Author: Wartawan WartaRakyat

  • Wan Junaidi sahkan Bajet 2023 dibentang 7 Okt

    Wan Junaidi sahkan Bajet 2023 dibentang 7 Okt

    MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengesahkan Belanjawan 2023 akan dibentang tiga minggu lebih awal daripada yang dijadualkan.

    Memetik laporan Malaysiakini, beliau berkata, belanjawan berkenaan akan dibentang Dewan Rakyat pada 7 Oktober ini.

    “Ya, memang benar. Sesi baharu akan bermula pada 3 Okt ini sebenarnya,” katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi.

    Wan Junaidi bagaimanapun menafikan sebarang kaitan pertukaran tarikh baru itu dengan pilihan raya umum, yang dijangka diadakan tahun ini berikutan tekanan daripada UMNO.

    “Tidak, tiada perbincangan mengenai pilihan raya umum, yang masih menjadi prerogatif perdana menteri (yang akan) menghadap Yang di-Pertuan Agong (untuk membubarkan parlimen),” katanya.

    Malaysiakini hari ini melaporkan UMNO memberi kata dua kepada Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakon sama ada mengadakan pilihan raya umum secepat mungkin atau dipecat daripada parti itu, susulan mesyuarat biro politik UMNO Rabu lalu.

    Sebelum itu, The Star melaporkan perdana menteri memberitahu mesyuarat kabinet hari ini mengenai tarikh baru pembentangan Belanjawan 2023.

    Semalam, timbalan menteri kewangan 1, Mohd Shahar Abdullah memaklumkan tiada perubahan tarikh bagi pembentangan Belanjawan 2023 dan ia kekal seperti dijadualkan dalam kalendar parlimen pada 28 Okt.

    Minggu lalu, Wan Junaidi berkata, PRU akan datang mungkin diadakan hanya selepas pembentangan belanjawan di Parlimen.

    “Bila dah lulus, rakyat dah menikmati kebaikan bajet itu, baru sesuai kalau nak bubar, bubarlah ketika itu,” katanya.

  • Eksekutif kanan syarikat petroleum didakwa seleweng minyak pelincir kenderaan

    Eksekutif kanan syarikat petroleum didakwa seleweng minyak pelincir kenderaan

    SEORANG bekas eksekutif inventori kanan sebuah syarikat petroleum terkenal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini atas pertuduhan melakukan pecah amanah dengan menyeleweng minyak pelincir kenderaan milik majikannya dua tahun lalu.

    Tertuduh, Sheikh Izzuddin Sheikh Salleh, 40, membuat pengakuan itu sejurus satu pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Mohd. Sabri Ismail, lapor Astro Awani.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh yang ketika itu diamanahkan dengan penguasaan harta iaitu 24,461.43 kilogram (kg) minyak pelincir dengan anggaran harga RM113,000 didakwa melakukan pecah amanah jenayah dengan mengalihkan sebahagian minyak milik syarikat dan menyalahgunakannya.

    Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara minimum setahun dan maksimum 14 tahun dan sebat serta denda.

    Sementara itu, dua lagi rakannya turut didakwa di dua mahkamah berasingan di hadapan Mohd Sabri dan Hakim Nariman Badruddin atas dakwaan dengan curang bersubahat melakukan pecah amanah berkenaan.

    Kedua-dua tertuduh masing-masing Mohammad Safiy Khan Muzair Khan, 33, dan Mohd. Zakry Abu Bakar,38, yang juga seorang kontraktor dan polis bantuan, bagaimanapun, turut mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan terhadap mereka di bacakan oleh jurubahasa.

    Justeru, mereka berdua didakwa mengikut seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 408 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun atau maksimum 14 tahun dan sebat serta denda jika sabit kesalahan.

    Kesemua Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 20 September 2020, kira-kira jam 9 pagi hingga 1 November 2020 pukul 11.16 pagi di kawasan MG3 Melaka Lubricant Sdn Bhd (MLBP) Sungai Udang.

