Author: Admin

  • Dua beranak maut dalam kemalangan babitkan empat kenderaan

    Dua beranak maut dalam kemalangan babitkan empat kenderaan

    DUA beranak maut setelah kenderaan dinaiki terlibat dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan iaitu dua buah lori, sebuah van serta kereta di Kilometer 39, Jalan Kuantan-Segamat, Pekan, Pahang pada pukul 11 pagi semalam.

    Muhammad Padillah Hussin, 52, dan dan anaknya Nurul Solehah Muhammad Padillah, 23, disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.

    Ketua Polis Daerah Pekan Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, siasatan awal mendapati, Proton Wira dipandu Muhammad Padillah dalam perjalanan dari arah Segamat, Johor menghala ke Kuantan manakala tiga kenderaan lain dari arah Kuantan menghala ke Segamat.

    “Sebaik tiba di lokasi, kereta dipandu mangsa dipercayai termasuk ke laluan bertentangan lalu melanggar tayar belakang sebuah lori sebelum bertembung dengan van.

    “Proton Wira itu kemudiannya termasuk semula ke laluan asal manakala van terbabit dilanggar sebuah lagi lori yang berada di belakangnya. Dua beranak itu serta pemandu van terbabit kemudiannya dibawa ke HTAA.

    “Pada pukul 1.53 petang, Muhammad Padillah disahkan meninggal dunia di wad kecemasan HTAA. Pada pukul 6.39 petang pula, Nurul Solehah disahkan meninggal dunia di unit rawatan rapi (ICU) HTAA,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

    Menurut beliau, pemandu van berusia 36 tahun itu patah tangan kanan manakala dua pemandu lori berumur 32 dan 38 tahun tidak mengalami kecederaan.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • 4 nelayan Indonesia dikhuatiri hilang bot karam di tengah laut Pulau Pinang

    4 nelayan Indonesia dikhuatiri hilang bot karam di tengah laut Pulau Pinang

    SERAMAI empat nelayan warga Indonesia dikhuatiri hilang di laut selepas bot dinaiki mereka dilaporkan karam di perairan Malaysia kira-kira pukul 7 pagi semalam.

    Kejadian itu dilaporkan salah seorang mangsa yang ditemukan selamat oleh bot nelayan tempatan menjumpai lelaki berkenaan sedang terapung di kedudukan 13.8 kilometer dari barat Sungai Kongsi, Balik Pulau, Pulau Pinang.

    Susulan itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang melalui Maritim Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat) petang semalam bagi mengesan empat mangsa lain.

    Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bot mangsa dipercayai karam kira-kira pukul 7 pagi semalam dan pihaknya menerima laporan kira-kira pukul 12.25 tengah hari semalam daripada pemilik sebuah bot nelayan tempatan.

    ”Sebaik sahaja menerima maklumat tersebut, bot Kilat 26 Maritim Malaysia diatur gerak ke lokasi untuk mengambil mangsa tersebut di perairan Gertak Sanggul seterusnya melakukan pencarian awal bagi mengesan baki rakan mangsa yang masih hilang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya, hasil pemeriksaan dan temubual awal ke atas mangsa yang terselamat iaitu seorang lelaki warga Indonesia yang dikenali sebagai Aswin, 43, memaklumkan, dia dan rakan-rakan lain yang berusia 30 hingga 55 tahun telah keluar ke laut dari Tanjung Balai Asahan, Indonesia.

    Katanya, mangsa memaklumkan mereka keluar menangkap ikan dan telah berada di laut hampir lima hari sebelum bot mereka bocor dan karam ketika dalam perjalanan belayar pulang.

    “Pemeriksaan juga mendapati mangsa tiada mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya.

    Tambahnya, menurut mangsa dia dan rakan sempat memakai jaket keselamatan sebelum masing-masing hanyut dan terpisah antara satu sama lain dalam keadaan laut yang bergelora dan angin kencang.

    Jelasnya, usaha pencarian yang masuk hari kedua hari ini sedang giat dilakukan dengan keluasan 77.7 kilometer dan membabitkan aset Maritim Malaysia buat masa ini memandangkan lokasi bot yang disyaki karam tidak dapat dikenal pasti dan dipercayai berada di tengah laut.

    “Orang awam yang mempunyai maklumat diminta segera menghubungi talian Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian (04-2626146) atau talian kecemasan MERS 999,” katanya.

