Author: Admin

  • Kes saman fitnah Firdaus Wong:Arunakirinathan mohon maaf, tarik balik kenyataan

    Kes saman fitnah Firdaus Wong:Arunakirinathan mohon maaf, tarik balik kenyataan

    AKTIVIS, T. Arunakirinathan memohon maaf dan setuju menyelesaikan secara baik kes saman fitnah yang difailkan pendakwah, Firdaus Wong Wai Hung terhadapnya.

    Menurut Firdaus Wong, kes tersebut diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Isnin lalu, lapor Sinar Harian.

    Menerusi perkongsian dalam Facebook miliknya, pendakwah itu berkata, penghakiman persetujuan dicapai ketika prosiding diadakan secara dalam talian di hadapan Hakim Datuk Ahmad Bache.

    Menurutnya, antara terma persetujuan bagi penyelesaian ialah Arunakirinathan selaku defendan memohon maaf secara bertulis dan menerusi rakaman video di FB kepada Firdaus Wong selaku plaintif.

    “Permohonan maaf tersebut diperincikan seperti berikut, ‘bahawa saya T Arunakirinathan adalah pemilik akaun FB Arunakiri Nathan dan/atau Arunakiiri Nathan II, ingin memohon maaf kepada Firdaus Wong Wai Hung kerana telah salah dan berniat jahat, membuat penyataan-penyataan fitnah kepada beliau pada 18 Disember 2018 dan 1 Februari 2019, dan melalui video secara langsung bertarikh 18 Disember 2018.

    “Ia adalah kenyataan fitnah, saya (Arunakirinathan) dengan ini menarik balik segala pernyataan fitnah yang dikongsikan di mana-mana media sosial,” katanya.

    Firdaus Wong berkata, Arunakirinathan perlu memohon maaf dan menarik balik kenyataan fitnah yang telah dilemparkan.

    Defendan dikehendaki memuat naik pengakuan itu serta merta dari tarikh penerimaan.

    Selain itu, defendan perlu membayar RM8,000 kepada Firdaus Wong dalam masa 14 hari dari tarikh penghakiman persetujuan sebagai penyelesaian penuh.

    Ketika dihubungi Sinar Harian, peguam, Syahidah Hanum Mohd. Ghazali yang mewakili Firdaus Wong, mengesahkan perkara tersebut.

    Dalam kes ini, Arunakirinathan diwakili peguam M. Manoharan.

    Menerusi kenyataan dalam Facebook, Firdaus Wong turut memanjatkan kesyukuran kerana kes saman fitnah itu telah diselesaikan.

    “Syukur Alhamdulilah, atas doa sahabat semua, semoga dia dikurniakan hidayah oleh Allah,” katanya.

    Pada 29 Jun 2019, Firdaus Wong memfailkan saman terhadap Arunakirinathan kerana memuat naik kenyataan dan video memfitnah beliau sebagai pengganas, menghina agama lain serta mengubah kitab agama lain.

  • Tragedi mandi sungai:Dua lemas, seorang lagi masih hilang

    Tragedi mandi sungai:Dua lemas, seorang lagi masih hilang

    SEORANG lagi remaja ditemukan lemas ditemukan malam tadi, menjadikan dua mangsa disahkan terkorban dalam kejadian di Sungai Pasir Kelang, Kuala Krai, pukul 4 semalam.

    Mangsa yang lemas adalah Nik Nabila Tuan Tengah, 15, dan, Nik Adib Tuan Tengah, 12, manakala, sepupu perempuan mereka, Ku Nabila Ku Zaid, 15, sehingga kini belum ditemui.

    Semalam, tiga remaja bersaudara yang juga warga Thailand, membabitkan dua perempuan dan seorang lelaki, dengan seorang masih hilang, dikatakan mandi di sungai berkenaan ketika keluar memancing bersama dua lagi rakan mereka.

    Ketua Polis Daerah Kuala Krai Superintendan Suzaimi Mohammad berkata, hasil siasatan mendapati lima individu pergi memancing di tepi Jeti Pengkalan Feri, Pasir Kelang.

    Bagaimanapun, katanya, pada pukul 4.30 petang, tiga mangsa pergi mandi di sungai berdekatan dan secara tiba-tiba dibawa arus sungai.

