Author: Wartawan WartaRakyat

  • Peninju Thailand maut dalam pertarungan muaythai di Kota Bharu

    Peninju Thailand maut dalam pertarungan muaythai di Kota Bharu

    SEORANG peninju Thailand meninggal dunia ketika mendapat rawatan kecemasan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) pagi semalam, akibat pendarahan otak yang dialami dalam pertarungan yang disertainya di Kota Bharu, kelmarin.

    Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata mangsa, Kittichai Chaengkhao, 28, dilaporkan tidak sedarkan diri selepas diserang lawan ketika menyertai perlawanan Muaythai Ambang Merdeka 2022 di Kampung Che Deris, Badang.

    Katanya, mangsa pada mulanya dihantar ke Klinik Kesihatan Badang pada pukul 1 pagi semalam, sebelum dirujuk ke HRPZ II tetapi disahkan meninggal dunia pada jam 10.57 pagi, selepas beberapa jam bertarung nyawa akibat berlaku pendarahan di dalam otak.

    “Ketika kejadian, mangsa yang berasal dari Chumpong, Thailand, berlawan dengan seorang peserta dari Kuala Lumpur, tetapi kemudian tewas dan jatuh sebelum tidak sedarkan diri dan dibawa mendapatkan rawatan.

    “Sebaik segala urusan siasatan dilakukan, jenazah dibawa pulang untuk diserahkan kepada waris melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang.

    “Siasatan mendapati insiden ini tidak membabitkan sebarang unsur jenayah sebaliknya kemalangan ketika bersukan selain penganjur pertandingan juga mempunyai permit lengkap,” katanya lapor Berita Harian.

    .

  • ‘’Lawatan Hishammuddin satu sandiwara’’- Mat Sabu, Chin Tong

    ‘’Lawatan Hishammuddin satu sandiwara’’- Mat Sabu, Chin Tong

    BEKAS  Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan timbalannya, Liew Chin Tong menyifatkan lawatan Datuk Seri Hishammuddin Hussein semalam sebagai satu “sandiwara”.

    Mohamad dan Chin Tong berkata, Hishammuddin dilihat tidak bersungguh-sungguh dalam menyelesaikan kes kapal tempur pesisir (LCS).

    “Semalam, pihak Kementerian Pertahanan membawa wakil media lawat ke tapak pembinaan LCS di Lumut dengan niat untuk meyakinkan rakyat bahawa LCS memang wujud dan projek ini masih berlangsung.

    “Menurut rakan daripada pihak media, lawatan semalam seperti ‘tikus baiki labu’, media dibawa ke ‘hull’ (badan kapal) LCS 1 dan badan kapal LCS 2 hanya boleh dilihat dari jauh. Kapal-kapal yang lain tidak kelihatan,” kata mereka dalam kenyataan hari ini.

    Hishammuddin tegas mereka cuba membuktikan bahawa kapal dan badan kapal memang wujud seperti diperkatakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

    “Seperti Najib Razak, Hishammuddin cuba membuktikan bahawa kapal dan badan kapal memang wujud.

    “Najib cuba menuding jari dan menyalahkan kerajaan Pakatan Harapan untuk kelewatan projek LCS. Pakatan Harapan berkuasa 22 bulan tetapi Barisan Nasional yang memegang tampuk kuasa sebelum dan selepas itu melebihi 60 tahun,” tegas mereka.

    Sehubungan itu Mohamad dan Chin Tong mengingatkan Hishammuddin untuk tidak menyorokkan kebenaran bahawa projek LCS adalah projek sakit sebalik harus memberi jalan penyelesaian bagi isu terbabit.

     Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dalam laporannya baru-baru mendedahkan, kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada Boustead Naval Shipyard (BNS), yang dilaksanakan secara runding terus, namun tiada kapal diterima.

    Pengerusi PAC, Wong Kah Who juag, mendedahkan bagaimana lebihan kos projek LCS berjumlah RM1.4 bilion, dengan RM400 juta digunakan untuk membayar hutang lama daripada projek kapal peronda lama.

    Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah mengemukakan kertas siasatan dakwaan penyelewengan dalam pengendalian LCS kepada Jabatan Peguam Negara.

