Author: Wartawan WartaRakyat

  • Pesara tentera mati terkena 13 das ditembak rakan sendiri

    Pesara tentera mati terkena 13 das ditembak rakan sendiri

    PESARA tentera maut dipercayai ditembak rakan sendiri ketika keluar memburu babi hutan di kawasan hutan perkuburan lama Kampung Giam, di Kuching, semalam.

    Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, mangsa, Gadin ak Gambong, 64, maut di tempat kejadian selepas terkena 13 das tembakan.

    “Mangsa bersama-sama adiknya serta dua rakan keluar berburu pada 8 pagi di hutan itu dengan membawa anjing.

    “Pada pukul 11.30 pagi, mereka mengesan babi hutan pada jarak satu kilometer dan mengejarnya dengan bantuan anjing itu.

    “Dua pemburu membawa anjing bagi mengepung binatang tersebut, manakala mangsa dan seorang lagi rakan menunggu di tempat jangkaan binatang buruan akan keluar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, pada pukul 11.45 pagi, suspek berusia 70 tahun ternampak pergerakan seperti binatang dan dalam jarak 20 meter dan melepaskan tembakan.

    “Menyangka binatang tersebut seperti mahu melarikan diri, suspek sekali lagi melepaskan tembakan kedua,” katanya.

    Abang Zainal Abidin berkata, apabila suspek menghampiri dia mendapati bahawa telah tertembak rakannya dan menjerit bagi memanggil rakan lain untuk memaklumkan kejadian.

    “Seorang rakan berlari keluar dari hutan itu dan menghubungi anak mangsa untuk memaklumkan perkara itu kepada polis,” katanya.

    Menurutnya, siasatan mendapati suspek mempunyai lesen sah membeli dan memiliki senjata itu, namun ia telah tamat tempoh sejak 30 Jun 2012.

    Katanya, suspek dan dua rakan ditahan untuk siasatan lanjut dan tiga laras senapang patah, dua kelongsong peluru telah digunakan tertera GB Buckshot dan sebutir peluru jenama Sellier dan Bellot 12 dirampas.

    “Pemeriksaan awal forensik mendapati jarak suspek dengan mangsa dalam tembakan pertama adalah kira-kira 16 meter, manakala tembakan kedua dilepaskan daripada jarak tiga meter.

    “Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Umum Sarawak(HUS) untuk tindakan lanjut, sementara kes disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960,” katanya memetik laporan Harian Metro.

  • Kantoi sorok 82 PATI bawah timbunan barangan syarikat kurier

    Kantoi sorok 82 PATI bawah timbunan barangan syarikat kurier

    JABATAN Imigresen Selangor berjaya mematahkan cubaan menyorok pendatang asing tanpa izin (PATI) di bawah timbunan barangan terbongkar dalam serbuan di sebuah syarikat kurier di Shah Alam, Rabu lalu.

    Jabatan Imigresen Selangor dalam satu kenyataabn memberitahu, seramai 106 individu yang bekerja sebagai pekerja am dan tukang susun barangan untuk penghantaran di syarikat berkenaan telah diperiksa dalam operasi pada jam 11.40 pagi.

    “Hasil pemeriksaan seramai 71 lelaki dan 10 wanita warga Myanmar serta seorang lelaki warga India berusia 17 hingga 50 tahun telah ditahan dalam operasi tersebut,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Tambah kenyataan itu, berkemungkinan ada ejen yang menyeludup PATI dari Myanmar melalui utara tanah air untuk dijadikan sebagai pekerja kilang.

    “Kesemua 82 PATI telah ditahan reman selama 14 hari bagi membantu siasatan.

    “Kes disiasat mengikut seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(c) akta yang sama dan Peraturan 39(B), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

  • Pejuang belum tentukan calon PRU-15 di Perak, kata Tun M

    Pejuang belum tentukan calon PRU-15 di Perak, kata Tun M

    PENGERUSI Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, parti itu masih belum memutuskan calon mereka yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) di Perak.

