Author: Admin

  • Kemalangan maut lima sahabat: Jenazah Iqbal Hasnun selamat dikebumikan

    Kemalangan maut lima sahabat: Jenazah Iqbal Hasnun selamat dikebumikan

    JENAZAH penuntut Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Iqbal Hasnun Halimi, 23, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Kampung Melayu Seelong, Kulai, pada pukul 7.30 pagi tadi.

    Memetik laporan Astro Awani, jenazah Iqbal Hasnun dimandi sebelum disolatkan di Masjid USAS dan dibawa ke rumah keluarganya di Taman Impian Jaya, Senai, Johor Bahru pada pukul 6 pagi.

    Jenazahnya turut disolatkan di Surau Taman Impian Jaya pada pukul 6.40 pagi sebelum dibawa ke tanah perkuburan untuk proses pengebumian.

    Dianggarkan lebih 100 orang hadir ke tanah perkuburan bagi memberi penghormatan terakhir kepada arwah.

    Bapanya, Halimi Ali Yahad, 50, bersyukur segala urusan arwah anaknya berjalan lancar.

    Katanya, keluarganya menghargai doa pelbagai pihak yang mengiringi arwah Iqbal Hasnun selepas kejadian menimpanya.

    “Saya bersyukur kepada Allah SWT atas doa, sokongan moral termasuk wakil dari Jabatan Perdana Menteri, kerajaan negeri Perak dan pelbagai pihak termasuk rakyat Malaysia.

    “Ada yang melakukan solat hajat, membacakan doa, Yasin dan ia amat bermakna dan mempermudahkan urusan arwah kerana pada awalnya proses bagi menuntut jenazahnya dikatakan memakan masa lebih lima hingga enam hari.

    “Selepas solat Jumaat semalam, ada petanda ketiga-tiga jenazah dapat dicam dan dituntut pada hari sama.

    “Kesemua keluarga berasa nikmat walaupun perit menerima kenyataan mereka sudah tiada dan nikmat paling besar adalah nikmat persaudaraan insan yang tidak kami kenal yang mengambil berat kebajikan dan kebaikan untuk kami,” katanya.

    Halimi berkata, Allahyarham bersifat penyayang dan memiliki hubungan baik dengan sepupu termasuk suka menghiburkan kanak-kanak.

    Katanya, pelbagai pihak yang mengenali arwah memberi gambaran baik terhadap arwah termasuk daripada segi kebajikan dan kepimpinan.

    “Ya Allah, jadikanlah jiwa anak kami Iqbal Hasnun jiwa yang tenang…kembali menghadap pencipta dengan saling redha meredhai.

    ”Semoga roh arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya.

    Majlis pengebumian Iqbal Hasnun turut dihadiri ahli keluarganya termasuk bapa, ibu, Nor Laila Paralan, 46; adik, Iqbal Hamdi, 19; Husna Hayati, 16; dan Aisyah Umairah, 4.

    Iqbal Hasnun adalah antara mangsa rentung dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 246 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, di Perak, awal pagi Khamis.

    Selain Iqbal, empat mangsa lain yang menjadi korban ialah Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22; Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19; Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20; serta Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21.

  • Kes lima rentung:Kertas siasatan pemandu treler diserah Selasa ini

    Kes lima rentung:Kertas siasatan pemandu treler diserah Selasa ini

    POLIS akan menyerahkan kertas siasatan ke atas pemandu treler yang terlibat dalam kemalangan tragis selepas Terowong Menora hingga mengorbankan lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) kepada Timbalan Pendakwa Raya Selasa ini.

    Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, kertas siasatan sudah dibuka dan dalam proses melengkapkannya.

    “Sekiranya Timbalan Pendakwa Raya berpuas hati dengan siasatan terbabit, lelaki berusia 28 tahun itu akan dibawa ke pertuduhan di mahkamah pada petang Selasa itu juga,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Menurut beliau, siasatan kes berkenaan masih berjalan dan polis akan mendapatkan kebenaran lanjutan tempoh reman terhadap pemandu terbabit di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar, esok.

    Jelasnya, tahanan reman itu bagi membantu polis melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Pemandu terbabit sebelum ini telah direman selama empat hari sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan kes terbabit.

    Hasil ujian saringan air kencing yang dilakukan ke atas lelaki itu adalah negatif mengambil dadah.

