Author: Admin

  • Serbu premis curi air untuk kerja pembinaan banglo

    Serbu premis curi air untuk kerja pembinaan banglo

    SYARIKAT Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (Sains) menyerbu sebuah premis yang melakukan penyambungan air secara haram untuk kegunaan pembinaan banglo dalam satu operasi di Port Dickson, pukul 2.30 petang kelmarin.

    Serbuan dilakukan pegawai Unit Penguatkuasaan Sains serta Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

    Ketua Bahagian Perhubungan Awam Sains, Norzita Ismail berkata, siasatan di tapak mendapati penghuni melakukan penyambungan tidak sah menggunakan paip High Density Polyethlene (HDPE) bersaiz 25 milimeter tanpa melalui sebarang meter.

    “Penyambungan itu untuk kegunaan ubahsuai premis dan aktiviti harian pekerja binaan yang tinggal di premis berkenaan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 89(9) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 dan sekiranya disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda sebanyak RM50,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya memetik laporan Harian Metro hari ini.

    Beliau berkata, pegawai penguat kuasa Sains turut menjalankan ujian klorin di lokasi terbabit dan terbukti bekalan air yang digunakan adalah air terawat milik Sains.

    Menurutnya, pihak SPAN menyita semua pepasangan dan punca sambungan yang dibuat sebagai bahan bukti.

    “Sains tidak akan berkompromi dengan sebarang kegiatan mencuri air dan akan sentiasa mempertingkatkan pemantauan serta penguatkuasaan terhadap kegiatan berkenaan.

    “Orang ramai juga digalak membantu dengan melaporkan sebarang kes curi air kepada talian bebas tol Sains 1-800-88-6982,” katanya.

  • Dua maut, tiga parah nahas di Jeli

    Dua maut, tiga parah nahas di Jeli

    DUA maut manakala tiga lagi parah dalam kemalangan yang membabitkan dua kenderaan di Kilometer 108, Jalan Raya Timur Barat dekat Jeli, Kota Bharu, kira-kira pukul 11 malam tadi.

    Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Shuhaimi Jusoh berkata, mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian terdiri daripada pemandu Perodua Alza, Mohd Hazlan Ibrahim @ Saleh, 33, dan pemandu Proton Wira, Muhamad Baijuri Mohd Shariff, 26.

    Beliau berkata, tiga lagi yang parah adalah penumpang Perodua Alza iaitu wanita berusia 31 tahun, dua kanak-kanak berusia lapan dan enam tahun, manakala seorang kanak-kanak berusia satu tahun yang turut terbabit dalam kemalangan itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

    “Kemalangan dipercayai berlaku apabila Proton Wira terbabas dan masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar Perodua Alza. Kesemua mangsa kemalangan dibawa ke Hospital Jeli untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

    Shuhaimi berkata siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Hubungan Malaysia, Singapura tidak terjejas kes Nagaenthran:Saifuddin

    Hubungan Malaysia, Singapura tidak terjejas kes Nagaenthran:Saifuddin

    MENTERI Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah memaklumkan, hubungan Malaysia, Singapura tidak terjejas susulan kes Nagaenthran Dharmalingam yang menjalani hukuman mati di Penjara Changi, Singapura Rabu lalu, selepas didapati bersalah menyeludup dadah ke negara itu pada 2009.

    Jelas beliau, ini kerana kerajaan Malaysia menghormati lunas undang-undang yang dijalankan Singapura, lapor Harian Metro.

    “Daripada segi hubungan diplomatik, ia tidak terjejas kerana saling memahami antara satu sama lain iaitu keperluan setiap kerajaan dan negara untuk menegakkan keluhuran undang-undang masing-masing.

    “Dalam kes Nagaenthran, ini bukan kes pertama rakyat Malaysia menjalani hukuman mati di Singapura,” katanya ketika ditemui pada program MyRakyat Sentuhan Kasih Aidilfitri di perkarangan Wisma Belia Indera Mahkota, Kuantan, hari ini.