    “Keputusan itu hanya akan dibuat apabila hampir pilihan raya. Kita akan membuat penilaian terlebih dahulu terhadap calon-calon yang sesuai.

    “Kita membuat penilaian nak tahu di mana orang ini kuat, di mana orang itu kuat. Kita tak nak letak calon hanya kerana nak letak calon.

    “Kita nak pilih calon yang baik yang boleh diri kerajaan, bukan calon tak tahu kerja sama sekali,” katanya ketika ditemui selepas Perasmian Jelajah Sayang Bangsa di Jalan Pasir Putih, di Ipoh malam tadi.

    Dalam ucapannya, beliau menjelaskan tujuan penubuhan Pejuang dan Gerakan Tanah Air yang antara lain untuk mengembalikan Malaysia ke landasan yang betul.

    Selain itu, katanya, mereka juga mahu mewujudkan sebuah kerajaan yang bersih untuk semua kaum di negara ini, lapor Astro Awani.

  • PRU-15:Warisan mulakan jelajah bulan depan

    PRU-15:Warisan mulakan jelajah bulan depan

    PRESIDEN Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal akan melakukan jelajah ke seluruh kawasan Parlimen di negeri ini termasuk Labuan bermula bulan hadapan.

    Menurut beliau, tujuannya bagi memastikan kesiapsiagaan Warisan berhadapan dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) perlunya lawatan seperti yang dilakukan pada PRU-14.

    “Jangan tunggu pilihan raya diadakan bulan Oktober atau November, jangan tunggu pilihan raya diadakan tahun depan. Kembali ke kawasan masing-masing pastikan kesiapsiagaan kita berhadapan dengan pilihan raya.

    “Saya akan menjelajah, saya akan mulakan lawatan saya dari Kalabakan ke Tawau, ke Lahad Datu sampai ke Labuan macam PRU14 mulai bulan depan. Selepas itu, saya akan ulangi dari Kalabakan sampai ke Labuan,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan Presiden pada Perhimpunan Agung Tahunan dan Pemilihan Parti Warisan 2021 di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) di Penampang, malam tadi.

    Katanya lagi, siri jelajah itu sudah pun dimaklumkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi yang diadakan sebelum ini bagi mendapatkan respons daripada akar umbi parti.

    “Saya akan buat lawatan secara mengejut, tidak maklumkan pimpinan bahagian-bahagian, saya mahu tahu cerita orang kampung kepada saya,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Sebelum itu, dalam ucapan beliau sekali lagi menegaskan mahu supaya Rang Undang-Undang (RUU) Akta Anti Lompat diwujudkan semula di Sabah seperti yang diluluskan di dalam Parlimen baru-baru ini.

    “Kalau benar mereka mahu mengamalkan politik yang bersih, politik yang tidak ingin ‘lompat’ sana, ‘lompat’ sini, sudah ada pun RUU yang diluluskan.

    “Sabah sudah ada undang-undang musim Parti Bersatu Sabah (PBS), tahun 1985 sudah digubal RUU Anti Lompat tapi RUU itu dibatalkan pada tahun 1995,” katanya.

  • Ahli Parlimen Lahad Datu sertai PBM

    Ahli Parlimen Lahad Datu sertai PBM

    AHLI Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi hari ini mengumumkan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

    Pengumuman itu dibuat selepas kira-kira dua bulan mengambil keputusan keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    Beliau membuat pengumuman itu dengan dihadiri oleh Presiden PBM, Datuk Larry Sng Wei Shien yang juga Ahli Parlimen Julau dan Presiden Parti Kuasa Rakyat, Kamaruzaman Yaakob.

    “Hari ini saya mengumumkan secara rasmi bahawa saya kini dan juga rakan-rakan dari Lahad Datu menyertai PBM.

    “Saya juga berasa berbesar hati kerana Presiden PBM, Datuk Larry turut serta bersama kita bersama Kamurazaman sebagai Presiden Parti Kuasa Rakyat,” katanya dalam sidang akhbar di Kota Kinabalu, hari ini, lapor Sinar Harian.

