SEORANG Ratu Cantik Rusia bakal dikenakan hukuman penjara 20 tahun selepas disyaki menjual dadah, kata penguatkuasa Rusia.
Kristina Dukhina, 34 ditahan behampiran rumahnya di Moscow City.
Dukhina merupakan peserta Miss Dubai pada 2019 dan memenangi Grand Prix Miss Federation di Rusia pada 2020.
Wanita 34 tahun itu juga mempunyai sebuah syarikat permodelan di Crimea. Ibu kepada dua anak tersebut ditahan selepas pihak polis menemui hampir separuh kilogram mephedrone.
Wanita Rusia itu kini disiasat kerana disyaki cuba menjual dadah tersebut.
Di Rusia, kes dadah tidak diambil ringan dan pemilikan dadah melebihi 2.5 gram boleh dihukum penjara selama 10 tahun .
Seorang peguam ketika mengulas kes itu berkata, ‘’kes seperti ini amat menakutkan. Begitu mudah hidup seseorang itu musnah. Dengan beberapa gram dadah dia akan di penjara dalam tempoh yang lama.
Skuad Harimau Malaya menamatkan penantian 42 tahun untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia secara merit selepas menundukkan Bangladesh 4-1 dalam aksi terakhir kelayakan Kumpulan E di Stadium Nasional, Bukit Jalil, di sini, sebentar tadi.
Dalam perlawanan malam tadi, skuad kendalian Kim Pan Gon berada di depan pada minit ke-16 menerusi Safawi Rasid yang menyempurnakan sepakan penalti selepas Matthew Davies dijatuhkan pertahanan lawan.
Memetik laporan Berita Harian, Bangladesh bagaimanapun membuat kejutan apabila berjaya menyamakan kedudukan hasil jaringan Mohammad Ibrahim pada minit ke-31.
Tujuh minit selepas itu, skuad Harimau Malaya kembali di depan apabila Dion Cools meledak gol kedua pasukan negara selepas rembatan derasnya gagal diselamatkan penjaga gol, Anisur Rahman.
Hanya dua minit selepas bersambung babak kedua, Syafiq Ahmad mengukuhkan kedudukan buat skuad Harimau Malaya apabila menanduk masuk bola hantaran Faisal Halim.
Malam gemilang skuad kebangsaan diteruskan dengan jaringan pemain gantian, Darren Lok selepas dia tenang menyudahkan hantaran Akhyar Rashid pada minit ke-73.
Kemenangan itu menyaksikan skuad Harimau Malaya menamatkan saingan di tangga kedua Kumpulan E dengan enam mata dan berjaya menempatkan diri dalam kelompok lima naib juara terbaik dari enam kumpulan yang mendapat tiket ke pusingan akhir Piala Asia 2023.
Bahrain yang terlebih dahulu mengesahkan tempat ke pusingan akhir muncul juara Kumpulan E dengan mengumpul sembilan mata, sementara Turkmenistan di tangga ketiga (tiga mata) dan Bangladesh di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata.
Untuk rekod, kali terakhir Malaysia layak secara merit ke Piala Asia pada 1980 dan skuad Harimau Malaya pernah beraksi di pusingan akhir Piala Asia pada 2007, namun ketika itu mendapat tiket selaku tuan rumah.
TAN Sri Muhyiddin Yassin menafikan laporan tidak berasas oleh sebuah portal kononnya dua pemimpin Bersatu iaitu Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon akan meninggalkan parti itu.
Beliau yang juga Presiden Bersatu berkata, perkara itu tidak dibincangkan langsung ketika ketiga-tiga mereka bertemu pada majlis sambutan Aidilfitri anjuran Bersatu baru-baru ini.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu juga hairan mengapa pihak tertentu sengaja menimbulkan spekulasi terhadap ‘parti yang kecil seperti Bersatu’.
“Saya rapat dengan Datuk Seri Azmin, dia adalah menteri yang datang dari Bersatu dan kita kerap berbincang, bukan soal keluar masuk, soal masa depan.
“Datuk Rashid Hasnon, saya sambut hari raya hari itu bersama dengan beliau jugak, tak ada cerita pasal soal tu, cerita pasal makan ketupat sahaja.
“Jadi, maksud saya tadi bahawa mungkin desas-desus itu tidak berasas. Kenapalah orang nak beri tumpuan, sasaran kepada Bersatu?
“Apa yang bimbang sangat dengan Bersatu ni, parti kecil aje,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN) di Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi MPN yakin bahawa spekulasi tidak berasas seperti yang dilaporkan oleh portal terbabit tidak akan berlaku.
Sementara itu, Muhyiddin masih berahsia tentang identiti pemimpin dari Bersatu yang bakal diketengahkan sebagai calon pengganti Datuk Zuraida Kamaruddin selaku Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.
“Bila sampai masa nanti, saya tengok muka dia baru atau lama,” katanya secara berseloroh.
Beliau sekali lagi menegaskan bahawa jawatan yang disandang Zuraida itu merupakan kuota milik Bersatu.
“Zuraida dulu duduk situ sebagai ahli Bersatu. Sejak dulu kuota itu milik Bersatu,” jelasnya.
Muhyiddin turut memaklumkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan bertemu dengannya selepas berjumpa dengan Zuraida.
Kedudukan Zuraida selaku Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi menjadi tanda tanya selepas beliau keluar dari Bersatu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).
BUDI bahasa, disiplin tinggi jemaah haji serta pengurusan teratur menjadi antara faktor di sebalik pemilihan Malaysia dalam program Makkah Route atau prapelepasan.
Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Abdul Rahman berkata lebih istimewa, Malaysia pernah mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi satu-satunya negara yang menjadi pilihan kerajaan Arab Saudi ketika kali pertama program tersebut dilaksanakan.
Katanya, tahun ini pula hanya lima negara terpilih dalam program istimewa itu iaitu Malaysia, Morocco, Pakistan, Indonesia dan Bangladesh.
“Kalau kita lihat sejarah Makkah Route ini, ia diperkenalkan secara projek rintis pada 2017 dan Malaysia merupakan satu-satunya negara yang terpilih.
Kejayaan pada projek rintis membolehkan Malaysia meneruskannya pada tahun selepasnya dan sehingga hari ini. Arab Saudi kini memilih lima negara sahaja daripada beratus negara lain yang menghantar jemaah haji mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di bangunan yang menempatkan ibu pejabat Lembaga Tabung Haji (TH) dan penginapan jemaah, Abraj Al Janadriyah, di sini.
Syed Saleh berkata kerajaan Arab Saudi juga kelihatan selesa dalam berurusan dengan TH kerana badan itu mampu bertindak secara langsung dalam urusan haji, malah sistem pengurusan sedia ada juga memudahkan perlaksanaan Makkah Route.
Tambahnya, kebolehan jemaah tanah air memahami arahan asas meskipun dalam bahasa Arab dan Inggeris juga menjadi faktor penyumbang kepada pemilihan Malaysia berbanding negara lain.
“Pihak Kementerian Haji dan kerajaan Arab Saudi mempunyai hubungan cukup rapat dengan TH dan Malaysia…ini juga memudahkan mereka untuk berurusan dan kita akan bersama-sama memperhalusi serta memperbaiki lagi sistem ini sebelum dilaksanakan sepenuhnya kepada beberapa negara lain,” katanya.
Inisiatif program tersebut dilihat berjaya melancarkan pergerakan jemaah, termasuk yang melibatkan imigresen dan kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan lapangan terbang di Madinah serta Jeddah.
Sejurus sampai, jemaah Malaysia akan terus menaiki bas, sama ada di Madinah atau Mekah, malah beg mereka akan diuruskan pihak agensi di Arab Saudi untuk dibawa ke hotel masing-masing.
