Author: Admin

  • Cadangan Zahid lantik tiga TPM tidak praktikal

    Cadangan Zahid lantik tiga TPM tidak praktikal

    TOK Chey baca komen-komen netizen kebanyakannya mengecam cadangan Pengerusi BN, Zahid Hamidi agar diwujudkan tiga jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) bagi mewakili Semenanjung, Sabah dan Sarawak apabila gabungan itu menjadi dominan membentuk kerajaan selepas menang PRU-15 nanti.

    Ramai tidak setuju cadangan itu kerana ia akan meningkatkan kos pentadbiran kerajaan memandangkan Malaysia adalah negara kecil tetapi mempunyai jumlah menteri Kabinet yang begitu ramai.

    Mengambil contoh kerajaan Ismail Sabri Yaakob ketika menghabiskan sisa pentadbiran sebelum Parlimen dibubarkan Oktober lalu, terdapat seramai empat menteri kanan, 27 menteri dan 38 timbalan menteri. Ditambah dengan Ismail Sabri menjadikan jumlah semuanya 70 orang sehinggakan ada sesetengah menteri dan timbalan menteri yang tidak diketahui apa fungsi mereka.

    Malah ada yang tidak dikenali rakyat dan tidak diketahui apa tugas yang telah dilakukan sepanjang menjawat jawatan dalam Kabinet selama ini. Jika diminta untuk menunjukkan kad prestasi pentadbiran, sudah pasti ada menteri yang berada pada tahap tidak mencapai KPI yang diharapkan.

    Dalam keadaan negara mempunyai jumlah hutang yang tinggi, ketirisan di banyak sektor kerajaan, nilai ringgit semakin merosot, inflasi, kenaikan harga barang dan amaran kemeseletan ekonomi pada tahun depan, sepatutnya cadangan adalah menjurus kepada pengurusan wang berhemah.

    Bukannya menambah beban kewangan kerajaan dengan cadangan yang akan menipiskan lagi kantung wang negara. Negara maju seperti Jerman yang mempunyai 83 juta penduduk misalnya hanya memiliki saiz Kabinet kecil iaitu sekitar 17 orang.

    Mana-mana parti yang sedang merangka atau dalam proses akhir memuktamadkan manifesto untuk menarik pengundi elakkanlah daripada membuat cadangan sama walaupun dengan dua jawatan TPM. Cukuplah sekadar seorang TPM dan mengutamakan langkah penjimatan dalam pengurusan pentadbiran.

    Mana-mana portfolio menteri yang seringkali berlaku pertindihan portfolio bolehlah disatukan kementeriannya supaya gerak kerja pentadbiran lebih lancar dan tidak terhalang dengan pelbagai karenah birokrasi.

    Pada masa sama, rakyat Sabah dan Sarawak tidak perlu percaya cadangan Zahid itu mampu membela nasib rakyat negeri berkenaan kerana jika benar-benar mahu bela nasib penduduk di sana, tanpa pelantikan TPM mewakili suara mereka pun ia boleh dilakukan.

    Menteri-menteri daripada dua negeri berkenaan yang mengganggotai Kabinet sepatutnya boleh membentuk satu pasukan untuk membawa isu-isu penting keperluan rakyat Sabah dan Sarawak.

    Mereka bukan sahaja dapat mengusulkan perancangan kepada Perdana Menteri untuk dipertimbangkan, tetapi menjadi pemantau kepada segala projek yang telah diluluskan supaya tidak berlaku ketirisan.

    Kita tidak mahu banyak dana diluluskan untuk pembangunan Sabah dan Sarawak tetapi akhirnya gagal kerana berlaku ketirisan di merata tempat seperti projek tidak menepati spesifikasi, masalah rasuah dan sebagainya.

    Banyak keperluan rakyat dua negeri itu bermula daripada masalah pendidikan hinggalah kepada masalah peluang pekerjaan boleh diperjuangkan jika kerajaan meletakkan keutamaan rakyat kedua-dua negeri itu sebaris dengan keperluan rakyat di Semenanjung.

    Bahkan, sejak sekian lama BN memerintah dan negara kita merdeka, keadaan infrastruktur, kemajuan dan taraf hidup rakyat di Malaysia Timur itu masih daif dan uzur dari segala segi.