  • Kes buli di MRSM: KPLB serah polis siasat

    Kes buli di MRSM: KPLB serah polis siasat

    KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyerahkan sepenuhnya kepada polis menyiasat kes buli di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuantan, Pahang.

    Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata pihaknya memandang serius perkara itu dan tidak berkompromi dengan sebarang tindakan salah laku termasuk kes buli.

    Katanya, beliau akan meneliti laporan lengkap berkenaan siasatan kes itu dan apabila siap kelak akan diserahkan kepada pihak polis dan setakat ini enggan memberi sebarang komen

    “Tindakan tegas akan diambil terhadap pelajar yang terbabit jika hasil siasatan mendapati berlaku salah laku itu,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) hari ini.

    Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, amalan buli di mana-mana institusi pendidikan adalah satu perkara serius dan pelajar yang terbabit boleh dibuang sekolah.

    “Sebagai contoh, insiden yang berlaku di MRSM Kepala Batas, Pulau Pinang apabila pelajar yang disahkan terbabit buli oleh lembaga disiplin dibuang sekolah,” katanya

    Sebelum itu, tular di Facebook berhubung kes seorang wanita mendakwa anaknya dibuli di sebuah MRSM di Kuantan, Pahang sejak Jun lalu dan pihak asrama dikatakan lambat bertindak menangani isu itu.

    Wanita terbabit mendakwa beliau sudah membuat laporan polis berhubung kes itu.

    Berdasarkan kes yang tular, wanita itu mendakwa baju sekolah anaknya digunting dan diconteng, selain rambut digunting ketika tidur serta mendakwa wujud perbuatan khianat serta budaya gengsterisme di MRSM itu.

  • Lelaki dikehendaki Arab Saudi letupkan diri, empat cedera

    Lelaki dikehendaki Arab Saudi letupkan diri, empat cedera

    SEORANG individu paling dikehendaki Arab Saudi meletupkan diri yang mengakibatkan kematiannya ketika cuba ditahan pasukan keselamatan di Jeddah Rabu lalu dalam satu kejadian kejar mengejar. 

    Tindakan suspek Abdullah bin Zayed al-Bakri al-Shehri, 39, yang juga rakyat tempatan meletupkan dirinya mengakibatkan seorang rakyat Pakistan dan tiga anggota keselamatan cedera terkena serpihan bom.

    Lapor Saudi Gazette, Abdullah dipercayai ahli kumpulan Daesh yang terbabit dalam serangan ke atas sebuah masjid di Arab Saudi pada 2015.

    Dia antara seorang daripada sembilan lelaki yang dikehendaki dalam letupan mengorbankan 15 orang dalam sebuah masjid, kebanyakannya polis, berhampiran sempadan Yemen.

    Menurut kenyataan Presidensi Keselamatan Negara yang disiarkan oleh Agensi Berita Saudi (SPA), pegawai yang cedera dan warga Pakistan yang cedera sudah dipindahkan ke hospital tempatan di mana mereka menerima rawatan.

    Katanya, pihaknya mengulangi penegasan untuk sedia menangani ancaman mana-mana pihak yang memberi ancaman kepada keselatan dan ketenteraman negara itu.

  • FELCRA jadi pengeluar benih asas padi wangi MRQ76

    FELCRA jadi pengeluar benih asas padi wangi MRQ76

    FELCRA Berhad melalui anak syarikatnya FELCRA Plantation diberi kepercayaan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) untuk menjadi pengeluar benih asas padi wangi MRQ76.

    Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, FELCRA diberi peranan utama dalam memastikan kualiti dan kuantiti benih asas padi wangi MRQ76 sentiasa terjamin dan mencukupi bagi tujuan penanaman padi wangi berskala besar di bawah program SMART Sawah Berskala Besar (SBB).

    “Kerjasama pintar di antara pihak MAFI dan FGV dalam program SMART SBB ini telah terbukti mampu meningkatkan hasil pengeluaran padi sehingga satu tan metrik sehektar.

    “Ini sekaligus meningkatkan hasil pendapatan pesawah dengan harga jualan padi RM1,540 per tan metrik berbanding RM1,260 per tan metrik untuk varieti padi putih,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Laman Padi, MAFI, di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA) 2022 di sini hari ini.

    Turut hadir, Ketua Pengerusi Padiberas Nasional Berhad (Bernas), Datuk Seri Rohani Abdul Karim, Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, MAFI, Azman Mahmood dan Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA, Datuk Mat Roni Zakaria.