Dalam perkembangan lain, hotel ketiga, Qasr Aljanadriyah yang menempatkan jemaah haji Malaysia telah mula dibuka malam tadi dengan menyambut ketibaan seramai 287 jemaah dari Madinah.
Dua lagi penginapan jemaah Malaysia ialah di Abraj Al Janadriyah dan Land Premium dengan kesemua bangunan tersebut mempunyai pelbagai kemudahan termasuk pejabat pengurusan TH, Bank Islam, perkhidmatan klinik, farmasi dan kafe.
Setakat malam tadi seramai 2,227 jemaah telah berada di Makkah manakala 2,730 masih di Madinah.
Seramai 14,306 jemaah Malaysia akan menunaikan haji pada tahun ini dengan 48 penerbangan, iaitu yang terakhir pada 2 Julai.
*Ikuti perkembangan jemaah haji Malaysia di Tanah Suci melalui media sosial Facebook, Instagram dan Tik Tok Lembaga Tabung Haji.
PELAKON komedi Hamid Gurkha dilaporkan menghembuskan nafas terakhir di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang petang ini.
Memetik laporan Astro Awani, Allahyarham yang berusia 90 tahun meninggal dunia akibat penyakit tibi dan beberapa komplikasi lain pada pukul 2.19 petang tadi.
Hamid Gurkha dimasukkan ke hospital enam hari lalu, namun keluarganya menafikan arwah dalam keadaan tenat sehingga dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).
Sebelum ini, Allahyarham dilaporkan hanya terlantar atas katil selepas dijangkiti COVID-19 pada Februari lalu.
Bintang yang dikenali menerusi komedi, Panglima Badol yang diterbitkan pada 1978, dilaporkan tidak pernah menghidap penyakit kronik, sebaliknya hanya masalah pendengaran disebabkan keadaannya yang semakin uzur pada usia menginjak 90 tahun.
Beliau juga pernah membintangi filem Gila-gila, Sikit Punya Gila, Ragam Pemandu dan Zombie Kampung Pisang.
Hamid mendirikan rumah tangga dengan Timah Abdul Hamid, 80 pada April 1957 dan dikurniakan lapan cahaya mata.
PAS Pulau Pinang mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak mempolitikkan isu larangan kepada umat Islam daripada menyertai Festival Bon Odori kerana ia berkaitan dengan akidah umat Islam.
Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff berkata, umat Islam perlu menghormati keputusan mufti serta pihak berkuasa agama yang mempunyai fakta dan maklumat tepat dalam isu itu sebelum menggadaikan prinsip beragama hanya kerana kepentingan agenda politik.
”Pas Pulau Pinang menyokong saranan dan garis panduan yang dikeluarkan oleh Mufti Pulau Pinang dan pihak berkuasa agama mengenai hukum menyertai Festival Bon Odori bagi umat Islam yang akan berlangsung pada 16 Julai ini di Kompleks Sukan Negara, Shah Alam Selangor.
”Kita menegaskan isu ini tidak harus dipolitikkan kerana ia melibatkan akidah umat Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, kajian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendapati program Festival Bon Odori mempunyai unsur-unsur keagamaan lain sekali gus menasihatkan umat Islam mengelak daripada menyertainya.
Dalam masa sama, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor juga menasihatkan umat Islam mengelak terlibat dengan Festival Bon Odori kerana dibimbangi boleh membawa kepada syirik.
Menurut Muhammad Fauzi, Islam melarang sebarang perayaan yang berunsur agama lain dan haram bagi umat Islam meraikannya bahkan wajib dihindari bagi kemaslahatan agama.
”Islam menghormati kebebasan beragama semua pihak, namun kita juga diwajibkan mengingatkan umat Islam supaya tidak melakukan sesuatu yang bertentangan dengan akidah,” katanya.
Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengambil langkah untuk ‘berguru’ dengan mentor usahawan terkenal, Datuk Dr. Azizan Osman bagi merangka transformasi serta memperkembangkan perniagaan SimplySiti yang diasaskannya sejak Mac 2010.
Menurut isteri kepada Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa itu, beliau secara peribadi merasakan ilmunya masih kurang dan memerlukan bimbingan walaupun sudah lebih 10 tahun menceburi bidang perniagaan.
“Sepanjang dua hari saya berada dalam kelas Azizan, saya boleh rasakan yang saya perlukan beliau untuk lebih berkembang dalam dunia perniagaan. Jika dunia hiburan boleh dianggap sebagai ‘makanan’, namun dalam dunia perniagaan saya masih kurang ilmu dan perlukan bimbingan.
“Saya seronok dapat kembali menjadi pelajar. Dalam kelas ini, saya tak fikir yang saya seorang penyanyi atau selebriti sebaliknya merasa gembira kerana dapat sama-sama melakukan tugasan bersama ‘pelajar’ lain.
“Sepanjang berada di sini, saya belajar memperbaiki diri. Saya sedar yang saya memiliki tanggungan di bawah iaitu individu yang bersama-sama memperjuangkan Simplysiti dan saya akan dapatkan ilmu itu bagi dikongsi bersama mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Majlis Menandatangani Keahlian Titanium Premier Partner (TPP) dan Watikah Penyedia Latihan Richwork di The Datai, Langkawi, Kedah, hari ini.
Siti Nurhaliza merupakan individu pertama yang diterima untuk dibimbing dan menjadi rakan niaga strategik oleh Richworks sebagai TPP. Selain beliau, pasangan suami isteri, Siti Fatimah Abd. Samad dan Mohd. Sufian Sulaiman yang mengasaskan jenama pakaian terkenal, Sabella turut menandatangani perjanjian sama.
Dalam majlis itu juga Richworks turut mengumumkan pelantikan pengacara terkenal, Datuk Aznil Nawawi sebagai rakan latihan bagi membimbing usahawan jutawan.
Penyanyi yang terkenal dengan lagu Aku Bidadari Syurgamu itu menambah, Richworks dianggap sebagai universiti yang mampu mendidiknya untuk lebih berjaya dalam bidang perniagaan.
“Kadang-kadang apa yang kita belajar dalam buku, keadaannya tidak sama di luar. Bukan senang untuk mempraktikkan apa yang dipelajari di luar dan saya dapati, Richworks memiliki kepakaran itu untuk membantu saya lebih berkembang.
“Sebagai pemilik perniagaan, sudah tentu saya nak tembusi pasaran antarabangsa. Sebelum ini pun kita sudah masuk ke pasaran Indonesia namun terjejas akibat kedatangan pandemik Covid-19.
“Dalam masa sama, saya mahu perkukuhkan dulu perniagaan ini sebelum mungkin menceburi perniagaan lain pula. Sebab itulah saya mahu kembali belajar bagi mendapatkan bimbingan di Richworks,” katanya.
Dalam pada itu Azizan yang merupakan pengasas dan pengerusi Richworks berkata, beliau melihat empayar Simplysiti mampu melangkah lebih jauh memandangkan kekuatan yang ada pada Siti Nurhaliza sendiri selaku pengasas perniagaan tersebut.
“Melalui perbincangan dijalankan, kita akan menstruktur dan merangka semula strategi untuk Simplysiti. Apa pun kejayaan itu tidak mungkin dapat dicapai esok pagi dan pastinya memerlukan masa.
“Kita menetapkan untuk mencapai sasaran tertentu pada 2024, insya-Allah. Kita akan berusaha untuk memastikan perniagaan ini dapat dikembangkan ke luar negara termasuk di Indonesia yang memiliki pasaran cukup besar,” katanya.
PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menafikan laporan mendakwa beliau pernah mengeluarkan kenyataan mengatakan ramai pegawai polis terbabit dalam sindiket pengedaran dadah.