    Salah satu keperluan yang masih ketinggalan ialah infrastruktur untuk murid-murid ke sekolah apabila mereka terpaksa melalui jalan yang berselut dan mencabar, titi kecil yang berbahaya serta terpaksa menaiki sampan bagi menuntut ilmu.

    Untuk mendapat talian telefon sempurna dengan capaian internet yang baik sudah pasti jauh sekali. Maka tidak hairan dalam era teknologi ini di kawasan pedalaman masih ada pelajar universiti terpaksa memanjat bukit ataupun pokok untuk mendapatkan signal telekomunikasi.

  • ‘’Demi parti saya sedia tanding kawasan dulu BN kalah’’ – KJ

    ‘’Demi parti saya sedia tanding kawasan dulu BN kalah’’ – KJ

    PENYANDANG kerusi Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin memberi gambaran beliau akan mempertaruhkan nasib pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di kerusi yang dimenangi oleh parti lawan pada PRU14 lalu.

    Tanpa mendedahkan kerusi di Parlimen mana, Khairy berkata buat masa ini terdapat tiga pilihan kawasan yang sedang dipertimbangkan dan beliau secara terbuka menerima cabaran berkenaan.

    “Hampir sudah pasti saya akan dihantar ke kawasan yang dipegang oleh parti lawan, hampir pasti saya tidak akan dapat kerusi yang dianggap kerusi selamat dan kita tengok daripada pucuk pimpinan mana kerusi itu. InsyaAllah saya terima cabaran tersebut demi parti menggalas tanggungjawab untuk pergi mewakili parti saya di kawasan yang kita kalah, pelbagai negeri.

    “Perbincangan dengan pucuk pimpinan dah ada, keputusan kerusi mana belum lagi, masih dalam penilaian pucuk pimpinan perbincangan sedang berlangsung, tetapi hampir pasti saya dihantar ke kawasan yang dulu kalah lah. Nak kena cuba menang balik,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Penyerahan Perantisiswa Keluarga Malaysia (Zon Selatan) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seremban pada Jumaat.

    Sebelum ini khairy mengumumkan memberi laluan kepada Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan untuk bertanding di Parlimen Rembau pada PRU15 nanti.

    Ia sekali gus menjadi teka-teki kerusi mana yang akan ditandingi Khairy nanti.

    Namun, tiga kerusi Parlimen lain di Negeri Sembilan yang disebut-sebut akan diwakili Menteri Kesihatan itu termasuk Kuala Pilah, Tampin dan Port Dickson.

    Kuala Pilah dan Tampin sebelum ini dikatakan antara kerusi kubu kuat BN di negeri itu, namun tewas pada PRU15 lalu.

  • Rokok, arak dan mercun seludup diisytihar sebagai kotak tisu

    Rokok, arak dan mercun seludup diisytihar sebagai kotak tisu

    ISYTIHAR barang seludup seperti rokok, arak dan mercun sebagai kotak tisu untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

    Namun, taktik licik satu sindiket penyeludupan itu yang cuba membawa barang seludup menggunakan kontena tersebut berjaya dihidu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang.

    Barangan dagangan dari Vietnam itu kemudian berjaya dirampas dalam serbuan serta pemeriksaan oleh Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan dan Cawangan Siasatan Khas Zon Utara di sebuah gudang di Seberang Perai Tengah (SPT) pukul 6.30 petang, 4 Oktober lalu.

    Pengarah JKDM Pulau Pinang, Hamisan Kalip berkata, ketika serbuan lima individu didapati sedang memunggah barang dagangan itu dari sebuah kontena.

    Menurut beliau, pemeriksaan lanjut menjumpai dua buah lori ‘bonded’ yang di dalamnya disorokkan 13.58 juta batang rokok dianggarkan bernilai RM1,086,400 dengan nilai cukai berjumlah RM9,071,440.

    Turut dijumpai ujar beliau, sebanyak 21,000 tin atau bersamaan 8,361.60 liter minuman keras dianggarkan bernilai RM41,808 (cukai RM195,466.75) manakala tujuh karton atau 280 peket mercun yang bernilai RM1,120 (nilai cukai RM728).

