Author: Wartawan WartaRakyat

  • Negara luar beri reaksi positif kes Najib – Saifuddin

    Negara luar beri reaksi positif kes Najib – Saifuddin

    KEPUTUSAN Mahkamah Persekutuan terhadap rayuan akhir kes penyelewengan dana SRC oleh Datuk Seri Najib Razak adalah bukti sistem kehakiman negara masih berintegriti tinggi, bebas, telus dan menjamin keadilan.

    Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, negara-negara luar melihat keputusan tersebut sebagai sangat positif dan beranggapan kerajaan Malaysia kini benar-benar berusaha memerangi rasuah dan tidak mencampuri urusan badan kehakiman.

    Kata Saifuddin, kesan positif juga terhadap pelabur-pelabur asing yang akan mempengaruhi keyakinan mereka terhadap suasana pelaburan di negara ini.

     “Keputusan jelas sekali menunjukkan yang sistem kehakiman kita adalah bebas dan tidak dipengaruhi oleh politik atau mana-mana kuasa yang lain sedikit sebanyak ia membantu imej Malaysia di persada antarabangsa.

    “Bagi penganalisis ekonomi dan perdagangan ini penting termasuk juga bagi bakal-bakal pelabur kerana mereka hendak lihat sejauh mana negara ini mempunyai sistem kehakiman yang boleh mereka percayai kalau mereka datang ke sini. Manalah tahu sekiranya mereka pun ada isu yang nak dibawa ke mahkamah ini antara benda yang didebatkan sebelum ini,” katanya lapor Astro AWANI.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Jeram di Kuantan hari ini.

    Dari sudut lain kata Saifuddin, kes ini juga menyentuh ahli Bersatu kerana Presidennya pernah dipecat ekoran lantang mempersoalkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Bagi Saifuddin, memerangi rasuah perlu diperjuangkan oleh semua pihak sama ada daripada parti-parti politik, NGO mahupun daripada individu walaupun prosesnya memakan masa.

    “Sedikit sebanyak dia menyuntik semangat kepada ahli-ahli Bersatu untuk teruskan perjuangan dan di samping itu kepada rakyat Malaysia juga ini adalah suatu tanda yang sangat-sangat signifikan bahawa kita tidak boleh jemu dan tidak boleh takut untuk menegakkan kebenaran dan keadilan menghapuskan rasuah dan menegakkan integriti serta menamatkan politik wang,” katanya lagi.

    Pada 2015, Najib pernah menggugurkan Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri ketika skandal 1MDB di puncak perhatian dan turut dipecat daripada Kabinet adalah Mohd Shafie Apdal yang juga mempersoalkan isu 1MDB ketika itu.

    Mahkamah Persekutuan pada Selasa mengekalkan sabitan dan hukuman penjara selama 12 tahun serta denda RM210 juta terhadap Najib berhubung penyelewengan dana SRC International sebayak RM42 juta.

  • Bersatu tarik diri daripada PH, bolehkan UMNO jadi kerajaan – Tuan Ibrahim

    Bersatu tarik diri daripada PH, bolehkan UMNO jadi kerajaan – Tuan Ibrahim

    UMNO perlu sedar keberadaan parti itu dalam kerajaan pada waktu ini disebabkan Bersatu) menarik sokongan terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) sehingga tumbang.

    Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, jika Bersatu tidak menarik sokongan, Pas dan UMNO pada waktu ini masih lagi berada dalam blok pembangkang.

    UMNO, tegas beliau, perlu mengingati jasa Bersatu yang membolehkan Pas dan UMNO menjadi parti yang berada dalam kerajaan ketika ini.

     Sehubungan itu, Tuan Ibrahim mengingatkan, sekiranya gagasan Muafakat Nasional (MN) berhasrat bergerak solo, maka Pas bersedia untuk menghadapi pertarungan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Bagaimanapun, beliau masih meletakkan harapan agar perbezaan pendapat antara Pas dan UMNO dapat dibawa ke meja rundingan dalam konteks mengukuhkan perpaduan orang Melayu.

    “(Pada masa ini) banyak sangat parti (politik) Melayu… akhirnya kekuatan kita makin lemah, sebab itu bagi Pas kami bersama PN (Perikatan Nasional),” kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan projek pembinaan Maahad Tahfiz al-Quran Gerak Wira, di Kota Bharu, hari ini, lapor Astro Awani.