    “Dua rakan mangsa yang melihat kejadian itu meminta bantuan penduduk kampung sebelum seorang mangsa (Nik Nabila) ditemukan (5.30 petang).

    “Seorang lagi mangsa (Nik Adib) ditemukan pukul 9 malam tadi oleh penduduk kampung, manakala seorang lagi mangsa (Ku Nabila) masih hilang,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Suzaimi berkata, pasukan penyelamat terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) digerakkan pada 5.30 petang untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).

    “Operasi SAR akan disambung dan diteruskan pada 7 pagi esok dengan bantuan penduduk setempat sehingga mangsa ditemui,” katanya.

  • Lelaki ditemukan maut dalam pacuan empat roda

    Lelaki ditemukan maut dalam pacuan empat roda

    SEORANG lelaki ditemukan meninggal dunia dalam sebuah pacuan empat roda yang diparkir berhadapan premis perniagaan di Bandar Raub, Raub, semalam.

    Mangsa, Liew Yoong Kuang, 47 tahun, dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh orang awam yang melalui premis berkenaan sebelum bertindak mengetuk tingkap dan menggoyangkan kenderaan jenis Nissan Navara terbabit.

    Kejadian itu disahkan Ketua Zon 3 Bomba Pahang, Shahrulnizam Nasir, lapor Astro Awani hari ini.

    “Menyedari mangsa tidak memberi respons, orang awam bertindak menghubungi pihak bomba untuk meminta bantuan bagi membuka pintu pacuan empat roda yang terkunci.

    “Sebaik menerima maklumat pada jam 9.47pagi, sepasukan lapan anggota termasuk seorang pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub bergegas ke lokasi kejadian,” katanya.

    Shahrulnizam berkata, setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati terdapat seorang mangsa tidak sedarkan diri dalam pacuan empat roda itu, dengan enjin kenderaan dimatikan.

    Menurutnya, pihak bomba mengambil masa kira-kira lima minit bagi membuka pintu kenderaan berkenaan dengan menggunakan peralatan khas.

    “Setelah operasi membuka pintu berjaya dijalankan, mangsa yang tidak sedarkan diri disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba di lokasi kejadian.

    “Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

  • Zuraida masih menteri Kabinet-PM

    Zuraida masih menteri Kabinet-PM

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Datuk Zuraida Kamaruddin masih menteri Kabinet dan kedudukannya akan ditentukan selepas mereka mengadakan pertemuan.

    Kenyataan itu susulan peletakan jawatan Zuraida sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta keluar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dibuat kelmarin untuk sertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

    Berita Harian hari ini melaporkan, Ahli Parlimen Ampang itu memutuskan menyertai PBM kerana tertarik dengan perjuangan parti baharu berkenaan.

    “Insya-Allah, saya akan berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat untuk membincangkan peletakan jawatan saya sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

    “Saya juga akan berbincang mengenai peranan dan hala tuju PBM demi mengukuhkan lagi kerajaan Keluarga Malaysia. Saya mempunyai keyakinan penuh terhadap kebijaksanaan Perdana Menteri,” kata Zuraida dalam kenyataan itu.

    Zuraida kini berada di Turki memenuhi undangan Persidangan Perintis Ketujuh Gabungan Wanita Global untuk Al-Quds dan Palestin serta dijangka berucap pada majlis pembukaan.

    Beliau dijangka ke Athens, Greece bagi memenuhi undangan Misi Perniagaan dan Pengembangan Pasaran Kayu Malaysia bersama Majlis Kayu Kayan Malaysia (MTC) dan dijangka pulang ke tanah air pada 2 Jun ini.

    Sebelum ini, di bawah pentadbiran Pakatan Harapan diterajui Tun Dr. Mahathir Mohamad dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Zuraida dilantik sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

    Menjelaskan peletakan jawatan itu, beliau akan terus menyokong kerajaan yang dipimpin Ismail Sabri walaupun kini menyertai PBM.

    Jelas Zuraida, ini kerana sokongan kepada kerajaan sekarang adalah selari dengan pendirian PBM.

