Author: Wartawan WartaRakyat

  • Lori langgar treler: 1 mati tersepit, 4 lagi parah

    Lori langgar treler: 1 mati tersepit, 4 lagi parah

    SEORANG lelaki yang dipercayai pemandu lori mati dalam keadaan tersepit di tempat duduknya setelah kenderaan itu melanggar bahagian belakang sebuah treler.

    Memetik laporan Sinar Harian hari ini, kemalangan yang melibatkan dua kenderaan itu berlaku di Kilometer 408.4 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan di lokasi berhampiran Tanjung Malim-Lembah Beringin, pada awal pagi tadi.

    Selain itu, empat pekerja warga Pakistan dilaporkan dalam keadaan cedera parah akibat tersepit di bahagian belakang lori yang membawa papan tanda arah tersebut.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, kejadian berkenaan berlaku kira-kira pukul 1.12 pagi tadi.

    “Sepasukan anggota bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa dengan dibantu BBP Kuala Kubu Bharu dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba pada pukul 1.45 pagi.

    “Mangsa yang maut merupakan seorang lelaki warga tempatan berumur 60 tahun telah tersepit dibahagian tempat duduk pemandu manakala empat mangsa lagi parah tersepit di bahagian belakang lori yang membawa papan tanda arah itu,” katanya.

    Menurut beliau, anggota bomba seterusnya menjalankan kerja-kerja mengeluarkan mangsa dari lori.

    “Kesemua mangsa tersepit dikeluarkan dengan menggunakan alatan khas dan kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

    “Namun, dua mangsa lagi iaitu pemandu serta penumpang treler yang dilanggar tidak mengalami sebarang kecederaan,” jelasnya.

  • Farhash bengang tiada audit forensik undi dalam talian

    Farhash bengang tiada audit forensik undi dalam talian

    KEKALUTAN yang tercetus semasa pemilihan PKR 2022 baru-baru ini masih belum reda.

    Kali ini, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak tidak berpuas hati kerana audit forensik tidak dilakukan terhadap pengundian dalam talian.

    Memetik laporan Malaysiakini, beliau yang tewas dalam pertandingan merebut jawatan Ketua PKR Cabang Gombak mempersoalkan perkara itu.

    Farhash mahu Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR melakukan audit forensik terhadap pengundian secara fizikal dan dalam talian.

    “Mengapa hanya dilakukan terhadap pengundian secara fizikal sahaja, bukan dalam talian?

    “Apakah kepastian tidak ada kepincangan dalam pengundian dalam talian. JPP harus jawab,” katanya kepada Malaysiakini sebagai mengulas keputusan JPP membuat audit forensik terhadap pengundian secara fizikal.

    Farhash yang tewas kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari di Gombak turut bertanding untuk jawatan Naib Presiden PKR.

    Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan bahawa audit forensik mendapati berlakunya penipuan besar-besaran dalam pemilihan parti itu yang diadakan pada Mei lalu.

    Perkara itu disahkan oleh pelbagai sumber dalam parti kepada Malaysiakini baru-baru ini.

    Untuk rekod, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR sebelum ini bersetuju dengan cadangan JPP parti itu mengenai keperluan melakukan audit forensik ke atas keputusan tidak rasmi pemilihan parti.

    Pemilihan PKR kali ini diadakan secara campuran iaitu gabungan dalam talian dan pengundian secara fizikal.

    JPP PKR menerima lebih 1,800 aduan ekoran pengumuman keputusan tidak rasmi pada 30 Mei lalu.

  • Zahid usah tuding jari, selesai dulu masalah parti sendiri – Gerakan

    Zahid usah tuding jari, selesai dulu masalah parti sendiri – Gerakan

    PARTI Gerakan hari ini mengecam tindakan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang tidak fokus terhadap masalah dalaman parti pimpinannya, UMNO, sebaliknya, mengalih perhatian orang ramai terhadap pemimpin-pemimpin Perikatan Nasional (PN) yang lain di dalam kes perbicaraan mahkamah beliau.

