Author: Admin

  • 300,000 rakyat Indonesia akan berkerja di Malaysia selepas Aidifitri

    300,000 rakyat Indonesia akan berkerja di Malaysia selepas Aidifitri

    Oleh ABU UBAIDILAH RAHMAN

    INDONESIA menjangkakan lebih 300,000 rakyatnya akan masuk ke negara ini untuk bekerja selepas sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri.

    Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono berkata, kemasukan tersebut akan dilakukan secara berperingkat-peringkat.

    “Jumlah tersebut dijangka bertambah mengikut permintaan pasaran kerja di Malaysia yang sedang mengalami kekurangan tenaga kerja asing.

    “Jumlah 300,000 itu adalah berdasarkan anggaran warganegara Indonesia yang pulang ke tanah air mereka sepanjang tempoh penutupan sempadan antarabangsa Malaysia sebelum ini.

    “Sehubungan itu, kita menasihati semua rakyat Indonesia untuk menggunakan saluran yang betul dan bukan berhijrah ke negara ini sebagai
    PATI (pendatang asing tanpa izin),” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau warga Indonesia balik kampung di Terminal Feri Antarabangsa Stulang Laut, Johor Bahru, hari ini.

    Katanya, peringatan itu harus diberikan kerana masih ramai pihak yang merisikokan keselamatan diri mereka dengan menaiki bot-bot kecil
    dan menggunakan laluan tikus masuk ke negara ini.

    Menurutnya, jika rakyat Indonesia datang ke negara ini dan menjadi PATI, banyak masalah akan timbul selain menjadi persoalan terhadap hubungan antara kedua-dua negara.

    “Ini kerana saya yakin Malaysia amat mengalu-alukan tenaga kerja Indonesia tetapi mestilah menggunakan saluran yang betul mengikut
    undang-undang,” katanya.

    Beliau turut memaklumkan semua penerbangan dan juga perkhidmatan feri dari Malaysia ke Indonesia penuh ketika ini dengan majoritinya pulang bagi menyambut Aidilfitri bersama-sama keluarga.

    “Saya difahamkan semua penerbangan ke Indonesia ketika ini penuh, begitu juga dengan pengangkutan feri, sama ada di Stulang Laut di sini ataupun di Terminal Feri Pasir Gudang.

    “Namun trend ini dijangka semakin berkurangan kerana majoriti mereka sudah pulang sebelum ketibaan Ramadan lalu,” katanya.

  • Mayat reput ditemukan dalam kolam

    Mayat reput ditemukan dalam kolam

    IBU Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh sedang mengesan waris lelaki mangsa bunuh yang mayatnya ditemukan terapung serta mula reput dalam kolam berhampiran Kawasan Perindustrian Kanthan Baru, Chemor, Ipoh, 18 April lalu.

    Harian Metro melaporkan, mayat lelaki dengan ketinggian 164 sentimeter dan berat kira-kira 50 kilogram berusia 25 hingga 40 tahun itu ditemukan tanpa dokumen pengenalan diri.

    Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, lelaki itu disyaki dibunuh berdasarkan siasatan di tempat kejadian.

    “Bedah siasat juga mendapati punca kematiannya adalah kecederaan disebabkan pukulan objek tumpul berulang kali dan kecederaan dalaman pada leher.

    “Identiti mangsa tidak dapat dikenal pasti kerana keadaan mayat yang reput dan tiada dokumen pengenalan diri dijumpai bersamanya. Mangsa dibunuh tiga hingga lima hari sebelum mayat dijumpai.

    “Sehubungan itu polis meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga supaya tampil membuat laporan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

    Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Yap Siew Cheng di talian 012-9093362.

  • Sembilan keluarga pilu rumah terbakar menjelang Syawal

    Sembilan keluarga pilu rumah terbakar menjelang Syawal

    “SAYA kena kuat dan reda dengan ketentuan Illahi walaupun rumah dan barangan kelengkapan persiapan Aidilfitri musnah terbakar,” kata Tuan Nah Tuan Mat, 53, seorang daripada mangsa kebakaran membabitkan sembilan rumah kampung di Lorong Senai-Berek 12, Kota Bharu, pagi tadi.

    Ketika kejadian pada pukul 9 pagi itu, Tuan Nah yang juga ibu tunggal kepada dua anak lelaki sedang membeli barangan dapur di Pasar Berek 12, yang terletak tidak jauh dari rumahnya, berasa terkejut apabila dimaklumkan seorang peniaga mengenai kejadian kebakaran di kawasan kejirannya.

    “Sebaik sahaja mendengar berita itu, saya terus bergegas pulang kerana takut sekiranya rumah terbakar itu rumah saya serta bimbang keselamatan dua anak lelaki yang berusia 24 dan 22 tahun.