    Nagaenthran, 34, yang berasal dari Perak dijatuhi hukuman mati pada 2010 kerana mengedar 42.72g heroin pada 2009 ke Singapura.

    Nagaenthran sepatutnya dijadualkan menjalani hukuman pada 10 November 2021 tetapi mendapat perintah penangguhan sementara pada 9 November selepas mahkamah dimaklumkan dia positif Covid-19 ketika hadir untuk mengemukakan rayuan terakhirnya.

    Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, sekurang-kurangnya dua pusingan dilakukan pihak kerajaan yang mencuba sedaya upaya untuk mendapatkan keampunan dan dikurangkan hukuman ke atas Nagaenthran.

    “Pada pusingan pertama, saya mengutus surat kepada Menteri Luar Singapura dan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Yaakob, kepada Perdana Menteri Singapura.

    “Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah juga mengutus surat kepada Presiden Republik Singapura.

    “Pada minggu akhir sebelum hukuman dilaksanakan, Perdana Menteri dan saya mengutus sekali lagi surat termasuk mencadangkan pertukaran banduan. Kedua-dua surat itu dibalas dengan baik oleh kerajaan Singapura,” katanya.

    Berkenaan cadangan pertukaran banduan, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata, Malaysia dan Singapura tiada sebarang perjanjian pertukaran banduan itu.

    Katanya, kerajaan mencadangkannya dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin akan melihat lebih lanjut berhubung perkara itu.

    “Kalau tidak berjaya pada masa ini, mungkin pada masa depan kerana kita bersedia pada tahap adanya pertukaran banduan ini,” katanya.

  • Anwar gesa kerajaan segera perjelas beberapa isu berbangkit

    Anwar gesa kerajaan segera perjelas beberapa isu berbangkit

    KERAJAAN perlu memberi penjelasan berkaitan beberapa perkara yang timbul sejak kebelakangan ini.

    Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membuat gesaan itu berkata, isu-isu tersebut memerlukan tindakan dan jawapan segera bagi mengelakkan Malaysia sukar untuk bangkit sebagai negara berintegriti dan bertanggungjawab.

    Tegasnya, Perdana Menteri tidak seharusnya berdiam diri tatkala hal-hal mendesak itu terus mencengkam negara dan rakyat serta bertentangan dengan semangat Perlembagaan dan Memorandum Persefahaman (MoU).

    “Saya fikir sekiranya ia tidak ditangani dan dibetulkan, maka Malaysia akan menemui kepayahan untuk bangkit semula sebagai tatanan yang baik, berintegriti dan bertanggungjawab,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook miliknya, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Dalam pada itu Anwar turut menyenaraikan enam perkara yang dituntut mendapatkan penjelasan segera kerajaan antaranya isu melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Badan Kehakiman Negara melibatkan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali; skandal rasuah transaksi penjualan kapal selam kepada Malaysia pada 2002 melibatkan dakwaan Mahkamah Perancis terhadap syarikat aset pertahanan, Thales serta pendedahan terkini mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di mahkamah di New York, Amerika Syarikat.

    Selain itu Anwar turut menuntut penjelasan mengenai kes melibatkan Serba Dinamik dan Suruhanjaya Sekuriti; projek mega pelaksanaan rangkaian 5G yang dianugerahkan kepada konglomerat Digital Nasional Berhad (DNB) serta kejatuhan matawang ringgit Malaysia akibat hilang keyakinan terhadap dasar dan keupayaan kerajaan dalam mengemudi ekonomi.

    “Yang terakhir adalah berkaitan kos sebenar projek MRT yang kini mencecah RM60 bilion, hal semasa terkait inflasi dan harga barang juga mesti ditangani dengan baik agar beban kepada rakyat dapat dikurangkan.

