Author: Admin

  • Lelaki mengaku salah setubuhi, amang seksual anak tiri

    Lelaki mengaku salah setubuhi, amang seksual anak tiri

    SEORANG lelaki berusia 35 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini atas enam pertuduhan melakukan persetubuhan dan amang seksual fizikal terhadap anak tiri perempuannya antara Januari 2020 hingga minggu lalu.

    Mengikut tiga pertuduhan di hadapan Hakim Norhayati Mohd. Yunus, tertuduh yang bekerja sebagai tukang rumah didakwa melakukan persetubuhan terhadap kanak-kanak perempuan iaitu anak tirinya berusia 11 tahun 8 bulan.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Bandar Perai Jaya di sini antara Januari 2020 hingga 23 April tahun ini.

    Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun dan boleh disebat jik sabit kesalahan.

    Sementara itu menerusi tiga lagi pertuduhan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof, dia turut didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa sama dengan cara menghisap buah dada dan menjilat kemaluannya.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan.

    Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aisyah Al Humayrah Kamaruzaman dan Muhamad Syeqal Che Murat manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Kes akan disebut semula pada 30 Mei ini sementara menunggu laporan perubatan, laporan psikiatri dan laporan pusat temubual kanak-kanak (CIC).

    Dalam pada itu, di hadapan Hakim Noorhayati, isteri tertuduh berusia 40 tahun turut mengaku bersalah mengabaikan mangsa sama yang merupakan anak kandungnya sehingga menyebabkan kecederaan emosi.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan dalam tempoh dan tempat yang sama.

    Wanita itu didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-dua sekali.

    Kes terhadapnya dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aisyah Al Humayrah, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Kes akan disebut semula pada 31 Mei depan sementara menunggu laporan psikiatri mangsa.

    Kedua-dua tertuduh tidak dibenarkan untuk diikat jamin.

  • [VIDEO] Pengotor… Harry minum air kencing kerana mahu awet muda

    [VIDEO] Pengotor… Harry minum air kencing kerana mahu awet muda

    Seorang lelaki, Harry Matadeen, 34, mendakwa perbuatan meminum air kencing sendiri adalah kunci untuk kesihatan dan awet muda.

    Dia yang berasal dari Hampshire, United Kingdom (UK) percaya amalan yang menjijikkan itu membuatkannya kelihatan 10 tahun lebih muda.

    Memetik laporan Mirror, dia telah meminum air kencingnya sejak 2016 dan dikatakan sembuh daripada masalah mental yang dihidapinya.

    Kata Harry, kesan meminum air kencing memang ‘luar biasa’ dan ia telah mengaktifkan otaknya serta menghilangkan kemurungan.

    “Saya rasa damai, tenang dan bersemangat. Saya fikir ‘wow saya boleh menghasilkannya sendiri secara percuma dan sentiasa kekal dalam keadaan gembira’,” katanya.

    Menurut Harry, air kencingnya adalah ‘sangat bersih’ dan kini ‘menikmati’ 200 mililiter cecair najis itu setiap hari.

    Lebih menjijikkan, kebanyakan air kencing yang diminumnya telah disimpan selama sebulan.

    “Sekarang, saya menyukai bau dan rasa air kencing yang diperam,” jelasnya.

    Walau bagaimanapun, Harry dikecam keras oleh keluarganya ekoran perbuatannya meminum air kencing sendiri.

    “Keluarga saya tidak bersetuju dengannya dan dari mula mereka berpandangan ia menjijikkan.

    “Kakak saya tidak mahu bercakap dengan saya dan salah satu sebabnya adalah terapi air kencing yang saya jalani.

    “Saya pula memastikan kawan-kawan saya juga meminum air kencing atau sekurang-kurangnya tidak mengecam perbuatan itu,” katanya.

    Harry bukan sahaja minum, malah dia turut melumurkan air kencing pada mukanya sebagai kaedah penjagaan kulit.

    “Air kencing menjadikan saya kelihatan lebih muda. Minum air kencing yang diperam telah menyegarkan semula wajah saya seperti usia belia dahulu dan apabila saya melumurkannya ke muka, perbezaannya adalah pantas dan ketara,” katanya.

    Sementara itu, seorang pengamal perubatan, Dr Jeff Foster menyangkal dakwaan Harry.