    “Saya sangat terkejut kerana mendapati rumah saya hangus dijilat api dan tidak dapat menyelamatkan apa-apa barang dalam rumah terbabit, namun saya bersyukur anak-anak saya selamat,” katanya ketika ditemui Bernama, Kota Bharu, hari ini. 

    Beliau yang baharu sahaja kehilangan suami tercinta pada 24 Mac lepas, tidak menyangka  hidupnya ibarat ‘sudah jatuh, ditimpa tangga’ apabila terpaksa meraikan Hari Raya tahun ini tanpa suami dan rumah yang menjadi tempat berteduh tiga beranak itu.

    Peniaga Nasi Kerabu, Che Nab Che Jaafar, 65, yang turut menjadi mangsa kebakaran berkata beliau dan keluarganya terpaksa berputih mata apabila semua baju raya dan barangan jualannya tidak dapat diselamatkan kerana kejadian kebakaran itu berlaku dengan cepat.

    “Saya rasa sangat sedih sebab baju raya anak-anak, duit, barang-barang saya berniaga nasi kerabu semua terbakar dan tidak dapat diselamatkan.

    “Saya tidak tahu bagaimana saya dan keluarga hendak sambut Aidilfitri tahun ini,” katanya yang turut mengalami kerugian susulan kemusnahan 100 ekor ayam yang disimpan dalam peti sejuk beku di rumahnya itu.

    Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan Zainal Madasin berkata sebaik menerima panggilan pada 9.53 pagi, seramai 35 anggota dari tiga Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) iaitu Kota Bharu, Kota Darulnaim dan Pengkalan Chepa telah digerakkan ke lokasi. 

    “Sembilan rumah terlibat dalam kebakaran ini, dengan lima rumah terbakar 100 peratus manakala empat rumah lagi terbakar sebanyak 20 peratus.

    “Kita berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah lain pada pukul 10.30 pagi tadi,” katanya menambah punca kebakaran masih dalam siasatan. – Bernama

  • Wanita didenda RM1,000 tipu polis

    Wanita didenda RM1,000 tipu polis

    SEORANG wanita didenda sebanyak RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di Melaka hari ini selepas gadis itu mengaku bersalah membuat laporan palsu mendakwa diragut tahun lalu.

    Tertuduh, Eliza Natina Marsh, 21, membuat pengakuan itu selepas membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh.

    Mohamad Izwan dalam penghakimannya turut memerintahkan tertuduh dipenjara selama dua bulan sekiranya gagal membayar jumlah denda itu. Tertuduh membayar denda itu.

    “Ingat, jika IC (Mykad) hilang atas kecuaian sendiri jangan saja-saja buat laporan polis.

    “Kamu boleh bayar denda, sekarang dah ada rekod jenayah. Saya harap kamu ambil pengajaran dan faham risiko buat laporan palsu.

    “Setiap hari ada berpuluh ribu laporan diterima polis atas pelbagai kes jenayah. Bukan saja kes kamu. Kamu saja-saja buat laporan (palsu) hingga rugikan masa dan tenaga polis buat siasatan,” kata Mohamad Izwan dalam penghakimannya.

    Mengikut pertuduhan, Eliza Natina didapati membuat laporan palsu kepada Lans Koperal Lu Zeng Kai.

    Kesalahan itu dilakukan di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah D9 Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah pada pukul 4 petang, 9 Oktober 2021.

    Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

    Berdasarkan fakta, tertuduh membuat laporan kononnya dia didatangi suspek tidak dikenali yang mengambil barangan peribadinya mengandungi kad pengenalan diri di kawasan pasar malam Taman Sin, Ujong Pasir, Melaka.

    Siasatan polis kemudiannya mendapati laporan itu bercanggah dengan keterangan teman lelaki tertuduh yang menjelaskan Mykad gadis itu tercicir di pasar malam berkenaan dan bukan diragut.

    Tertuduh dan teman lelaki gagal mencari kad pengenalan itu dan polis mendapati motif dia membuat laporan palsu bertujuan memperbaharui kad pengenalan yang hilang.

  • Miss Thailand dihukum penjara kerana melacur

    Miss Thailand dihukum penjara kerana melacur

    SEORANG wanita warga asing dipenjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka hari ini atas kesalahan melacurkan diri dan memasuki negara ini tanpa dokumen perjalanan sah.

    Harian Metro melaporkan, Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh turut memerintahkan tertuduh, Miss Kanokon Phuangpanya, 32, dirujuk kepada Jabatan Imigresen bagi tujuan penyingkiran.

    Terdahulu, wanita warga Thailand itu mengaku bersalah atas tuduhan dibacakan terhadapnya mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan.
    Mengikut kesalahan itu, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

    Berdasarkan pertuduhan, Miss Kanokon didapati mencari pelanggan bagi tujuan pelacuran pada pukul 4.45 petang, 13 Januari 2021 di sebuah rumah di No B-15-04, Jalan Melaka Raya 8, Taman Melaka Raya, dalam Daerah Melaka Tengah.

