Author: Admin

  • SOP aktiviti skuba perlu lebih ketat-Sultan Ibrahim

    SOP aktiviti skuba perlu lebih ketat-Sultan Ibrahim

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SULTAN Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, menegaskan penyediaan prosedur operasi standard (SOP) aktiviti selam skuba di Mersing perlu lebih ketat dengan menitikberatkan pelbagai perkara penting sebelum dikuatkuasakan.

    Baginda bertitah, penguatkuasaan SOP itu perlu memastikan perkara seperti lesen menyelam yang sah, rekod penyelenggaraan peralatan, rekod laporan terkini perubatan penyelam, insurans serta buku catatan rekod penyelam yang sentiasa dikemas kini.

    Terdahulu, Sultan Johor berkenan menerima mengadap Pegawai Daerah Mersing selaku Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Daerah Mohammed Shakib Ali di Istana Flinstones, Mersing pada hari ini.

    Pada pertemuan itu, Mohammad Shakib turut mempersembahkan kepada baginda mengenai SOP aktiviti selam skuba dan ‘Island Hopping’ di Mersing.

    “Saya meneliti dan memperhalusi setiap SOP berkaitan aktiviti selam skuba yang disediakan Pejabat Daerah Mersing serta Majlis Daerah Mersing bersama beberapa jabatan serta agensi penguatkuasaan lain.

    “Saya juga telah bertitah beberapa perkara penting berkaitan aktiviti selam skuba dan turut menitahkan kepada Pegawai Daerah Mersing supaya turut melibatkan sama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta Persatuan Selam Skuba Malaysia,” titah baginda kepada Royal Press Office (RPO).

    Sementara itu, Mohammad Shakib berkata, Sultan Johor berkenan untuk mempengerusikan satu mesyuarat bersama wakil jabatan, agensi penguatkuasaan serta persatuan selam skuba dalam tempoh terdekat dalam memperhalusi setiap SOP sebelum dikuatkuasakan.

    Susulan kejadian di perairan Pulau Tokong Sanggul baru-baru ini, Sultan Johor menitahkan semua aktiviti menyelam di perairan Mersing dihentikan sementara waktu sehingga kajian semula seluruh SOP keselamatan aktiviti menyelam di daerah berkenaan selesai.

  • 11,282 calon sah bertanding dalam Pemilihan 2022 PKR

    11,282 calon sah bertanding dalam Pemilihan 2022 PKR

    PEMILIHAN 2022 Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyaksikan 1,282 calon sudah melepasi saringan dan layak menyertai senarai akhir pencalonan.

    Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti, Dr. Zaliha Mustafa berkata, ini termasuk 20 calon bagi barisan kepimpinan tertinggi.

    “Daripada 11,290 permohonan asal, bantahan hanya diterima terhadap lapan orang calon atas sebab kebankrapan dan senarai hitam yang ditetapkan Pendaftar Pertubuhan Malaysia.

    “Sekali lagi, hanya Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim muncul calon tunggal Presiden tanpa sebarang pertandingan.

    “Tahniah buat 11,282 calon yang melepasi saringan ini dan layak menyertai senarai akhir pencalonan termasuk 20 calon bagi barisan kepimpinan tertinggi. Sekali lagi, Datuk Seri Anwar Ibrahim muncul calon tunggal Presiden tanpa sebarang pertandingan.

    “Senarai penuh calon-calon ini boleh dilihat di laman web Pemilihan 2022 di https://pemilihankeadilan2022.com/,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Astro Awani.

    Katanya, pada ketika ini, JPP sedang dalam persediaan menghadapi fasa pengundian secara fizikal dan dalam talian yang dijadualkan berlangsung dari 13 Mei 2022 hingga 22 Mei 2022 yang mana pekeliling berkenaan telah pun dikeluarkan.

    Berdasarkan semakan, dua calon disahkan bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden, iaitu bekas Ahli Parlimen Pandan, Mohd. Rafizi Ramli, dan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

    Bagi empat slot jawatan Naib Presiden, seramai 17 calon disahkan layak bertanding, membabitkan nama-nama besar seperti Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid; Ahli Parlimen Tanjong, Malim Chang Lih Kang; Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil; dan wakil wanita tunggal merangkap Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh.

    Tidak ketinggalan Menteri Besar Negeri Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun turut melontarkan cabaran untuk jawatan tersebut.

    Bagi jawatan Ketua Wanita Keadilan, dua calon yang sah bertanding ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Rodziah Ismail, dan Ahli Dewan Negara, Fadhlina Sidek.