    “Air kencing adalah bahan buangan yang mengandungi kira-kira 90 peratus air. Selebihnya adalah ammonia, garam, bakteria dan bahan buangan lain.

    “Tiada manfaat kesihatan pernah dilaporkan tentang meminum atau melumurkan air kencing pada tubuh.

    “Ia boleh menjadikan keadaan kesihatan lebih buruk kerana ia akan mempercepatkan proses dehidrasi dan menyebabkan jangkitan bakteria,” jelasnya.

    Orang ramai dinasihatkan agar tidak meniru perbuatan Harry kerana air kencing adalah bahan buangan yang mengandungi pelbagai kotoran yang dikeluarkan dari tubuh.

    Malah, Islam mengkategorikan air kencing manusia sebagai najis mutawassitah.

  • Kes pukul di sekolah: 13 pelajar dibebaskan dengan jaminan polis

    Kes pukul di sekolah: 13 pelajar dibebaskan dengan jaminan polis

    SEBANYAK 13 pelajar tingkatan empat sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di Langkawi yang ditahan semalam bagi membantu siasatan berhubung kes seorang pelajar lelaki dipukul beberapa pelajar lain dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

    Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Shariman Ashari berkata semua rakaman percakapan telahpun diambil dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.

    “Kesemua yang ditangkap diberi jaminan polis,” katanya ringkas melalui aplikasi WhatsApp hari ini.

    Semalam, media melaporkan polis mengesahkan menerima laporan berkaitan kes seorang pelajar lelaki berumur 16 tahun dipercayai dipukul beberapa pelajar lain yang tular menerusi satu rakaman video.

    Kejadian pada 9 pagi kelmarin itu dipercayai akibat perselisihan faham antara mangsa dengan pelajar lain yang mangsa kemudiannya membuat laporan polis berhubung kejadian itu pagi semalam.

    Kemudian, polis menahan 13 pelajar tingkatan empat terbabit dengan masing-masing 12 pelajar ditahan pada 12.30 tengah hari manakala seorang lagi ditahan 3 petang semalam.

    — BERNAMA

  • Untitled post 34000

    Anwar Ibrahim persoal kenapa kes dakwaan rasuah beli kapal selam belum dibawa ke mahkamah…

    SPRM tak nak siasat ke kenapa lambat?

  • Gambar YDP Majlis Perbandaran Klang pun jadi mangsa ‘scammer’

    Gambar YDP Majlis Perbandaran Klang pun jadi mangsa ‘scammer’

    MAJLIS Perbandaran Klang (MPK) hari ini membuat laporan polis susulan gambar Yang Dipertua (YDP) badan itu, Noraini Roslan, disalah guna oleh ‘scammer’ sebagai profil aplikasi WhatsApp untuk meminjam wang daripada kenalannya.

    Pengarah Komunikasi Korporat MPK Norfiza Mahfiz berkata laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Klang Selatan selepas Noraini menerima beberapa panggilan daripada kenalan beliau termasuk Ahli MPK yang mahukan pengesahan mengenai perkara tersebut.

    Beliau berkata ‘scammer’ meminta kenalan YDP memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun RHB (26403000018474) atas nama Collection Enterprise.

    “Laporan polis yang dilakukan ini adalah untuk memaklumkan kepada umum bahawa YDP MPK tidak pernah meminta wang seperti yang tular dalam media sosial sejak semalam. 

    “Orang ramai terutama warga Klang diminta berhati-hati dengan penyamaran ini kerana ia boleh menyebabkan kerugian pada mereka yang tertipu,” menurutnya dalam kenyataan hari ini. – Bernama

  • Kes pukul di sekolah: 13 pelajar tingkatan empat ditahan

    Kes pukul di sekolah: 13 pelajar tingkatan empat ditahan

    POLIS menahan seramai 13 pelajar tingkatan empat sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di Langkawi hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes seorang pelajar lelaki dipukul beberapa pelajar lain yang tular menerusi satu rakaman video.

    Ketua Polis Daerah Langkawi, ACP Shariman Ashari berkata seramai 12 pelajar ditahan pada 12.30 tengah hari tadi manakala seorang lagi ditahan pukul 3 petang.