    “Semua barangan ini dirampas dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74(1)(e) Akta Eksais 1976 atas cubaan mengelakkan dengan fraudan duti eksais,” katanya dalam sidang akhbar di Butterworth hari ini.

    Tambah beliau, sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali nilai barang atau 10 kali ganda amaun duti eksais atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih 20 kali nilai barang atau amaun duti eksais atau RM500,000 yang mana lebih besar.

    Selain itu katanya, pesalah juga boleh dipenjara tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali untuk kedua-dua pertuduhan tersebut.

    Dalam pasa itu, beliau menggesa orang ramai terus membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan sebagainya dengan tidak melibatkan diri dalam aktiviti tersebut.

    “Sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan boleh dibuat dengan menghubungi talian bebas tol JKDM di nombor 1-800-88-8855 atau datang ke mana-mana pejabat JKDM yang terdekat di semua negeri,” katanya.

  • Kanak-kanak maut dihempap besi tiang gol

    Kanak-kanak maut dihempap besi tiang gol

    SEORANG kanak-kanak lelaki maut dihempap besi tiang gol dalam kejadian di padang bola Pekan Manggatal di Kota Kinabalu, semalam.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 12.20 tengah hari, murid Tahun Lima itu mengalami kecederaan di bahagian kepala.

    Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd. Zaidi Abdullah berkata, ketika kejadian bapa mangsa yang juga pengadu berada di lokasi untuk melihat aktiviti sukan tahunan sekolah.

    “Pengadu ternampak sekumpulan murid berkumpul dan bertindak menghampiri sebelum memdapati anaknya dalam keadaan terbaring kerana dihempap besi tiang gol.

    “Guru yang berada di lokasi telah menghubungi talian kecemasan 999 dan anak pengadu dihantar ke Hospital Likas dengan menggunakan ambulans bagi mendapatkan rawatan namun disahkan meninggal dunia kerana kecederaan di kepala,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Mohd. Zaidi berkata, siasatan di lokasi kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah.

    “Kematian mangsa dipercayai berpunca akibat kemalangan dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut. Bagaimanapun, siasatan masih dijalankan,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

  • Bersatu dan Pas saling melengkapi, tiada yang ‘menumpang’

    Bersatu dan Pas saling melengkapi, tiada yang ‘menumpang’

    PEMIMPIN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menepis tanggapan liar kononnya parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu ‘menumpang’ populariti Pas dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof yang juga penyandang kerusi Parlimen Alor Gajah sebaliknya berkata, Bersatu dan Pas ‘saling memerlukan’ dan ‘saling melengkapi’.

    “Menumpang itu keras sikit bunyinya. Cuma kita keduanya berkongsi prinsip. Kita melengkapkan masing-masing. Pas memang akar umbinya dah lama. Sama umur dengan UMNO. Bersatu baru (berusia) enam tahun.

    “Ya, kita mesti ada sikit pergantungan kepada akar umbi mereka, 60 tahun (usia Pas) berbanding dengan enam tahun (Bersatu). (Tetapi) nampaknya jelas mereka (Pas) mahu bersama dengan prinsip Bersatu dari sudut mahu maju ke depan,” katanya kepada FMT.

    Terdahulu, Pas mengumumkan memilih untuk bersama Bersatu membentuk PN bagi menghadapi PRU15, sekaligus menolak ajakan UMNO/Basrisan Nasional (BN) untuk bersama mereka.

    Redzuan berkata, bilangan ahli Bersatu semakin bertambah walaupun tidak seramai ahli Pas, dan sehingga kini Bersatu mempunyai kira-kira 700,000 ahli.

    Malah katanya, prinsip Bersatu untuk tidak mencampuri urusan penghakiman mahkamah melibatkan pemimpin korup daripada parti tertentu, semakin memancing perhatian pengundi.

    Bekas menteri pembangunan usahawan dan koperasi itu berkata, Bersatu menawarkan golongan profesional, sementara pemimpin Pas membawa faktor Islamik dan nilai-nilai yang baik untuk mengukuhkan PN.

    “Mungkin Bersatu lemah dari sudut tarbiah yang diamalkan Pas. Contoh, saya boleh keluarkan hadis, tapi saya bukan pakar. Jadi saya akan panggil ustaz-ustaz pakar tarbiah dan ini akan menyokong benda-benda baik yang kita nak laksanakan.