    Sementara jawatan Timbalan Ketua Wanita Keadilan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Datin Faizah Ariffin, ADUN Bukit Melawati yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Juwairiya Zulkifli, dan Ketua Wanita Keadilan Johor, Napsiah Khamis Maharan.

    Sementara itu, jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Adam Adli Abd Halim, dan Fahmi Zainol.

    Dalam pada itu, Zaliha berkata, 21 April ini merupakan hari terakhir permohonan pendaftaran sebagai pemilih atas talian (PAT) melalui aplikasi ADIL.

    “Seramai 96,983 orang telah berjaya memuat turun aplikasi ADIL dan mengemas kini maklumat diri dan kemudiannya memilih untuk menjadi PAT. Menariknya, seramai lebih 700 orang anggota yang kini menetap di luar negara termasuk di Australia, Brunei, Singapura dan lain-lain juga tersenarai sebagai PAT.

    “Meskipun permohonan baharu telah pun ditutup, kerja-kerja akan diteruskan sehingga kesemua yang memohon untuk menjadi PAT selesai ditentusahkan. Sekalung tahniah buat seluruh anggota Keadilan yang terlibat dalam proses Pemilihan 2022 sehingga ke peringkat ini,” katanya lagi.

    Mana-mana anggota yang tidak berkesempatan, jelas Zaliha lagi, masih boleh melaksanakan tanggungjawab memilih secara fizikal di pusat-pusat mengundi yang akan dimuktamadkan lokasinya dalam beberapa hari lagi.

  • Kastam lepas tembakan selepas lori bawa arak seludup enggan berhenti

    Kastam lepas tembakan selepas lori bawa arak seludup enggan berhenti

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SEORANG pegawai kastam terpaksa melepaskan tembakan ke arah sebuah lori membawa rokok seludup yang enggan berhenti ketika dikejar dari Jalan Danga Bay, Johor Bahru, semalam.

    Kejadian itu berlaku selepas pemandu lori terbabit yang berhenti secara mengejut sebelum mengundur kenderaan berat itu dipercayai mahu merempuh kereta dinaiki pegawai kastam berkenaan.

    Menerusi video berdurasi 1 minit 22 saat yang tular, kelihatan pegawai mengeluarkan badannya melalui tingkap penumpang dan melepaskan kira-kira 10 das tembakan ke arah lori berkenaan.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, lelaki berusia 40-an itu ditahan di Jalan Tuas – Lima Kedai, di Iskandar Puteri selepas polis menerima panggilan daripada pegawai Kastam pada pukul 1.12 petang.

    Katanya, pemeriksaan mendapati lori terbabit sedang membawa muatan minuman keras tidak bercukai dianggarkan bernilai RM1.8 juta.

    Tiga peronda MPV dikejar ke lokasi kejadian sehingga menyebabkan berlakunya insiden mengejar sebelum lori berkenaan sebelum berjaya ditahan

    “Tiga buah peronda MPV dikejar ke lokasi kejadian sehingga menyebabkan berlakunya insiden mengejar sebelum lori berkenaan berjaya ditahan.

    “Insiden itu bermula dari Jalan Danga Bay sehingga sejauh kira-kira 20 kilometer dengan anggaran masa satu jam. Sebelum berjaya ditahan lori berkenaan telah merempuh bahagian belakang salah sebuah MPV polis sehingga mengalami kerosakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Tambah beliau, kejadian itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan terhadap mana-mana pihak sama ada pegawai penguat kuasa mahupun pemandu lori berkenaan.

    Sementara itu, Kamarul Zaman berkata, pemandu lori berkenaan kini direman selama 10 hari bermula hari ini sehingga 1 Mei depan.

    Sebelum berjaya ditahan lori berkenaan telah merempuh bahagian belakang salah sebuah MPV polis sehingga mengalami kerosakan

    “Polis akan bekerjasama dengan Kastam untuk memastikan saki baki ahli sindiket penyeludupan termasuk beberapa kumpulan tonto terlibat dibanteras kerana mereka telah mengancam keselamatan penguatkuasa.

    “Mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu diminta menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat di talian 017-2123370 atau mengunjungi mana-mana balai polis terdekat,” ujarnya.

    Tambahnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967; Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 39D Akta Senjata Api 1960.

  • Dua budak tular letak objek tajam atas jalan dikesan

    Dua budak tular letak objek tajam atas jalan dikesan

    DUA kanak-kanak yang disyaki meletakkan objek tajam di permukaan jalan raya sekitar pusat bandar raya Kota Kinabalu, baru-baru ini sedang dikesan pihak berkuasa.

