PEMIMPIN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menepis tanggapan liar kononnya parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu ‘menumpang’ populariti Pas dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof yang juga penyandang kerusi Parlimen Alor Gajah sebaliknya berkata, Bersatu dan Pas ‘saling memerlukan’ dan ‘saling melengkapi’.

“Menumpang itu keras sikit bunyinya. Cuma kita keduanya berkongsi prinsip. Kita melengkapkan masing-masing. Pas memang akar umbinya dah lama. Sama umur dengan UMNO. Bersatu baru (berusia) enam tahun.

“Ya, kita mesti ada sikit pergantungan kepada akar umbi mereka, 60 tahun (usia Pas) berbanding dengan enam tahun (Bersatu). (Tetapi) nampaknya jelas mereka (Pas) mahu bersama dengan prinsip Bersatu dari sudut mahu maju ke depan,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, Pas mengumumkan memilih untuk bersama Bersatu membentuk PN bagi menghadapi PRU15, sekaligus menolak ajakan UMNO/Basrisan Nasional (BN) untuk bersama mereka.

Redzuan berkata, bilangan ahli Bersatu semakin bertambah walaupun tidak seramai ahli Pas, dan sehingga kini Bersatu mempunyai kira-kira 700,000 ahli.

Malah katanya, prinsip Bersatu untuk tidak mencampuri urusan penghakiman mahkamah melibatkan pemimpin korup daripada parti tertentu, semakin memancing perhatian pengundi.

Bekas menteri pembangunan usahawan dan koperasi itu berkata, Bersatu menawarkan golongan profesional, sementara pemimpin Pas membawa faktor Islamik dan nilai-nilai yang baik untuk mengukuhkan PN.

“Mungkin Bersatu lemah dari sudut tarbiah yang diamalkan Pas. Contoh, saya boleh keluarkan hadis, tapi saya bukan pakar. Jadi saya akan panggil ustaz-ustaz pakar tarbiah dan ini akan menyokong benda-benda baik yang kita nak laksanakan.

“Kita ada institusi mahkamah. Kita ada siasatan dan sebagainya. Tapi bayangkan kalau itu didendangkan dengan hadis dan al-Quran, ini boleh mengubah (persepsi orang) ‘eh, ini benda betul lah’. Sebab kita diajar oleh Islam (dari kecil),” katanya.

Bersatu juga memiliki barisan kepimpinan yang berkaliber selain Muhyiddin Yassin untuk membawa parti berjalan seiring dengan Pas dalam Perikatan Nasional (PN).

“Kita ada Datuk Seri Hamzah yang berpengalaman dalam politik yang gerakkan pembentukan kerajaan PN ketika itu. Kita ada Datuk Seri Azmin Ali yang ada pengalaman sebagai menteri besar. Kita ada Wan Ahmad Fayhsal (Wan Ahmad Kamal) dan Nurul Fadzilah.

“Kita ada berbagai orang yang kita nampak boleh membawa kepada kebaikan pada negara”, kata Redzuan yang yakin Bersatu tidak akan lenyap selepas PRU-15, seperti didakwa seteru politiknya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here