    Ketua Biro Perpaduan Nasional Gerakan, Puvaniten Helan Gova berkata, pendedahan yang dibuat oleh bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman baru-baru ini jelas menunjukkan kedudukan sebenar UMNO di peringkat kepimpinan tertinggi.

    “Sila selesaikan masalah dalaman UMNO dahulu. Amat jelas situasi sebenar UMNO yang didedahkan oleh Tajuddin berhubung politik dalaman UMNO ketika ini.

      “Pendedahan ini sudah pasti mencetuskan banyak persoalan di peringkat akar umbi parti itu sendiri. Cubalah lihat apa reaksi orang ramai yang meledak di dalam media sosial satu dua hari ini. Rakyat nak kepastian berhubung apa yang sedang berlaku di dalam pucuk pimpinan parti berkenaan dan bukannya menyerong perhatian orang ramai atau menuding jari terhadap parti politik lain dan ahli-ahlinya,” katanya dalam kenyataan, lapor Astro AWANI.

    Puvaniten turut mempersoalkan pendirian Presiden UMNO itu yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk dari segi isu yang diketengahkan Tajuddin.

    ” Pengerusi Barisan Nasional itu kini menghala serangan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara. Rakyat sedang membuat perhatian dan ini bukan budaya politik zaman dulu yang boleh menyalahkan sesiapa pun atau rakyat senang mempengaruhi untuk apa tohmahan,” ujarnya lagi.

    Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak beberapa hari lalu mendakwa Ahmad Zahid tidak layak memimpin UMNO dan perlu undur diri secara terhormat, selain mendedahkan keputusan mesyuarat MKT parti itu selama ini dibuat mengikut kehendak bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

  • 71% rakyat tak cukup gaji tampung inflasi

    71% rakyat tak cukup gaji tampung inflasi

    MAMPUKAH rakyat Malaysia berdepan dengan krisis kenaikan harga barangan yang semakin menggila ketika ini?

    Persoalan itu timbul ekoran kaji selidik Pusat Kajian UCSI yang mendapati 71 peratus rakyat berpandangan gaji mereka tidak mencukupi untuk menampung inflasi dalam masa beberapa bulan akan datang.

    Memetik laporan Malaysia Gazette, kaji selidik tersebut dijalankan terhadaps serami 1,178 responden.

    Pusat Kajian Undian UCSI turut mendapati 90 peratus rakyat berdepan dengan isu kenaikan harga barangan keperluan harian sejak dua bulan lalu.

    Manakala, 84 peratus daripada mereka bersetuju bahawa negara ini sedang menghadapi inflasi.

    “Bagi soalan mengenai status kewangan mereka untuk tempoh tiga atau enam bulan ke depan, 16 peratus berpendapat kewangan mereka akan bertambah baik.

    “Dan 45 peratus lagi berpendapat kewangan mereka akan bertambah teruk manakala 39 peratus berpendapat ia akan kekal sama,” kata pusat kajian itu.

    Kajian yang sama turut mendapati sebanyak 86 peratus responden telah berdepan kenaikan harga daging sejak dua bulan lalu.

    Kenaikan harga buah dan sayur dicatatkan pada kadar 85 peratus diikuti kenaikan harga produk import (81 peratus), kenaikan produk elektrik (80 peratus) dan kenaikan harga barang kemas (77 peratus).

    Kaji selidik tersebut menunjukkan majoriti responden berdepan kenaikan harga bagi barangan keperluan dan kehendak.

    Malah, bantuan yang diberikan kerajaan melalui Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) mungkin tidak akan meredakan keresahan rakyat dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang.

    “Kerajaan cuba membantu rakyat B40 berdepan situasi ini dengan memberi tambahan RM100 bagi isi rumah dan RM50 bagi golongan bujang yang layak melalui BKM.