    Laporan sebelum ini menyebut, pemandu berasal dari Jitra, Kedah itu mempunyai 22 saman atas pelbagai kesalahan trafik dengan lapan daripadanya membabitkan kesalahan pandu laju, manakala sembilan rekod kesalahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

    Dalam perkembangan lain, Omar Bakhtiar berkata, kelima-lima jenazah telah diserahkan kepada waris masing-masing, yang terakhir pada jam 8 malam Jumaat.

    Katanya, dua daripada mangsa selesai menjalani proses bedah siasat dan pengecaman identiti di Hospital Kuala Kangsar pada Khamis, manakala tiga lagi di Hopsital Taiping pada Jumaat.

    “Sampel bagi pengesahan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) telah dihantar ke Jabatan Kimia Petaling Jaya,” katanya.

    Dalam kemalangan sekitar jam 12.52 malam di Kilometer 245.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara pada Rabu lepas, lima pelajar USAS yang menaiki kereta Honda City rentung selepas kereta dinaiki terbakar akibat dirempuh sebuah treler.

    Mangsa terlibat adalah Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22, pemandu kereta, Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, penumpang hadapan, Iqbal Hasnun Halimi, 23, Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, masing-masing duduk di bahagian belakang.

    Siasatan awal mendapati, treler muatan pagar besi dipandu seorang lelaki tidak sempat membrek ketika melalui lokasi kejadian lalu merempuh belakang kereta yang dinaiki lima mangsa terbabit.

    Rempuhan menyebabkan kereta yang dipandu di lorong kiri diseret hingga melanggar bahagian belakang sebuah lagi treler membawa muatan mozek di hadapan sebelum terbakar.

  • Remaja perempuan maut kemalangan ketika keluar beraya

    Remaja perempuan maut kemalangan ketika keluar beraya

    KEGEMBIRAAN dua sahabat berakhir duka apabila seorang daripadanya maut manakala seorang lagi cedera selepas motosikal dinaiki melanggar kereta ketika keluar beraya di Jalan Kampung Tengah, Kuala Sungai Baru, Alor Gajah, pukul 5.30 petang semalam.

    Mangsa, Nurul Shafeena Mohd. Hasmawi maut di tempat kejadian selepas Yamaha 135LC ditunggang rakannya, Nurul Atiqah Musa melanggar Toyota Corolla dipandu pesara tentera berusia 77 tahun.

    Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, kedua-dua mangsa berusia 15 tahun itu adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Rahmat di Kuala Sungai Baru dan dipercayai keluar beraya.

    “Motosikal remaja terbabit dari arah Pekan Kuala Sungai Baru menghala ke Kuala Linggi, manakala kereta membelok dari simpang kedai runcit untuk ke Pekan Kuala Sungai Baru.

    “Kemalangan berlaku apabila motosikal itu melanggar bahagian hadapan kereta yang sedang membelok,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Katanya, pelanggaran itu menyebabkan pembonceng motosikal tercampak ke hadapan sejauh 15 meter hingga parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

    “Penunggang motosikal mengalami kecederaan di kaki dan kini dirawat di zon merah Hospital Melaka dan keadaannya stabil,” katanya.

    Arshad berkata, pemandu kereta dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

    “Siasatan di tempat kejadian mendapati keadaan jalan lurus, dua hala dan mempunyai simpang untuk kedai runcit manakala keadaan cuaca adalah baik dan tidak hujan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Kalau nak besarkan kek, pastikan pemimpin berintegriti pimpin negara

    Kalau nak besarkan kek, pastikan pemimpin berintegriti pimpin negara

    ANALISIS

    Oleh MOHD AZAM MOHD ATAN

    PELBAGAI pandangan telah diberikan oleh orang ramai dan pemimpin politik mengenai Debat Perdana melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis malam.

    Bagi orang awam yang berkecuali, mereka berbeza pendapat dengan apa yang disampaikan kedua-dua pemimpin itu kerana ada fakta yang boleh disangkal melibatkan tajuk perdebatan berkaitan Sapura Energy Bhd dan masa depan negara.

    Tetapi bagi penyokong fanatik Anwar dan Najib, sudah pasti amat berpuas hati dengan idea yang dilontarkan pemimpin yang menjadi idola mereka.

