DUA maut manakala tiga lagi parah dalam kemalangan yang membabitkan dua kenderaan di Kilometer 108, Jalan Raya Timur Barat dekat Jeli, Kota Bharu, kira-kira pukul 11 malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Shuhaimi Jusoh berkata, mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian terdiri daripada pemandu Perodua Alza, Mohd Hazlan Ibrahim @ Saleh, 33, dan pemandu Proton Wira, Muhamad Baijuri Mohd Shariff, 26.

Beliau berkata, tiga lagi yang parah adalah penumpang Perodua Alza iaitu wanita berusia 31 tahun, dua kanak-kanak berusia lapan dan enam tahun, manakala seorang kanak-kanak berusia satu tahun yang turut terbabit dalam kemalangan itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila Proton Wira terbabas dan masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar Perodua Alza. Kesemua mangsa kemalangan dibawa ke Hospital Jeli untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Shuhaimi berkata siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here