    “Kelesuan ekonomi saat ini ketimbang negara jiran Indonesia dari segi pelaburan asing (FDI) serta angka-angka melibatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, pertumbuhan ekonomi, kadar kemiskinan serta pengangguran mesti dicerakinkan, diperbetul dan diperkukuhkan.

    “Saya menyeru rakyat supaya sedar dan menolak kelesuan ini serta bangkit menuntut perubahan sebaiknya,” ujarnya.

  • Elak gajah melintas, dua kereta kemalangan

    Elak gajah melintas, dua kereta kemalangan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    DUA kereta terlibat dalam kemalangan selepas cuba mengelak seekor gajah yang melintas di Kilometer 70, Jalan Batu Pahat-Mersing, dekat Kluang pada pukul 9 malam kelmarin.

    Dalam kejadian tersebut, kemalangan melibatkan sebuah kereta Perodua Alza dan Proton Saga itu berlaku kerana gajah tersebut dikatakan muncul secara tiba-tiba serta kawasan tersebut gelap.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Deputi Superitendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata, nahas berlaku apabila Perodua Alza dipandu seorang wanita warga tempatan berumur 21 tahun dari arah Kluang telah brek mengejut mengelakkan sebuah gajah yang sedang melintas jalan.

    “Kemudian sebuah kereta Proton Saga yang dipandu seorang lelaki warga tempatan dari arah yang sama gagal mengelak lalu terlanggar Perodua Alza berkenaan.

    “Kedua-dua kereta berkenaan mengalami kerosakan namun tiada kecederaan berlaku,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Menurutnya, kes berkenaan disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 (Peraturan 10 LN 166/59).

    Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai agar sentiasa memandu dengan berhemah, berhati-hati dan mematuhi undang-undang jalan raya menjelang Hari Raya Aidilfitri.

    “Pengguna jalan raya di daerah Kluang juga dinasihatkan supaya berwaspada di jalan raya tertentu di mana ada lintasan binatang liar seperti gajah, tapir dan lain-lain,” katanya.

    Orang ramai yang mempunyai sebarang masalah boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Kluang melalui

    talian 07-7784256, Direct line:07-7784256, Hotline:07-7766822 atau Tablet DCC:014-3656822.

  • Pas Kelantan tidak gentar dengan gabungan Ku Li-Amanah

    Pas Kelantan tidak gentar dengan gabungan Ku Li-Amanah

    PAS Kelantan tidak bimbang dengan kerjasama yang dicetuskan oleh Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li dengan Parti Amanah Negara (Amanah) untuk merampas pentadbiran negeri ini daripada tangan Pas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Ketua Penerangan Pas Kelantan, Mohd. Nassuruddin Daud berkata, ini kerana rakyat masih memberikan kepercayaan kepada parti itu untuk menerajui pentadbiran negeri ini sekiranya dilihat kepada rekod lalu.

    Sinar Harian melaporkan, beliau berpandangan, mana-mana pihak boleh sahaja mencipta gabungan politik kerana negara ini mengamalkan demokrasi.

    “Selebihnya, kita serahkan kepada rakyat untuk membuat keputusan berkait dengan perkara tersebut.

    “Kebiasaan sesebuah parti yang ingin membentuk sebarang kerjasama politik perlu diputuskan oleh pucuk pimpinan tertinggi.

    “Individu tidak boleh membuat keputusan berkait dengan parti,” katanya mengulas gabungan baharu iaitu Angkatan Amanah Merdeka Rakyat Kelantan yang diketuai oleh Ku Li untuk merampas negeri ini daripada Pas.

    Mohd Nassuruddin sebelum itu meraikan pengamal media Kelantan di bawah Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Urusetia Penerangan Kerajaan Kelantan di Kota Bharu.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti itu berkata, jarang berlaku individu buat kerjasama tanpa keputusan rasmi dari parti

    “Siapa nak buat kerjasama itu terpulang, tetapi keputusan tersebut mesti dibuat oleh parti. Pas pun kita masih ada kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN).