  • Ibu muda meninggal dunia akibat bertindik di bibir

    Ibu muda meninggal dunia akibat bertindik di bibir

    SEORANG ibu muda di Brazil meninggal dunia selepas tindik di bibirnya terkena jangkitan.

    Andressa Souza, 20, ibu kepada seorang anak lelaki berusia 3 tahun, dimasukkan ke unit rawatan rapi selama 24 hari selepas mendapat jangkitan dari tindikan bibirnya yang dilakukan dua bulan  lalu.

    Ibunya, Maria Aparecida da Silva Oliveira, 47 memberitahu media tempatan, jangkitan tersebut merebak ke saluran darah dan mencecah otak anaknya.

    “Kami nampak bibirnya bengkak dan tidak boleh bergerak. Ia bengkak dan kami tidak boleh mengeluarkan tindik itu. Jangkitan kuman tersebut masuk ke saluran darahnya dan merebak ke otak,” kata Maria.

    Maria berkata, anaknya membayar 57.54 Real (RM47.46) untuk membuat tindik itu namun dia tidak tahu sama ada orang yang melakukan hiasan tersebut mempunyai lesen atau tidak.

    Andressa meninggal dunia di unit rawatan rapi Hospital da Vida di Dourados, Brazil pada 9 Julai lalu.

    Doktor memberitahu Maria jangkitan kuman merebak sebanyak 37% ke dalam otak anaknya dan jika pulih sekalipun, Andressa akan berada dalam keadaan  mati otak buat selama-lamanya.

  • 4 beranak maut nahas kemalangan 7 kenderaan selamat dikebumi

    4 beranak maut nahas kemalangan 7 kenderaan selamat dikebumi

    JENAZAH empat beranak yang maut dalam kemalangan membabitkan tujuh kenderaan di Kilometer (KM) 277.1, Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) berdekatan Ipoh, Perak petang semalam selamat dikebumikan Tanah Perkuburan Islam Masjid Permatang Pasir, Permatang Pauh, Pulau Pinang awal pagi tadi.

    Jenazah suami isteri, Allahyarham Rahim Ramli, 60 dan Siti Petimah Omar, 59, serta dua anak mereka iaitu Nor Hadirah, 28, dan Nor Hamizah, 27, dikebumikan dalam satu liang lahad di tanah perkuburan itu kira-kira pukul 3 pagi tadi.

    Van yang membawa jenazah empat beranak itu tiba di pekarangan Masjid Permatang Pasir kira-kira pukul 1.30 pagi selepas selesai menjalani proses bedah-siasat di Unit Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, Perak.

    Sementara itu, suasana pilu dan hiba dapat dirasai di tanah perkuburan tersebut ketika urusan pengkebumian dengan ahli keluarga; sanak-saudara dan orang ramai membanjiri kawasan tanah perkuburan tersebut.

    Dalam pada itu, dua anak keluarga berkenaan iaitu Muhamad Hazman Rahim, 20, yang merupakan satu-satunya anak lelaki keluarga berkenaan dan Nor Fatini, 22, dilihat tidak dapat menahan sebak dan kesedihan sepanjang urusan pengkebumian ahli keluarga mereka.

    Dalam pada itu, menurut laporan Sinar Harian, anak saudara kepada Siti Petimah yang mahu dikenali sebagai Atie, 43, berkata, pasangan suami isteri itu dalam perjalanan dari Sungai Petani, Kedah untuk menghantar seorang anak perempuan mereka yang baru mendapat kerja di Kuala Lumpur.

    Menurutnya, keluarga itu bertolak awal pagi dan kali terakhir dapat dihubungi sekitar pukul 12 tengah hari ketika mereka berada berhampiran Alor Pongsu, Perak.

    “Sekitar pukul 4.30 petang saya cuba untuk hubungi ibu saudara saya untuk bertanyakan sudah sampai di mana, namun talian tidak bersambung.

    “Saya cuba telefon ke nombor lain, tetapi tiada satu pun yang berjaya membuatkan hati saya tak tenang.

    “Sampailah saya dapat panggilan daripada seorang lagi makcik maklumkan kejadian itu,” katanya.

  • Isu lantikan duta: Tajuddin akan keluar kenyataan – PM

    Isu lantikan duta: Tajuddin akan keluar kenyataan – PM

    AHLI Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman akan mengeluarkan kenyataan mengenai status beliau sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia.

    Memetik laporan FMT, perkara itu dimaklumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepada pemberita.