    Sinar Harian melaporkan, perbuatan dua kanak-kanak lelaki itu dirakam sebelum video berkenaan tular dalam media sosial sejak semalam.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd. Zaidi Abdullah, pihaknya telah mengambil tindakan untuk mengesan dua kanak-kanak terbabit namun sehingga kini belum ditemui.

    “Setakat ini juga, tiada laporan dibuat oleh mana-mana pihak berkaitan kes kenderaan mereka terlanggar sebarang objek tajam di lokasi yang dimaksudkan.

    “Pihak polis Kota Kinabalu juga telah membuat pemeriksaan di jalan-jalan utama dalam bandar raya Kota Kinabalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Mohd. Zaidi berkata, tindakan undang-undang akan diambil kepada sesiapa saja jika terdapat sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang termasuk mengganggu lalu lintas.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil memberikan maklumat dan boleh disalurkan terus di talian 088-529222,” katanya.

    Sebelum itu, tular satu video berdurasi 18 saat memaparkan dua kanak-kanak berada di tengah jalan raya dipercayai di kawasan pusat Bandar Raya Kota Kinabalu bertindak meletakkan objek tajam di atas permukaan jalan raya berkenaan.

  • PGA7 rampas 3 tan karkas babi hutan cuba diseludup keluar

    PGA7 rampas 3 tan karkas babi hutan cuba diseludup keluar

    BATALION 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) mematahkan cubaan menyeludup keluar 3,000 kilogram (kg) karkas babi hutan ke negara jiran hasil serbuan di sebuah pangkalan haram di Pengkalan Kubor, Tumpat, semalam.

    Pegawai Pemerintah PGA7 Supt Azhari Nusi berkata pihaknya melakukan serbuan selepas mendapat maklumat mengenai aktiviti penyeludupan karkas babi hutan yang disalurkan oleh Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) Bukit Aman pada 7.20 malam.

    “Hasil daripada pemerhatian selama 30 minit, anggota PGA7 telah mengesan beberapa individu dalam keadaan mencurigakan sedang memunggah barang dari sebuah lori ke dalam bot di sebuah pangkalan haram di Pengkalan Kubor, Tumpat.

    “Anggota PGA7 telah bertindak membuat pemeriksaaan di lokasi tersebut dan berjaya menahan empat lelaki berumur antara 20 hingga 44 tahun bersama lori jenis Hino berwarna putih,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata pemeriksaan di bahagian belakang kenderaan berkenaan telah menemukan sejumlah 3,000 kg karkas babi hutan dengan anggaran nilai pasaran RM75,000 yang dipercayai cuba dibawa keluar secara haram dengan menggunakan bot ke Thailand. 

    “Nilai rampasan keseluruhan melibatkan rampasan sebuah lori dan karkas babi hutan dianggarkan berjumlah RM155,000.

    “Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Balai Polis Pengkalan Kubor bagi tujuan laporan polis dan tindakan lanjut oleh pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan,” katanya.

    Azhari berkata, dalam operasi berasingan, pihaknya telah menahan dua lelaki yang membawa tiga ekor lembu di Kampung Neting, Pengkalan Kubor pada 9.45 malam.

    Katanya kes dikesan ketika anggota PGA7 yang melakukan rondaan telah mengarahkan lori itu berhenti untuk pemeriksaan kerana dilihat mencurigakan.

    “Hasil pemeriksaan di bahagian belakang lori dipandu oleh seorang lelaki berumur 50 tahun bersama kelindannya yang berumur 23 tahun telah menemukan tiga ekor lembu yang dipercayai cuba dipindah keluar ke destinasi lain. 

    “Pemandu kenderaan gagal mengemukakan sebarang dokumen dan permit berkaitan kebenaran pindah keluar haiwan daripada Jabatan Vaterinar. Kedua-dua individu berkenaan telah ditahan dan dibawa ke Balai Polis Simpangan bagi tindakan lanjut pihak Jabatan Veterinar,” katanya.

    Beliau berkata lori dan lembu yang dirampas dianggarkan bernilai RM37,600. – Bernama

  • Pelajar perempuan dibelasah depan sekolah di Dutamas

    Pelajar perempuan dibelasah depan sekolah di Dutamas

    SEORANG pelajar perempuan berdepan detik-detik mencemaskan di Dutamas, Kuala Lumpur malam tadi apabila dipukul dan dikejar oleh dua lelaki yang dipercayai ingin menyamunnya.

    Memetik laporan FMT, mangsa yang juga warga asing ketika berkongsi tentang kejadian tersebut dalam Instagram berkata, dia dan rakannya diganggu oleh dua lelaki menaiki motosikal ketika sedang berjalan ke sebuah pusat beli-belah berdekatan.

    Dia memberitahu, pada mulanya, mereka tidak mengendahkan kedua-dua lelaki itu.