    “Kita selalu sebut, orang Islam wajib bersatu. Pendirian kita (Pas) jelas, bukan bersatu sama Islam bahkan bukan Islam yang tidak ‘extreme’ pun kita ajak bersatu dalam satu Keluarga Malaysia,” katanya.

    Mohd. Nassuruddin berkata, sekiranya gabungan itu mahu merampas Kelantan, Pas akan berusaha mempertahankannya.

  • ‘Scammer’ godam aplikasi Telegram, menyamar rakan pinjam wang

    ‘Scammer’ godam aplikasi Telegram, menyamar rakan pinjam wang

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MENGGODAM akaun Telegram mangsa sebelum menyamar sebagai rakan lalu menghubungi mangsa melalui aplikasi berkenaan bagi meminjam wang.

    Itu merupakan modus operandi terbaharu scammer bagi memperdayakan mangsa yang dikesan melibatkan 39 kes dari 1 Januari hingga Rabu lalu.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Johor, Asisten Komisioner Amran Md. Jusin berkata, nilai kerugian mangsa membabitkan RM259,450.

    “Namun terdapat sedikit penurunan berbanding tempoh yang sama tahun lalu yang membabitkan 75 kes membabitkan kerugian RM462,368.90.

    “Walaupun kes pada tahun ini menunjukkan penurunan namun kes berkenaan masih berlaku dan mencatatkan kerugian besar kepada mangsanya.

    “Modus operandi sindiket penyamaran ini adalah dengan menggodam akaun Telegram milik mangsa dan menghubungi senarai rakan mangsa yang diperoleh daripada akaun aplikasi itu,” katanya dalam satu kenyatan hari ini.

    Katanya, sindiket penyamaran itu kemudian menggunakan gambar profil pemilik akaun atau mangsa sebenar yang sebelum memberi mesej kepada rakan mangsa bagi membuat meminjam wang dalam jumlah besar.

    “Pemilik akaun sebenar hanya akan menyedari perkara itu apabila akaun Telegram mereka tidak dapat diakses atau menerima panggilan rakan mengenai kesahihan pinjaman wang yang ingin dibuat,” katanya.

    Justeru, Amran mengingatkan orang awam supaya tidak mudah percaya dengan mesej untuk meminjam wang yang diterima daripada rakan dan kenalan mereka apatah lagi individu tertentu.

    “Hubungi rakan serta kenalan dahulu menggunakan talian telefon biasa untuk pengesahan dahulu sebelum membuat pembayaran wang apatah lagi jika pembayaran diarahkan dibuat atas nama akaun individu lain,” kataya.

    Selain itu katanya, perlu aktifkan penetapan pin keselamatan akaun Telegram masing-masing bagi memastikan keselamatan akaun mereka dapat dipertingkatkan daripada digodam.

    Amran berkata, orang ramai boleh menghubungi CCID Scam Response Centre di talian 03-26101559 atau 03-26101599 bagi mendapatkan maklumat lanjut atau nasihat berkaitan sindiket berkenaan.

    Tambahnya, gunakan perkhidmatan Semak Mule secara dalam talian bagi membuat semakan sama ada akaun bank atau nombor telefon digunakan itu pernah terbabit dalam jenayah komersil.

  • Guru wanita diperdaya RM276,000 terjerat scammer ‘KKM’

    Guru wanita diperdaya RM276,000 terjerat scammer ‘KKM’

    SEORANG guru wanita mengalami kerugian RM276,000 selepas terjerat dengan panggilan kononnya daripada seorang pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) pada awal bulan ini.

    Kejadian itu bermula pada 6 April lalu apabila mangsa, 41, menerima panggilan telefon daripada individu mendakwa daripada KKM Putrajaya.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Abd Ghani berkata, suspek memberitahu mangsa membeli ubat setiap bulan dengan cara berlebihan kuantiti.

