Oleh MOHD LAZIM ENDUT

BANYAK pihak berpandangan bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kali ini merupakan satu manifestasi penting bagi dunia politik di Malaysia.

Ini kerana dalam pilihan raya kali ini, pengundi muda berusia 18 tahun buat pertama kalinya dibenarkan membuang undi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sehubungan itu, ramai penganalisis politik berpendapat calon-calon yang perlu ditampilkan oleh parti politik mestilah ditumpukan kepada golongan orang muda. Bagaimanapun, dalam konteks negeri Terengganu khususnya Parlimen Marang, fokus diberikan oleh parti yang bertanding dikatakan amat berbeza.

Kebanyakan calon yang ditampilkan adalah golongan popular dalam kalangan pengundi, mesra rakyat, sering turun padang dan berintergiti. Hal ini kerana pengaruh, kekuatan dan kekebalan calon Pas, iaitu Tan Sri Abdul Hadi Awang sukar digugat sekiranya pihak lawan meletakkan calon ‘tangkap muat’.

Justeru, memandangkan Presiden Pas ini dijangka terus kekal bertanding di kerusi tersebut, maka parti lawan terpaksa mencari strategi baharu.

Pada PRU15 kali ini, Parlimen Marang dijangka menyaksikan pertandingan tiga atau empat penjuru melibatkan penyandangnya Pas-Perikatan Nasional (PN), UMNO-Barisan Nasional (BN), dan Amanah- Pakatan Harapan (PH).

Mampukah Abdul Hadi mempertahankan kekebalannya di Marang dan siapakah calon ‘giant killer’ yang boleh menewaskannya dalam PRU kali ini? Adakah ia daripada calon BN atau Amanah?

Difahamkan BN ketika ini sudahpun menghantar senarai nama enam calon kepada UMNO pusat untuk dinilai bagi menentang Abdul Hadi.

Penulis difahamkan antara yang disebut-sebut termasuklah pemimpin politik veteran, bekas ‘giant killer’ yang pernah menewaskan Abdul Hadi, iaitu Datuk Seri Abdul Rahman Bakar serta bekas calon Rhu Rendang yang juga Ketua UMNO Bahagian Marang, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku.

Turut dicalonkan ialah Timbalan Ketua UMNO Bahagian itu, Jasmira Othman, Ketua Pemuda, Zul Fadli Rozi dan bekas calon Bukit Payong, yang juga Ketua Wanita, Toh Puan Zaiton Mat Amin. Manakala PH pula pada PRU kali ini dikatakan tidak lagi menampilkan calon PRU14, Zarawi Sulong daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Sebaliknya, PH dikatakan akan mencalonkan seorang yang bergelar ustaz muda mewakili parti Amanah. Adakah calon berkenaan merupakan anak saudara kepada isteri Abdul Hadi sendiri, iaitu Ustaz Mirdad?

Yang pasti, suasana PRU15 pada kali ini bakal menjadi lebih sengit dan semakin menarik… Pada PRU14 lalu, Abdul Hadi berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Marang setelah berjaya menewaskan dua pencabarnya Mohamad Nor Endut daripada Barisan Nasional (BN) dan Zarawi Sulong (PKR) dengan majoriti 21,954 undi.

Dalam pertandingan tjga penjuru itu Abdul Hadi memperoleh 53,749 undi, Mohamad Nor (31,795) dan Zarawi (5,138).

Dalam PRU14 juga, Abdul Hadi buat pertama kalinya mengambil keputusan tidak bertanding di DUN
Rhu Rendang selepas 36 tahun atau lapan penggal menjadi wakil rakyat di kawasan berkenaan.

Sebelum itu, tradisi beliau adalah kekal bertanding di kedua-dua kawasan iaitu Parlimen Marang dan DUN Rhu Rendang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here