SEORANG warga emas cedera di bahagian kepala dan kaki kanan selepas dipukul tiga penyamun di sebuah rumah sarang burung di Tanjung Sedili, Kota Tinggi, pukul 4 pagi semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintendan Nik Azaham Nik Aziz berkata, sebelum itu suspek memecah masuk dan mencederakan mangsa yang merupakan penjaga rumah sarang burung berkenaan.
“Suspek mengikat mangsa dan mencederakannya menggunakan senjata dipercayai besi.
“Seterusnya suspek melarikan tiga guni sarang burung dianggarkan seberat tiga kilogram dengan jumlah keseluruhan kerugian dianggarkan RM11,500.
“Mangsa yang mengalami kecederaan luka di bahagian belakang kepala sebelah kanan mendapatkan rawatan di Hospital Kota Tinggi dan menerima 10 jahitan di jari kaki kanan,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.
Nik Azaham berkata, keadaan mangsa stabil dan hanya menerima rawatan sebagai pesakit luar serta dibenarkan pulang selepas dirawat.
“Polis membuka siasatan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu samun hingga mendatangkan cedera.
“Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan,” katanya.
AGENSI Penguatkuasan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C di kedudukan 4.6 batu nautika barat Kuala Sungai Pinang, Pulau Pinang malam tadi dipercayai sedang menunda pukat di kawasan larangan.
Pengarah Maritim Malaysia Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bot ronda Maritim Malaysia berjaya mengesan sebuah bot nelayan yang bergerak dalam keadaan gelap disyaki sedang menjalankan operasi menangkap ikan menggunakan pukat tunda kira-kira pukul 10.55 malam.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati bot nelayan yang berpangkalan di Batu Maung itu dikendalikan tekong warga tempatan berusia 51 tahun bersama tiga kru warga Indonesia berumur antara 44 hingga 55 tahun.
Jelasnya, bot terbabit disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen iaitu melakukan aktiviti menangkap ikan di kawasan yang tidak dibenarkan.
“Bot berkenaan bersama tekong dan tiga kru yang mempunyai permaustatin tetap kemudiannya dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.
“Kita turut menyita semua peralatan dan hasil tangkapan ikan campur dengan anggaran 100 kilogram,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tegas beliau, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang sengaja melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia demi kedaulatan dan kesejahteraan perairan negara.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang awam supaya melaporkan sebarang penemuan dan kejadian jenayah, kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146.
SIASATAN berhubung tindakan dua anggota polis trafik mengiringi kenderaan yang didakwa dipandu oleh seorang anak Ahli Parlimen di Jalan Bukit Gambir, Pulau Pinang baru-baru ini telah lengkap sepenuhnya.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, kertas siasatan itu juga sudah diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan lanjut.
“Pegawai penyiasat telah mengambil keterangan pemandu kenderaan tersebut pada 9 Mei lalu dan kertas siasatan juga telah dirujuk kepada TPR untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita hari ini.
Sebelum ini, satu klip video yang menunjukkan dua anggota polis trafik mengiringi kenderaan yang didakwa dipandu oleh seorang anak Ahli Parlimen tular di dalam media sosial Facebook.
Video itu mendapat kecaman netizen yang tidak berpuas hati dengan individu berkenaan yang didakwa menggunakan khidmat anggota polis trafik bagi meredah kesesakan di Pulau Pinang.
Siasatan dalaman polis kemudiannya mendapati tiada arahan rasmi atau tidak rasmi daripada mana-mana pegawai kanan, Ibu Pejabat atau Kontinjen Pulau Pinang untuk tugasan itu dilaksanakan.
Susulan itu, dua anggota polis trafik terlibat telah ditukarkan ke bahagian pentadbiran sehingga siasatan tatatertib berkaitan kes itu selesai.
Kes itu turut disiasat menurut Seksyen 230 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 kerana ia melibatkan kesalahan menggunakan media sosial.