    Selepas debat berakhir, di media sosial semuanya tidak mahu mengalah mengatakan pemimpin masing-masing yang terbaik dapat mematahkan hujah pihak lawan.

    Macam-macam video dan petikan kata diviralkan untuk menunjukkan Anwar lebih hebat berbanding Najib dan begitulah sebaliknya.

    Najib dan penyokongnya berasa pentas malam itu cukup bersinar kerana dapat memberikan idea yang bernas untuk menyelamatkan Sapura Energy manakala Anwar dan penyokongnya juga berasa pendekatan audit forensik adalah terbaik dalam menyelesaikan isu itu.

    Dalam banyak-banyak isu yang dihujahkan, antara yang menjadi tumpuan ialah analogi yang dinyatakan Najib iaitu ekonomi negara seperti sebuah kek yang perlu dibesarkan saiznya supaya semua rakyat dapat merasainya.

    Kata Najib, kerajaan Barisan Nasional sewaktu pemerintahannya banyak mewujudkan projek berskala besar, dan juga melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) untuk membesarkan kek itu.

    Katanya, apabila kek itu sudah besar setelah mendapat pelaburan tambahan dan sebagainya, akhirnya rakyat akan mendapat untung.

    Namun, Najib mendakwa apabila Kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran, aset negara dijual seolah-olah bukan sahaja mengecilkan kek ekonomi itu, tetapi juga menjual ‘ketuhar’ yang digunakan untuk menghasilkan kek.

    Dalam beberapa hujah yang dinyatakan Anwar, penulis bersetuju apabila Ahli Parlimen Port Dickson itu mengatakan bahawa sekiranya mahu membesarkan kek ekonomi, perkara utama yang harus dipastikan ialah kek itu tidak hanya memberi manfaat kepada sesetengah pihak sahaja iaitu “kalau ada kek, jangan makan sorang.”

    “Sebab itu kalau ada kek, jangan kek itu kita makan seorang. Kek kalau kita besarkan, siapa nak tentukan pembahagian itu adil? Orang tengok kek itu, elit politik makan banyak. Macam filem musang berjanggut – satu untuk kamu, satu untuk aku. Untuk aku banyak, untuk kamu sikit,” kata Anwar.

    Apa yang dinyatakan Anwar memang benar-benar berlaku apabila sesetengah pemimpin politik yang berada di atas hidup mewah dengan hasil negara manakala rakyat yang di bawah terpaksa bersusah payah untuk mengisi perut masing-masing.

    Penulis tidak mengatakan yang rakyat perlu sentiasa disuap dengan subsidi dan diberikan pelbagai imbuhan hingga hidup mewah, tetapi apa yang hendak disampaikan ialah jurang kehidupan itu terlalu melebar apabila pemimpin politik yang kaya bertambah senang dan rakyat semakin terhimpit.

    Justeru apabila mahu membicarakan soal pembesaran kek dan pembahagiannya, isu pokok yang utama perlu diberi perhatian ialah soal integriti seseorang pemimpin itu.

    Ini kerana, walau sebesar mana pun kek yang mahu dibuat, sebanyak mana pun pelaburan yang masuk, jika seseorang pemimpin itu tidak mempunyai nilai amanah dan kejujuran, maka setiap wang itu akan masuk lebih banyak ke poket sendiri berbanding poket rakyat.

    Maka, tidak kira apa hujah dan idea hebat sekalipun, rakyat perlu melihat peribadi seseorang pemimpin itu kerana tanpa nilai-nilai jujur dan amanah, hasil negara setinggi gunung mana pun akan habis dijarah.

    Mulai dari sekarang, tekadkan azam untuk memilih pemimpin yang bersih daripada segala kes rasuah dan salah guna kuasa kerana jika tidak, sampai bila-bila rakyat akan hidup tertekan dan dihimpit tekanan ekonomi.

  • Budak perempuan dikhuatiri lemas di sungai

    Budak perempuan dikhuatiri lemas di sungai

    SEORANG kanak-kanak perempuan dikhuatiri lemas ketika menyeberang Sungai Melangkap bersama-sama ibunya di Kampung Melangkap Darat, Kota Marudu, pukul 4 petang semalam.