    Pada 22 Ogos 2020, Zuraida yang juga bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) bersama-sama Timbalan Presiden PKRDatuk Seri Mohamed Azmin Ali, seorang lagi bekas Naib Presiden PKR, Ali Biju; Datuk Seri Saifuddin Abdullah (Ahli Parlimen Indera Mahkota), Datuk Mohd. Rashid Hasnon (Ahli Parlimen Batu Pahat), Datuk Seri Dr. Santhara Kumar (Ahli Parlimen Segamat), Willie Mongin (Ahli Parlimen Puncak Borneo) serta Datuk Kamaruddin Jaffar (Ahli Parlimen Bandar Tun Razak) mengumumkan keluar PKR dan menyertai Bersatu.

    Semuanya menyatakan pendirian menyokong kepemimpinan Muhyiddin yang ketika itu sebagai Perdana Menteri dan mereka bersedia ditempatkan di 222 kerusi Parlimen dan lebih 600 Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

  • Budak tiga tahun hilang dari rumah rakit

    Budak tiga tahun hilang dari rumah rakit

    SEORANG kanak-kanak berusia tiga tahun dikhuatiri lemas selepas hilang dari Rumah Rakit Atia Sofea, Bukit Rangin, Kuantan, awal pagi ini.

    Kejadian tersebut dilaporkan kepada pihak bomba pada pukul 3.23 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Indera Mahkota dikejarkan ke lokasi kejadian bagi membantu operasi mencari dan menyelamat.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang berkata, kanak-kanak tersebut dipercayai terjatuh ke dalam sungai.

    “Operasi pencarian dengan menggunakan bot tertumpu di sekitar rumah rakit dan kawasan sungai berdekatan.

    “Bantuan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) serta Unit Anjing Pengesan K9 turut digerakkan bagi membantu operasi pagi ini. Sehingga kini, mangsa masih belum ditemui,” katanya memetik laporan Astro Awani, hari ini.

  • Lihat rakan baik terkapai-kapai sebelum tenggelam

    Lihat rakan baik terkapai-kapai sebelum tenggelam

    SEORANG rakan tidak dapat melupakan detik-detik menyaksikan rakan baiknya terkapai-kapai sebelum tenggelam semasa mereka mandi di kolam terbiar berhampiran sebuah pasar raya di Mergong, Alor Setar, pukul 6 petang semalam.

    Muhammad Yazid Mohd Marwan, 15, dan rakan yang lain cuba menyelamatkan rakannya, Muhammad Hadwan Iman Abdul Hadi, 17, yang sedang terkapai-kapai tetapi tidak berjaya.

    “Saya nampak sendiri depan mata rakan baik saya, Muhammad Hadwan Iman terkapai-kapai di tengah kolam terbiar itu sebelum dia hilang dari pandangan.

    “Dalam suasana panik itu, beberapa rakan lain cuba terjun untuk menyelamatkan mangsa tapi mereka berpatah balik kerana kawasan itu semakin dalam,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, lapor Harian Metro, hari ini.

    Dalam kejadian semalam, Muhammad Yazid bersama-sama lima rakannya termasuk Muhammad Hadwan Iman mandi di kolam terbiar itu sebelum mangsa tenggelam.

    Mayat mangsa ditemui pada pukul 10.49 malam oleh sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar yang melakukan pencarian menggunakan teknik gripping iron menyebabkan tali tersangkut pada seluar mangsa yang ketika itu berada di dasar kolam.

    Menurut Muhammad Yazid, mereka berlima mandi di kawasan kolam terbiar itu, namun hanya mangsa menaiki tong polistirena yang dijadikan pelampung kerana tidak tahu berenang.

    “Muhammad Hadwan kelihatan seronok ketika itu kerana dapat naik tong polistirena itu sambil melihat kami mandi kerana mulanya paras air cetek namun tidak lama selepas itu tong polistirena itu dimasuki air dan dia tenggelam ke dasar kolam yang dalam.

    “Saya dan rakan-rakan lain terkilan kerana tidak dapat menyelamatkannya dan saya pulang ke rumah untuk memberitahu perkara itu kepada bapanya sebelum bergegas ke sini,” katanya.

    Dia dan arwah berkawan baik sejak lapan tahun lalu, malah tinggal di tempat sama iaitu di Flat Seri Gemilang, Alor Setar, walaupun berlainan sekolah.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir ketika ditemui di lokasi pencarian berkata, kawasan kolam terbiar itu tidak berpagar dan dipercayai menjadi tempat orang memancing serta mandi walaupun terdapat papan tanda amaran dilarang mandi.

    Beliau berkata, mangsa dipercayai menaiki tong polistirena itu yang dijadikan pelampung sebelum terjatuh ke dalam kolam dan lemas.

