Author: Wartawan WartaRakyat

  • ‘’Lebih dua minggu saya tunggu, harap PM beri keutamaan adakan pertemuan’’

    ‘’Lebih dua minggu saya tunggu, harap PM beri keutamaan adakan pertemuan’’

    PRESIDEN Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassi meminta Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi keutamaan untuk mengadakan pertemuan dengan menyelesaikan isu membabitkan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin yang kini tidak lagi bersama parti tersebut.

    Ketika menegaskan, pertemuan itu perlu diadakan memandangkan ia melibatkan kuota Kabinet milik Bersatu seperti mana termaktub dalam perjanjian sebelum ini.

    “Saya sedang menunggu tarikh untuk bertemu Perdana Menteri. Saya minta Perdana Menteri beri keutamaan kerana daripada tarikh pengumuman yang dibuat oleh Datuk Zuraida saya fikir sudah melangkau lebih dua minggu.

     “Ini satu tempoh agak terlalu panjang untuk saya tunggu. Di pihak Bersatu kita dah nyatakan pandangan kita dan pendirian kita. Sewajarnya perkara itu diputuskan segera,” katanya pada  sidang media selepas menghadiri Program #RuangBelia Bersama Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin di Kuala Lumpur hari ini.

    Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau tidak mahu mencampuri urusan Perdana Menteri, apa yang beliau fikirkanlah ia soal Bersatu dan kedudukan parti itu dalam kerajaan dan jawatan menteri yang memang menjadi sebahagian daripada kandungan perjanjian antara Perdana Menteri dengan kepemimpinan Perikatan Nasional (PN).

    “Saya ambil contoh bila mana Menteri Perladangan dan Komoditi Dr.Khairuddin Aman Razali keluar daripada Pas, jadi kerusi itu diisi oleh Idris Ahmad, walaupun ada rombakan Kabinet…kuota (Pas) tak terjejas.

    ‘’ Kita tuntut yang itu saja bukanlah perkara yang luar biasa jadi saya mohon pertimbangan Perdana Menteri segerakan (pertemuan)…saya dah minta nak jumpa dekat dua minggu…saya tak nak nanti pimpinan daripada bersatu menyatakan bahawa saya ini tidak bertindak secara yang sewajarnya.

    ‘’Kita pun ada pendirian Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu pun sudah buat keputusan minta pertimbangan Perdana Menteri menyegerakan supaya isu dapat diselesaikan secepat mungkin,’’ katanya.

    Ditanya berhubung kenyataan Zuraida yang masih berharap kekal dalam Kabinet, Muhyiddin berkata;

    ‘’Itu dia boleh haraplah…tapi soal pokoknya Perdana Menteri kena buat keputusan dan tentulah bagi beliau harus menghormati apa yang telah saya sebutkan. Beliau nak lantik Zuraida jadi apapun itu… hak beliau…kuota Bersatu itu beliau tak boleh ambil.

    ‘’ Manalah tahu kalau beliau hendak wujud satu kementerian baharu kepada Zuraida atau apa juga alasan… itu saya tak nak campurlah itu hak Perdana Menteri ..tapi kuota bersatu yang kita terima sejak awal lagi jadi harus dipenuh oleh Ahli Parlimen Bersatu saya dah sedia nama dah tapi tak sampai kepada PM lagi..nak jumpa saya secara peribadi nak cakap dengan beliau dan perkara-perkara lain,’’ katanya.

  • Khairy nafikan terima wang daripada UKSB, sedia beri kerjasama dalam siasatan

    Khairy nafikan terima wang daripada UKSB, sedia beri kerjasama dalam siasatan

    MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin menafikan beliau pernah menerima sumbangan daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) seperti yang didakwa bekas pengarah syarikat berkenaan kepada Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 13 Jun lalu.

    Ahli Parlimen Rembau itu, bagaimanapun berkata, sedia memberi sepenuhnya kerjasama kepada pihak berkuasa sekiranya dipanggil untuk memberi keterangan.

    Sebelum ini dua pemimpin yang turut disebut menerima dana daripada UKSB iaitu Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman telah menafikan dakwaan berkenaan.

    Kedua-dua turut menyatakan kesediaan disiasat oleh SPRM yang telahpun membuka kertas siasatan.