    “Dia didakwa membuat pembelian itu sejak 1 hingga 28 Mac lepas di Klinik Komuniti Ipoh, Perak sebelum disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Perak dan laporan polis telah dibuat untuk dihantar ke KKM.

    “Bagaimanapun semakan ke atas kad pengenalan mangsa mendapati dia mempunyai hubungan dengan lelaki bernama Tan Boon Huat berkaitan kes penipuan bank dan lelaki itu telah dipenjarakan namun terdapat 400 kad debit ATM di rumahnya, salah satunya merupakan milik mangsa,” katanya memetika laporan Sinar Harian, hari ini.

    Aibee berkata, mangsa juga didakwa telah mengambil wang sebanyak RM273,000 daripada lelaki berkenaan dan diminta merahsiakan perkara tersebut bagi mengelakkan mangsa ditangkap dan dimasukkan dalam lokap.

    “Panggilan berkenaan seterusnya disambungkan kepada seorang Inspektor bagi merujuk kes itu di mahkamah untuk mendapatkan arahan akaun bank milik mangsa ditutup, sebelum mengarahkan mangsa memasukkan duit di beberapa akaun bank untuk disemak oleh Juruaudit Negara.

    “Bermula 11 April hingga Jumaat mangsa telah membuat transaksi bayaran ke beberapa akaun yang masukkan secara tunai dan dalam talian berjumlah RM276,000,” katanya.

    Katanya, setelah selesai mangsa cuba menghubungi pihak berkenaan bagi bertanyakan kes tersebut namun tidak berjawab.

    “Berasa dirinya ditipu mangsa membuat laporan polis pada Jumaat dan percaya kejadian itu merupakan sindiket penipuan.

    “Berdasarkan siasatan awal mangsa telah membuat pinjaman bank, meminjam wang daripada rakannya serta mengeluarkan wang simpanan untuk membuat transaksi berkenaan sehingga mengalami kerugian RM276,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Untitled post 34047

    Najib Razak kata, tak ada bukti kaitkan beliau dengan dakwaan rasuah beli kapal selam.

    Dia ‘panas’… apa hal… relaks la…

  • 2 lelaki dituduh bunuh lelaki Indonesia yang maut dengan kaki terikat besi

    2 lelaki dituduh bunuh lelaki Indonesia yang maut dengan kaki terikat besi

    DUA lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jenayah Georgetown, Pulau Pinang hari ini atas tuduhan membunuh seorang lelaki warga Indonesia yang mayatnya dijumpai dalam keadaan kaki kiri diikat dengan rantai besi pada kerusi di Jelutong, pada Jumaat lalu.

    Kedua-dua tertuduh, Dino Antonio Felix, 52, dan Ng Tse How, 45, didakwa membunuh Arsan Eka Putra, 33, di Pangsapuri Eastern Court di Jelutong kira-kira pukul 5.39 petang pada 22 April lalu.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

    Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan ke atas mereka di hadapan Majistret R. Manomani.

    Pendakwaan dilakukan oleh pegawai pendakwa Inspektor Cyril Jatius manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

    Tertuduh juga tidak ditawarkan ikat jamin memandangkan Mahkamah Majistret tidak mempunyai kuasa untuk menawarkan jaminan terhadap kes bunuh.

    Manomani kemudian menangguhkan kes kepada 30 Jun ini untuk menunggu laporan kimia dan hasil bedah siasat.

    Media pada 22 April lalu melaporkan penemuan mayat seorang lelaki warga Indonesia dalam keadaan kaki kirinya diikat dengan rantai besi selepas terjatuh dari tingkat lapan sebuah inap desa di apartment Eastern Court, Jelutong.

    Mangsa berusia 33 tahun itu dijumpai orang awam di pekarangan tempat letak kereta apartment tersebut kira-kira pukul 5.30 petang.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komissioner Soffian Santong berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kes bunuh di berikutan unsur yang mencurigakan khususnya penggunaan rantai besi pada kaki mangsa.