih kepada untuk menunjukkan bahawa kita sudah menghampiri penghujung fasa kesengsaraan akibat Covid-19.
Ia adalah signal bahawa kita akan dapat kembali kepada kehidupan normal yang sebelum ini dihalang oleh virus yang telah menyebabkan ramai orang terkorban.
Bermula 1 April serentak dengan umat Islam boleh merapatkan saf, banyak kelonggaran berkaitan prosedur operasi standard (SOP) dapat dinikmati oleh rakyat Malaysia. Contohnya daripada 181 SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang digunakan sebelum ini, hanya satu SOP sahaja yang perlu dipatuhi apabila negara kita mula beralih ke fasa endemik.
Pintu-pintu sempadan yang telah dibuka mulai Jumaat lalu juga memberi kesan yang amat besar kepada pemulihan ekonomi apabila sektor pelancongan dan pembuatan akan kembali rancak selepas ini.
Negeri-negeri yang berjiran dengan sempadan juga akan dapat menikmati kesan kedatangan pelancong dan secara keseluruhannya pelancong asing akan datang ke Malaysia tanpa sekatan dan kuarantin.
Tok Chey amat menghargai usaha-usaha pemimpin yang ikhlas berkhidmat untuk rakyat tanpa mengenal penat lelah. Mereka telah berusaha untuk memulihkan negara dari sudut ekonomi dan kepentingan nyawa walaupun menghadapi pelbagai kekangan.
Nampaknya kini kita sudah merasai nikmat hasil daripada perancangan yang tepat daripada Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang dibantu oleh menteri-menteri Kabinet.Jika tiada perancangan yang rapi, Malaysia sudah pasti akan tertinggal di belakang tatkala negara lain kebanyakannya sudah melonggarkan banyak sekatan untuk beralih ke kehidupan normal.
Dalam proses untuk kembali normal dan memulihkan ekonomi setempat, salah satunya Tok Chey berharap kepada kerajaan agar dapat mencari jalan supaya masalah pekerja di restoran dapat diselesaikan dengan segera.
Ini kerana, masalah kekurangan pekerja amat ketara apabila kebanyakan restoran tidak mampu untuk beroperasi 24 jam walaupun telah mendapat kebenaran daripada kerajaan.
Tok Chey dapat merasai masalah itu pada malam tadi apabila hampir 20 minit makanan yang dipesan masih tidak kunjung tiba.
Apabila ditanya kepada pemilik restoran, jawapan yang sama diberikan iaitu mereka tidak cukup pekerja dan tidak mampu untuk memberikan servis seperti sebelum ini.
Kata mereka, pekerja tempatan tidak berminat untuk bekerja walaupun telah dijanjikan pelbagai insentif seperti potongan KWSP, cuti, bonus dan sebagainya.
Ataupun jika masalah kekurangan pekerja memerlukan tempoh yang lama untuk diatasi, kerajaan mungkin boleh memberikan insentif cukai dalam tempoh tertentu kepada peniaga restoran yang mengamalkan konsep layan diri.
Tok Chey bukan nak membela peniaga restoran, cumanya ia adalah satu cabang proses pemulihan ekonomi secara mikro supaya peniaga dapat dibantu untuk kembali bangkit.
Secara tidak langsung selepas ini mereka akan kembali ke landasan menjadi penyumbang utama cukai dan memenuhi semula kantung kewangan negara yang susut akibat kesan pandemik