    Pada  masa sama, Tuan Ibrahim mempersoalkan tindakan UMNO yang ingin menyisihkan Bersatu selepas Pas menyertai PN.

    Tegas Tuan Ibrahim, tindakan tersebut tidak kena dalam adat persahabatan dan hayat MN masih ada, bahkan  platform penyatuan ummah itu wajar dipertahankan.

    Namun begitu, beliau berkata, ikatan MN longgar, namun, masih bertahan tanpa ada perbincangan bersama pimpinan UMNO dan Pas sejak sekian lama.

    Pas, ujar Tuan Ibrahim, masih mengharapkan hubungan MN dapat dipertahankan sehingga PRU15.

     Ini kerana, tambahnya, pertembungan sesama sendiri tidak menguntungkan dan menyebabkan umat Melayu-Islam berpecah.

    Tuan Ibrahim berkata, terdapat 27 kerusi Parlimen yang agak kritikal tidak dimenangi sama ada oleh Pas ataupun Barisan Nasional (BN) yang memerlukan perundingan bersama PN dan juga BN

    Beliau turut mengulangi pendirian Pas yang kekal utuh mempertahankan MN dan PN.

    Namun, kata Tuan Ibrahim, sekiranya UMNO bertegas untuk melawan Pas pada pilihan raya umum akan datang, parti itu tiada pilihan lain.

  • Zahid minta ahli UMNO bertenang, tanamkan tekad betulkan kepincangan sistem keadilan

    Zahid minta ahli UMNO bertenang, tanamkan tekad betulkan kepincangan sistem keadilan

    DATUK Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi meminta ahli UMNO bertenang berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan semalam menolak rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak.

    Katanya, mereka perlu bertenang dan tanamkan tekad, segala kepincangan dalam sistem untuk menjamin keadilan akan menjadi salah satu agenda untuk diperbetulkan.

    Berikut kenyataan beliau;

    Keluarga  UMNO melahirkan rasa dukacita atas pengakhiran keputusan perbicaraan Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022.

    UMNO merasa amat terkilan kerana proses dan ruang untuk mantan Perdana Menteri mempertahankan dirinya terutama usaha untuk mengemukakan bukti-bukti baharu dan penangguhan bagi membolehkan pasukan pembelanya yang baharu membuat persiapan telah dinafikan.

    Bagi UMNO keputusan Mahkamah Persekutuan semalam tidak sama sekali dapat memadamkan jasa besar Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak sebagai Perdana Menteri yang telah membawa Malaysia ke mercu kejayaan dan meletakkan Malaysia di persada sebelum disuramkan oleh kegagalan dua kerajaan selepas PRU-14 yang lalu.

    Walau jasad dipenjara, semangat dan daya juang mantan Presiden UMNO itu dalam usaha mempertahankan dirinya serta tampil berada di barisan hadapan untuk melonjakkan semula citra UMNO sehingga mampu bangkit semula selepas kekalahan PRU-14, akan tetap membara.

    UMNO akan terus bersama Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dalam menghadapi perbicaraan kes lain yang sedang dihadapinya bagi menjamin beliau mendapat keadilan dan tidak dimangsakan dengan tekanan politik.

    Kepada seluruh ahli UMNO, kita perlu bertenang dan tanamkan tekad, segala kepincangan dalam sistem untuk menjamin keadilan, akan menjadi salah satu agenda untuk diperbetulkan.

    Ini termasuklah pendedahan bekas Peguam Negara Tommy Thomas mengenai campur tangan politik Perdana Menteri Pakatan Harapan terdahulu dalam pelantikan Hakim dan perjalanan sistem perundangan negara.

  • Bayangkan kemarahan UMNO kalau Muhyiddin masih PM – Tuan Ibrahim

    Bayangkan kemarahan UMNO kalau Muhyiddin masih PM – Tuan Ibrahim

    KEMARAHAN dan kecaman UMNO bersama ahlinya pasti memuncak sekiranya Tan Sri Muhyiddin Yassin masih menjadi Perdana Menteri, ketika keputusan dibuat ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung rayuan akhir kes penyewengan dana SRC International semalam.

    Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kini baru beliau faham hikmah berlakunya peralihan kuasa kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggantikan Muhyiddin sebelum ini.