    “Namun dengan kurangnya keyakinan terhadap situasi kewangan bagi tempoh tiga atau enam bulan ke depan, mampukah ia membantu rakyat Malaysia berdepan kesukaran kewangan?” soalnya.

    Dapatan kaji selidik itu adalah selari dengan kegelisahan sebahagian besar rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana selepas kerajaan mengumumkan penarikan subsidi minyak sawit berbotol mulai hari ini.

    Selain itu, kenaikan harga siling ayam turut membebankan mereka yang masih bergelut untuk memulihkan ekonomi keluarga selepas krisis pandemik COVID-19.

    Bantuan yang diumumkan kerajaan juga tidak bersifat menyeluruh dan gagal menangani isu sebenar yang berpunca daripada kenaikan harga barangan keperluan harian.

    Ramai yang mempertikaikan mengapa Malaysia sebagai sebuah negara pengeksport minyak sawit tidak berupaya mengawal kenaikan harga komoditi itu di pasaran tempatan.

  • 10 pemancing, 3 kru ditemui selamat

    10 pemancing, 3 kru ditemui selamat

    SERAMAI 13 lelaki terdiri daripada pemancing dan tiga kru yang dikhuatiri hilang di laut ditemui selamat, hari ini.

    Semua mangsa yang berusia antara 32 hingga 52 tahun ditemui kira-kira jam 1.40 tengah hari berhampiran pelantar Cendor, kira-kira 80 batu nautika dari perairan Kuala Terengganu.

    Pegawai Mencari dan Menyelamat (SAR) Maritim Terengganu, Leftenan Komander (M) Mohd Arizan Hakimi Mohd Zin, berkata semua mangsa yang keluar memancing sejak Sabtu lalu sepatutnya pulang pada Rabu lalu, namun gagal berbuat demikian sebelum laporan polis dibuat.

    Katanya, bot dinaiki mereka dikatakan mengalami kerosakan enjin sehingga hanyut berhampiran pelantar terbabit.

    “Bot dinaiki mereka ditemui kapal pembekal dan semua mangsa berada dalam keadaan selamat. Mereka kini dalam proses dibawa ke Jeti Maritim Malaysia.

    “Mereka dijangka tiba di jeti pada jam 10 malam ini tetapi ia tertakluk kepada keadaan cuaca semasa,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan taklimat kepada keluarga mangsa di Pejabat Maritim Malaysia Terengganu di Kuala Terengganu, hari ini, lapor Berita Harian.

    Media semalam melaporkan seramai 10 pemancing bersama tiga kru dikhuatiri hilang di laut selepas bot dinaiki mereka tidak pulang sejak Rabu.

  • Tidak puas hati dengan CIDB, kontraktor Kelas F anjur demonstrasi

    Tidak puas hati dengan CIDB, kontraktor Kelas F anjur demonstrasi

    PERSATUAN Kontraktor Bumiputera Kelas F (Perkobf) menggesa Kementerian Kewangan mengembalikan pengurusan Kelas F (G1 Bumiputera) kepada Pusat Khidmat Kontraktor (PKK).

    Mereka juga mahu kerajaan menangani kenaikan harga barang binaan.

    Memetik laporan Malaysiakini, dua tuntutan tersebut adalah antara perkara yang terkandung dalam memorandum kepada Kementerian Kewangan bagi menggesa Menterinya, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz campur tangan.

    Presiden Perkobf, Tukiman Radion percaya langkah itu dapat memastikan kontraktor Bumiputera Kelas F dapat diuruskan dengan lebih baik.

    “Kita sangat berpengalaman dahulu bersama PKK di mana kami dapat diurus dengan begitu baik dan mesra rakyat. Sekarang kami diuruskan oleh pihak CIDB di mana sistem mereka sukar diguna pakai dan banyak melibatkan kewangan.