    “Tajuddin akan keluarkan kenyataan,” katanya ringkas kepada media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Blueprint Perumahan 3.0 Kementerian Pertahanan hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika ditanya status Tajuddin sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia selepas namanya tiada dalam senarai penerima watikah pelantikan di Istana Negara semalam.

    Terdahulu, Tajuddin dilaporkan digugurkan sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia, setelah kerajaan “berubah hati” mengenai pelantikan beliau, menurut sumber kerajaan.

    Sumber itu mengesahkan nama Tajuddin tidak terkandung dalam senarai terbaru penerima watikah pelantikan diplomat ke luar negara daripada Yang di-Pertuan Agong.

    Semalam Seri Paduka mengurniakan watikah pelantikan kepada empat ketua perwakilan Malaysia ke luar negara, di Istana Negara.

    Ketua Perwakilan Malaysia ke luar negara yang baharu dilantik ialah Duta Besar Malaysia ke Korea Selatan, Lim Juay Jin; Duta Besar Malaysia ke Jepun, Shahril Effendi Abd Ghany; Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Wan Zaidi Wan Abdullah dan Duta Besar Malaysia ke Iran, Khairi Omar.

    Nama Tajuddin bagaimanapun tidak tersenarai dalam pengurniaan watikah tersebut.

    Isu pelantikan Tajuddin sebelum ini mengundang kritikan daripada pelbagai pihak termasuk bekas diplomat.

    Tajuddin sebelum ini menyifatkan sebahagian kritikan berhubung pelantikannya sebagai “tidak adil”.

  • 712,435 PATI daftar Program Rekalibrasi, kata Hamzah

    712,435 PATI daftar Program Rekalibrasi, kata Hamzah

    SERAMAI 712,435 pendatang tanpa izin (PATI) berjaya didaftarkan di bawah Program Rekalibrasi sejak dilaksanakan pada November 2020 hingga tarikh akhir pelaksanaannya, 30 Jun lepas.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, setakat 30 Jun lalu Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mendaftarkan 293,907 PATI di bawah Program Rekalibrasi Pulang.

    “Pada Oktober 2020, kita kata kalau mereka hendak kerja boleh daftar dan nak pulang boleh daftar.

    “Sementara seramai 418,528 PATI telah berdaftar dengan kita semula, maknanya Program Rekalibrasi Tenaga Kerja,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Keputusan Kewarganegaraan di ibu pejabat KDN di Putrajaya, hari ini, lapor Astro Awani.

    Jelas Hamzah lagi, program itu bagi memastikan setiap warga asing di negara ini dikenal pasti.

    Mengulas lanjut, kerajaan ujarnya akan mengumumkan program e-locker iaitu program melindungi tenaga kerja asing daripada menjadi mangsa mana-mana majikan yang tidak bertanggungjawab.

    “Kita akan umumkan satu program menentukan semua pekerja melalui proses e-locker.

    “Di mana kita tahu orang ini tinggal di mana, gaji dia dapat atau tidak semua ini kita akan lakukan, tidak lama lagi kita akan umumkan.
    Sekarang kita dalam proses menyelesaikan (program) ini.

    “Sebenarnya tanggungjawab KDN bukan hanya menjaga keselamatan negara, tetapi keberadaan mereka (tenaga kerja asing) di Malaysia juga adalah tanggungjawab KDN. Kita nak pastikan orang yang ada ini ada dokumen,” katanya lagi.

  • Pembekuan sementara pekerja Indonesia:Malaysia masih ada 15 negara sumber – Hamzah

    Pembekuan sementara pekerja Indonesia:Malaysia masih ada 15 negara sumber – Hamzah

    MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Malaysia masih mempunyai 15 negara sumber lain bagi pengambilan pekerja asing.

    Katanya, ini susulan Indonesia membekukan sementara kemasukan tenaga kerja negara itu berkuat kuasa serta-merta.

    “Kita ada banyak warga asing yang datang duduk bekerja. Negara sumber nombor satu adalah Bangladesh, dan kita ada 15 lagi negara sumber,” jelasnya memetik laporan Astro Awani, hari ini.

    Hari ini, Indonesia dilaporkan membeku penghantaran semua pekerja ke Malaysia serta-merta berikutan pelanggaran syarat-syarat dalam Memorandum persefahaman (MoU) bagi pengambilan dan perlindungan pekhidmat domestik Indonesia (PDI) di Malaysia.

    Duta Besar Indonesia ke Malaysia Hermono mengesahkan bahawa surat rasmi berhubung keputusan ini telah diserahkan kepada Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan semalam.

    Antara lain, langkah itu diambil berikutan penggunaan Sistem Maid Online (MOS) oleh Jabatan Imigresen Malaysia dalam pengambilan pekhidmat domestik Indonesia merupakan pelanggaran MoU yang ditandatangani pada 1 April lalu.

    Mengulas lanjut, ujar Hamzah, kementeriannya mengambil serius dalam memastikan setiap tenaga kerja asing yang memasuki Malaysia mengikut syarat yang ditetapkan.

    Malah ujarnya, penggunaan MOS dalam pengambilan pekerja domestik bukan hanya tertumpu tenaga kerja warga Indonesia, sebaliknya untuk kesemua 15 negara sumber.

    “Saya nak maklumkan permohonan secara atas talian itu dah umumkan kepada dunia, boleh kita gunakan sistem online takkan ada orang kata tidak boleh sistem ‘online’. Kenapa pula? Ini sistem yang kita gunakan.

    “Jadi ia bukan hanya untuk Indonesia tapi untuk semua warga asing datang (bekerja) yang perlukan visa boleh buat secara atas talian,” jelasnya lagi.

    Tambahnya, sistem MOS yang digunakan bertujuan memastikan setiap warga asing yang ingin bekerja di Malaysia mempunyai dokumentasi lengkap.

    “Yang penting kepada semua untuk memahami bahawa, kita ingin memastikan semua tenaga kerja asing mempunyai dokumen yang lengkap jika mereka ingin datang dan tinggal di negara ini,” katanya.

  • KXP: Penamatan ECK tiada kaitan Musang King di Gunung Inas

    KXP: Penamatan ECK tiada kaitan Musang King di Gunung Inas

    Oleh BADLISHAH MAT

    KUMPULAN Syarikat ECK (ECK) sudah tidak lagi terlibat dalam projek pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) di Kedah, kata Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor

    Beliau menegaskan, usaha sama tersebut ditamatkan bukan kerana syarikat berkenaan memiliki kaitan dengan penanaman durian Musang King di Gunung Inas seperti didakwa sesetengah pihak.

    Sebaliknya Muhammad Sanusi berkata, penamatan itu disebabkan syarikat berkenaan tidak dapat memenuhi syarat dipersetujui kedua-dua pihak sebelum ini.

    Katanya, salah satu syarat yang gagal dipenuhi ECK adalah mereka gagal menyediakan deposit yuran komitmen yang berjumlah 125 peratus daripada RM2.1 bilion untuk pengambil alihan tanah

    “Itu adalah perkara asas dan apabila tanah tak dapat diambil, maka projek itu tak ‘jalanlah’. Tetapi kita tak berniat nak batalkan projek tersebut. Apabila khidmat mereka ditamatkan, kita cari orang lain pula untuk buat usaha sama bagi laksanakan projek tersebut.

    “Yang pastinya penamatan usaha sama bersama ECK ini tiada kaitan dengan ladang duriang Musang King di Gunung Inas atau kejadian kepala air serta banjir yang berlaku.

    “Saya buat keputusan tamatkan usaha sama dengan ECK pada Mei sedangkan kejadian banjir baru berlaku minggu lepas, macam mana boleh kata ada kena mengena?” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan Kolaborasi Inisiatif Kulim Smart Parking antara Majlis Perbandaran Kulim dan Heitech Padu Bhd di Wisma Darul Aman, hari ini.

    Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Muhkriz Mahathir semalam mendakwa, ECK telah membeli syarikat Aman Mega Sdn. Bhd. yang kemudian dibenarkan menanam durian Musang King ketika Kedah ditadbir Barisan Nasional (BN), pada era Ahmad Bashah menjadi Menteri Besar.

    Menurut Mukhriz, Sanusi kemudiannya menganugerahkan projek KXP kepada ECK sebelum anugerah itu dibatalkan berikutan ketidak mampuan syarikat berkenaan melaksanakan projek mega tersebut.

    Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, ketika ini terdapat tujuh atau lapan syarikat yang menunjukkan minat untuk meneruskan projek KXP seperti dihasratkan kerajaan negeri.