    Dalam masa sama, kata Khairy, beliau juga belum dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan berkenaan.

     “Saya hendak nyatakan saya tidak pernah terima apa-apa secara peribadi sepertimana telah dilaporkan. Saya tidak pernah terima apa-apa wang dalam kes tersebut dan perkara ini mana-mana pihak dipanggil, saya bersedia memberi kerjasama sepenuhnya,” katanya dalam sidang media di Petaling Jaya  hari ini, lapor Astri Awani.

    Sebelum ini, bekas pengarah UKSB, Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani, 42, mendakwa, bekas Menteri Belia dan Sukan itu ada menerima sumbangan daripada syarikatnya namun pemberian tersebut tidak diberikan secara terus.

    Sumbangan antara RM50,000 dan RM200,000 itu, kata Wan Quoris Shah, diberikan UKSB kepada Khairy untuk bantuan politik, bencana serta aktiviti kemanusiaan.

    Kata Wan Quoris, sumbangan itu tidak diberikan secara terus kepada Khairy, sebaliknya disalurkan melalui UMNO Bahagian Rembau kerana ketika itu bekas Ketua Pemuda UMNO itu merupakan Timbalan Ketua Bahagian berkenaan.

    Sebelum itu juga, saksi pendakwaan ke-15, Harry Lee Vui Khun yang juga bekas pengarah UKSB memberitahu mahkamah bahawa catatan ‘KJ’ dan bomoh antara perkataan yang tertera di dalam buku ‘faraid’ UKSB yang dikemukakan dalam perbicaraan kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

    Buku faraid UKSB yang juga dikenali sebagai Buku 555 di dalam perbicaraan kes Ahmad Zahid, adalah lejar yang mencatatkan bayaran yang dibuat oleh UKSB kepada beberapa individu antara 2014 dan 2018.

  • Rayuan terakhir ditolak, bekas pembantu bekas menteri dipenjara 2 tahun kerana rasuah

    Rayuan terakhir ditolak, bekas pembantu bekas menteri dipenjara 2 tahun kerana rasuah

    BEKAS pembantu peribadi seorang menteri akan memulakan hukuman penjara dua tahun selepas gagal dalam rayuan terakhirnya untuk mengetepikan sabitannya kerana menuntut habuan daripada pengarah syarikat yang memohon permit bas kira-kira 20 tahun lalu.

    Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh Hanipah Farikullah berkata, tiada sebab untuk pihaknya mengganggu keputusan Mahkamah Tinggi yang mengesahkan sabitan dan hukuman Mahkamah Sesyen terhadap Eswadi Abd Rahim.

    Hakim lain turut bersidang ialah Ahmad Nasfy Yasin dan Mariana Yahya.

    Eswadi, 50, yang juga bekas pegawai Mara, dipinjamkan sebagai pembantu peribadi kepada menteri pembangunan usahawan ketika itu Datuk Seri Nazri Aziz.

    Eswadi, yang diikat jamin sementara menunggu keputusan rayuannya, turut didenda RM40,000 atau penjara 12 bulan jika gagal membayarnya, lapor FMT

    Dia dibicarakan atas dua pertuduhan pada 2008 kerana menerima suapan sebagai dorongan untuk membantu seorang individu, Chin Ah Lek, mendapatkan permit bas untuk Syarikat Azamat Hati Sdn Bhd di Ipoh daripada Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan dan untuk Chin dengan menamakan bapanya, Abdul Rahim Ismail, sebagai pengarah syarikat berkenaan.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan pada Disember 2002.

    Mahkamah pada 25 Mac 2016 kemudian menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM10,000 ke atas Eswadi atau enam bulan penjara tambahan jika membayarnya.

    Dia juga didapati bersalah menerima rasuah RM6,000 yang dimasukkan ke dalam akaunnya di Ipoh pada 17 Jan 2003. Untuk itu, dia dipenjara dua tahun lagi dan denda RM30,000 atau penjara enam bulan lagi jika gagal membayarnya.

    Hukuman penjara berjalan serentak dan bermakna Eswadi akan menjalani hukuman itu dua tahun sahaja.