    Mohd. Sabri pada penghakimannya kemudian membenarkan tertuduh Sheikh Izzuddin dan rakannya Mohammad Safiy Khan dikenakan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

    Sementara Hakim Nariman menetapkan jaminan RM 7,000 kepada Mohd Zakry selain ketiga-tiga tertuduh dibicarakan serentak pada 26 September ini.

    Prosiding pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim dan Anis Najwa Nazari.

    Semua tertuduh diwakili oleh peguam Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh, Fahmy Sulaiman, Faiezad Razali dan Melvin Tay Yee Shian.

  • Bajet 2023 diawalkan ke 7 Oktober, petanda PRU-15 makin hampir? – Laporan

    Bajet 2023 diawalkan ke 7 Oktober, petanda PRU-15 makin hampir? – Laporan

    BAJET 2023, yang sepatutnya dibentangkan pada 28 Oktober, dilapor akan diawalkan iaitu pada 7 Oktober.

    Memetik laporan The Star, perubahan tarikh itu menjadikan tiga minggu lebih awal dari tarikh yang telah disebut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Mohd Zafrul Tengku Abdul Aziz sebelum ini.

    Laporan yang ditulis oleh penasihat Kumpulan The Star, Datuk Seri Wong Chun Wai menyebut, keputusan itu diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam mesyuarat Kabinet pada Jumaat.

    “Pemimpin kanan Barisan Nasional, dalam reaksi kepada berita itu berkata, Parlimen mungkin akan dibubarkan sejurus selepas Bajet dibentangkan,” menurut laporan itu lagi.

    Wong menulis, susulan arahan Kabinet, langkah seterusnya ialah untuk memaklumkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, yang dilaporkan memerlukan sekurang-kurangnya 28 hari untuk memaklumkan kepada Ahli-ahli Parlimen mengenai tarikh baharu itu.

    Dalam pada itu, sumber yang rapat dengan perkara ini, memaklumkan, perkara itu berkemungkinan besar akan berlaku.

    “Ada kemungkinan Bajet 2023 akan dibentangkan pada 7 Oktober, kata sumber itu.

    Pada 7 Ogos lalu, Tengku Zafrul dilaporkan berkata, tiada perubahan berkenaan Bajet 2023 seperti yang digembar-gemburkan.

    “Itu khabar angin sahaja, pada pengetahuan saya masih lagi sama seperti apa yang ada dalam takwim Parlimen pada 28 Oktober,” katanya lagi.

  • Skandal LCS: Rafizi minta disaman, dakwa Abd Latiff buat penafian kosong

    Skandal LCS: Rafizi minta disaman, dakwa Abd Latiff buat penafian kosong

    TIMBALAN Presiden PKR, Rafizi Ramli menyifatkan penafian kali kedua Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkaitan penglibatan “isterinya” dalam skandal kapal tempur pesisir (LCS) hanyalah pernafian kosong.

    Menurut beliau, penafian mudah tanpa menunjukkan fakta atau dokumen ialah taktik biasa pimpinan dan bekas pimpinan UMNO.

    Katanya, semasa skandal SRC dan 1MDB mula didedahkan, Datuk Seri Najib Razak pun menafikan bahawa wang masuk ke akaun peribadinya.

    “Justeru apabila telah dibuktikan, barulah bekas perdana menteri menyebut ia wang derma hartawan Arab namun setelah disiasat, didapati wang itu datang dari tabung pencen rakyat.

    “Sebab itu rakyat tidak boleh lagi mempercayai penafian kosong menteri-menteri UMNO kerana rekod yang telah ada setakat ini,” katanya.

    Mengulas lanjut Rafizi berkata, jika Dr Abd Latiff tiada kaitan dengan Zainab Mohd Salleh dan beliau atau keluarganya tidak terlibat dengan kontrak projek LCS, beliau diminta mengambil tindakan saman.