    Bagi pertuduhan kedua, pada tarikh, tempat dan masa sama dia didapati tidak memiliki sebarang pas yang sah untuk masuk ke Malaysia.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 6 (3) akta sama, memperuntukkan hukuman denda maksimum 10,000 atau penjara maksimum lima tahun dan sebatan tidak lebih enam sebatan.

    Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam dan tiga bulan bagi pertuduhan pertama dan kedua, masing-masing serta menetapkan pemenjaraan berkuatkuasa dari tarikh tertuduh ditangkap pada 13 Januari 2021.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishar berhujah supaya tertuduh dikenakan hukuman setimpal kerana memasuki negara ini tanpa dokumen sah dan melakukan jenayah.

    Tertuduh yang tidak diwakili peguam bela memberitahu mahkamah dia berada di negara ini selama lapan bulan sebelum ditangkap dan merayu dihantar pulang segera ke Thailand.

  • Suami isteri direman peras ugut video lucah

    Suami isteri direman peras ugut video lucah

    PASANGAN suami isteri antara tiga yang ditahan reman selama tiga hari selepas dipercayai terbabit dalam sindiket pemerasan video lucah menggunakan media sosial baru-baru ini.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Suffian Sulaiman berkata, semua suspek berusia antara 23 hingga 39 tahun direman selama tiga hari sehingga Sabtu ini susulan dua laporan melibatkan kes pemerasan video lucah di Marang.

    Menurut beliau, mereka sebelum ini direman empat hari untuk siasatan berkait laporan polis diterima di daerah Kuala Terengganu.

    Katanya, hari ini, suspek diserahkan kepada polis Marang untuk siasatan mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan.

    Beliau berkata, kesemua suspek sebelum ini ditahan pasukan khas iaitu Op Cantas VC di Kedah pada Sabtu lalu.

    “Penahanan mereka susulan laporan polis yang diterima pada 11,13 dan 20 April lalu berkaitan pemerasan video lucah dengan satu kes berlaku di Kuala Terengganu manakala dua lagi di Marang,” ujarnya ketika dihubungi hari ini, lapor Harian Metro.

    Terdahulu, ketiga-tiga suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Marang bagi mendapatkan perintah tahanan reman di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda.

    Media sebelum ini melaporkan polis Terengganu menahan tiga individu termasuk pasangan suami isteri yang dipercayai terbabit dalam sindiket pemerasan video lucah menggunakan media sosial.

    Siasatan mendapati sindiket yang baharu bermula tahun ini dipercayai menggunakan media sosial seperti Michat, WeChat dan sebagainya untuk memperdayakan mangsa yang berusia antara 28 hingga 39 tahun untuk membuat panggilan video lucah sebelum memeras ugut mereka.

  • MBSJ sita empat premis milik warga asing

    MBSJ sita empat premis milik warga asing

    MAJLIS Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menyita dan menutup empat premis perniagaan dijalankan warga asing di sekitar Pangsapuri Angsana USJ 1, Subang Jaya, Petaling Jaya.

    Operasi yang bermula pukul 3 hingga 5 petang kelmarin itu disertai 39 anggota termasuk pegawai Jabatan Pelesenan dan Jabatan Penguatkuasaan MBSJ serta 11 anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

    Timbalan Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik MBSJ, Azfarizal Abdul Rashid berkata, premis penjualan arak secara haram yang diusahakan peniaga warga asing, antara yang disita dalam operasi itu.

    “Selain itu, MBSJ mengeluarkan 26 Notis Tawaran Kompaun (NTK) sepanjang operasi yang dijalankan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP),” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Dalam pada itu, katanya, KPDNHEP turut mengeluarkan kompaun RM300 kepada seorang pemilik kedai runcit kerana gagal menggunakan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal iaitu telur ayam gred A/B/C di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.

    Azfarizal menambah, pemantauan berkala akan terus dijalankan dari semasa ke semasa dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak didapati melanggar peraturan dan syarat ditetapkan.

  • Tiga penguat kuasa JPJ mengaku salah terima suapan

    Tiga penguat kuasa JPJ mengaku salah terima suapan

    TIGA pembantu penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) masing-masing didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan menerima suapan berjumlah RM20,000 pada 2021.