     “Saya nak bayangkan walaupun ramai setuju atau tidak puas hati, itu biasalah setiap keputusan mahkamah, tetapi bayangkan kalau sekiranya yang jadi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sekarang.

    “Baru saya nampak hikmah kenapa berlaku peralihan kuasa itu. Saya fikir kalau Tan Sri Muhyiddin jadi Perdana Menteri masa waktu ini kita boleh bayangkan bagaimana rasa tak puas hati UMNO pada Perdana Menteri.

    “Bila Ismail Sabri jadi Perdana Menteri walaupun daripada UMNO, kerajaan tak campur tangan dalam urusan mahkamah. Jelas bahawa kerajaan tak campur tangan macam kes LCS pun kerajaan serahkan kepada SPRM,” katanya lapor Astro AWANI.

    Tuan Ibrahim ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Pembinaan Maahad Tahfiz di Pasir Tumbuh, Kota Bharu hari ini.

    Semalam Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kepada Najib selepas didapati bersalah kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

    Tuan Ibrahim berkata, keputusan itu juga memberi keyakinan kepada rakyat dan juga dunia bahawa institusi mahkamah di Malaysia adalah bebas dan positif.

    Katanya lagi keputusan itu juga dapat memberikan peringatan kepada yang lain supaya semua pihak dapat membina sebuah negara yang bebas rasuah dan sudah cukup Malaysia dicemuh oleh pihak luar kerana mengamalkan rasuah.

  • Keputusan mahkamah pulihkan maruah negara yang tercalar

    Keputusan mahkamah pulihkan maruah negara yang tercalar

    Oleh DATUK JASRI JAMALUDIN

    MERUJUK  kepada keputusan mahkamah mengekalkan sabitan hukuman Penjara 12 tahun dan denda sebanyak RM210 juta kepada bekas PM.

    KEPUTUSAN Mahkamah Persekutuan dalam kes rayuan Najib Razak semalam menunjukkan tiada sesiapa boleh lari daripada  Kedaulatan Undang-Undang.

    Datuk Jasri Jamaludin
    Datuk Jasri Jamaludin

    Ia  memberi kesan yang sangat besar  terutama pandangan masyarakat antarabangsa kepada negara kita. Media asing di seluruh dunia membawa berita ini sebagai tajuk utama di negara mereka terutama media-media antarabangsa.

    Ini memberi gambaran sistem kehakiman negara kita mempunyai integriti yang cukup tinggi dan telus tanpa sebarang campur tangan politik.

    Apabila  mahkamah mengekalkan sabitan dan membawa Naiib Razak terus ke penjara, maruah negara yang tercalar disebabkan isu SRC International dan skandal 1MDB telah dapat dikembalikan.

    Walaupun isu rasuah 1MDB berjumlah RM2.6 bilion masih lagi berjalan di mahkamah, sekurang-kurangnya dunia melihat Malaysia serius dalam menangani isu berkaitan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Ia juga akan dapat  mengembalikan kepercayaan serta keyakinan pelabur asing kepada Malaysia.

    Keputusan ini juga memperlihatkan perjuangan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berani menegur pemimpin negara yang melakukan salah guna kuasa sewaktu beliau di dalam kerajaan sebelum ini berhasil.

    Hari ini beliau berjaya memimpin Parti Bersatu  yang pada asasnya menentang rasuah dan salah guna kuasa dalam pemerintahan sebagai wadah perjuangan, walaupun beliau terpaksa berkorban melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri mempertahankan prinsip ini akibat didesakan oleh kluster mahkamah.

    Saya percaya hari ini adalah permulaan baru bagi kita untuk membawa negara ke arah yang lebih baik. Membetulkan kerosakan dalam pemerintahan, mengutamakan perkara-perkara kebajikan untuk rakyat dan mempercepatkan pemulihan ekonomi.

    Kerajaan sudah pasti boleh membuat perancangan menyeluruh semasa pembentangan bajet 2023 didalam masa terdekat, selari dengan Wawasan Kesejahteraan Negara 2030. Apa yang telah berlaku kita ambil sebagai pengajaran untuk masa depan yang lebih baik.