    “Sebab bila nak perbaharui lesen, kita kena bayar sekali dan kalau gagal kita kena bayar lagi dan seterusnya. Sampai kadang-kadang kami sendiri tak faham sistem apakah yang diguna pakai untuk perbaharui lesen-lesen terbabit,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas perhimpunan aman dan penyerahan memorandum enam muka surat kepada Kementerian Kewangan di Putrajaya, hari ini.

    Tukiman menambah, antara perkara yang paling membebankan kontraktor Bumiputera Kelas F ketika ini adalah tekanan daripada pihak CIDB untuk mereka menaikkan gred.

    Jika tidak ,katanya, taraf kontraktor bumiputera akan ditarik balik dan mereka akhirnya terpaksa menaikkan gred.

    “Maknanya, kami tidak ada lagi keistimewaan sebagai kontraktor kecil bumiputera. Bila kita tidak ada taraf bumiputera ini, kita tidak boleh ambil projek kerajaan lagi.

    “Amat sukar utuk kita perolehi projek swasta manakala kerja ubah suai rumah dikuasai oleh warga asing, jadi kita hanya dapat projek kerajaan,” katanya lagi.

    “Jadi di mana kami nak cari makan? inilah kerja-kerja kami. Kebanyakan kami sudah berusia 50 tahun ke atas. Siapa nak ambil kami bekerja? Jadi kami merayu kepada kerajaan, perkara ini jangan dilakukan.

    “Kami harapkan kerajaan dapat berbuat sesuatu bagi membahagiakan kontraktor kecil. Itu harapan kami,” katanya.

    Sementara itu, Naib Presiden Perkobf, Sazali Mohamad Yasin berkata, memorandum tersebut dihantar bagi memaklumkan kedudukan sebenar permasalahan yang dialami oleh kontraktor kelas F seluruh Malaysia, seperti kenaikan harga bahan mentah.

    “Kami mohon pertimbangan dan keputusan sewajarnya daripada Menteri Kewangan mengenai isu ini. Memorandum ini untuk memperkasakan kontraktor kelas F yang bersesuaian dengan Perlembagaan Persekutuan Perkara 153.

    “Kami sangat tertekan dengan permasalahan hari ini dan rata-ratanya menyokong…itu sebabnya kami berkumpul di Kementerian Kewangan untuk memastikan kerajaan membela kami,” katanya.

    Dalam pada itu, Tukiman berkata, jika memorandum itu tidak mendapat respons yang baik daripada Tengku Zafrul, pihaknya tidak teragak-agak untuk meminta campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

  • Otai Reformis bantah cadangan projek Stadium Shah Alam baharu

    Otai Reformis bantah cadangan projek Stadium Shah Alam baharu

    KUMPULAN Otai Reformis yang merupakan penyokong tegar Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim membantah cadangan kerajaan negeri Selangor untuk merobohkan Stadium Shah Alam dan membina arena yang lebih kecil untuk menggantikannya.

    Memetik laporan FMT, Setiausaha Otai Reformis, Abdul Razak Ismail berkata, projek membina stadium yang baharu menelan kos yang tinggi.

    Beliau berpandangan, adalah lebih baik dana itu disalurkan kepada mangsa banjir negeri itu termasuk di kawasan Sri Muda yang masih memerlukan bantuan.

    “Jumlah RM1,000 yang diberikan kepada mangsa banjir masih tidak mencukupi jika dibandingkan dengan kerosakan harta benda mereka mencecah puluhan dan ratusan ribu ringgit,” katanya kepada FMT.

    Abdul Razak menambah, tindakan merobohkan stadium itu akan mendatangkan kemarahan rakyat yang sedang susah ketika ini.

    Beliau memberitahu, tiada keperluan menggantikan stadium tersebut memandangkan struktur asalnya masih boleh digunakan, dan cuma perlu dinaik taraf.

    “Yang rosak bumbung sahaja, kenapa nak roboh stadium? Cukup naik taraf baiki kerosakan tertentu sahaja,” katanya.