    Benih asas padi wangi MRQ76 dikomersialkan oleh FGV Integrated Farming Holdings Sdn Bhd.

    Mahdzir menjelaskan, program SMART SBB terbukti berjaya meningkatkan hasil pengeluaran padi khususnya di kawasan penanaman padi di bawah pengurusan FELCRA Berhad di Seberang Perak dan Barat Laut Selangor.
     
    Seiring dengan revolusi perindustrian keempat 4.0, FELCRA tegas Mahdzir, telah membuat perubahan dalam pengurusan tanaman padi melalui penggunaan aplikasi teknologi seperti dron.

    Beliau berkata, sejumlah RM1.8 juta telah diperuntukkan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) untuk pembangunan teknologi dron di estet FELCRA.

    “Ia bertujuan bagi menggalakkan dan menarik minat golongan muda khususnya anak peserta FELCRA untuk menceburi industri padi sekaligus menyediakan peluang pekerjaan baru di kawasan terbabit.

    “FELCRA turut mempunyai kepakaran dalam melaksakan kerja-kerja kajian profil tanah bagi membantu pesawah mengenal pasti nutrien tanah dan tahap kesuburan tanah. Perkara ini penting dalam memastikan rawatan tanah dapat dilaksanakan secara efisyen dan efektif,” katanya.
     
    Selain itu Mahdzir berkata, FELCRA turut menjalin kerjasama dengan syarikat swasta bagi menghasilkan produk beras putih menggunakan jenama sendiri sebagai menyokong Dasar Jaminan Keselamatan Makanan Negara.
     
    “Tahun ini, KPLB telah menyediakan peruntukan sebanyak RM12 juta kepada FELCRA bagi melaksanakan kerja-kerja naik taraf untuk menambahbaik infrastruktur ladang.

    “Ini selaras dengan evolusi industri padi dan beras negara bagi menjamin keselamatan bekalan negara,” tambah beliau.

  • Pengkid berpakaian ihram: Persenda Islam boleh membuatkan pelakunya kafir

    Pengkid berpakaian ihram: Persenda Islam boleh membuatkan pelakunya kafir

    PERBUATAN mempersendakan agama Islam yang dilakukan umatnya boleh membuatkan pelakunya terkeluar daripada agama (kafir) yang mana jika tidak bertaubat akan dihumban ke neraka dan menerima seksaan dahsyat di akhirat.

    Penegasan itu dibuat Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor ketika diminta mengulas mengenai perbuatan seorang individu yang didakwa wanita yang berperwatakan lelaki dan mengenakan pakaian ihram ketika berada di Mekah dan Raudah yang tular di dalam media sosial sejak semalam.

    Menurut beliau, agama bukan bahan mainan atau sendaan dan seseorang Muslim dituntut menghormati dan mengagungkan agamanya.

    Melakukan perbuatan yang berlawanan dengan hukum Islam dengan sengaja jelas beliau, bererti mempermain-mainkan atau mempersendakan agama.

    “Banyak lagi cara untuk mencari populariti, namun bukan dengan menjadikan agama sebagai bahan mainan atau sendaan.

    “Sesiapa melakukan tindakan sedemikian sesungguhnya dia telah kufur (jatuh kafir) sebab dikira dia memandang ringan kepada agamanya” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Wan Salim, sejak zaman Rasulullah SAW lagi sudah wujud golongan yang suka mempersendakan agama Islam dan menjadikannya bahan mainan.

    Ujarnya, keimanan menuntut seseorang mengagungkan serta menghormati Allah SWT, Rasul-Nya dan agama-Nya sedangkan golongan itu meringan-ringankan kesemua tersebut.

    Tambahnya, perbuatan mempersenda dan mempermainkan agama itu hanya memudaratkan diri sendiri sedangkan agama Islam sedikitpun tidak terjejas oleh tindakan itu.

    “Allah SWT tidak dimudaratkan oleh kemaksiatan sesiapa dan tidak mendapat manfaat daripafa ketaatan sesiapa.

    “Agama Allah SWT tetap berkembang pesat dari semasa ke semasa yang mana semakin ramai manusia menganutnya terutama dalam kalangan para ilmuwan dan cerdik pandai di dalam pelbagai bidang ilmu dan kerjaya,” katanya.