“Saya menafikan sekeras-kerasnya bahawa kenyataan tersebut dikeluarkan oleh saya kepada Telegram Edisi Siasat.
“Laporan tersebut adalah rekaan semata-mata yang berniat jahat untuk menjejaskan kredibiliti di pucuk pimpinan tertinggi polis dan imej polis secara keseluruhannya,” katanya dalam kenyataan lapor FMT.
Ayob berkata, sekiranya terdapat bukti ada pegawai dan anggota polis terlibat dengan sindiket dadah, mereka tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas.
Katanya, semua kejayaan polis adalah hasil kerjasama mantap semua jabatan dalam pasukan itu bersama jabatan dan agensi luar.
“Ia bukan kejayaan individu. Masyarakat diingatkan tidak mudah percaya dan terpengaruh dengan sebarang kenyataan tidak berasas dan tidak ditentukan kesahihannya,” katanya.
DAKWAAN sebuah portal kononnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menggugurkan kes salah guna kuasa melibatkan tiga pegawai Mara Corp adalah tidak benar.
Memetik laporan Astro Awani, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menegaskan, siasatan telah dijalankan oleh pihaknya dan beberapa individu dicadangkan untuk dituduh.
“Kita telah hantar ke Jabatan Peguam Negara untuk dikaji dan seperti yang lepas kita mencadangkan untuk dituduh beberapa pihak dalam kes ini.
“Jadi setakat ini tidak ada sebarang maklumat dari Jabatan Peguam Negara mengenai tiada pihak dituduh, jadi saya tiada komen mengenai kes ini tidak dituduh,” katanya ketika ditemui media dalam Majlis Anugerah SPRM 2021 di Putrajaya hari ini.
Beliau menambah, siasatan yang dijalankan sebelum ini mendapati terdapat keterangan yang memadai untuk pertuduhan dibuat terhadap beberapa individu.
“Dari pihak kami telah menyiasat dan pada pandangan kami ada keterangan memadai dan mencukupi untuk pertuduhan terdahadap beberapa pihak,” katanya lagi.
Pada 5 Februari lalu, SPRM mengesahkan menerima satu laporan berhubung dakwaan isu integriti melibatkan beberapa pegawai kanan Mara, yang sedang disiasat secara dalaman oleh agensi itu sebelum menyerbu dan merampas beberapa dokumen daripada Mara, Mara Corp dan sebuah syarikat setiausaha korporat pada 7 Februari.
Polis Brazil telah menafikan mereka terjumpa dua mayat ketika operasi pencarian wartawan Britain, Dom Phillips dan tukang pandunya ‘diikat di pokok.’
Ahli keluarga Phillips diberitahu oleh Duta United Kingdom di Brazil tentang penemuan tersebut sebelum Presiden Jair Bolsonaro umum penemuan ‘sisa dalaman’ manusia terapung atas sungai.
Namun, polis Brazil menafikan kenyataan tersebut dan berkata mereka masih mencari Phillips dan Orang Asli, Bruno Pereira.
Abang ipar Phillips, Paul Sherwood memberitahu The Guardian bahawa, “Duta kami memberitahu, mereka terjumpa dua mayat.”
“Beliau tidak memberitahu di mana dan hanya berkata di dalam hutan. Beliau kata mereka terikat pada pokok tetapi tidak dapat dicam lagi,” katanya.
Isteri Phillips dan anak buahnya turut memberi kenyataan bahawa dua mayat dijumpai.
Pada Jun 5, Phillips,57 hilang di Kawasan pendalaman hutan yang sering diteroka pembalak pelombong haram dan geng dadah.
Semalam, pasukan pencarian terjumpa beg yang mengandungi but, pakaian dan sebuah komputer riba yang terikat pada sebuah kayu balak terapung di Kawasan berdekatan di mana kedua-dua mangsa hilang.
Ibu mertua Phillips berkata penemuan tersebut petanda bahawa menantunya “tidak lagi bersama kami.”