TOK Chey baca komen-komen netizen kebanyakannya mengecam cadangan Pengerusi BN, Zahid Hamidi agar diwujudkan tiga jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) bagi mewakili Semenanjung, Sabah dan Sarawak apabila gabungan itu menjadi dominan membentuk kerajaan selepas menang PRU-15 nanti.

Ramai tidak setuju cadangan itu kerana ia akan meningkatkan kos pentadbiran kerajaan memandangkan Malaysia adalah negara kecil tetapi mempunyai jumlah menteri Kabinet yang begitu ramai.

Mengambil contoh kerajaan Ismail Sabri Yaakob ketika menghabiskan sisa pentadbiran sebelum Parlimen dibubarkan Oktober lalu, terdapat seramai empat menteri kanan, 27 menteri dan 38 timbalan menteri. Ditambah dengan Ismail Sabri menjadikan jumlah semuanya 70 orang sehinggakan ada sesetengah menteri dan timbalan menteri yang tidak diketahui apa fungsi mereka.

Malah ada yang tidak dikenali rakyat dan tidak diketahui apa tugas yang telah dilakukan sepanjang menjawat jawatan dalam Kabinet selama ini. Jika diminta untuk menunjukkan kad prestasi pentadbiran, sudah pasti ada menteri yang berada pada tahap tidak mencapai KPI yang diharapkan.

Dalam keadaan negara mempunyai jumlah hutang yang tinggi, ketirisan di banyak sektor kerajaan, nilai ringgit semakin merosot, inflasi, kenaikan harga barang dan amaran kemeseletan ekonomi pada tahun depan, sepatutnya cadangan adalah menjurus kepada pengurusan wang berhemah.

Bukannya menambah beban kewangan kerajaan dengan cadangan yang akan menipiskan lagi kantung wang negara. Negara maju seperti Jerman yang mempunyai 83 juta penduduk misalnya hanya memiliki saiz Kabinet kecil iaitu sekitar 17 orang.

Mana-mana parti yang sedang merangka atau dalam proses akhir memuktamadkan manifesto untuk menarik pengundi elakkanlah daripada membuat cadangan sama walaupun dengan dua jawatan TPM. Cukuplah sekadar seorang TPM dan mengutamakan langkah penjimatan dalam pengurusan pentadbiran.

Mana-mana portfolio menteri yang seringkali berlaku pertindihan portfolio bolehlah disatukan kementeriannya supaya gerak kerja pentadbiran lebih lancar dan tidak terhalang dengan pelbagai karenah birokrasi.

Pada masa sama, rakyat Sabah dan Sarawak tidak perlu percaya cadangan Zahid itu mampu membela nasib rakyat negeri berkenaan kerana jika benar-benar mahu bela nasib penduduk di sana, tanpa pelantikan TPM mewakili suara mereka pun ia boleh dilakukan.

Menteri-menteri daripada dua negeri berkenaan yang mengganggotai Kabinet sepatutnya boleh membentuk satu pasukan untuk membawa isu-isu penting keperluan rakyat Sabah dan Sarawak.

Mereka bukan sahaja dapat mengusulkan perancangan kepada Perdana Menteri untuk dipertimbangkan, tetapi menjadi pemantau kepada segala projek yang telah diluluskan supaya tidak berlaku ketirisan.

Kita tidak mahu banyak dana diluluskan untuk pembangunan Sabah dan Sarawak tetapi akhirnya gagal kerana berlaku ketirisan di merata tempat seperti projek tidak menepati spesifikasi, masalah rasuah dan sebagainya.

Banyak keperluan rakyat dua negeri itu bermula daripada masalah pendidikan hinggalah kepada masalah peluang pekerjaan boleh diperjuangkan jika kerajaan meletakkan keutamaan rakyat kedua-dua negeri itu sebaris dengan keperluan rakyat di Semenanjung.

Bahkan, sejak sekian lama BN memerintah dan negara kita merdeka, keadaan infrastruktur, kemajuan dan taraf hidup rakyat di Malaysia Timur itu masih daif dan uzur dari segala segi.

Salah satu keperluan yang masih ketinggalan ialah infrastruktur untuk murid-murid ke sekolah apabila mereka terpaksa melalui jalan yang berselut dan mencabar, titi kecil yang berbahaya serta terpaksa menaiki sampan bagi menuntut ilmu.

Untuk mendapat talian telefon sempurna dengan capaian internet yang baik sudah pasti jauh sekali. Maka tidak hairan dalam era teknologi ini di kawasan pedalaman masih ada pelajar universiti terpaksa memanjat bukit ataupun pokok untuk mendapatkan signal telekomunikasi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here