    Mangsa berusia 10 tahun dikatakan hilang akibat dibawa arus manakala ibunya sempat menyelamatkan diri sebelum kejadian itu dilaporkan kepada pihak bomba pada pukul 6.04 petang.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu Rony Sikawan berkata, seramai tiga anggota bomba dikejarkan ke lokasi yang terletak sejauh 35 kilometer dari BBP Kota Marudu.

    “Menurut maklumat, kanak-kanak itu hilang ketika menyeberang sungai selepas pulang dari kebun bersama ibunya.

    “Ketika menyeberang sungai, tiba-tiba kepala air datang menyebabkan kanak-kanak itu hanyut manakala ibunya berjaya ke tepi sungai,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Beliau berkata, usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa segera dilakukan namun terpaksa ditangguh berikutan laluan masuk ke rumah mangsa dinaiki air.

    “Operasi ditangguh pada pukul 7.30 malam kerana anggota bomba terpaksa berjalan kaki ke lokasi kejadian dan ketika itu laluan ke rumah mangsa sudah dinaiki air.

    “Operasi disambung semula hari ini dan maklumat lanjut akan dikemas kini dari masa ke masa,” katanya.

  • 3,000 Paxlovid sebagai persediaan rawat jemaah haji

    3,000 Paxlovid sebagai persediaan rawat jemaah haji

    SERAMAI 255 petugas perubatan akan dihantar ke Arab Saudi bagi membantu Tabung Haji (TH) melancarkan perjalanan ibadah haji tahun ini.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, jumlah itu merangkumi 128 petugas berpengalaman menyertai operasi sebelum ini manakala 127 adalah petugas baharu.

    Katanya, kumpulan petugas perubatan itu terdiri daripada pelbagai skim perkhidmatan seperti perubatan, farmasi, jururawat, pembantu perawatan kesihatan dan penjagaan spiritual.

    “Seperti tahun sebelum ini, petugas perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) akan membantu mengendalikan kes berkaitan perubatan yang dihadapi jemaah haji selain turut mengoperasikan fasiliti kesihatan sepanjang berada di tanah suci.

    “Susulan daripada risiko penularan Covid-19, KKM juga membekalkan sebanyak sekurang-kurangnya 3,000 ubat antiviral Paxlovid sebagai persediaan merawat jemaah haji yang dijangkiti semasa berada di tanah suci.

    “Ubat antiviral ini akan diberikan kepada jemaah haji yang positif Covid-19 dengan memenuhi kriteria yang ditetapkan,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini, lapor Satu Berita.

    Khairy berkata, petugas perubatan KKM akan menilai kesesuaian pesakit sebelum boleh dimulakan dengan rawatan ubat Paxlovid.

    Tambahnya, selain rawatan ubat Paxlovid, langkah pencegahan dan kawalan infeksi akan dipertingkatkan bagi mengawal penularan Covid-19 dan penyakit berjangkit yang lain.

    “Kerajaan sudah meluluskan RM5 juta bagi pembiayaan perbelanjaan perkhidmatan kesihatan jemaah haji Malaysia tahun ini,

    “Pembiayaan itu merangkumi perolehan ubat dan alat perubatan serta tambang penerbangan dan elaun petugas perubatan,” katanya.

    Khairy berkata, KKM juga menyarankan bakal jemaah haji terutamanya berusia 60 tahun ke atas dan individu dewasa berusia 18 hingga 59 tahun yang mempunyai risiko klinikal penyakit teruk untuk mendapatkan dos penggalak kedua sebelum berangkat.

    Katanya, langkah ini bagi memberikan perlindungan optimum daripada jangkitan Covid-19 yang teruk sehingga menyebabkan kematian. 

  • Beban hutang punca suami isteri cuba bunuh diri

    Beban hutang punca suami isteri cuba bunuh diri

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    BEBANAN hutang mendorong sepasang suami isteri yang menjalankan perniagaan produk kecantikan cuba membunuh diri di rumah mereka di Taman Desa Botani, Batu Pahat, semalam.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superitendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kejadian tersebut berlaku pada pukul 12.30 tengah hari sebelum pihaknya bergegas ke tempat kejadian.

    “Pihak polis mendapati mangsa lelaki berusia 36 tahun sudah meninggal dunia dengan menggantung diri pada besi galang ‘stainless steel’ yang ada dalam tandas di bilik tidur rumah mereka.