    Katanya, saman serta merta itu perlu dibuat Dr Abd Latiff ke atasnya, Boustead Heavy Industries Corporation (BHIC) yang mengarahkan audit forensik LCS dan juruaudit Alliance IFA (M) Sdn Bhd.

    “Jika ini tidak diambil pada kadar segera, maka saya yakin Dr Abd Latiff akan mengheret partinya Bersatu ke kancah kekalahan dalam PRU-15 kerana rakyat akan menghukum parti-parti yang melindungi watak-watak yang terlibat di dalam skandal LCS ini,” katanya.

    Rafizi sebelum ini memetik audit forensik itu yang menyebut bahawa Zainab Mohd Salleh ialah isteri Latiff, yang berkhidmat sebagai timbalan menteri pertahanan sebelum ini.

    Latiff hari ini sekali lagi menegaskan bahawa dia tiada isteri yang bernama Zainab.

    “Isteri atau Isteri-isteri saya tiada yang bernama Zainab binti Salleh,” katanya di Fcaebook.

  • Polis rekod keterangan guru buat kecoh di mahkamah

    Polis rekod keterangan guru buat kecoh di mahkamah

    POLIS telah merakam keterangan seorang lelaki yang membuat kecoh semasa perbicaraan kes Datuk Seri Najib Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur semalam.

    Keterangan guru lelaki disyaki mempunyai masalah mental itu direkod pihaknya pada pukul 9.30 malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya telah datang ke rumah lelaki itu di Serendah, Hulu Selangor sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul untuk dirakam keterangan.

    “Pada masa sama, ahli keluarganya ada menunjukkan kad perubatan individu itu yang menunjukkan dia mempunyai masalah mental.

    “Tiada sebarang rampasan dibuat berkenaan kes itu,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Pihaknya akan melengkapkan kertas siasatan kes berkenaan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut.

    Media semalam melaporkan, seorang guru disyaki mempunyai masalah mental hadir pukul 12.10 tengah hari untuk mendengar prosiding perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak di aras empat mahkamah tersebut sebelum membuat kecoh di pekarangan pintu masuk.

    Petugas tidak membenarkan lelaki berkenaan memasuki kamar mahkamah kerana tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kes tersebut dan mengarahkannya untuk beredar secara baik.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 290 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan mudarat awam dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil kerana memberi ucapan dengan niat mengganggu keamanan.

    Lelaki tersebut dibawa keluar pihak polis selepas lima minit membuat bising di lobi kompleks mahkamah itu.

  • Penghantar makanan ditetak buruh dengan parang

    Penghantar makanan ditetak buruh dengan parang

    SEORANG penghantar makanan diserang dan ditetak seorang lelaki yang menuntut hutang bayaran kerja dengannya menggunakan parang dalam kejadian di Jalan Mulia 1/1, Taman Mulia Jaya, di Ampang Jaya, semalam.

    Ketika kejadian, mangsa yang berusia 41 tahun bersama rakannya berada di sebuah kedai di lokasi kejadian pukul 7.10 malam.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, mangsa kemudian melihat suspek memegang parang panjang lalu mengejarnya sebelum ditetak menggunakan senjata itu.

    “Kejadian itu menyebabkan mangsa cedera di bahagian lengan kiri serta kaki kanan dan mendapatkan rawatan di Hospital Ampang,” katanya.

    “Kejadian itu dipercayai berlaku kerana mangsa menuntut hutang bayaran kerja daripada suspek menyebabkannya tidak berpuas hati dengan tuntutan terbabit,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Mohamad Farouk berkata, susulan itu, pihak polis menahan seorang lelaki berusia 37 tahun yang berkerja sebagai buruh di Taman Dagang, di Ampang Jaya, kira-kira pukul 11 malam tadi.

    “Kami turut merampas parang yang digunakan dalam kejadian itu. Semakan dilakukan mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah,” katanya.