    Jelas beliau, golongan yang suka mempermainkan agama itu perlu bertaubat daripada perbuatan sia-sia tersebut sementara Allah SWT masih memberi peluang untuk mereka kembali ke jalan yang benar.

  • Salman Rushdie ditikam 15 kali dipentas

    Salman Rushdie ditikam 15 kali dipentas

    PENULIS kontroversi Salman Rushdie, cedera selepas ditikam sebanyak 15 kali termasuk satu mengenai bahagian lehernya oleh seorang lelaki dalam kejadian di Institut Chautauqua, New York, semalam.

    Menurut jurucakap pihak berkuasa, suspek Hadi Matar,24, seorang rakyat tempatan dari Fairfield, New Jersey yang didakwa bersimpati dengan kerajaan Iran.

    Menurut jurucakap Polis New York, Mejar Eugene Staniszewski, suspek meluru ke atas pentas dan menyerang Rushdie serta seorang lagi individu di hadapan penonton.

    Berikutan serangan itu, dia telah mengalami kecederaan di bahagian leher akibat tikaman terbabit.

    Hadi kemudiannya berjaya ditahan orang ramai di lokasi.

    Rushdie, 75, dibawa ke hospital dengan sebuah helikopter sejurus sebelum 11:00 pagi (waktu tempatan), kata Mejar Eugene Staniszewski dari polis negeri New York kepada wartawan.

    Namun Staniszewski tidak memberikan butiran mengenai keadaan penulis kontroversi itu selain dia masih dalam pembedahan.

    Katanya, motif serangan masih tidak jelas.

    Polis berkata, Rushdie ditikam di leher serta perut.

    Rushdie sebelum ini pernah menerima ugutan bunuh kerana penulisan bukunya yang menghina kitab suci Al-Quran.

    Buku kontroversi itu telah diharamkan di beberapa buah negara, termasuk fatwa hukuman bunuh terhadapnya turut dikeluarkan pemimpin Iran, Ayatollah Khomeini pada 1998. 

  • Arab Saudi benar pemegang visa pelancong, komersial tunai umrah

    Arab Saudi benar pemegang visa pelancong, komersial tunai umrah

    KEMENTERIAN Haji dan Umrah Arab Saudi semalam mengumumkan, umat Islam yang memperoleh visa pelancong dan visa komersial kini dibenarkan menunaikan ibadah umrah semasa berada di negara itu.

    Lapor Saudi Gazette, kementerian itu memaklumkan, kemudahan itu tersedia untuk warganegara dari 49 negara di seluruh dunia.

    Untuk itu katanya, mereka boleh mendapatkan visa secara dalam talian menerusi portal ‘Visit Saudi Arabia’ atau sebaik sahaja tiba di lapangan terbang Arab Saudi.

    Kementerian itu menyatakan bahawa keputusan itu telah diambil untuk memudahkan seramai mungkin orang menunaikan umrah.

    Menurutnya, pemegang visa Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan negara-negara di Kesatuan Eropah (EU) yang beragama Islam turut layak menunaikan umrah.

    Ia bersempena Tahun Baru 1444 Hijrah yang bertujuan untuk membolehkan lebih ramai umat Islam menunaikan umrah dengan mudah di negara berkenaan.

    Sistem baharu itu juga membenarkan umat Islam yang memperoleh visa pelancong sah untuk tempoh 12 bulan tanpa perlu membuat permohonan awal.

    Menerusinya, pemegang pas pelancong boleh melawat bandar dan semua wilayah di negara berkenaan.

    Pemohon visa hendaklah dari negara-negara termasuk dalam kalangan negara yang layak untuk mendapatkan visa elektronik.

    Sementara itu, pemegang visa lawatan keluarga dari negara yang berbeza juga boleh menunaikan umrah dengan menempah janji temu melalui aplikasi Eatmarna melalui saudara mereka semasa lawatan ke Arab Saudi dengan memohon melalui National Unified Visa Platform atau Platform Visa Bersepadu Nasional.

    Untuk menunaikan umrah, pelawat beragama Islam dikehendaki antaranya mendapatkan insurans kesihatan komprehensif termasuk perlindungan kos rawatan jangkitan COVID-19; kemalangan sehingga mengakibatkan kematian atau hilang upaya dan perbelanjaan kerana kelewatan atau pembatalan penerbangan.