    “Kita ada institusi mahkamah. Kita ada siasatan dan sebagainya. Tapi bayangkan kalau itu didendangkan dengan hadis dan al-Quran, ini boleh mengubah (persepsi orang) ‘eh, ini benda betul lah’. Sebab kita diajar oleh Islam (dari kecil),” katanya.

    Bersatu juga memiliki barisan kepimpinan yang berkaliber selain Muhyiddin Yassin untuk membawa parti berjalan seiring dengan Pas dalam Perikatan Nasional (PN).

    “Kita ada Datuk Seri Hamzah yang berpengalaman dalam politik yang gerakkan pembentukan kerajaan PN ketika itu. Kita ada Datuk Seri Azmin Ali yang ada pengalaman sebagai menteri besar. Kita ada Wan Ahmad Fayhsal (Wan Ahmad Kamal) dan Nurul Fadzilah.

    “Kita ada berbagai orang yang kita nampak boleh membawa kepada kebaikan pada negara”, kata Redzuan yang yakin Bersatu tidak akan lenyap selepas PRU-15, seperti didakwa seteru politiknya.

  • Mimpi, nanti tahu gelak atau teriak – Sanusi

    Mimpi, nanti tahu gelak atau teriak – Sanusi

    Oleh BADLISHAH MAT

    SASARAN Barisan Nasional (BN) untuk menang sekurang-kurangnya 10 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di Kedah sebagai satu mimpi, kata Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.

    Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas itu berkata, perkara itu melihat kepada kedudukan BN yang hanya memenangi dua kerusi ketika PRU14 di Padang Terap dan Baling.
     
    “Saya tak nampak pun (menang 10 kerusi). Siapa yang nak bertanding pilihan raya boleh cakap apa sahaja.  Nak berapa kerusi, cakap sahajalah. Realitinya hanya berlaku di hari pengundian yang rakyat akan buat pilihan. Malam itu tahu keputusan, esok boleh tahu gelak ka teriak?,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Projek Aerotropolis di Wisma Darul Aman, Alor Setar, hari ini

    Semalam, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan gabungan itu menyasarkan sekurang-kurangnya 10 kerusi Parlimen di negeri ini pada PRU15.
     
    Sementara itu, Muhammad Sanusi memaklumkan, proses rundingan kerusi antara Pas dan Bersatu sudah selesai melalui persefahaman kedua-dua parti itu.

    Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan lebih lanjut mengenai perkara itu dan meminta semua pihak menunggu sehingga hari penamaan calon yang akan diumumkan kelak.
     
    Dalam perkembangan berkaitan, Muhammad Sanusi menafikan spekulasi yang beliau kononnya akan bertanding pada PRU15.
     
    “Saya tak bertanding, itu saya boleh jawab terus. Saya kena ka bagi sebab tak bertanding? Dok macam inilah tak payah bagi sebab. Tidak bertanding biasalah. Saya baru sepenggal jadi wakil rakyat,” katanya.

  • Siapa ‘giant killer’, cabar Hadi di Marang?

    Siapa ‘giant killer’, cabar Hadi di Marang?

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    BANYAK pihak berpandangan bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kali ini merupakan satu manifestasi penting bagi dunia politik di Malaysia.

    Ini kerana dalam pilihan raya kali ini, pengundi muda berusia 18 tahun buat pertama kalinya dibenarkan membuang undi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

    Sehubungan itu, ramai penganalisis politik berpendapat calon-calon yang perlu ditampilkan oleh parti politik mestilah ditumpukan kepada golongan orang muda. Bagaimanapun, dalam konteks negeri Terengganu khususnya Parlimen Marang, fokus diberikan oleh parti yang bertanding dikatakan amat berbeza.

    Kebanyakan calon yang ditampilkan adalah golongan popular dalam kalangan pengundi, mesra rakyat, sering turun padang dan berintergiti. Hal ini kerana pengaruh, kekuatan dan kekebalan calon Pas, iaitu Tan Sri Abdul Hadi Awang sukar digugat sekiranya pihak lawan meletakkan calon ‘tangkap muat’.

    Justeru, memandangkan Presiden Pas ini dijangka terus kekal bertanding di kerusi tersebut, maka parti lawan terpaksa mencari strategi baharu.