    “Jasad mangsa yang ditemui pasukan bomba dan kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk tindakan lanjut,” katanya.

  • Jangan sampai nilai Ringgit merudum baru nak bertindak

    Jangan sampai nilai Ringgit merudum baru nak bertindak

    Oleh MOHD AZAM MOHD ATAN

    Penulis sebenarnya tidak senang duduk apabila melihat kedudukan ringgit yang semakin melemah akhir-akhir ini.

    Tambah membimbangkan apabila Menteri Kewangan tahun 1976-1984, Tengku Razaleigh Hamzah telah menggesa kerajaan supaya bertindak mengatasi krisis ringgit dengan menumpukan pembaikan pasaran tukaran mata wang asing.

    Tengku Razaleigh atau Ku Li yang pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Bank Dunia dan IMF, Bank Pembangunan Asia dan Bank Pembangunan Islam itu juga berkata, ringgit juga dijangka merosot dalam masa terdekat.

    Katanya, ada ramalan yang mengatakan nilai ringgit boleh merosot sehingga RM5.50 berbanding AS$1.

    Seperti yang semua sedia ketahui, tiga hari lepas ringgit telah merosot kepada RM4.40 kepada AS$1 dan berbanding jiran terdekat kita Singapura, Malaysia telah merekodkan nilai terendah dalam sejarah apabila 1 Dolar Singapura bersamaan RM3.1964.

    Dengan kemerosotan tersebut, banyak impak yang dirasai oleh rakyat Malaysia ketika ini kerana pada tahun 2020 sahaja, Malaysia mengimport makanan bernilai RM55.4 bilion. Sudah pasti, lebih banyak wang perlu dikeluarkan kerajaan apabila nilai ringgit merosot dengan mendadak.

    Contoh mudah yang kita sudah rasa dan akan mulai rasa dalam masa terdekat ialah harga barang di sekeliling kita akan meningkat ketara kerana kebanyakan barang dan produk yang berada di dalam negara diimport dari luar. Daripada alat ganti kenderaan, pakaian, makanan dan apa saja yang diimport sudah mengalami kenaikan dan akan meningkat jika nilai ringgit terus merosot.

    Penulis ada ternampak iklan kedai 2 Ringgit di kawasan kejiranan yang terpaksa menaikkan harga barang dijual kepada RM2.20, kemudian RM2.40 dan baru-baru ini terpaksa menaikkan lagi kepada RM2.60 kerana harga barang yang diimport itu mengalami kenaikan harga.

    Banyak peniaga juga mengeluh kerana tidak mampu mengekalkan harga barangan jualan masing-masing ketika ini dan ada yang telah gulung tikar kerana tidak mampu membuat pusingan modal bagi mengimbangi pelbagai kos yang meningkat mendadak.

    Dalam media sosial pula, banyak keluhan rakyat yang tertekan dengan kos sara hidup yang meningkat di mana kadar inflasi yang tinggi menjadikan nilai wang yang berada di tangan rakyat menyusut dengan ketara. Ia dapat dirasai apabila nilai RM50 yang dimiliki ketika ini, tidak banyak barang yang mampu dibeli kerana kebanyakan produk yang dijual mengalami peningkatan yang berlipat kali ganda.

    Mereka juga bimbang apabila kerajaan dilihat tidak kompeten untuk menangani isu kejatuhan ringgit.

    Ini kerana sehingga kini belum ada sebarang kenyataan konkrit daripada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung isu kejatuhan ringgit sama ada beliau tidak mahu campur ataupun membiarkan isu yang amat penting itu diuruskan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

    Sepatutnya isu besar melibatkan ringgit perlu keprihatinan segera PM berbanding isu-isu sampingan lain yang mungkin boleh diuruskan di ‘level’ menteri sahaja. Penulis percaya PM memahami perkara ini dan pasti akan melakukan sesuatu ‘demi Keluarga Malaysia dikasihi’.

    *Penulis adalah penganalisis politik dan ekonomi.Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian WartaRakyat.

  • Bila rasa kuat..UMNO mula nak ‘tunjuk kuasa’

    Bila rasa kuat..UMNO mula nak ‘tunjuk kuasa’

    TT pelik bila tengok perangai sesetengah pemimpin UMNO. Walaupun sudah ditolak rakyat pada PRU-14 dan kembali dapat kuasa sehingga mampu duduki jawatan Perdana Menteri atas bantuan parti-parti lain, keangkuhan mereka kembali semakin terserlah.