PAS tetap kekal dengan pendirian mahu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan selepas tamat penggal sekali gus Perdana Menteri dapat fokus kepada isu rakyat.
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mempunyai masa melaksanakan dasar kerajaan dalam usaha memulihkan sektor ekonomi dan kesihatan negara ini.
“Jika PRU-15 diadakan lebih awal, Pas bimbang segala perancangan kerajaan tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri Kelantan di Kota Darulnaim, Kota Bharu hari ini, lapor Sinar Harian.
Menurutnya, Pas mahu semua parti politik bersabar dan menunggu sehingga tempoh PRU-14 tamat.
Beliau berkata, hal ini kerana kurang setahun sahaja lagi Dewan Rakyat akan dibubarkan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor itu berkata, bagaimanapun perkara tersebut merupakan bidang kuasa dan keputusan Perdana Menteri.
KESESAKAN di laluan darat paling sibuk, Tambak Johor yang menghubungkan negara ini dengan Singapura mampu dikurangkan sehingga 35 peratus melalui projek Sistem Transit Rapid (RTS).
Ketika ini, pelaksanaan projek RTS yang menghubungkan Johor Bahru dan Woodlands mengikut jadual dijangka siap dan beroperasi sepenuhnya pada 1 Januari 2027.
Ketua Pegawai Eksekutif Projek Transit Aliran Massa Sdn. Bhd. (MRT), Datuk Mohd. Zarif Hashim berkata, urusan pengambilan tanah di Wadihana, di sini untuk projek itu juga sudah diselesaikan Disember lalu dengan tahap kemajuan projek menjangkau 15 peratus.
“Apabila projek ini siap dan beroperasi sepenuhnya, ia akan digunakan seramai 350,000 pengunjung setiap hari dan mampu mengurangkan sehingga 35 peratus kesesakan jalan raya di sempadan Malaysia-Singapura ini.
“RTS ini mampu menampung sehingga seramai 10,000 penumpang setiap jam melalui stesen di Bukit Chagar, Johor Bahru dan Woodlands di Singapura,” katanya.
Mohd. Zarif memaklumkan perkara itu selepas menerima lawatan sekumpulan penuntut dari Wharton School, University of Pennsylvania ke projek RTS di Skyscape, Menara JLand, di sini hari ini.
Tambah beliau, pihaknya sedang bekerjasama dengan pelbagai agensi termasuk Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam dan Kementerian Kesihatan untuk memastikan perjalanan projek itu lancar.
“Penumpang perkhidmatan ini dijangka hanya perlu menunggu selama 15 minit untuk setiap perjalanan menghubungkan kedua-dua negara.
“Buat masa ini, kita masih belum membuat keputusan berhubung harga tambang perkhidmatan yang akan dikenakan namun dijangka tidak membebankan kerana projek ini merupakan pengangkutan awam,” katanya.
Mohd. Zarif berkata, RTS akan menjadi pemangkin kepada pembangunan sektor ekonomi negara khususnya Johor Bahru dalam membantu pembangunan dan pertumbuhan bandar raya ini.
Antara sektor yang akan menerima manfaat secara langsung termasuklah kesihatan, pengajian tinggi dan perkhidmatan.
Pada masa sama, beliau berkata, MRT Corp sedang menjalankan kajian berhubung sistem penyuraian trafik di pusat bandar Johor Bahru dan akan menyerahkan hasilnya kepada kerajaan dan Majlis Bandaraya Johor Bahru untuk pertimbangan.
AKIBAT perbuatan rasuah berjumlah RM250, seorang peniaga warganegara Bangladesh menerima balasan setelah mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini kerana memberi rasuah, Januari lalu.
Pemilik premis perniagaan, Mostafa Mohammad, 34, dipenjara satu hari dan denda RM10,000 selepas memberi suapan itu kepada Pegawai Penguatkuasa Gred N41 di Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP).
Pertuduhan terhadap lelaki warga asing itu dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Mengikut pertuduhan, Mostafa memberikan satu suapan wang tunai RM250 kepada Pegawai Penguatkuasa MBIP sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas kedai runcit Nur Mostafa.