    Pada PRU15 kali ini, Parlimen Marang dijangka menyaksikan pertandingan tiga atau empat penjuru melibatkan penyandangnya Pas-Perikatan Nasional (PN), UMNO-Barisan Nasional (BN), dan Amanah- Pakatan Harapan (PH).

    Mampukah Abdul Hadi mempertahankan kekebalannya di Marang dan siapakah calon ‘giant killer’ yang boleh menewaskannya dalam PRU kali ini? Adakah ia daripada calon BN atau Amanah?

    Difahamkan BN ketika ini sudahpun menghantar senarai nama enam calon kepada UMNO pusat untuk dinilai bagi menentang Abdul Hadi.

    Penulis difahamkan antara yang disebut-sebut termasuklah pemimpin politik veteran, bekas ‘giant killer’ yang pernah menewaskan Abdul Hadi, iaitu Datuk Seri Abdul Rahman Bakar serta bekas calon Rhu Rendang yang juga Ketua UMNO Bahagian Marang, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku.

    Turut dicalonkan ialah Timbalan Ketua UMNO Bahagian itu, Jasmira Othman, Ketua Pemuda, Zul Fadli Rozi dan bekas calon Bukit Payong, yang juga Ketua Wanita, Toh Puan Zaiton Mat Amin. Manakala PH pula pada PRU kali ini dikatakan tidak lagi menampilkan calon PRU14, Zarawi Sulong daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

    Sebaliknya, PH dikatakan akan mencalonkan seorang yang bergelar ustaz muda mewakili parti Amanah. Adakah calon berkenaan merupakan anak saudara kepada isteri Abdul Hadi sendiri, iaitu Ustaz Mirdad?

    Yang pasti, suasana PRU15 pada kali ini bakal menjadi lebih sengit dan semakin menarik… Pada PRU14 lalu, Abdul Hadi berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Marang setelah berjaya menewaskan dua pencabarnya Mohamad Nor Endut daripada Barisan Nasional (BN) dan Zarawi Sulong (PKR) dengan majoriti 21,954 undi.

    Dalam pertandingan tjga penjuru itu Abdul Hadi memperoleh 53,749 undi, Mohamad Nor (31,795) dan Zarawi (5,138).

    Dalam PRU14 juga, Abdul Hadi buat pertama kalinya mengambil keputusan tidak bertanding di DUN
    Rhu Rendang selepas 36 tahun atau lapan penggal menjadi wakil rakyat di kawasan berkenaan.

    Sebelum itu, tradisi beliau adalah kekal bertanding di kedua-dua kawasan iaitu Parlimen Marang dan DUN Rhu Rendang.

  • PRU15: Tiga panduan pilih parti terbaik

    PRU15: Tiga panduan pilih parti terbaik

    SEPERTI semua sedia maklum, kita akan mengundi dalam masa terdekat dan tarikh pengundian akan diketahui setelah SPR bermesyuarat Khamis ini.

    Bagi pengundi tegar, sudah tersemat dalam diri masing-masing parti mana yang perlu dipilih dan pemimpin manakah akan terus disokong.

    Golongan pengundi berkenaan juga tidak akan mudah dihasut atau berubah pendirian kerana sudah mempunyai kepercayaan kukuh terhadap parti mereka. Berbeza dengan pengundi atas pagar yang sokongan mereka boleh berubah mengikut keadaan dan juga sentimen semasa. Begitu juga dengan golongan pengundi muda yang ada antaranya masih kabur tidak tahu hendak memilih pemimpin dan parti sesuai.

    Kecelaruan politik yang berlaku akhir-akhir ini juga menyebabkan sesetengah pengundi masih tercari-cari parti yang betul-betul dirasakan tepat untuk menjadi kerajaan. Dalam kalangan rakan-rakan Tok Chey sendiri, masih ramai yang belum membuat keputusan dan mereka juga memerlukan pandangan daripada orang lain.

    Apabila ditanya mengenai hal itu, Tok Chey pun kongsikan panduan untuk memilih parti dan calon yang jika diteliti, ia adalah tindakan paling tepat dalam keadaan politik yang tidak menentu ini. Untuk buat pemilihan yang sukar ketika ini, kita sebenarnya kena kembali kepada agama Islam kita maka parti yang hendak dipilih itu mestilah sentiasa mempertahankan agama.

