Isu Sapura: Anwar bersedia debat dengan Najib

Anwar sapura mahkamah

PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju untuk berdebat dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung isu Sapura.

Ahli Parlimen Port Dickson itu menambah, sikapnya jelas dan tidak berganjak sejak lebih 10 tahun lalu di mana beliau pernah melontarkan cabaran yang serupa kepada Najib tetapi tidak bersahut.

“Beliau kini memilih mencabar saya di awal bulan Ramadan setelah gagal menjawab sanggahan saudara Rafizi Ramli mengenai kemelut ‘bail-out’ Sapura dalam keadaan rakyat miskin dan para peniaga kecil yang tidak terbela,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Anwar turut memetik pantun pendekar Melayu:

Tuan Puteri pergi ke Lukut,
Bawa pulang kacang panjang,
Sedikit pun hamba tak takut,
Kalau berani turun gelanggang.

“Saya bersedia untuk berdepan dan berdebat demi negara dan rakyat pada bila-bila masa dengan Datuk Seri Najib Razak,” jelasnya.

Terdahulu, Rafizi yang juga Naib Presiden PKR mencabar Najib untuk berdebat isu Sapura namun bekas Presiden UMNO itu meletakkan syarat, Anwar mesti menyertai debat tersebut.

Sementara itu, Najib dalam hantara Facebook miliknya hari ini menyatakan beliau bersetuju untuk berdebat dengan Anwar.

“Saya minta pasukan Anwar dan Rafizi aturkan dengan media sekiranya ada yang berhasrat untuk siarkan live.

“Sila berhubung dengan pembantu saya untuk cari tarikh terdekat yang sesuai bagi semua,” katanya.

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *