PERBUATAN mempersendakan agama Islam yang dilakukan umatnya boleh membuatkan pelakunya terkeluar daripada agama (kafir) yang mana jika tidak bertaubat akan dihumban ke neraka dan menerima seksaan dahsyat di akhirat.

Penegasan itu dibuat Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor ketika diminta mengulas mengenai perbuatan seorang individu yang didakwa wanita yang berperwatakan lelaki dan mengenakan pakaian ihram ketika berada di Mekah dan Raudah yang tular di dalam media sosial sejak semalam.

Menurut beliau, agama bukan bahan mainan atau sendaan dan seseorang Muslim dituntut menghormati dan mengagungkan agamanya.

Melakukan perbuatan yang berlawanan dengan hukum Islam dengan sengaja jelas beliau, bererti mempermain-mainkan atau mempersendakan agama.

“Banyak lagi cara untuk mencari populariti, namun bukan dengan menjadikan agama sebagai bahan mainan atau sendaan.

“Sesiapa melakukan tindakan sedemikian sesungguhnya dia telah kufur (jatuh kafir) sebab dikira dia memandang ringan kepada agamanya” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Wan Salim, sejak zaman Rasulullah SAW lagi sudah wujud golongan yang suka mempersendakan agama Islam dan menjadikannya bahan mainan.

Ujarnya, keimanan menuntut seseorang mengagungkan serta menghormati Allah SWT, Rasul-Nya dan agama-Nya sedangkan golongan itu meringan-ringankan kesemua tersebut.

Tambahnya, perbuatan mempersenda dan mempermainkan agama itu hanya memudaratkan diri sendiri sedangkan agama Islam sedikitpun tidak terjejas oleh tindakan itu.

“Allah SWT tidak dimudaratkan oleh kemaksiatan sesiapa dan tidak mendapat manfaat daripafa ketaatan sesiapa.

“Agama Allah SWT tetap berkembang pesat dari semasa ke semasa yang mana semakin ramai manusia menganutnya terutama dalam kalangan para ilmuwan dan cerdik pandai di dalam pelbagai bidang ilmu dan kerjaya,” katanya.

Jelas beliau, golongan yang suka mempermainkan agama itu perlu bertaubat daripada perbuatan sia-sia tersebut sementara Allah SWT masih memberi peluang untuk mereka kembali ke jalan yang benar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here