    Pengundi boleh nilai sendiri parti mana yang sentiasa peka akan permasalahan umat Islam dan penganut agama lain berasa selamat berada di bawah pimpinan mereka. Jangan sesekali memilih parti yang disokong oleh pemimpin radikal yang memperjuangkan perkara-perkara bertentangan Islam seperti LGBT dan menghina Islam.

    Tidak wajar memberi undi kepada parti yang didokong oleh pemimpin yang sentiasa mengeluarkan kenyataan perkauman dan mempertikaikan keistimewaan agama Islam. Ketepikan golongan yang mempertahankan wanita yang menghina Islam semasa persembahan komedi di sebuah kelab dekat Taman Tun Dr Ismail baru-baru ini.

    Maka, golongan yang terang-terang terlibat dengan perkara yang boleh menjejaskan keharmonian agama dalam negara tidak wajar diberi peluang memimpin.

    Seterusnya Tok Chey akan memilih pemimpin dan parti yang bersih daripada rasuah kerana perbuatan itu sudah pasti mendatangkan mudarat besar kepada negara. Banyak wang negara hilang dan Malaysia boleh menjadi muflis jika pemimpin parti yang banyak terlibat dengan rasuah terus diberi peluang memerintah.

    Selagi mana kita memberi undi kepada parti rasuah, selagi itu masalah dalam negara tidak akan selesai sampai bila-bila. Rakyat akan menanggung beban membayar harga yang mahal untuk setiap benda impak perbuatan rasuah dilakukan oleh pemimpin korup.

    Macam-macam kesan kita dapat lihat ketika ini disebabkan perbuatan rasuah mega yang telah berlaku di dalam negara.

    Kesan rasuah – banyak yang hendak dihuraikan jika dinyatakan satu persatu, maka pengundi yang matang sudah pasti akan faham betapa ‘berdosanya’ kita jika terus menyokong parti yang rosak kepimpinannya.

    Yang terakhir, Tok Chey akan pilih parti yang terbukti membela nasib rakyat dengan pelbagai bantuan untuk memastikan rakyat selesa. Mereka juga boleh melaksanakan amanah diberikan dan tidak menjadi pemimpin yang hanya pandai bercakap tetapi tidak pandai membuat kerja.

    Sering turun padang setiap kali rakyat dalam kesusahan dan ketika menjadi kerajaan melaksanakan dasar-dasar yang tidak membebankan rakyat. Dengan ciri-ciri secara umum yang dinyatakan, Tok Chey yakin pengundi dapat meneka parti mana yang harus dipilih itu. Oleh itu, buatlah pertimbangan dengan tepat kerana setiap undi yang diberikan mempunyai kesan yang besar kepada diri kita pada masa kini dan masa depan.

  • Antara ‘gelap’, ‘keruh’ dan kelompok mahu ‘makan durian mentah’

    Antara ‘gelap’, ‘keruh’ dan kelompok mahu ‘makan durian mentah’

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang telah memberikan hujah yang tegas dan jelas kenapa Pas membuat keputusan untuk bersama Perikatan Nasional (PN), menolak sekeras-kerasnya kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan menangguhkan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Abdul Hadi berkata, di dalam PH terdapat DAP dan pelbagai kelompok yang bertentangan dengan pendirian dan perjuangan Pas.

    ‘’Di dalamnya ada DAP, ada parti orang Melayu,puak tolak Islam,puak LGBT,puak komunis, puak khianat, puak pemberi rasuah dan penerima rasuah. Puak yang beri rasuah,tolong PH, yang terima rasuah ada juga…puak komunis pun ada, puak tolak raja pun ada,’’ dakwanya.

    Mengenai BN, bekas Ahli Parlimen Marang itu berkata, Pas menangguhkan kerjasama dengan parti kerana terdapat kekeruhan dalam gabungan itu antaranya golongan pemberi rasuah yang belum diselesaikan.

    “Kita tahu penerima rasuah ni ada dituduh, tak bersalah, difitnah macam-macam. Tapi tak selesai lagi. Penerima rasuah masih ada dalam BN. Kemudian cuai melaksanakan Islam. Dia orang Islam, dia memerintah dekat 50 tahun, cuai melaksanakan Islam.’’kata beliau.