    Abdul Razak mengulas tentang laporan media yang mendedahkan stadium tersebut yang pernah dinobat sebagai terbesar di Asia Tenggara dan menjadi stadium rasmi bagi pasukan bola sepak Red Giants didakwa akan diroboh dan digantikan dengan stadium baharu yang lebih kecil.

    Stadium baharu berkenaan dikatakan berkapasiti 30,000 hingga 40,000 penonton supaya mudah dijaga dan diselenggara berbanding Stadium Shah Alam sekarang yang berkeluasan kira-kira 155,000 meter persegi.

    Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pembangunan semula Kompleks Sukan Stadium Shah Alam di Seksyen 13 akan dilaksanakan berdasarkan hasil penilaian jawatankuasa khas.

    Menurut beliau, pembangunan semula itu juga akan membabitkan Stadium Malawati sebelum tindakan selanjutnya diumumkan tidak lama lagi.

    “Keputusan pembangunan semula Stadium Shah Alam (di Seksyen 13) akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya..

  • Joachim menang saingan Timbalan Presiden PBS

    Joachim menang saingan Timbalan Presiden PBS

    TIMBALAN Ketua Menteri Sabah, Dr Joachim Gunsalam menang dalam persaingan merebut jawatan Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) bagi kuota bumiputera bukan Islam.

    Beliau mengatasi Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Joniston Bangkuai dengan majoriti tipis.

    Memetik laporan FMT, Joachim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang menerima 339 undi manakala Joniston beroleh 334 undi, dan sebanyak 65 undi rosak.

    Perebutan jawatan timbalan presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) bagi kuota bumiputera bukan Islam yang menjadi perhatian pada pemilihan kali ini menyaksikan Joachim Gunsalam berjaya memenanginya dengan keputusan tipis.

    Joachim yang juga timbalan ketua menteri mengatasi Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Joniston Bangkuai.

    Joniston yang juga ADUN Kiulu seterusnya dilantik sebagai Ketua Penerangan PBS.

    Dua lagi yang dilantik ialah ADUN Matunggong Julita Majungki sebagai Setiausaha Agung dan Lu Kim Yen sebagai Bendahari Agung.

    Dalam perkembangan sama, satu lagi jawatan Timbalan Presiden bagi kuota Cina dimenangi bekas Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Yee Moh Chai.

    Beliau mengatasi bekas ADUN Tanjung Aru, Edward Yong Oui Fah dengan kelebihan 259 undi.

    Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili mengekalkan jawatan presiden selepas tidak dicabar.

    Seorang lagi iaitu ADUN Tamparuli, Jahid Jahim turut mengekalkan jawatan Timbalan Presiden bagi kuota bumiputera Islam selepas turut tidak dicabar.

    Lain-lain keputusan adalah seperti berikut:

    Naib Presiden :

    Arthur Sen Siong Choo
    Ruslan Muharam
    Mursid Mohd Rais
    Hendrus Anding
    Johnny Mositun

    Ahli Majlis Tertinggi:

    Johnny Goh
    Kong Nyuk Thou
    Lim Vun Chan
    Gan En Siong
    Fazidah Mohd Yassin
    Kasirin Kamiran
    Juin Saman
    Azmi Ahmad
    Omar Abdul Hakim
    Peter Jino Allion
    Samuil Mopun
    Fredolin Totin Bangon
    Stanis Buandi
    Suman Yasambun
    William Majimbon
    Masum Takin

  • Najib beri SD sokong Anwar jadi PM dengan syarat…

    Najib beri SD sokong Anwar jadi PM dengan syarat…

    PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa, Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak pernah memberi akuan bersumpah (SD) untuk menyokongnya menjadi Perdana Menteri.

    Walau bagaimanapun, Ahli Parlimen Port Dickson itu enggan mengikut kemahuan Najib yang meletakkan syarat supaya kes mahkamahnya ‘tidak diteruskan’.