    Ia terbukti apabila berlaku kekosongan bagi jawatan Menteri Perladangan dan Komoditi yang sebelum ini disandang oleh Zuraida Kamaruddin. Masa pegang jawatan itu Zuraida berada dalam Bersatu dan jawatan itu diberikan atas kuota Bersatu/Perikatan Nasional.

    Jawatan tersebut bukan diberi macam itu saja, sebaliknya berdasarkan perjanjian yang termeterai dalam kerjasama pembentukan kerajaan. Dalam bahasa mudah, ia melibatkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.

    Jadi bila ada kosong, kenalah bagi orang Bersatu jugak isi, apa hal pula UMNO nak buat perangai ‘Belanda dapat tanah’! Ni lah perangai UMNO sejak dulu lagi. Bila lemah dan hilang kuasa ‘macam ayam berak kapur’, terhengeh-hengeh sanggup beri sokongan untuk kembali berada dalam kerajaan, bila sudah kuat mulalah buat perangai buruk, ‘tikam kawan dari belakang’ atau jadi ‘duri dalam daging.’

    Buruknya, bukan kata dengan parti luar malah dengan sesama gabungan pun UMNO nak ‘caras’ – contoh mudah, nak hapuskan ‘kerusi tradisi’ yang diberikan kepada komponen. Bila lemah… berpakat dengan kawan, bekerjasama dengan musuh…bila dah kuat kawan dikhianati, musuh dijauhi – Inilah perangai buruk UMNO!

    Segelintir pemimpin UMNO yang bersikap macam tu sebab perasan UMNO/BN dah kuat. Bila menang PRN kat Johor dan Melaka, mereka mula ‘berkepak’, naik tocang…rasanya rakyat dah kembali menyokong parti itu walaupun pemimpin-pemimpinnya ada masalah integriti.

    Paling dangkal, bila ada seorang pemimpin kanan UMNO kata, tindakan Zuraida membuktikan Bersatu semakin lemah maka tak boleh minta kerusi Kabinet yang kosong itu. TT nak cakap kat pemimpin tu, jangan perasan sangat UMNO/BN kuat. Kata bijak sangat, buatlah kajian betul-betul apa faktor sebenar UMNO/BN menang di Melaka. Jangan main sedap mulut saja kata parti lain lemah.

    TT bukannya nak sokong Bersatu, cuma nak tegaskan, kalau sudah ada perjanjian, kalau dah berjanji dengan orang lain…pegang dan tunailah janji itu…hanya orang munafik sahaja yang akan memungkiri janji!

    Satu lagi TT nak cakap, sikap UMNO itu sepatutnya beri isyarat dan pemahaman kat puak-puak yang dok berdegil tak nak bekerjasama berhadapan satu lawan satu dengan BN dalam PRU-15.

    Tengoklah perangai UMNO betul-betul…sekarang ni mereka tak kuat manapun dah tunjuk lagak nak khianati kesepakatan, nak tuntut benda yang bukan hak mereka, bayangkan kalau mereka menang besar dalam PRU-15?

    Kalau menang tu bukan pasal rakyat sokong mereka tetapi disebabkan perasan ego dan angkuh sesetengah pemimpin parti lain yang tidak mahu merealisasikan kerjasama antara parti lawan BN.

    Semua berdegar-degar bercakap nak kleptokrasi, negara akan masalah kalau UMNO kembali berkuasa selepas PRU-15 dan paling aneh, ada pemimpin pembangkang kata kalau lawan banyak penjuru BN akan menang… tetapi apabila dah ada acara nak halang benda tu berlaku… tolak pulak!…Bijak kah politik macam tu?

    Sikap macam tu la menyebabkan pemimpin-pemimpin UMNO begitu yakin mereka akan menang PRU-15 bukan pasal rakyat sokong tetapi kerana undi pecah jika berlaku pertembungan tiga penjuru.