    Namun, mereka kemudian terpaksa berlari menuju ke sebuah sekolah berdekatan apabila dihampiri oleh suspek.

    “Salah seorang daripada mereka (berbaju putih) melompat turun daripada motosikal dan berlari ke arah kami untuk menyerang.

    “Rakan saya berjaya melarikan diri, tetapi saya tidak. (Penyerang) tergelincir dan terjatuh apabila dia menghayunkan batang kayu ke arah saya,” jelasnya.

    Mangsa kemudian menggunakan peluang itu untuk memukul penyerangnya yang terjatuh.

    “Dia menggigit lengan saya, kemudian rakannya turut melompat turun daripada motosikal untuk menyerang saya, jadi saya cuba lari. Saya tak cukup pantas dan dapat rasa salah seorang daripada mereka memukul saya di bahagian belakang menggunakan kayu.

    “Pengawal keselamatan di sekolah itu membuka pintu pagar supaya kami dapat masuk (ke pekarangan sekolah) untuk menyelamatkan diri, tetapi pada ketika itu, kedua-dua lelaki berkenaan telah melarikan diri.

    “Saya sudah buat laporan polis, tetapi tolong kongsi (mengenai kejadian) ini agar ia dapat perhatian,” katanya.

    Dutamas
    Dua suspek yang diburu polis berikutan insiden serangan terhadap seorang pelajar perempuan warga asing di Dutamas, Kuala Lumpur malam tadi. (Gambar: FMT)

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai mengesahkan pihaknya telah menerima laporan tentang kejadian di depan Sekolah Kebangsaan Kiaramas dekat Dutamas itu.

    Menurut beliau, polis sedang memburu dua suspek terbabit dan siasatan dijalankan bawah Seksyen 323 dan 393 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan dan cubaan menyamun.

  • Pas tidak layan isu PasLeak-Hadi Awang

    Pas tidak layan isu PasLeak-Hadi Awang

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan, parti itu tidak perlu melayan isu PasLeak yang disifatkan sebagai surat layang bertujuan memfitnah parti tersebut.

    Beliau berkata, hanya golongan loyar buruk yang berminat untuk melayan surat layang berkenaan.

    “Tak ada guna kita melayan surat layang ni. Kalau layan nanti kita sama-sama melayang.

    “Pada saya hanya yang ‘loyar buruk’ sahaja yang melayan surat layang ni, kerana dari segi undang-undang pun (isu itu) tidak lekat.

    “Surat layang ni kita tak tahu siapa yang buat. Sebab itulah dipanggil surat layang. Cuma dia tanggunglah dengan Tuhan. Kita orang Islam percayakan. Bulan puasa pula,” katanya.

    Ahli Parlimen Marang itu berkata demikian ketika ditemui pemberita di Rusila Marang, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Mengulas lanjut Abdul Hadi berkata, tiada keperluan baginya membuat sebarang penafian berhubung surat tersebut kerana penjelasan sudah dibuat oleh Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, kelmarin.

    Katanya, penyebaran ‘Pas Leak’ tidak menggugat keharmonian serta hubungan parti itu bersama rakan komponen Perikatan Nasional (PN) yang lain.

    “Hubungan bersama PN seperti biasa. Kita sentiasa mengadakan perbincangan dari masa ke semasa secara terperinci. Kita tak mahu layan surat-surat layang ni,” ujarnya.

    Sebelum ini tular dalam media sosial beberapa keratan dokumen didakwa merupakan minit mesyuarat Pas yang mempunyai pelan atau gerak kerja parti itu untuk menjatuhkan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

    Dua pemimpin Pas dan PN iaitu Ahmad Samsuri dan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin turut memberikan maklum balas dengan menyifatkan Pas Leak sebagai dokumen sampah.

    Selain itu, mereka turut menafikan dakwaan wujud perbincangan dalaman untuk menjatuhkan beberapa pemimpin UMNO sebagaimana didakwa menerusi dokumen tersebut.

    Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, terpulang kepada UMNO untuk membuat laporan polis berhubung isu tersebut.

    “Terpulang kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk membuat laporan polis kerana Pas kekal dengan pendirian untuk tidak melayan isu berkenaan,” jelas beliau.

  • Pelantun lagu ’Perajurit Tanah Air’ Jamaludin Alias meninggal dunia

    Pelantun lagu ’Perajurit Tanah Air’ Jamaludin Alias meninggal dunia

    PELANTUN lagu patriotik ‘Perajurit Tanah Air’, Jamaludin Alias, meninggalkan dunia hari ini.