    Mahkamah Tinggi Ipoh menjatuhkan hukuman itu pada 21 Dis 2017.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 10 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997, yang kemudiannya digantikan dengan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

    Kesalahan itu boleh dihukum mengikut Seksyen 16 Akta SPRM dengan hukuman penjara antara 14 hari dan 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nahra Dollah manakala Eswadi diwakili peguam Shahrudin Ali.

  • Rafizi dedah cara untuk PH menang PRU15

    Rafizi dedah cara untuk PH menang PRU15

    PAKATAN Harapan (PH) boleh menang pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) sekiranya 70% pengundi tegarnya keluar mengundi, kata bakal timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli.

    Dalam kenyataan di Facebooknya hari ini Rafizi berkata, jumlah peratusan keluar mengundi itu adalah peningkatan 10% daripada purata 60% pengundi yang keluar mengundi sedia ada sejak beberapa pilihan raya negeri.

    Rafizi berkata, PH boleh menawan kembali Putrajaya sekiranya gabungan pembangkang itu berjaya mendapat 30% jumlah pengundi kali pertama pelbagai kaum dan berjaya memikat kembali 5% pengundi atas pagar yang beralih sokongan selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

    Memetik FMT,Beliau secara rasmi turut mengumumkan akan memulakan kempen PRU15 pada 1 Julai ini selepas kembali ke arena politik.

    Bekas ahli Parlimen Pandan juga menjangkakan Dewan Rakyat akan dibubarkan seawal Ogos atau September 2022 untuk membolehkan Bajet 2023 dibentangkan oleh kerajaan baharu.

    Katanya, tumpuannya dalam siri kempennya ialah mendekati pengundi tegar PKR dan PH di kerusi-kerusi utama yang perlu dipertahankan selain mendekati pengundi atas pagar dan pengundi pertama kali dalam kalangan individu bawah 25 tahun.

    “Saya akan berkempen menggunakan pentas Ayuh Malaysia memandangkan tahap kelesuan pengundi terhadap parti-parti sedia ada adalah tinggi.

    “Kempen akan bermula dengan satu latihan peringkat nasional kepada sukarelawan-sukarelawan Ayuh Malaysia yang akan diadakan pada 2 Julai nanti dari jam 2 petang ke 5 petang di Kuala Lumpur.

    “Kami meletakkan sasaran 30,000 sukarelawan dari seluruh negara untuk berkempen bagi PKR dan PH di kerusi-kerusi marginal,” katanya.

  • ASP, Koperal antara lima didakwa seludup 119 migran warga Myanmar

    ASP, Koperal antara lima didakwa seludup 119 migran warga Myanmar

    SEORANG pegawai kanan dan seorang pegawai rendah polis antara lima individu yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan melakukan penyeludupan 119 migran warganegara Myanmar pada Mei lepas.

     ASP Mohamad Faizal Ahmad Zaki, 37, dan Koperal Mohd Razin Razali, 32, didakwa menyeludup migran warganegara Myanmar itu di kedudukan kira-kira 1.9 batu nautika dengan daratan Kuala Kedah, dekat sini pada 9.30 malam, 24 Mei lepas.

     Polis bantuan Anas Hafizin Ahmad, 37,  Muhamad Aslam Osman, 29, bekerja sendiri dan nelayan Ibrahim Dahamid, 38, juga didakwa atas tuduhan sama.

    Tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Bagi pertuduhan itu, Mohamad Faizal dan Mohd Razin didakwa di bawah Seksyen 26B(d) Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670) yang dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

    Kedua-dua penjawat awam itu yang bertugas di E6 Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, di sini berhadapan hukuman penjara seumur hidup atau minimum lima tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

    Anas Hafizin, Muhamad Aslam dan Ibrahim didakwa di bawah Seksyen 26A akta sama yang dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan mereka berhadapan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun atau denda atau kedua-duanya.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zahruddin Mohammed Isa, Nor Syaliati Mohd Sobri dan Nur Syifa Mohd Hamzah, manakala peguam Ravi Shankar Gandhi mewakili Mohd Razin dan tertuduh lain tidak diwakili peguam.

    Kesemua tertuduh tidak ditawarkan jaminan dan Hakim Noor Zaihan Mohamad Ali menetapkan 4 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes.