    Katanya, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

  • Jalan sesak setelah “Pendekar” alami kerosakan

    Jalan sesak setelah “Pendekar” alami kerosakan

    GARA-GARA sebuah kereta kebal milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) rosak, aliran trafik di Jalan Damansara, Kuala Lumpur pagi ini sesak.

    Namun kesesakan bersifat sementara itu berjaya dikawal anggota polis trafik yang mengawal lalu lintas.

    Kereta kebal jenis PT-91M atau lebih dikenali sebagai “Pendekar” itu mengalami kerosakan ketika berada di lorong tengah hingga menghlang laluan.

    Kesesakan itu dimaklumkan menerusi pusat Info Trafik Kuala Lumpur dalam ciapan di Twitter pada pukul 10.29 pagi.

    Beberapa anggota polis trafik membantu mengawal aliran trafik ketika proses pengalihan dilakukan.

    Setelah hampir sejam, kereta kebal berkenaan berjaya ditunda pasukan ATM.

    Kereta kebal buatan Poland seberat 45.9 tan itu merupakan antara kenderaan berperisai milik Kor Armor Diraja, Tentera Darat Malaysia.

  • Kastam rampas rokok seludup RM2 juta

    Kastam rampas rokok seludup RM2 juta

    JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Sabah menggagalkan cubaan menyeludup 100,5000 bungkus rokok tidak bercukai bernilai RM2 juta apabila menahan sebuah lori di Jalan Lama Penampang – Papar, Lebuh Raya Pan Borneo, di Kota Kinabalu, Sabtu lalu.

    Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah Cheong Yu Min berkata, pasukan penguatkuasaan daripada Cawangan Operasi Kota Kinabalu JKDM Zon Sabah turut menahan dua lelaki warga tempatan berusia 26 dan 62 tahun pada pukul 3.40 petang.

    “Bertindak atas maklumat awam dan risikan, menahan sebuah lori tiga tan disyaki membawa barang-barang tak berkastam di jalan berkenaan.

    “Hasil pemeriksaan lanjut ke atas lori yang ditahan mendapati bahawa dianggarkan sebanyak 100,500 bungkus rokok pelbagai jenama yang disyaki barang-barang tak berkastam ditemui dengan anggaran nilai selepas cukai RM2 juta.

    “Selain itu, dua suspek ditahan bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya dalam sidang media di Wisma Penguatkuasaan, Sepanggar, di Kota Kinabalu, hari ini, lapor Harian Metro.

    Katanya, siasatan awal mendapati rokok ini dipercayai untuk pasaran tempatan di Kota Kinabalu atau kemungkinan ke daerah lain.

    “Siasatan lanjut juga masih dijalankan untuk mengenal pasti sumber rokok seludup berkenaan,” katanya.

    Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

    JKDM menyeru orang awam memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau hadir ke mana-mana pejabat JKDM yang terdekat.

  • Tangani pusat kecantikan tidak berlesen, tidak bertauliah

    Tangani pusat kecantikan tidak berlesen, tidak bertauliah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    LEBIH 50 aduan diterima Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) berkenaan kegiatan menawarkan pelbagai perkhidmatan kecantikan dan kesihatan dengan harga lebih murah daripada pusat kecantikan berlesen serta bertauliah sejak 2016.

    Penolong Setiausaha Agung MTPN, Noorman Kamsani berkata, pusat kecantikan dan kesihatan yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan (KKM) itu kebanyakannya beroperasi di Kuala Lumpur dan Johor Bahru.

    “Pusat kecantikan dan kesihatan tidak berdaftar berkenaan mempromosikan perkhidmatan mereka melalui media sosial bagi menarik minat pelanggan yang mahu mendapatkan perkhidmatan tersebut.

    “Mereka menggunakan platform Wechat, Facebook selain Instagram bagi tujuan tersebut dan rata-rata pelanggan adalah wanita berusia 18 hingga 30 tahun. Pusat berkenaan tidak mempunyai kemahiran profesional serta tidak diiktiraf KKM.