Tertuduh melakukan perbuatan itu setelah melanggar syarat-syarat lesen iaitu menjual arak tanpa lesen, menjual rokok tanpa cukai, membela ayam hidup untuk jualan dan meletakkan barang dagangan di kaki lima sehingga menimbulkan halangan.
Mostafa melakukan perbuatan itu di Pejabat Jabatan Penguatkuasaan MBIP kira-kira pukul 12 tengah hari, 19 Januari lalu.
Bagi perbuatan tersebut, tertuduh telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.
Lelaki itu boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika disabit kesalahan.
Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Nik Lokman Hakim Nik Mohd. Nor manakala tertuduh diwakili peguam, Hussin Othman.
Dalam rayuannya, Hussin memberitahu anak guamnya tidak mempunyai rekod lampau dan mempunyai tanggungan dua orang anak berusia tiga dan lima tahun manakala isterinya tidak bekerja.
CALON Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Tambun, Mustapa Mansor ssdia disiasat oleh mana-mana pihak atas pelbagai tuduhan termasuk terlibat dalam penyelewengan dana dan penyalahgunaan dadah.
Beliau berkata, semua tuduhan dilemparkan itu tidak berasas dan berniat untuk mencalar imej dalam usaha menggagalkan usaha merebut jawatan Ketua PKR Cabang Tambun.
“Saya sudah membuat laporan polis pada Selasa menafikan dakwaan menerusi satu video yang tular di media sosial memaparkan beberapa tuduhan tersebut.
“Saya menafikan semua tuduhan yang dilemparkan itu malah saya sedia disiasat dan akan beri kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa. Serangan peribadi seperti ini ketika pemilihan tidak sepatutnya berlaku di dalam PKR.
“Calon-calon yang bertanding sepatutnya lebih matang dengan menampilkan idea-idea bernas untuk menyelesaikan permasalahan rakyat dan parti, bukan mencari keburukan lawan untuk menang,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.
Mustapa berkata, budaya memburukkan lawan untuk menang sepatutnya tidak ada di dalam PKR yang dilihat jauh lebih matang dan terbuka dari parti-parti politik lain.
Menurutnya, pemilihan PKR kali ini perlu menjadi medan mengeluarkan pandangan dan idea untuk dinilai ahli parti sama ada pemimpin yang bakal dipilih itu mempunyai penyelesaian kepada masalah rakyat atau sebaliknya.
Dalam pada itu, dia yang juga Timbalan Pengerusi Otai Reformis berkata, segala tuduhan dan fitnah dilemparkan itu tidak langsung melunturkan semangat dalam pemilihan kali ini.
Jelasnya, ahli-ahli akan menilai gerak kerja dan kemampuan pemimpin mereka menyelesaikan masalah dan tidak mudah terpengaruh dengan fitnah serta serangan peribadi dalam memilih ketua pada pemilihan kali ini.
Menerusi klip video berdurasi 31 saat yang tersebar di media sosial beberapa hari lalu memaparkan gambar Mustapa dengan tuduhan terlibat dalam kegiatan jenayah.
Semalam, seorang wanita membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai penyelewengan dana melibatkan salah seorang calon ketua PKR sebuah cabang di Perak.
AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berpandangan, sudah tiba masanya negara Malaysia mengikut jejak langkah lebih 40 buah negara di seluruh dunia dalam mengiktiraf kanabis sebagai alternatif perubatan.
Beliau yang juga Pengerusi Kaukus Medical Marijuana berkata, pertama, kerajaan harus mengiktiraf bahawa banyak pesakit di Malaysia yang perlu menggunakan kanabis untuk tujuan perubatan.
Jelas beliau yang juga Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), mereka yang merupakan pesakit bukan kumpulan mengedar kanabis untuk mengaut keuntungan wang semata-mata.
“Kedua, Malaysia wajar mengiktiraf kanabis sebagai alternatif perubatan seperti di negara lain.