    — BERNAMA

  • Tidak salah Muhyiddin nafi terima wang kerana tertuduh adalah Zahid

    Tidak salah Muhyiddin nafi terima wang kerana tertuduh adalah Zahid

    TINDAKAN bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat penafian menerima wang RM1.3 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) tidak melanggar perjalanan perbicaraan.

    Peguam Kanan Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata ini kerana yang dituduh dalam kes itu adalah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, bukannya Muhyiddin.

    “Muhyiddin berhak menjawab dakwaan itu dan ia tidak melanggar perjalanan perbicaraan kerana dituduh bukanlah beliau sebaliknya Zahid,” katanya menurut laporan Utusan hari ini.

    17 Jun lalu, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu menafikan menerima wang tunai RM1.3 juta daripada UKSB dan menyifatkan keterangan saksi pendakwaan bekas Pengurus Pentadbiran UKSB, David Tan Siong Sun dalam kes rasuah Presiden UMNO itu sebagai pernyataan palsu.

    Muhyiddin menjelaskan pada masa itu beliau menjalani pembedahan kanser dan mengambil cuti selama beberapa bulan untuk rawatan lanjut.

    “Tugasan saya sebagai Menteri Dalam Negeri telah diambil alih oleh Perdana Menteri (ketika itu) Tun Dr Mahathir Mohamad dan mendapat liputan meluas media massa,” katanya.

    “Malahan pada tarikh tertentu yang dinyatakan oleh saksi kononnya saya telah menerima sogokon wang tunai, saya sebenarnya sedang menjalani rawatan di sebuah hospital di luar negara.

    David Tan mendakwa lima lagi ahli politik yang menerima dana daripada UKSB ialah Khairy Jamaluddin; Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; dan bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

    Semalam, Anifah yang juga Presiden Parti Cinta Sabah dalam satu kenyataan turut menafikan menerima wang daripada UKSB dan memaklumkan beliau bersedia untuk tampil membantu siasatan berhubung dakwaan berkenaan.

    “Sebagai Menteri Luar ketika itu, saya bertemu dengan ramai orang. Seingat saya, saya tidak pernah berjumpa dengan David Tan mahupun menerima sebarang wang daripadanya atau UKSB.

    “Saya tidak tahu siapa mereka dan saya tidak mempunyai sebarang urusan dengan mereka dalam apa cara sekalipun,” katanya.

    Susulan, kenyataan David Tan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan membuka kertas siasatan terhadap individu yang nama mereka disebut itu.

    Mengulas lanjut, Mohamed Haniff berkata SPRM perlu bertanggungjawab kerana gagal melakukan siasatan menyeluruh ekoran pendedahan nama individu berkenaan.

    “Buku lejar itu merupakan barang kes berkenaan dan jelas menunjukkan kelemahan SPRM untuk melakukan siasatan dengan sempurna.

    “Maka isunya adalah mengapakah SPRM pada masa itu tidak siasat semua nama yang terdapat dalam dokumen itu lebih awal sebelum kes dibawa ke mahkamah? Benda ini bukan boleh dibuat main-main kerana ini membabitkan soal undang-undang, apatah lagi kes rasuah.

    “Jadi adakah SPRM akan siasat SPRM sendiri bahawa nama-nama dalam buku lejar itu tidak dipanggil lebih awal yang sepatutnya memberi keterangan. Jadi SPRM perlu jawab dan dipersoalkan atas kelemahan ini,” katanya.

    Zahid, 69, kini berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi melanjutkan kontrak syarikat berkenaan sebagai pengendali Pusat Sehenti (OSC) di China dan VLN, serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh kementerian terbabit.

    Bagi tujuh lagi pertuduhan, Zahid didakwa sebagai menteri sama ketika itu, mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000; RM3 juta, 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.

    Zahid didakwa melakukan semua kesalahan itu di Sri Satria, Presint 16, Putrajaya, dan Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

  • Terpaksa tunggu lebih 4 jam lepasi pemeriksaan imigresen Linkedua

    Terpaksa tunggu lebih 4 jam lepasi pemeriksaan imigresen Linkedua

    MASA yang lama terpaksa ditempuh oleh bas-bas pelancongan dari Singapura yang ingin memasuki negara ini melalui Laluan Kedua Malaysia-Johor (Linkedua) dikhuatiri boleh menjejaskan industri pelancongan tempatan.