    “Daripada jumlah kesemua pelajar yang ditahan, lima daripada mereka merupakan rakan sekelas kepada mangsa manakala baki yang lain dari kelas berasingan. Rakaman percakapan sedang diambil bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Terdahulu, media melaporkan polis menerima satu laporan berkaitan kes seorang pelajar lelaki berumur 16 tahun yang dipukul beberapa pelajar lain dalam satu rakaman video berdurasi 25 saat.

    Kejadian yang berlaku pada 9 pagi semalam itu dipercayai akibat perselisihan faham antara mangsa dengan pelajar lain yang mangsa kemudiannya membuat laporan polis berhubung kejadian itu pagi tadi. –Bernama

  • Salahuddin gesa siasat komplot cemar badan kehakiman negara

    Salahuddin gesa siasat komplot cemar badan kehakiman negara

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    POLIS digesa menyiasat dakwaan terdapat satu komplot yang mahu menghina dan mencemarkan badan kehakiman negara menerusi tuduhan dilemparkan terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali.

    Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, usaha tersebut dilakukan pihak tertentu dan jelas terdapat satu perancangan besar di sebalik dakwaan terhadap Mohd. Nazlan.

    “Adalah ironis bahawa seorang hakim yang berintegriti dan menjalankan tanggungjawabnya dengan baik telah dikaitkan dengan dakwaan melakukan salah laku dan menimbulkan keresahan orang ramai.

    “Ini amat berbahaya dan sebab itu wakil parti Amanah membuat laporan polis di semua negeri supaya siasatan dapat dijalankan,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Baru Utara, Johor Bahru, hari ini.

    Katanya, polis juga digesa menyiasat pihak yang bertanggungjawab membangkitkan kebencian terhadap Mohd. Nazlan dan memburuk-burukkan badan kehakiman negara.

    Parti Amanah katanya, akan membuat susulan dengan pihak berkuasa mengenai langkah seterusnya selepas siasatan selesai.

    “Apa yang penting ialah kita perlu membuka mata orang ramai tentang usaha pihak berkenaan untuk mengganggu kehakiman negara,” katanya.

    Pada 20 April lalu, Blogger Raja Petra Kamarudin mendakwa Mohd. Nazlan disiasat berhubung terpalit konflik kepentingan dalam kes rayuan SRC International yang membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

    Menurut Raja Petra dalam portalnya Malaysia Today, Mohd. Nazlan disiasat berhubung wang RM1 juta yang tidak diisytihar dalam akaunnya.

    Pada 21 April, Mohd. Nazlan membuat laporan polis berhubung satu artikel mendakwa beliau sedang disiasat kerana wang yang tidak dapat dijelaskan dalam akaun banknya.

    Mohd. Nazlan adalah hakim perbicaraan yang mensabitkan kesalahan terhadap Najib berhubung kes SRC International, pada 28 Julai 2020.

  • Sindiket dadah berselindung di sebalik perniagaan bundle edar syabu, ganja hampir RM1 juta

    Sindiket dadah berselindung di sebalik perniagaan bundle edar syabu, ganja hampir RM1 juta

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    POLIS Pulau Pinang berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah yang berselindung di sebalik perniagaan pakaian terpakai (bundle) apabila merampas syabu dan ganja yang dianggarkan bernilai hampir RM1 juta.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, sindiket itu berjaya ditumpaskan dalam beberapa serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT) pada 25 dan 27 April lalu.

    Jelas beliau, turut ditahan dalam serbuan sekitar pukul 3 dan 4 pagi itu ialah enam ahli sindiket itu termasuk seorang wanita Indonesia berusia antara 22 hingga 55 tahun.

    Ujarnya, serbuan pertama dilakukan di sebuah rumah di daerah SPT yang mana polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun yang bekerja sebagai mekanik dan merampas satu bungkusan syabu seberat kira-kira satu kilogram (kg) bernilai RM37,980.

    “Penahanan suspek pertama itu membawa kepada dua lagi serbuan di premis perniagaan di SPT yang mana dua lelaki tempatan berusia 22 dan 23 tahun serta seorang wanita Indonesia berusia 24 tahun ditahan.

    “Turut dirampas bersama mereka adalah satu bungkusan syabu seberat 666.6 gram bernilai RM23,997.50; 14 bungkusan syabu seberat 14.37 kg bernilai RM517,140 dan lima bungkusan ganja seberat 4.9 kg bernilai RM12,160,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat polis kontinjen (IPK) Pulau Pinang, hari ini.

