Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

DUA kereta terlibat dalam kemalangan selepas cuba mengelak seekor gajah yang melintas di Kilometer 70, Jalan Batu Pahat-Mersing, dekat Kluang pada pukul 9 malam kelmarin.

Dalam kejadian tersebut, kemalangan melibatkan sebuah kereta Perodua Alza dan Proton Saga itu berlaku kerana gajah tersebut dikatakan muncul secara tiba-tiba serta kawasan tersebut gelap.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Deputi Superitendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata, nahas berlaku apabila Perodua Alza dipandu seorang wanita warga tempatan berumur 21 tahun dari arah Kluang telah brek mengejut mengelakkan sebuah gajah yang sedang melintas jalan.

“Kemudian sebuah kereta Proton Saga yang dipandu seorang lelaki warga tempatan dari arah yang sama gagal mengelak lalu terlanggar Perodua Alza berkenaan.

“Kedua-dua kereta berkenaan mengalami kerosakan namun tiada kecederaan berlaku,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 (Peraturan 10 LN 166/59).

Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai agar sentiasa memandu dengan berhemah, berhati-hati dan mematuhi undang-undang jalan raya menjelang Hari Raya Aidilfitri.

“Pengguna jalan raya di daerah Kluang juga dinasihatkan supaya berwaspada di jalan raya tertentu di mana ada lintasan binatang liar seperti gajah, tapir dan lain-lain,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang masalah boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Kluang melalui

talian 07-7784256, Direct line:07-7784256, Hotline:07-7766822 atau Tablet DCC:014-3656822.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here