    Anaknya yang dikenali sebagai Fazli ketika mengesahkan perkara itu berkata Allahyarham meninggal dunia pada usia 85 tahun kira-kira 5 pagi tadi akibat sakit tua. 

    Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Tabung Haji, Kelana Jaya selepas solat Jumaat, hari ini.

    Jamaludin yang juga bekas pengulas sukan terkenal Radio Televisyen Malaysia (RTM) pernah bertugas ketika Sukan SEA Jakarta 1979 hingga Manila 1991, Sukan Asia Jakarta 1962 dan New Delhi 1982 serta Sukan Olimpik Barcelona 1992.- Bernama

  • 28 set bubu naga dirampas di perairan Pulau Pinang

    28 set bubu naga dirampas di perairan Pulau Pinang

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang merampas sebanyak 28 set bubu naga di dua lokasi iaitu pada kedudukan kira-kira 0.3 batu nautika ke barat laut perairan Batu Kawan, Pulau Pinang antara pukul 9.10 hingga 9.30 malam tadi.

    Pengarah Maritim Malaysia Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, pasukan operasi agensi itu mengesan beberapa pelampung di permukaan air yang mencurigakan dan disyaki sebagai penanda bubu naga.

    Katanya, objek itu dikesan semasa rondaan rutin operasi bersepadu iaitu Op Pertiwi dan Benteng Laut.

    “Hasil pemeriksaan di kedua-dua lokasi, sebanyak 28 set bubu naga yang dipasang oleh individu tidak bertanggungjawab telah ditemukan.

    “Kesemua bubu naga tersebut yang dianggarkan bernilai RM3,360 itu dirampas dan dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Maritim mengesan beberapa pelampung di permukaan air yang mencurigakan dan disyaki sebagai penanda bubu naga.

    Menurut Abd. Razak, penggunaan bubu naga diharamkan kerana sifatnya yang tidak selektif dan boleh merosakkan ekosistem perairan serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan lain.

    Katanya, pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan menggunakan kaedah tidak dibenarkan yang sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

    Sehubungan itu, beliau mengingatkan para nelayan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukan.

    “Maritim Malaysia juga akan terus memantau aktiviti haram ini dari semasa ke semasa dan meminta kerjasama dari orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes serta jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri ini.

    “Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus disalurkan ke Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146,” katanya. 

  • OKT wanita kes dera kanak-kanak pengsan dalam mahkamah

    OKT wanita kes dera kanak-kanak pengsan dalam mahkamah

    SEORANG wanita yang juga orang kena tuduh (OKT) bagi kes dera kanak-kanak menggemparkan galeri Mahkamah Sesyen Jenayah 2, Georgetown, Pulau Pinang selepas pengsan ketika prosiding ke atasnya sedang berlangsung pagi ini.

    Tertuduh, Rosnah V. S. Mydin, 48, yang ketika itu sedang berdiri di dalam kandang tertuduh secara tiba-tiba rebah ketika pertuduhan ke atasnya sedang dibacakan di hadapan Hakim Mazdi Abdul Hamid.

    Situasi itu menyebabkan juruiring polis dan penterjemah segera memberikan pertolongan.

    Bagaimanapun selepas kira-kira lima minit, keadaan kesihatannya semakin pulih dan tertuduh turut diberi rawatan oleh seorang doktor yang secara kebetulan berada di dalam mahkamah sama.

    Difahamkan, tertuduh sebelum ini juga beberapa kali pengsan ketika berada dalam tahanan reman.

    Terdahulu, Rosnah mengaku tidak bersalah atas dakwaan mendera kanak-kanak lelaki yang juga cucunya berusia lima tahun dalam kejadian di Georgetown bulan ini.

    Mengikut pertuduhan, Rosnah didakwa menganiaya kanak-kanak lelaki berumur lima tahun sehingga menyebabkan kanak-kanak tersebut mengalami kecederaan fizikal.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di alamat Blok H-15-6 Flat Padang Tembak, daerah Timur Laut pada waktu siang bulan ini.

    Dia dituduh di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta yang sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Terdahulu, Wan Amira Ruzaini memohon supaya tertuduh tidak dibenar diikat jamin kerana bimbang dia akan mengganggu saksi yang juga ahli keluarga mangsa dan OKT.

    Mazdi bagaimanapun membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin serta tiga syarat tambahan iaitu dia perlu melaporkan diri di balai polis setiap bulan sehingga perbicaraan kes itu selesai.

    Mazdi turut mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah selain tidak dibenarkan mengganggu saksi perbicaraan kes tersebut.

    Mahkamah turut menetapkan tarikh 30 Mei ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen serta supaya tertuduh melantik peguam.