    • Datuk Jasri Jamaludin adalah Ketua Bahagian Bersatu Maran.
  • Naib Canselor UUM tidak berhasrat jadi calon PRU-15

    Naib Canselor UUM tidak berhasrat jadi calon PRU-15

    Oleh BADLISHAH MAT

    NAIB Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah menegaskan tidak pernah menyatakan hasrat kepada mana-mana pihak tentang kesediaan menjadi calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Sebaliknya, kata Haim Hilman, fokus beliau kini diberikan sepenuhnya kepada pembangunan universiti berkenaan sejak diberi kepercayaan sebagai Naib Canselor UUM pada 17 Januari lalu.

    “Fokus utama adalah membangunkan dan memajukan UUM serta komited bekerja bersama warga universiti dalam usaha merealisasikan visi menjadi universiti pengurusan terkemuka.

    “Selain itu, kita juga mahu memenuhi misi UUM iaitu mendidik pemimpin berperwatakan holistik untuk berbakti kepada komuniti global,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

    Beliau mengulas laporan sebuah akhbar mengenai tiga nama calon yang akan dipertaruhkan Barisan Nasional (BN) Selangor pada PRU-15.

    Ketua Komunikasi BN Selangor, Datuk Seri Jamal Md. Yunos dipetik berkata, peranan ahli strategik sangat penting bagi mendepani pola baharu pengundi pasca PRU-14 khususnya dalam kalangan pengundi berusia 18 tahun yang dipercayai masih dipengaruhi politik persepsi.

    Laporan itu menyebut Haim Hilman sebagai salah satu nama daripada tiga calon berkenaan yang terdiri daripada ahli pemikir atau ‘think tank’ bagi mewakili negeri itu bersama Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Isham Jalil dan Ketua Pembangkang Negeri Selangor, Datuk Rizam Ismail.

    Haim Hilman, 49, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana dalam bidang Pentadbiran Perniagaan daripada University of Portsmouth, United Kingdom.

    Beliau turut memperoleh Ijazah Kedoktoran dalam Pengurusan Strategik pada 2010 daripada Universiti Putra Malaysia

    Haim Hilman sebelum ini berkhidmat sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UUM sebelum dilantik menjadi Naib Canselor bagi menggantikan Prof. Datuk Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani.

  • Puad kata, UMNO tidak lagi perlukan ‘poster boy’,

    Puad kata, UMNO tidak lagi perlukan ‘poster boy’,

    DR.Puad Zarkashi  berkata parti itu tidak lagi memerlukan “poster boy” untuk pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

    Ahli Majlis Kerja Tertinggi itu berkata ia kerana “poster boy” tidak relevan lagi dan menegaskan, “Ia boleh jadi bola tanggung, ‘punching bag’ atau senjata makan tuan.

    “Walaupun sudah ada keputusan, tetapi kalau sudah jadi liabiliti, elok batalkan sahaja ‘poster boy’. Manusia bernyawa mudah difitnah jika jadi ‘poster boy’,” katanya di Facebook beliau.

    Pada Perhimpunan Agung UMNO Khas Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden parti itu dipilih sebulat suara oleh perwakilan sebagai “poster boy” atau calon Perdana Menteri, jika UMNO dan Barisan Nasional menang PRU15 nanti.

    Dalam pada itu, Puad mencadangkan lebih baik logo BN dijadikan “poster boy” kerana ia tidak bernyawa dan sukar difitnah.

    “Lagi pun logo BN telah sebati dengan rakyat. ‘Poster boy’ tidak boleh mereka yang ‘over’ perasan dan lembik. Harapkan pagar, pagar makan padi,” katanya.

    Jika cadangan beliau ini diterima oleh kepemimpinan tertinggi UMNO, ia bermakna Ismail Sabri tidak akan lagi menjadi ‘poster boy’ BN dalam PRU-15.

    Selain itu, sudah ada desas desus, Ismail Sabri kini berhadapan dengan situasi sukar apabila didesak oleh pemimpin UMNO untuk mengadakan PRU-15 secepat mungkin.

    Bagaimanapun setakat ini, Ismail Sabri masih mempertahankan pendirian beliau bahawa PRU-15 tidak akan diadakan secara tergesa-gesa.

    Malah dalam kenyataan terbaru  beliau, Ismail Sabri yang genap setahun menjadi Perdana Menteri pada 21 Ogos lalu menegaskan, tindakan mengadakan PRU secara tergesa-gesa tanpa mengkaji sama ada BN boleh menang atau tidak, boleh dianggap ‘tindakan bunuh diri’.

