KERAJAAN ketika ini adalah stabil, dan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU-15) adalah bukan prioriti, kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Beliau yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli turut mengulangi pendirian bahawa kerajaan masih mempunyai tanggungjawab untuk memulihkan negara dari konteks ekonomi dan kesihatan pasca pandemik COVID-19.

“Bagi saya, pilihan raya bukan prioriti, kita punyai kerajaan yang stabil, mendapat sokongan pula daripada parti termasuk pembangkang, ada memorandum persefahaman (MoU) dan sebagainya. Tiada sebab kenapa perlunya pilihan raya tergesa-gesa.

“Bukan isu takut kalah, lawan tetap lawan dan ia terpulang kepada rakyat,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

PRU-15 mesti diadakan selewat-lewatnya pada pertengahan September 2023, iaitu dalam tempoh 60 hari selepas penggal Parlimen kini terbubar secara automatik pada 16 Julai 2023.

Sementara itu, beliau berkata, pembinaan empangan hidroelektrik Nenggiri di Gua Musang, Kelantan, berteraskan tiga matlamat utama iaitu sebagai penjanaan elektrik, tebatan banjir serta sumber air bersih selain bagi tujuan ekopelancongan.

Takiyuddin berkata, pembinaannya turut mendapat sokongan lebih 80 peratus responden berdasarkan beberapa kajian yang dibuat, dan ketika ini tidak ada sebab untuk kerajaan menghentikan pembinaannya.

Katanya, kajian Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA), Penilaian Impak Warisan (HIA) dan Penilaian Impak Sosial (SIA) telah dijalankan untuk projek empangan itu, selain Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) turut dilibatkan sebagai ‘orang tengah’ antara masyarakat Orang Asli di kawasan terlibat dengan kerajaan dan Tenaga Nasional Bhd (TNB).

Beliau berkata, masyarakat Orang Asli di tiga perkampungan terlibat juga telah diberikan penempatan dengan pembiayaan kerajaan dan TNB.

“Bukan sahaja diberi rumah, malah kebun dan segala kemudahan sosial juga disediakan. Semua telah diperuntukkan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan beberapa pihak tertentu baru-baru ini yang mendakwa pembinaan empangan itu akan menjejaskan kehidupan Orang Asli di kawasan berkenaan selain menggesa kerajaan membatalkan projek itu.

Takiyuddin sebelum ini dilaporkan berkata, projek bernilai RM5 bilion itu dijangka mula menjana elektrik pada pertengahan 2027 dan bakal meningkatkan kapasiti elektrik Tenaga Boleh Baharu (TBB) di Semenanjung Malaysia.

Beliau berkata, projek itu berperanan sebagai penggerak utama peralihan industri tenaga negara dan mengukuhkan usaha memastikan bekalan elektrik yang stabil dan berdaya harap untuk rakyat dan negara. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here