    “Sementara isterinya yang berusia 50 tahun ditemui dalam bilik tidur yang sama dalam keadaan lemah dan terdapat kesan kelar pada kedua-dua belah tangan menggunakan pisau,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, pasangan tersebut menjalankan perniagaan produk kecantikan dan punca kejadian dipercayai akibat bebanan tanggungan hutang yang tidak dapat dijelaskan.

    Katanya, mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail di Batu Pahat untuk pemeriksaan dan bedah siasat manakala isterinya dalam keadaan stabil dan masih ditahan di wad untuk rawatan lanjut di hospital yang sama.

    Tambahnya, siasatan dilakukan mengikut laporan mati mengejut dan Seksyen 309 Kanun Keseksaan iaitu cuba melakukan kesalahan membunuh diri dan jika sabit kesalahan, boleh dipenjara setahun, denda atau kedua-duanya sekali.

  • Peguam terima sogokan RM100,000 ditahan SPRM

    Peguam terima sogokan RM100,000 ditahan SPRM

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini menahan seorang peguam kerana dipercayai menerima rasuah kira-kira RM100,000 kononnya untuk membantu menutup kes yang sedang disiasat suruhanjaya itu.

    Sumber melaporkan, lelaki berusia 50-an itu ditahan di sebuah pusat beli-belah di ibu negara kira-kira 4 petang.

    Sumber berkata, peguam berkenaan sebelum itu dikatakan sudah meminta wang berjumlah RM4 juta daripada seorang pemilik syarikat sebagai dorongan supaya SPRM tidak menyiasat syarikat berkenaan yang mempunyai kaitan dengan sebuah projek pembangunan.

    “Pemilik syarikat itu bagaimanapun membayar RM100,000 terlebih dahulu sebagai pendahuluan,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek.

    Katanya, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi esok bagi mendapatkan permohonan reman.

  • Dua lelaki samun kedai emas diburu

    Dua lelaki samun kedai emas diburu

    DUA lelaki yang menyamun sebuah kedai emas di Dataran Palma Ampang Point, Ampang, hari ini kini diburu polis.

    Pihak polis menerima laporan berkaitan kejadian tersebut pada pukul 1.41 petang.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dalam kejadian itu, dua lelaki yang memakai topi keledar serta jaket dan tidak bersenjata itu meluru masuk ke dalam premis dan terus melompat ke dalam menuju ke arah kaunter.

    “Suspek kemudian bertindak mengambil barang kemas yang di pamerkan di belakang dinding.

    “Semasa kejadian kesemua pekerja selamat dan mereka berlindung di sebalik stor di dalam kedai emas berkenaan,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Mohamad Farouk berkata, anggaran kerugian belum dapat dipastikan lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

  • Tiga anggota APM cedera disengat obor-obor di pantai

    Tiga anggota APM cedera disengat obor-obor di pantai

    TIGA anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) cedera terkena sengatan obor-obor ketika menjalani latihan harian di Pantai Batu Hitam, Kuantan, pukul 10.30 pagi tadi.

    Anggota penyelamat pantai berusia 32 hingga 34 tahun yang bertugas di menara pantai berkenaan hanya mengalami cedera ringan dan tidak perlu menjalani rawatan di hospital.

    Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuantan, Kapten Pertahanan Awam (PA), Zubaidah Said berkata, setakat ini jenis obor-obor terbabit belum dikenal pasti.

    “Susulan kejadian, pihak APM menangkap 10 ekor haiwan itu setakat ini.

    “Anggota APM juga akan menangkap haiwan terbabit sekiranya terjumpa semasa melakukan rondaan harian,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Zubaidah berkata, orang ramai dinasihatkan agar tidak melakukan aktiviti di gigi air di pantai berkenaan atas faktor keselamatan ekoran kehadiran obor-obor di kawasan tersebut.

    Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Abdullah Jaafar berkata, siasatan akan dilakukan berhubung kehadiran obor-obor di pantai itu seperti mana yang didakwa.

    “Setakat ini saya tidak dapat membuat sebarang pengesahan tanpa sampel bagi mengenal pasti spesiesnya sama ada jenis berbahaya atau sebaliknya.

    “Bagaimanapun, orang ramai dinasihatkan supaya menjauhi dan elak menyentuh obor-obor yang ditemui,” katanya.