  • ‘’Bukti badan kehakiman tak ikut telunjuk politik’’ – Anwar

    ‘’Bukti badan kehakiman tak ikut telunjuk politik’’ – Anwar

    PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Datuk Seri Najib Razak, membuktikan badan kehakiman negara bebas tanpa dipengaruhi pihak berkuasa dalam politik.

    Beliau berkata, keputusan dibuat mengikut fakta itu membolehkan negara bersih daripada rasuah.

    “Keputusan ini menunjukkan pendakwaan yang profesional dan ketegasan serta keberanian badan kehakiman membuat keputusan mengikut fakta dan hukum.

    “Ini bukti badan kehakiman tidak mengikut telunjuk politik dan pihak berkuasa, yang kita alami selama puluhan tahun,” katanya dalam rakaman video berdurasi satu minit 35 saat, malam ini, lapor Berita Harian.

    Hari ini Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

    Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib sememangnya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah.

    Anwar yang juga Ketua Pembangkang berkata, dengan keputusan itu beliau merasa lega.

    “Sekarang ada perasaan lega, saya nak ucap penghargaan kepada hakim yang berani dan berwibawa tunduk kepada fakta dan hukum bukan tunduk kepada kuasa politik.

    “Tapi ingatlah, (apabila) rakyat memutuskan dengan bijak termasuk anak muda menentukan masa depan mereka, maka suasana dan iklim politik boleh berubah,” katanya.

    Sementara itu Gerakan Tanah Air (GTA) berkata, keputusan Mahkamah Persektuan itu berlaku hanya disebabkan perubahan politik pada Mei 2018 dipimpin Tun Dr. Mahathir Mohamad.

    Ketua Penerangannya, Nizam Mahshar, berkata kes SRC International antara kes melibatkan Najib dan dalam masa sama berkata masih banyak lagi kes penyalahgunaan kuasa, rasuah dan pecah amanah yang belum dibongkar untuk disiasat.

    “Keputusan hari ini juga membuktikan dengan jelas bahawa kepimpinan politik Melayu juga harus melakukan perubahan mendasar. Politik Melayu hari ini sudah seperti disinonimkan dengan politik rasuah, politik wang dan penyalahgunaan kuasa.

    “Sehingga hari ini, pemimpin-pemimpin politik Umno masih cuba menegakkan pemimpin yang mereka yang korup dan menyalahgunakan kuasa,” katanya dalam kenyataan.

    Nizam turut berkata, setiap undi merupakan langkah kecil rakyat untuk ”menghantar mereka yang menyeleweng dan menjarah harta rakyat ke penjara”.

    “Keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini harus menjadi peringatan untuk kita terus melakukan kerja-kerja pembetulan demi mengembalikan negara serta etika dan moral rakyatnya ke landasan yang betul,” katanya.

  • Hantaran Facecook ‘Zamani Ibrahim: Polis tidak buka kertas siasatan

    Hantaran Facecook ‘Zamani Ibrahim: Polis tidak buka kertas siasatan

    POLIS tidak membuka kertas siasatan terhadap pemilik akaun Facebook ‘Zamani Ibrahim’ memandangkan hantaran dibuatnya hanya pandangan peribadi mengenai politik dan bukan satu jenayah.

    Ketua Polis Cheras Halim Jamaludin, berkata kenyataan pemilik akaun itu berkaitan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada 18 Mei 2018, sekadar pandangan berunsur peribadi.

    Katanya, polis telah menerima aduan daripada orang awam mengenai hantaran itu, pada 18 Ogos, kira-kira 9.30 pagi.

    “Semakan mendapati kenyataan ini telah dimuat naik pada 11 Mei 2018 dan merupakan kenyataan persendirian pemilik akaun tersebut.

    “Hasil siasatan lanjut mendapati kenyataan yang dimuat naik oleh pemilik akaun Zamani Ibrahim ini adalah berunsurkan pandangan politik peribadi semasa dan tidak berlaku sebarang kesalahan jenayah,” katanya dalam kenyataan,lapor FMT.

    Halim berkata, pihaknya tidak membuka kertas siasatan berkenaan aduan terbabit kerana ia adalah kenyataan lama yang ditularkan semula menerusi media sosial oleh pihak tidak bertanggungjawab.