    “Kita bimbang akan mendatangkan risiko kematian, kerosakan organ dan tubuh badan. Ada mangsa yang datang mengadu dengan MTPN kerana mengalami kesan sampingan dan merasa tertipu,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Anugerah Pilihan Pengguna Tahun 2022 di Taman Daya, Johor Bahru yang dianjurkan MTPN.

    Noorman Kamsani

    Katanya, antara perkhidmatan yang berikan seperti rawatan mencantikkan hidung, rawatan suntikan bagi membesarkan anggota badan tertentu, rawatan pemutihan gigi, suntikan vitamin C dan botoks serta perkhidmatan menguruskan badan.

    Menurut beliau, orang ramai biasanya tertarik kerana perkhidmatan yang ditawarkan murah serendah RM5,000 hingga RM30,000 mengikut pakej yang dimahukan.

    Sementara itu, beliau mengingatkan peniaga supaya tidak mengambil kesempatan membeli barang keperluan perniagaan mereka menerusi program jualan murah dianjurkan kerajaan khusus untuk meringankan beban golongan B40.

    Noorman menegaskan, perbuatan itu adalah tidak wajar dan pada masa sama kerajaan perlu juga meringankan beban peniaga menerusi mekanisme khusus kerana mereka kini menampung kos bahan mentah yang mahal.

    Selain itu katanya, MTPN ada menyumbangkan 1,000 bakul makanan kepada B40 di seluruh negara dan juga memberikan sumbangan pembinaan dewan serta dan surau di beberapa tempat dalam tahun ini.

    Mengenai keputusan unilateral kerajaan melarang produk merokok, termasuk vape dan rokok bagi mereka yang lahir selepas 2007, pihaknya menyokong usaha tersebut yang dibuat untuk keselamatan dan kesihatan generasi akan datang.

  • Penjawat awam rugi RM429,000 diperdaya ‘pegawai pos’

    Penjawat awam rugi RM429,000 diperdaya ‘pegawai pos’

    SEORANG penjawat awam di Arau kerugian RM429,000 apabila diperdaya sindiket penipuan Macau Scam yang menyamar sebagai ‘pegawai’ daripada Pos Malaysia Berhad kira-kira empat bulan lalu.

    Pihak polis menerima laporan daripada mangsa yang juga seorang wanita berusia 50 tahun berkaitan kejadian itu pada Rabu lalu.

    Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md. Rodi berkata, mangsa menerima panggilan telefon daripada nombor talian tidak dikenali di mana seorang individu dalam talian itu memperkenalkan diri sebagai ‘pegawai’ pos pada 24 Mei lalu.

    “‘Pegawai’ Pos Malaysia Berhad itu memberitahu mangsa bahawa terdapat satu bungkusan mengandungi barang terlarang iaitu sekeping kad pengenalan dan lima keping kad bank didaftarkan atas nama mangsa untuk dihantar ke Sabah.

    “Bagaimanapun, mangsa menafikan berkenaan hal ini dan diminta untuk membuat laporan polis apabila panggilan telefon disambungkan ke sebuah balai polis di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

    Katanya, selepas panggilan itu disambungkan, mangsa terkejut apabila diberitahu bahawa nama dan nombor kad pengenalannya didapati terbabit dalam kes jenayah pengubahan wang haram dan mangsa diminta untuk membuat beberapa kali transaksi bayaran bagi menyelesaikan kes.

    Disebabkan takut dengan situasi yang berlaku, beliau berkata, mangsa yang percaya dengan dakwaan itu kemudian membuat 10 kali transaksi bayaran dari 27 Jun hingga 30 Julai lalu ke beberapa akaun bank yang diberikan.

    “Mangsa menyedari dirinya tertipu dan rugi sebanyak RM429,000 sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Arau pada Rabu lalu,” katanya.

    Ahmad Mohsin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan pihaknya giat mengesan suspek.