    Menurut Mohd. Shuhaily, serbuan keempat di sebuah lagi premis di SPT pula berjaya menahan dua lagi ahli sindiket itu iaitu lelaki tempatan berusia 53 dan 55 tahun dan satu bungkusan syabu seberat 621 gram bernilai RM22,356 serta dua peket plastik ganja seberat 41 gram (RM10.50) berjaya dirampas.

    Katanya, hasil soal siasat ke atas salah seorang suspek kemudiannya membongkar premis perniagaan pakaian terpakai (bundle) yang turut dijadikan stor penyimpanan dadah yang mana sebanyak 144 bungkusan ketulan mampat ganja seberat 146.25 kg bernilai RM365,625 berjaya dirampas.

    Jelas beliau, siasatan mendapati sindiket itu mula aktif mengedar dadah untuk pasaran tempatan sejak Januari lalu dan polis turut menyita tiga buah kenderaan bernilai RM45,000 menjadikan jumlah keseluruhan rampasan dadah dan sitaan sebanyak RM1.024 juta.

    Tambah beliau, hasil saringan air kencing ke atas kesemua suspek mendapati tiga daripada mereka positif dadah jenis methampethamine; morfin dan THC manakala lima daripada mereka turut mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

    “Kesemua tangkapan ditahan reman selama tujuh hari bermula 25 April lalu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

  • Wajib pakai pakaian seragam sekolah bermula penggal kedua persekolahan – KPM

    Wajib pakai pakaian seragam sekolah bermula penggal kedua persekolahan – KPM

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) mewajibkan semua murid untuk memakai pakaian seragam sekolah bermuka penggal kedua sesi persekolahan pada 12 Jun 2022.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, peraturan berkenaan akan dilaksanakan sepertimana ketika sebelum negara dilanda pandemik Covid-19.

    “Jika sebelum ini Kementerian Pendidikan (KPM) menggalak murid-murid untuk pakai pakaian seragam, tetapi bermula 12 Jun 2022, murid-murid diwajibkan,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhar yang berlangsung, hari ini.

    Dalam pada itu katanya, kewajipan itu termasuk peraturan yang memperuntukkan murid untuk memastikan potongan rambut mengikut ketetapan pihak sekolah.

    “Kalau sebelum ini ramai datang ke sekolah dengan rambut panjang kerana dilonggarkan untuk tidak gunting rambut. Namun, bermula 12 Jun ini, peraturan ini adalah sepertimana sebelum pandemik,” ujarnya lagi.

  • Guru tidak perlu pakai pelitup muka ketika mengajar – KPM

    Guru tidak perlu pakai pelitup muka ketika mengajar – KPM

    GURU-guru tidak lagi perlu memakai pelitup muka ketika mengajar di dalam kelas berkuat kuasa bermula 1 Mei ini.

    Perkara itu diumumkan oleh Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin dalam satu sidang akhbar yang berlangsung hari ini.

    Katanya, guru-guru dibenarkan untuk menanggalkan pelitup muka ketika sedang menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam kelas.

    “Ramai guru-guru tertunggu-tunggu di mana sewaktu mengajar mereka perlu memakai pelitup muka untuk satu tempoh yang panjang dan lama. Kali ini ketika mengajar di hadapan kelas guru-guru tidak lagi perlu memakai pelitup muka,” katanya, lapor Satu Berita.

    Bagaimanapun katanya, selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) pada Rabu, murid-murid masih perlu memakai pelitup muka ketika berada di dalam bangunan.

    “Pelitup muka wajib dipakai dalam ruangan tertutup di dalam premis sekolah termasuk bilik darjah, pusat sumber, perpustakaan, dan mana-mana premis di dalam sekolah yang tertutup,” ujarnya.

    Sementara itu, kelonggaran untuk tidak memakai pelitup muka adalah sekiranya sedang bersendirian, semasa aktiviti sukan dan rekreasi termasuk aktiviti Pendidikan Jasmani, kanak-kanak berusia 5 tahun ke bawah, individu keperluan khas, individu mempunyai masalah pernafasan (perlu kemukakan lapiran kesihatan).