    Katanya, tindakan berkenaan telah mengundang pelbagai reaksi daripada netizen.

    “Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menularkan gambar, video serta kenyataan lama bagi mengelak kekeliruan dan menimbulkan kegusaran kepada masyarakat,” katanya.

    Hantaran dibuat pemilik akaun Zamani Ibrahim itu dikatakan suami kepada Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, menjadi tular di media sosial.

    Hari ini, Najib memohon Tengku Maimun menarik diri daripada mendengar rayuannya atas alasan suaminya, Zamani Ibrahim, mempunyai “sentimen negatif” terhadap kepimpinannya, yang dinyatakan di Facebook selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

    Zamani menulis tentang kejatuhan kerajaan Barisan Nasional pada 9 Mei 2018 dan didakwa gembira Najib digulingkan.

    Mahkamah Persekutuan, hari ini, mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Najib selepas mahkamah tertinggi itu menolak rayuan akhirnya bagi mengenepikan sabitan salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah berjumlah RM42 juta milik SRC International.

    Bekas Presiden UMNO itu diarah menjalani hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

  • Kebebasan badan kehakiman perlu terus dilindungi – Muhyiddin

    Kebebasan badan kehakiman perlu terus dilindungi – Muhyiddin

    Tanpa badan kehakiman yang bebas, sistem demokrasi di negara akan gagal untuk berfungsi dan Malaysia menjadi sebuah negara yang bersifat autoritarian, rasuah dan bankrap moral, kata Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Dalam kenyataan beberapa jam selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan bersalah ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Muhyiddin berkata, terbukti, sistem kehakiman negara kita yang bebas telah dapat menjamin tertegaknya keadilan dan mengembalikan maruah negara yang tercalar.

    Berikut kenyataan penuh beliau yang juga bekas Perdana Menteri;

    Alhamdulillah, perjuangan saya dan rakyat Malaysia menentang rasuah akhirnya terjawab di Mahkamah Persekutuan hari ini.

    Saya telah menyuarakan kebimbangan mengenai penyalahgunaan kuasa dan rasuah pada skala yang besar menerusi penyelewengan dana 1MDB dan SRC International membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, sejak tahun 2015.

    Walaupun saya dihukum dengan pemecatan dari kerajaan dan parti pada ketika itu, saya terus istiqamah dengan prinsip menegakkan yang hak.

    Hari ini, saya bersama-sama dengan rakyat Malaysia yang konsisten melawan rasuah dan penyelewengan dapat menghela nafas lega dengan keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan bersalah ke atas Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

    Terbukti, sistem kehakiman negara kita yang bebas telah dapat menjamin tertegaknya keadilan dan mengembalikan maruah negara yang tercalar.

    Kebebasan sistem kehakiman inilah yang saya pertahankan ketika saya menjadi Perdana Menteri. Walaupun ada desakan politik supaya saya campurtangan dalam kes tertentu, saya tegas menolaknya walau akhirnya saya terpaksa meletak jawatan kerana mempertahankan prinsip ini.

    Saya ingin mengingatkan bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan pada hari ini bukanlah pengakhiran sebuah perjuangan. Pendakwaan dalam kes 1MDB yang melibatkan penyelewangan dana berjumlah RM2.6 billion masih belum selesai. Begitu juga kes rasuah yang melibatkan Pengerusi Barisan Nasional masih dalam proses perbicaraan di mahkamah, selain kes-kes berprofail tinggi yang lain.

    Saya berharap, kebebasan badan kehakiman di negara kita terus dilindungi tanpa ada cubaan campurtangan atau desakan politik dari mana-mana pihak agar keadilan dapat tertegak.

    Kebebasan dan integriti badan kehakiman sepertimana yang terbukti pada hari ini adalah paksi sebuah negara demokrasi. Tanpa badan kehakiman yang bebas, sistem demokrasi di negara kita akan gagal untuk berfungsi dan Malaysia menjadi sebuah negara yang bersifat autoritarian, rasuah dan bankrap moral, na’uzubillah.

    Atas segalanya, saya mendoakan agar Malaysia bebas sepenuhnya daripada amalan kleptokrasi, dijauhi daripada bala bencana dan rakyat dapat hidup dalam keadaan aman dan sejahtera.