KEMENTERIAN Haji dan Umrah Arab Saudi semalam mengumumkan, umat Islam yang memperoleh visa pelancong dan visa komersial kini dibenarkan menunaikan ibadah umrah semasa berada di negara itu.

Lapor Saudi Gazette, kementerian itu memaklumkan, kemudahan itu tersedia untuk warganegara dari 49 negara di seluruh dunia.

Untuk itu katanya, mereka boleh mendapatkan visa secara dalam talian menerusi portal ‘Visit Saudi Arabia’ atau sebaik sahaja tiba di lapangan terbang Arab Saudi.

Kementerian itu menyatakan bahawa keputusan itu telah diambil untuk memudahkan seramai mungkin orang menunaikan umrah.

Menurutnya, pemegang visa Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan negara-negara di Kesatuan Eropah (EU) yang beragama Islam turut layak menunaikan umrah.

Ia bersempena Tahun Baru 1444 Hijrah yang bertujuan untuk membolehkan lebih ramai umat Islam menunaikan umrah dengan mudah di negara berkenaan.

Sistem baharu itu juga membenarkan umat Islam yang memperoleh visa pelancong sah untuk tempoh 12 bulan tanpa perlu membuat permohonan awal.

Menerusinya, pemegang pas pelancong boleh melawat bandar dan semua wilayah di negara berkenaan.

Pemohon visa hendaklah dari negara-negara termasuk dalam kalangan negara yang layak untuk mendapatkan visa elektronik.

Sementara itu, pemegang visa lawatan keluarga dari negara yang berbeza juga boleh menunaikan umrah dengan menempah janji temu melalui aplikasi Eatmarna melalui saudara mereka semasa lawatan ke Arab Saudi dengan memohon melalui National Unified Visa Platform atau Platform Visa Bersepadu Nasional.

Untuk menunaikan umrah, pelawat beragama Islam dikehendaki antaranya mendapatkan insurans kesihatan komprehensif termasuk perlindungan kos rawatan jangkitan COVID-19; kemalangan sehingga mengakibatkan kematian atau hilang upaya dan perbelanjaan kerana kelewatan atau pembatalan penerbangan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here