    Jadi mereka harap sangat, parti-parti lain tak bergabung atau bekerjasama untuk wujud pertarungan satu lawan satu. Mereka tahu kalau lawan macam tu, mereka akan ‘bungkus’…nak dapat 30 kerusi Parlimen pun susah. Tak percaya? Selidiklah sendiri…

    Kesimpulannya perangai buruk UMNO tak kan berubah kerana mereka dah rasa kuat. Bukan kerana mereka betul-betul kuat tetapi disebabkan lawan mereka…angkuh tak bertempat, ego tak tentu hala…tak mau berpakat…itu sahaja.

    *Tebuan Tanah (TT) berpengalaman lebih 30 tahun dalam dunia kewartawanan.

  • Tidak wujud unsur ADUN kerajaan Kedah melompat ke pembangkang – Mukhriz

    Tidak wujud unsur ADUN kerajaan Kedah melompat ke pembangkang – Mukhriz

    Oleh RIZQI ZABIDI

    TINDAKAN bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Zuraida Kamaruddin menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) semalam dilihat langsung tidak akan memberi kesan terhadap kerajaan negeri sedia ada di Kedah.

    Presiden Parti Pejuang Tanah Air, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, ketika ini tidak wujud unsur-unsur menampakkan bahawa terdapat mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan di Kedah, yang akan melompat ke arah pembangkang bagi membentuk kerajaan baharu.

    “Waktu ini kami masih pembangkang dan tiada unsur mana-mana ‘Yang Berhormat’ ADUN kerajaan nak melompat ke sini untuk tubuh kerajaan baharu.

    “Jadi saya ingat perkara itu (pertukaran kerajaan) takkan berlaku. Lagi pun yang kita dengar PBM ini memang mesra kepada kerajaan sedia ada dan kalau ada ADUN di sini ikut Zuraida menyertai parti itu, tak berubahlah keadaannya,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Jerlun di Dataran Sungai Korok, Jerlun, Kedah hari ini.

    Di pihak Pejuang katanya, parti itu kini berada di blok ketiga dengan pihaknya kini tidak melakukan sebarang gerakan untuk menjatuhkan kerajaan negeri sedia ada, menerusi kerjasama bersama parti lain berikutan tindakan Zuraida itu.

    “Kami ini blok ketiga, bukan ada ramai sangat pun (ADUN dan Ahli Parlimen).

    “Kalau nak ‘approach’ sesiapa pun, dalam senario politik sekarang ini, kami tak berupaya untuk menjatuhkan kerajaan sama ada di peringkat negeri mahu pun Persekutuan,” katanya.

    Ditanya ura-ura mengenai kemungkinan beliau bertanding di Langkawi setelah Tun Dr. Mahathir mengesahkan tidak akan bertanding pada PRU-15, Mukhriz berkata setakat ini tiada keputusan dibuat berhubung perkara itu.

    “Saya lebih selesa di Jerlun sebab ini tempat saya dari dulu. Rasanya tak ada sebab untuk saya berpindah ke tempat-tempat lain,” katanya

  • Rampas rokok seludup bernilai lebih RM1 juta dirampas

    Rampas rokok seludup bernilai lebih RM1 juta dirampas

    BRIGED Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 7,146 karton rokok seludup bernilai lebih RM1 juta termasuk cukai dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Wakaf Tapai, Marang, pukul 3 petang semalam.

    Serbuan itu dilakukan dalam Op Kontraban Pantai Timur dan pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan berkenaan.

    Komandernya, Datuk Hasan Basri Ahmad Safar berkata, ketika serbuan, lelaki yang tidak mempunyai rekod lampau itu sedang memunggah beberapa kotak besar disyaki rokok tidak bercukai dalam bonet dan tempat duduk belakang sebuah kereta di pekarangan rumah tersebut.

    “Hasil pemeriksaan dalam kereta dan rumah, kami berjaya menemui kotak-kotak yang di dalamnya mengandungi 1,429,200 batang pelbagai jenis rokok berharga RM114,336 dengan nilai cukai sebanyak RM975,564.

    “Nilai keseluruhan rampasan ini adalah sebanyak RM1,092,900 melibatkan rokok putih, kereta dan telefom bimbit,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Hasan Basri berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 yang membawa hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda nilai atau RM100,000, mana lebih tinggi atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

    Sementara itu, beliau berkata, sebanyak empat kes tangkapan dan rampasan kontraban di bawah Akta Kastam 1967 direkodkan Briged Tenggara PGA dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.

    Katanya, tiga lelaki tempatan telah ditahan sepanjang tempoh berkenaan dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM3.1 juta.