    Tertuduh, Mohamad Fadzli Robaini, 32; Sazali Rani, 53, dan Mohd. Khairumin Sahdan, 35, membuat pengakuan berkenaan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

    Sinar Harian melaporkan, ketiga-tiga mereka yang bertugas di Unit Peronda Lebuhraya Jelapang itu juga berdepan hukuman penjara satu bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

    Kesemua tertuduh didakwa telah menerima wang tunai berjumlah RM20,000 daripada Lee Kok Wong, 29, agar tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas Cheong Chee Wei, 41 atas kesalahan membawa barang muatan arak tanpa surat kebenaran semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    Perbuatan itu dilakukan di tepi Lebuh Raya Utara-Selatan dalam daerah Kinta antara pukul 10 pagi hingga 1.10 petang pada 6 Jun 2021.

    Pendakwaan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

    Mahkamah kemudiannya memerintahkan wang rasuah berjumlah RM18,65011 daripada ketiga-tiga tertuduh dilucuthakkan di bawah seksyen 40(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 kepada kerajaan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Maziyah Mansor manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam Muhaimin Ari

  • 10 lawan 1 – Pelajar dibelasah beramai-ramai dalam kelas

    10 lawan 1 – Pelajar dibelasah beramai-ramai dalam kelas

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Polis menerima laporan daripada seorang pelajar berusia 16 tahun yang mendakwa dibelasah beramai-ramai di sebuah sekolah di Langkawi, semalam.

    Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner (ACP) Shariman Ashari berkata, kejadian itu dipercayai berpunca daripada perselisihan faham akibat ejekan.

    Menurutnya, laporan polis itu dibuat pelajar berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi, awal pagi ini.

    “Siasatan awal mendapati kejadian itu dipercayai berlaku semalam kira-kira pukul 9 pagi di sebuah kelas dalam sekolah berkenaan.

    “Suspek sedang dikenal pasti dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan ringkas di Langkawi, hari ini.

    tersebar klip video yang memaparkan kejadian itu dengan mangsa dilihat dibelasah oleh sekurang-kurangnya 10 pelajar lain.

    Sementara itu di media sosial, tersebar klip video yang memaparkan kejadian itu dengan mangsa dilihat dibelasah oleh sekurang-kurangnya 10 pelajar lain.

    Terdahulu mangsa dilihat berperang mulut dengan rakannya sebelum seorang pelajar lain dilihat menendang dari belakang sehingga membuatkan pelajar lain berkerumun bagi membelasahnya.

    Shariman menambah, mangsa turut dirujuk ke hospital bagi menjalani pemeriksaan namun dia setakat ini didapati tidak mengalami kecederaan fizikal.

    “Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Hukuman penjara terhadap Su Kyi cetus kebimbangan – Saifuddin

    Hukuman penjara terhadap Su Kyi cetus kebimbangan – Saifuddin

    Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menyuarakan kebimbangannya terhadap perkembangan terbaharu berhubung hukuman yang dijatuhi ke atas pemimpin yang digulingkan, Aung San Suu Kyi, 76, atas pertuduhan rasuah.

    Menerusi ciapannya di twitter beliau berkata, prinsip asas hak asasi manusia dan keadilan perlu dikekalkan dan dipatuhi di Myanmar.

    Saifuddin turut berkongsi ciapan Nabila Massrali, jurucakap Kesatuan Eropah (EU) untuk Hal Ehwal Luar Negeri dan Dasar Keselamatan yang menulis: “Perbicaraan Aung San Suu Kyi bermotifkan politik, satu lagi tindakan yang menidakkan kedaulatan undang-undang dan betapa lemahnya demokrasi di Myanmar. EU menyeru agar semua pemimpin politik yang ditahan sewenang-wenangnya sejak rampasan kuasa dibebaskan”.

    Mahkamah junta di Myanmar pada Rabu menjatuhkan hukuman penjara lima tahun kepada Suu Kyi atas dakwaan rasuah.

    Beliau didapati bersalah menerima wang tunai dan emas daripada bekas Ketua Menteri Yangon, Phyo Min Thein, lapor Agensi Anadolu memetik laman sesawang Myanmar Now.

    Thein mendakwa memberi Suu Kyi wang tunai US$600,000 dan 11.4 kilogram emas “sebagai balasan untuk membantu perniagaannya.” Suu Kyi menyifatkan tuduhan itu sebagai ‘tidak berasas.’

    Sejak Disember lepas, pemenang Nobel itu telah dijatuhi hukuman penjara sebanyak 11 tahun melibatkan beberapa kes. Keputusan untuk 11 lagi pertuduhan masih belum selesai.

    Kerajaan Suu Kyi telah digulingkan dalam rampasan kuasa tentera pada tahun lepas, selepas memperoleh kemenangan besar pada pilihan raya November 2020.

    Rampasan kuasa itu disusuli dengan bantahan besar-besaran yang menyaksikan junta melakukan kekerasan terhadap penunjuk perasaan.

    Sejak itu lebih 1,500 orang terbunuh, menurut sebuah kumpulan pemantau tempatan. – Bernama