    “Mereka sudah hantar kertas cadangan dan KXP AirportCity Holdings Sdn. Bhd. akan buat penilaian serta usaha wajar (due diligence) bagi memilih syarikat yang layak. Kita akan laksanakan proses pemilihan paling menyakinkan sebab projek ini melibatkan pelaburan besar,” katanya.

  • Dua ditahan terbabit kes lelaki jatuh bangunan

    Dua ditahan terbabit kes lelaki jatuh bangunan

    DUA lelaki tempatan ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam kes bunuh seorang lelaki yang jatuh dari tingkat atas sebuah bangunan di Kelana Jaya, di Petaling Jaya, semalam.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pukul 2.50 petang.

    “Sepasukan anggota polis dikejarkan ke lokasi kejadian sebelum mendapati mayat seorang lelaki dipercayai warga asing dalam keadaan bogel.

    “Setakat ini, kami belum mengenal pasti identiti mangsa berkenaan yang dianggarkan berusia lingkungan 30-an,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Harian Metro.

    Susulan itu pihaknya menahan dua lelaki tempatan masing-masing berusia 40-an yang dipercayai terbabit dalam kes terbabit di sebuah kediaman di lokasi kejadian pukul 10.15 malam tadi.

    Katanya, polis turut merampas pelbagai barangan peribadi milik suspek termasuk telefon bimbit serta beberapa peralatan seks,” katanya.

    “Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh,” katanya.

  • ”Tak ada faedah apa pun. Mangsa tergolek di sana kita berkelahi” -Sanusi

    ”Tak ada faedah apa pun. Mangsa tergolek di sana kita berkelahi” -Sanusi

    Oleh BADLISHAH MAT

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menegaskan beliau enggan terlibat dalam permainan tuduh-menuduh antara dua bekas Menteri Besar negeri itu berhubung isu Musang King di Kupang, Baling.

    Beliau enggan mengulas lanjut dakwaan Datuk Seri Mukhriz Mahathir terhadap Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah kerana perkara itu tidak membawa manfaat kepadanya dan rakyat.

    “No komen. Saya tak mahu terlibat dalam blame game. Hangpa (kamu) duk heret saya masuk blame game. I won’t play. Saya tak mahu mencari salah orang. Tak ada faedah apa pun. Mangsa tergolek di sana kita berkelahi,” katanya selepas melancarkan Kolaborasi Inisiatif Kulim Smart Parking antara Majlis Perbandaran Kulim dan Heitech Padu Bhd di Wisma Darul Aman, hari ini.

    Semalam, Mukhriz mendakwa bahawa penanaman durian Musang King di Gunung Inas yang dikaitkan dengan tanaman durian Musang King dibuat Ahmad Bashah ketika menjadi Menteri Besar pada 2016 hingga 2018.

    Justeru, beliau meminta agar kedua-dua pemimpin itu tidak bercakaran antara satu sama lain, sebaliknya mencari jalan penyelesaian terhadap masalah rakyat yang dihadapi.

    “Tak ada faedah apa (cari) siapa bersalah. Dah bersalah jadi apa? Adakah orang yang rumah runtuh akan terbina semula rumah dia bila kita jumpa orang yang bersalah (tetapi) kita kena usahakan nasib mereka terbela,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau menggesa semua pihak memberi ruang secukupnya kepada jabatan serta agensi kerajaan yang terlibat dalam siasatan tragedi kepala air dan banjir lumpur sebelum membuat rumusan terhadap punca kejadian itu di Kupang.

    Muhammad Sanusi berkata, beliau tidak akan memberi sebarang tempoh masa kepada pihak terbabit termasuk Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) untuk melakukan tugas mereka.

    “Ya, kita bagi masa yang cukuplah kepada jabatan ini. Saya tak tahu (berapa lama), terpulanglah kepada jabatan, free and easy. Kerana kalau kita bagi sebab (punca) apa pun, penduduk tak akan dapat balik kepada kedudukan asal.

    “Orang desak saya buat rumusan cepat (untuk) katakan Musang King itu penyebab kepada banjir. Tetapi tak boleh begitu kerana sebagai ketua kerajaan saya kena dengar laporan jabatan dan agensi yang ada kepakaran khusus dalam bidang berkaitan.

    “Kalau saya mendahului mereka, tiba-tiba dapatan (hasil siasatan) jabatan dan agensi berlainan, akan flip flop. Kerajaan tak boleh begitu kerana kena guna dapatan agensi dan jabatan kita. Saya tak boleh pakai jabatan netizen punya pandangan,” katanya.