“Langkah yang diambil di negara lain ini juga perlu dilihat sebagai satu dorongan untuk kumpulan kesihatan Malaysia menawarkan perubatan alternatif ini dengan segera.
“Malah, badan kesihatan dunia seperti World Health Organisation (WHO) juga mengiktiraf bahawa penggunaan kanabis untuk tujuan perubatan ini sebagai alternatif kepada para pesakit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ketiganya, beliau telah berjumpa dan melakukan perbincangan bersama-sama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan antara yang ditegaskan adalah memberi kuasa kepada Jabatan Peguam Negara untuk memberi pertimbangan yang lebih tinggi dalam isu penggunaan kanabis.
Katanya, hakim-hakim juga perlu diberi lebih kuasa dan kelonggaran dalam menilai kes-kes berkaitan penggunaan kanabis untuk perubatan.
“Ini kerana kita perlu mengendalikan kes-kes ini dengan cermat supaya pesakit yang terpaksa menggunakan kanabis untuk tujuan perubatan diberikan kelonggaran yang sewajarnya dengan tujuan penggunaan mereka,” katanya.
Menurutnya, hukuman gantung adalah hukuman yang terlampau berat kepada pesakit hanya kerana masalah kesihatan memerlukan mereka untuk mencari perubatan alternatif seperti kanabis dan hem.
Tindakan para pesakit mencari perubatan alternatif itu tidak boleh sesekali disamakan dengan jenayah bunuh misalnya apabila hukuman gantung dikenakan, katanya.
“Saya akan mengikuti perkembangan kes saudara Yasin dari masa ke semasa. Malah saya akan terus berhubung rapat dengan keluarga beliau.
“Kes mahkamah saudara Yasin ini sudah pasti akan menjadi satu rujukan untuk ahli-ahli Parlimen seperti saya dalam usaha untuk mengkaji semula undang-undang berkaitan penggunaan kanabis dan hem untuk tujuan perubatan,” katanya.
HANYA kerana tidak melangsaikan tunggakan yuran pengurusan rumah, Awal Ashari mendedahkan salah faham berkenaan menjadi punca dia dihalang masuk ke rumah sendiri dan menimbulkan kekecohan.
Dia yang bertindak mengangkat palang rumah untuk masuk ke premis berkenaan akhirnya didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.
“Perkataan khianat itu agak keras tapi itu akta. Ceritanya tiga bulan sebelum raya saya pindah rumah baru, tapi tak ada la pindah sepenuhnya. Masih ada lagi barang lama saya di sana (rumah lama).
“Sebelum raya, saya ke sana nak ambil barang tapi kad akses untuk masuk tak boleh guna. Saya tanya pengurusan mereka kata ada beberapa bulan saya tak bayar yuran penyelenggaraan.
“Saya faham mengenai itu dan akan bayar tapi minta bagi masuk untuk ambil barang dulu. Mereka tetap kata tak boleh dan minta selesaikan dulu sedangkan 14 tahun saya beli dan tinggal di situ tak pernah timbul isu saya tak bayar yuran,” katanya.
Awal berkata demikian dalam satu siaran langsung menerusi Instagram Live malam Selasa lalu mengulas mengenai apa sebenarnya yang berlaku kepadanya, lapor Satu Berita.
Jelasnya, sepanjang tinggal di kawasan berkenaan, dia tidak pernah lupa untuk membayar yuran penyelenggaraan namun apabila berpindah, dia tidak melangsaikan yuran terbabit kerana terlupa.
Baginya, premis berkenaan masih lagi rumahnya dan tidak sewajarnya dia tidak dibenarkan masuk untuk mengambil barangan lain sehingga menimbulkan sedikit kekecohan apabila bertindak mengalihkan palang menggunakan tangan.
“Tak ada budi bicara atau tolak ansur. Saya kata kalau tak boleh masuk, saya masuk sendiri. Saya ambil tindakan alih sedikit pagar menggunakan tangan saya, tak langgar seperti dilaporkan berita.