    Kata Abdul Hadi lagi, kekeruhan yang ada di dalam BN juga ditambah oleh sikap tidak sabar dan rakus hendak memerintah, sedangkan masalah disebutnya itu tidak diselesaikan dan Pas sudah menolong menjatuhkan kerajaan PH.

    ‘’Gopoh sangat nak kuasa, orang kata nak musim banjir, bubar Parlimen jugak, sebab nak  menang ‘deras’, nak dapat kuasa, ajak Pas ikut sama, Pas tangguh dulu..kita sabar…terpaksa hadapi pilihan raya, hadap pilihan raya, usahakan jernih keadaan, cegah pemberi, penerima rasuah,’’ katanya.

    Apa yang disampaikan oleh Abdul Hadi harus diterima oleh keseluruhan kepemimpinan dan ahli Pas. Abdul Hadi bukannya membuat keputusan secara individu sebaliknya diputuskan oleh mesyuarat Jawatankuasa Pas pusat.

    ‘Kegelapan’ dalam PH dan ‘kekeruhan’ dalam BN yang disentuh oleh Abdul Hadi tidak ada dalam PN. Yang ada dalam PN ialah ketegasan menentang rasuah dan keprihatinan terhadap nasib rakyat. Tetapi malangnya dalam Pas ada kelompok yang ‘kepanasan’ dengan pendirian kepemimpinan Pas memilih PN berbanding BN khususnya UMNO.

    Mereka tidak mengkaji apa yang Abdul Hadi katakan, sebaliknya hanya memikirkan keuntungan politik sahaja dalam bahasa mudah boleh menang kerusi lebih banyak kerusi dengan BN berbanding dengan PN. Inilah kelompok yang dinasihatkan oleh Abdul Hadi, ‘’Janganlah kait durian cepat sangat”.

    ”Walaupun ini lebih payah, lebih senang dengan UMNO boleh menang cepat,  orang ramai sokong tapi kita tak gopoh…macam buah durian..jangan kait cepat sangat..kalau kait cepat sangat tak masak lagi, kembung perut, bagi masak betul-betul dulu.

    ‘’Saya tahu ada orang Pas ini, tak tahan liur, nak makan peringat durian…durian mentah lagi…kena sabar dulu…kena masak molek dulu, ada ni…bukan yang jahil…yang alim pun ada… dia tak boleh baca politik…saya boleh baca politik, saya mengaji politik, ada yang alim dia tak baca politik, dia baca kitab aje,’’ katanya.

    Anehnya kelompok tersebut, bercakap soal penyatuan ummah. Tetapi konsep penyatuan ummah mereka dipengaruhi tafsiran yang dibuat oleh pemimpin UMNO iaitu hanya melibatkan UMNO dan Pas sahaja, jadi bagaimana dengan Bersatu?

    Adakah Bersatu tidak layak diajak bersama untuk penyatuan ummah? Apakah tanpa Bersatu dalam penyatuan itu, tidak berlaku pertandingan tiga penjuru yang akan memberi keuntungan kepada PH?

    Apakah kerana mahu memenangi lebih banyak kerusi sekaligus menjadi kerajaan dan berpeluang duduk di atas kerusi empuk menteri, segala hujah yang diberikan oleh Abdul Hadi yang melibatkan BN dan UMNO harus diketepikan begitu sahaja?

    Kenapa berasa tidak tenteram dengan keputusan kepemimpinan parti? Bukankah ahli-ahli Pas terkenal dan dihormati sebagai kelompok yang taat dengan keputusan parti?

    Kepada kelompok berkenaan, janganlah dilihat terlalu memandang rendah kepada PN khususnya Bersatu. Penulis tahu  kelompok tersebut tidak yakin bekerjasama dengan PN akan membolehkan mereka mencapai kemenangan dalam pilihan raya.

    Mereka pun sudah terpengaruh dengan cakap-cakap bahawa rakyat kini kembali menyokong BN, oleh itu Pas sepatutnya ‘tumpang sekali’. Tetapi mereka tidak terfikir atau buat-buat tak nak fikir ‘kekeruhan’ yang ada kepada BN sepertimana disebut oleh Abdul Hadi akan menjadi ‘pemusnah’ kepada impian BN untuk kembali berkuasa.