  • Tiada unsur penyelewengan berkaitan Musang King di Gunung Inas

    Tiada unsur penyelewengan berkaitan Musang King di Gunung Inas

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setakat ini mendapati tidak wujud sebarang unsur penyelewengan berhubung keputusan kerajaan negeri untuk melaksanakan projek tanaman durian Musang King di Gunung Inas, Baling.

    Menurut pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap, hampir kesemua minit mesyuarat Exco kerajaan negeri berhubung perkara itu sudah pun diteliti setelah pihaknya mendapatkan dokumen berkaitan, sebelum ini.

    Katanya, penelitian awal mendapati dokumen-dokumen tersebut tidak mengandungi sebarang unsur salah laku atau penyelewengan yang boleh diambil tindakan di bawah bidang kuasa SPRM.

    “Namun jika terdapat maklumat baharu yang terkait dengan bidang kuasa kami, kemungkinan siasatan ini akan diteruskan kembali.

    “Setakat ini tiada laporan rasmi dibuat oleh mana-mana pihak sebaliknya siasatan ini dijalankan hasil inisiatif kami sendiri termasuk berkunjung ke Wisma Darul Aman bagi mendapatkan dokumen berkaitan sebelum ini,” katanya.

    Pada 10 Julai lalu, SPRM Kedah dilaporkan telah memulakan siasatan awal bagi melihat kemungkinan terdapat salah laku yang mendorong kepada berlakunya tragedi banjir lumpur serta aliran puing di kawasan berhampiran gunung tersebut.

    Selain berkunjung ke Wisma Darul Aman, pegawai terlibat turut dihantar ke kawasan bencana bagi meninjau keadaan di situ.

    Shaharom menambah, pihaknya turut merujuk laporan dibuat Pasukan Khas Siasatan Bencana-Tragedi Baling 2022 yang dilihat telah menyentuh aspek dalam kejadian itu secara lebih menyeluruh.

    “Laporan tersebut tampak lebih lengkap dan kami telah meneliti perkara di dalamnya bagi melihat perkara yang mungkin terkait dengan bidang kuasa SPRM.

    “Setakat ini kami tangguh dulu siasatan hingga ada maklumat baharu. Jika ada maklumat lanjut selepas ini, kami boleh mulakan siasatan semula, tertakluk kepada perkara di bawah bidang kuasa SPRM,” katanya.

  • Angka kematian perang Gaza meningkat kepada 48 orang

    Angka kematian perang Gaza meningkat kepada 48 orang

    BILANGAN kematian penduduk Palestin dalam pertempuran antara tentera pengganas rejim Zionis dan kumpulan pejuang Palestin di Gaza meningkat kepada 48 orang semalam.

    Kementerian Kesihatan di Gaza berkata, ia susulan kematian seorang lelaki dan kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun akibat kecederaan dialami semasa pertempuran berkenaan.

    Selain itu, dua kanak-kanak Gaza berusia 8 dan 14 tahun juga sedang bertarung nyawa di Hospital Baitulmuqaddis.

    Lebih 300 penduduk Palestin cedera dalam serangan tentera rejim yang menyasarkan kedudukan kumpulan Jihad Islam di Gaza.

    Kumpulan itu dalam reaksi balas melancarkan ribuan roket ke kawasan Israel dalam perang rentas sempadan selama tiga hari yang disifatkan terburuk sejak perang 11 hari dengan Hamas tahun lalu.

    Kematian kanak-kanak berusia 11 tahun itu, Layan al-Shaer, di Hospital Mukassed di Baitulmaqdis, juga menambah jumlah kematian kanak-kanak kepada 17 orang.

    Dua lagi kanak-kanak Palestin yang kritikal, Nayef al Awdat ,8, dan Mohammed Abu Ktaifa juga dirawat di hospital sama.

    Nayef yang juga kanak-kanak buta, cedera akibat serangan udara Israel, manakala Mohammed cedera dalam letupan yang berlaku berhampiran majlis perkahwinan, yang turut meragut nyawa seorang wanita warga emas.

    Gencatan senjata pada Ahad menghentikan pertempuran perang antara kedua-dua pihak selepas tentera Israel menahan seorang pemimpin Jihad Islam di Tebing Barat.