    Presiden Majlis Pemandu Pelancong Malaysia, Jimmy Leong mendakwa, hari ini, bas-bas pelancongan terpaksa menunggu lebih 4 jam mulai pukul 8.30 tadi untuk melepasi pemeriksaan imigresen.

    Beliau mendakwa, petugas yang mengawal lalu lintas di lokasi berkenaan memberi keutamaan kepada bas-bas awam tempatan.

    “Perkara ini amat membimbangkan dan sukar diterima kerana pelepasan imigresen mengambil masa yang lama dan ia akan memberi kesan kepada industri pelancong.

    “Lebih-lebih lagi apabila pelancong yang ingin memasuki Johor terpaksa menghabiskan masa lebih daripada setengah hari untuk mendapatkan pelepasan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

    Sehubungan itu, Jimmy berharap agar kerajaan negeri Johor sedar tentang situasi tersebut dan memberi perhatian yang serius bagi menangani isu di pintu masuk negara tersebut.

    Beliau menambah, pihak berkuasa perlu mencari kaedah yang lebih berkesan untuk menguruskan pelepasan pelancong yang datang ke negara ini untuk berbelanja.

    “Setelah sempadan negara dibuka semula, pihak industri perlu memberikan yang terbaik terhadap para pelancong.

    “Namun, tanggapan pertama di pintu masuk telah menyebabkan jutaan ringgit yang kami belanjakan untuk promosi dan pemasaran menjadi sia-sia,” jelasnya.

    Jimmy berkata, para pelancong sangat kesal dengan masalah yang dihadapi di Linkedua sehingga menyebabkan mereka terpaksa menunggu lama.

    “Malah, pemandu pelancong sendiri tidak berani mengucapkan ‘Selamat datang ke Malaysia’ kepada mereka kerana bimbang dengan reaksi negatif yang bakal diterima,” ujarnya.

  • Shabudin Yahaya umum tidak bertanding PRU-15

    Shabudin Yahaya umum tidak bertanding PRU-15

    AHLI Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya mengumumkan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi memberi laluan kepada pemimpin muda daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    Beliau yang juga Pengerusi Bersatu Pulau Pinang berkata, keputusan itu juga bersesuaian dengan pola atau trend politik semasa yang menyaksikan banyak parti politik semakin membuka ruang yang lebih luas kepada pemimpin daripada kalangan orang muda.

    Malah, beliau secara peribadi beranggapan ahli politik berusia 55 tahun ke atas sepatutnya bersara mengambil kira pelbagai faktor terutamanya aspek kemampuan fizikal.

    “Saya sekarang sudah berusia 57 tahun, memang orang kata dalam politik usia itu masih muda.

    ”Tetapi selepas usia 55, produktiviti kita sudah menurun, jadi berilah peluang kepada pelapis muda kerana mereka mempunyai lebih tenaga dan buah fikiran yang lebih segar,” katanya.

    Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan (MAPT) Kali ke sembilan dan Pengundian Pemilihan Anggota Lembaga Koperasi 2022 di Bayan Baru hari ini.

    Dalam pada itu Shabudin yang juga bekas Pengerusi Badan Perhubungan Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang berkata, meskipun tidak akan bertanding dalam PRU-15, namun beliau akan tetap menggunakan pengalaman sebagai ahli politik untuk membantu Bersatu Pulau Pinang.

    ”Saya bercadang bersara daripada jawatan politik, tetapi masih mahu bergiat dalam politik cuma tidak lagi menjadi wakil rakyat.

    “Saya sudah empat penggal dalam politik, jadi sudah tiba masanya untuk saya memberi laluan kepada ‘pucuk muda’ atau orang muda yang lebih bertenaga,” katanya.

    Shabudin sebelum ini merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Berangan UMNO selama dua penggal iaitu bermula 2004 hingga 2008 sebelum menang kerusi Parlimen Tasek Gelugor atas tiket UMNO pada PRU-13 dan PRU-15.