    Kelompok mahu ‘makan durian mentah’ perlu berhati-hati. Gelanggang pilihan raya sudah dibuka dan sekarang adalah masa untuk melaksanakan keputusan parti, bukannya mewujudkan kekeliruan sehingga menyebabkan ‘kekeruhan’ yang akhirnya membawa ‘kegelapan’ kepada kesepakatan dalam Perikatan Nasional bagi menghadapi PRU-15.

  • UMNO Alor Setar mengaku kalah awal, jika MCA tanding kerusi Parlimen Alor Setar

    UMNO Alor Setar mengaku kalah awal, jika MCA tanding kerusi Parlimen Alor Setar

    Oleh BADLISHAH MAT

    ‘KALAU MCA bertanding juga di Parlimen Alor Setar, Pakatan Harapan (PH) akan menang dalam keadaan amat selesa. Calon mereka boleh tidur, makan nasi dan dakap isteri di rumah tanpa perlu kempen teruk-teruk kerana kita sama kita akan ‘bunuh’ calon sendiri,” kata Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd. Yusof Ismail.

    Beliau menjangkakan calon PH akan menang mudah di Parlimen itu sekiranya MCA diberi laluan untuk terus bertanding di kerusi tradisi mereka pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kelak.

    Menurut Mohd. Yusof, keadaan itu dijangka berlaku disebabkan beberapa faktor antaranya MCA dilihat berdepan kesukaran untuk mendapatkan undi daripada orang Melayu yang merupakan pengundi majoriti di kawasan itu.

    Justeru katanya, UMNO Bahagian Alor Setar akan terus mendesak hingga ke saat akhir agar Parlimen Alor Setar diberikan kepada mereka yang dilihat memiliki peluang lebih cerah merampas kawasan itu daripada PH.

    “Cukup calon PH keluar naik kereta dan tunjuk gambar sahaja untuk menang jika MCA bertanding di sini, tetapi kalau UMNO diberikan ruang, PH kena sinsing lengan jugalah kalau nak menang.

    “Minggu lepas saya sudah ke Kuala Lumpur dan minggu depan akan pergi lagi untuk terus bersuara kerana bagi saya kerusi ini sepatutnya sudah lama diserahkan kepada UMNO kerana kami mendampingi pengundi sejak sekian lama terutamanya sewaktu pandemik Covid-19,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Alor Setar di Bangunan Tunku, Alor Setar, hari ini.

    Melihat peluang tipis kepada UMNO mendapat kerusi itu, Mohd. Yusof berkata, beliau bercadang untuk menyerahkan jawatan Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Alor Setar kepada MCA sekiranya parti tu terus diberikan mandat bertanding.

    “Namun ia belum diputuskan lagi kerana masih di peringkat awal, saya bimbang kalau UMNO pegang jawatan tersebut dan BN kalah nanti, kami pula dituduh sabotaj parti, apatah lagi ketika saya sendiri masih belum bebas sepenuhnya daripada hukuman penggantungan yang kini hanya ditangguhkan sementara.

    “Jadi kalau MCA bertanding, mereka ketuailah dan kami akan bantu. Kami tak boleh pimpin kerana dalam keadaan ini, takut kita buat kerja tak sepenuh hati tetapi kalau mereka tak tahu cara buat orang suka, datanglah bertanya supaya kami boleh tunjukkan caranya,” katanya.

    Sementara itu, beliau berkata, UMNO Bahagian Alor Setar tidak kisah siapa sahaja yang diangkat menjadi calon parti itu jika diizinkan bertanding di Parlimen berkenaan kerana tumpuan utama mereka adalah untuk memenangkan kerusi tersebut kepada BN.

    Katanya, lima nama individu berkelayakan untuk diangkat menjadi calon UMNO di Parlimen itu telah dihantar dan menyerahkan kepada pucuk pimpinan untuk memutuskan perkara itu.

    “Bagi kami ini bukan soal manusia sebaliknya Allah jualah yang menentukan. Sebelum ini pun ada yang sudah dapat watikah tetapi tak dapat jadi calon. Kalau tuhan tetapkan orang itu jadi wakil rakyat, dia akan menanglah, Insya-Allah,” katanya.