    Memetik laporan FMT, beliau mendakwa, keengganannya bersetuju dengan syarat Najib itu menyebabkannya gagal mendapat sokongan mencukupi untuk dicalonkan sebagai Perdana Menteri bagi menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad.

    Penjelasan Anwar itu sekali gus mengesahkan pendedahan yang dibuat bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman pada Isnin lalu yang mendakwa UMNO menghantar SD menyokong Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu sebagai Perdana Menteri kepada Istana Negara.

    “Apa berlaku selepas itu adalah selepas ditandatangani saya diminta untuk memberi kepastian bahawa urusan mahkamah terutama melibatkan Najib itu tidak akan diteruskan dan saya harus guna kuasa saya selaku Perdana Menteri untuk memastikan ini tidak diteruskan.

    “Saya tidak bersedia untuk melakukan itu. Oleh kerana keputusan tegas saya itulah maka Najib mengusulkan calon lain di saat akhir dan menafikan saya,” katanya dalam satu majlis di Port Dickson.

    Anwar turut mendedahkan Najib dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi antara 15 pemimpin UMNO yang membuat SD menyokong beliau sebagai Perdana Menteri.

    Katanya, walaupun jumlah sokongan ahli Parlimen ketika itu cukup 120 dan membolehkan beliau menjadi perdana menteri, namun PH menetapkan untuk menolak SD daripada Najib dan Ahmad Zahid.

    “PH pada ketika itu menyatakan walaupun jumlah sehingga 120, prinsip kita tak menerima SD daripada Najib dan Zahid tapi dia ada hak untuk tandatangan menyokong sesiapa.

    “Jadi kita masih ada 118. Jadi walaupun jumlah cukup dan laluan untuk saya menjadi PM sudah cukup kuat, saya tidak bersedia untuk kompromi soal kebebasan badan kehakiman.”

    Anwar menegaskan, gabungan PH yang dipimpinnya kekal dengan prinsip tidak akan bekerjasama dengan Najib.

    “Ada yang kata kita bersedia bersekongkol dengan kleptokrat, itu tidak benar. PH – DAP, Amanah PKR – tegas tidak akan bekerjasama dengan Najib. Itu jelas pendirian kita,” jelasnya.

  • MD, CEO didakwa 60 pertuduhan terima wang deposit tanpa lesen

    MD, CEO didakwa 60 pertuduhan terima wang deposit tanpa lesen

    SEORANG Pengarah Urusan bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat pelaburan mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini atas 60 pertuduhan menerima wang deposit tanpa lesen sah bernilai hampir RM1 juta.

    Kedua-dua tertuduh, Mohd. Nasri Abdul Rahim, 36, dan Abdul Wahab S. Mohd. Mydin, 53, membuat pengakuan itu ketika pertuduhan ke atas mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof dan Norhayati Mohd. Yunus.

    Mengikut kertas pertuduhan, Mohd. Nasri didakwa atas 30 tuduhan menerima deposit daripada tiga individu tanpa lesen sah di beberapa lokasi sekitar Pulau Pinang bermula dari April 2019 sehingga 14 Februari 2020.

    Abdul Wahab pula dituduh atas 30 pertuduhan bersubahat dengan Mohd. Nasri membabitkan individu, lokasi dan tarikh yang sama.

    Pendakwaan terhadap kedua-dua tertuduh dibuat mengikut Seksyen Seksyen 137(1) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 137(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda sehingga RM50 juta atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Fazliyana Ahmad dan Qatrin Nada Harun manakala Mohd. Nasri diwakili peguam, S. Raveentharan dan Abdul Wahab diwakili Muhamad Shahrul Nizam Md. Roni.

    Dalam pada itu, mahkamah membenarkan Mohd. Nasri diikat jamin sebanyak RM212,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

    Abdul Wahab pula dibenarkan ikat jamin sebanyak RM126,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

    Mahkamah kemudian menetapkan 1 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.