    Bagaimanapun, beliau bersama-sama beberapa lagi wakil rakyat UMNO mengumumkan keluar daripada parti itu pada Disember 2018 selepas tsunami politik pada PRU-14 dan menyertai Bersatu sehingga kini.

  • KJ, Reezal, Hishammuddin, Anifah juga perlu nafi terima dana UKSB

    KJ, Reezal, Hishammuddin, Anifah juga perlu nafi terima dana UKSB

    Oleh RIZQI ZABIDI

    AHLI-AHLI Parlimen dan bekas Ahli Parlimen dari UMNO yang didakwa turut terkait dengan penerimaan dana daripada syarikat pembekal perkhidmatan visa luar negara (VLN), Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), diharap dapat turut membuat penafian berhubung perkara itu seperti dilakukan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Ketua Penerangan Bersatu Kedah, Khairul Anuar Ramli berkata, pihaknya menerima baik penafian dibuat Muhyiddin itu dan menyokong semangat keterbukaan beliau untuk disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    “Bersatu Kedah berharap nama-nama mereka yang disebut terdiri daripada Ahli Parlimen dan bekas Ahli Parlimen dari UMNO iaitu Khairy Jamaluddin, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein serta Datuk Seri Anifah Aman turut membuat penafian sama.

    “Bersatu Keedah akan membuat satu laporan kepada SPRM berhubung perkara itu dan mengharapkan satu siasatan telus dan adil dapat dibuat dengan segera,” katanya.

    Dalam prosiding kes melibatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semalam, saksi pendakwaan ke-17, David Tan menyebut nama Muhyiddin sebagai salah seorang penerima dana berjumlah RM1.3 juta daripada UKSB.

    Selain Muhyiddin, nama Khairy, Reezal, Hishammuddin serta Anifah turut dikaitkan dengan dana syarikat berkenaan.

    Ahli Parlimen Pagoh itu bagaimanapun bertindak pantas apabila terus mengeluarkan kenyataan menafikan pernah menerima sebarang wang tunai dari UKSB dengan menyifatkan pernyataan tersebut sebagai palsu.

    Khairul menambah, Bersatu Kedah memohon ahli parti dan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berdasarkan kenyataan saksi tersebut.

    “Selaras dengan kenyataan Presiden Bersatu, harus ditegaskan bahawa Bersatu adalah satu-satunya parti yang meletakkan perjuangan menentang rasuah dan salah guna kuasa dalam Perlembagaan parti.

    “Hal ini menunjukkan bahawa kita tegas dan serius dalam menentang rasuah serta salah guna kuasa,” katanya.

  • Lori rempuh gerai makan, wanita melecur simbah sup panas

    Lori rempuh gerai makan, wanita melecur simbah sup panas

    SEBUAH  lori hilang kawalan dan merempuh dua gerai makan menyebabkan seorang wanita melecur akibat tersimbah sup panas dalam kejadian di Jalan Batu Balai-Chuchoh Puteri dekat Kampung Kenor, Kuala Krai, Kelantan.

    Dalam kejadian 5.30 petang semalam, mangsa berusia 31 tahun dikatakan sedang memasak sup di dapur sebelum lori tersebut merempuh gerainya.

    Memetik portal FMT, Ketua Polis Kuala Krai, Suzaimi Mohammad, berkata lori dinaiki lelaki berusia 55 tahun bersama anaknya berusia 17 tahun dalam perjalanan dari arah Telekong untuk pulang ke rumah mereka di Batu Balai, Kuala Krai.

    Katanya, wanita itu tidak sempat melarikan diri menyebabkan sup panas tertumpah ke badannya.

    Pemandu lori dan anaknya cedera selepas kenderaan dinaiki terbabas dan merempuh dua gerai di Kuala Krai. (Gambar Facebook)

    “Mangsa melebur 9% pada badan, manakala pemandu lori luka pada dahi dan terseliuh bahu kiri. Anaknya pula cedera di bahu kanan.

    “Semua mangsa dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra di Kuala Krai untuk rawatan lanjut,” katanya menurut laporan Berita Harian.

    Suzaimi berkata, siasatan mendapati punca kemalangan disebabkan kecuaian pemandu lori kerana gagal mengawal kenderaan sehingga terbabas melanggar dua gerai makan.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.