“Saya turun dan alihkan palang, masuk ke dalam dan kemudian tutup semula menggunakan tangan saya. Itulah tindakan saya. Saya kesal sebab tiada tolak ansur.
Pelakon dan pengacara, Awal Ashari
“Mungkin kekhilafan saya tak bayar yuran pengurusan tapi saya memang duduk situ, itu membuatkan saya terkilan. Apabila saya dah masuk baru saya tahu mereka buat laporan polis akibat masuk rumah sendiri. Macam rasa nak gelak ada, nak menangis pun ada,” dedahnya lagi.
Jelas pengacara berusia 41 tahun ini lagi, dia mendedahkan perkara berkenaan kerana mahu memperbetulkan tanggapan orang ramai yang menganggap dia melakukan perbuatan khianat di tempat awam.
Tambahnya, sejak berita tersebut muncul pelbagai persepsi dan tanggapan orang terhadap dirinya dan dia perlu memberikan kefahaman kepada semua tentang kes yang sedang berjalan di mahkamah itu.
“Saya tak langgar harta sesiapa di situ, saya cuma alihkan palang dengan tangan saya untuk masuk rumah saya sendiri. Tiada sesiapa cedera, tak ada sesiapa kena pukul, cuma ada sedikit kesilapan dan salah faham sebab guard pun bukan orang tempatan.
“Kalau saya nak jual atau sewa kan rumah itu pun saya masih kena bayar yuran penyelenggaraan, saya nak lari ke mana? Ini cuma salah faham pemilik rumah dan pengurusan rumah sahaja. Takkan la saya nak buat aniaya tempat saya tingga,” tambahnya lagi.
Terdahulu, Awal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan melakukan perbuatan itu di pondok pengawal Challis Damansara, Jalan PJU 3/30, Sunway Damansara yang mengakibatkan kerugian dianggarkan RM600 pada 11.30 pagi, 16 April lalu.
Awal didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada setahun atau tidak lebih daripada lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.
SEORANG Penolong Kanan Hal Ehwal Murid di hadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini atas dua pertuduhan mendapatkan suapan berhubung pembelian beberapa peralatan sekolah bernilai hampir RM3,000 pada 2017.
Bagaimanapun, guru berkenaan, Hazlina Kasah, 46, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan itu dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Mengikut pertuduhan, Hazlina didakwa menggunakan kedudukannya sebagai ketua panitia Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pokok Sena untuk mendapatkan suapan dengan mencadangkan syarikat miliknya, Hazwan Event Management bagi membekal beberapa barangan.
Antaranya adalah masing-masing 10 unit kertas A4 dan kertas warna; marker pen (30); satu unit radio, alat tekanan darah dB trampolin serta dua unit kompas dan penimbang untuk panitia PJK melalui satu nota minta bernilai RM2,353.66.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Pentadbiran Sekolah Menengah Kebangsaan Pokok Sena di daerah Seberang Perai Utara (SPU) Pulau Pinang pada 17 Oktober 2017.
Sementara itu, menerusi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan kesalahan sama membabitkan pembelian lima unit bola sepak dan satu unit bola futsal bernilai RM522.66 yang dilakukan di lokasi sama pada 19 Oktober 2017.
Tertuduh didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memperuntukkan hukuman denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan yang mana-mana lebih tinggi atau penjara tidak lebih 20 tahun jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azlan Basri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Dalam pada itu tertuduh yang ketika ini telah dinaikkan pangkat sebagai Penolong Kanan Hal Ehwal Murid di sebuah sekolah menengah di Kepala Batas, Butterworth memohon jaminan dikurangkan.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh yang merupakan ibu kepada lima cahaya mata itu diikat jamin sebanyak RM8,000 beserta seorang penjamin.
Selain itu, mahkamah turut mengarahkan tertuduh menyerahkan dokumen perjalanan kepada mahkamah sehingga kes selesai, perlu melaporkan diri di Pejabat SPRM terdekat pada setiap bulan dan tidak dibenarkan mengganggu saksi kes.