  • PRU-15 penting dalam pastikan negara di landasan betul, pesan Tun M

    PRU-15 penting dalam pastikan negara di landasan betul, pesan Tun M

    PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah penting bagi memastikan negara kembali berada di landasan yang betul, kata Tun Dr. Mahathir Mohamad.

    “Jika gagal, dibimbangi penyalahgunaan kuasa yang berlaku sebelum ini akan berterusan. Malaysia boleh melakukannya kerana telah menunjukkan kepada dunia, daripada sebuah negara miskin, membangun menjadi Harimau Asia.

    “Itu kejayaan kita, Malaysia boleh, kita boleh, orang Melayu boleh. Tetapi kalau dapat penyangak sebagai pemimpin, segala-galanya tak boleh.

    “Sebab itulah kita jangan salah gunakan kuasa kita, kuasa mengundi. Apabila kita ada pilihan raya, undilah parti yang baik dan tolaklah parti penyangak, parti yang menipu, yang mencuri duit dan sebagainya,” kata Dr. Mahathir.

    Beliau yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berkata demikian ketika berucap pada Perasmian Jelajah Sayang Bangsa di Jalan Pasir Putih, di Ipoh, malam tadi, lapor Astro Awani.

    Menurut beliau, pihaknya akan mendedahkan lebih banyak kesalahan yang dilakukan kerajaan sekarang dengan buktinya sekali.

    Beliau berharap mereka akan dihadapkan ke mahkamah dan menerima hukuman yang sewajarnya.

    Katanya, parti Pejuang dan Gerakan Tanah Air akan terus berjuang untuk semua rakyat Malaysia, termasuk kaum-kaum lain di negara ini.

  • Pejabat PKR Johor Bahru terbakar, dipercayai perbuatan khianat

    Pejabat PKR Johor Bahru terbakar, dipercayai perbuatan khianat

    Oleh ABU UBADILLAH RAHMAN

    PEJABAT Parti Keadialan Rakyat (PKR) Cabang Johor Bahru di Taman Larkin, Johor Bahru terbakar dalam kejadian pada tengah malam tadi.

    Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir memaklumkan perkara tersebut dalam ciapan dalam tweeter miliknya pada pagi ini.

    “Satu kejadian kebakaran telah berlaku di Pejabat Cabang KEADILAN Johor Bahru lewat malam/awal pagi tadi.

    “Berdasarkan maklum balas awal, terdapat unsur-unsur khianat dan sabotaj.

    “Insyallah, saya akan adakan sidang media di tempat kejadian jam 3 petang ini,” katanya menerusi ciapan tersebut.

  • Kes Ebit Lew dibicara 27 Sept depan

    Kes Ebit Lew dibicara 27 Sept depan

    POLIS Bukit Aman mengesahkan prosiding perbicaraan membabitkan pendakwah terkenal, Ebit Irawan Ibrahim atau Ebit Lew akan bermula 27 hingga 30 September depan di Mahkamah Majistret Tenom, Sabah.

    Memetik laporan Berita Harian, Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Asisten Komisioner Skandaguru Anandan berkata, Ebit Lew didakwa atas 11 pertuduhan gangguan seksual di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

    “Beliau akan dibicarakan pada 27 hingga 30 September di mahkamah yang sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Februari lalu, Ebit Lew mengaku tidak bersalah di Mahkamah Litar Tenom atas 11 pertuduhan berkaitan gangguan seksual.

    Ebit, 37, didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya dalam semua 11 pertuduhan terbabit.

    Ebit dibebaskan dengan jaminan RM1,000 bagi setiap pertuduhan dan dua penjamin.

    Pada 18 Februari lalu, Ebit Lew, yang juga seorang usahawan didakwa di Mahkamah Majistret Tenom terhadap 11 pertuduhan berkaitan gangguan seksual.

    Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan, sebelum ini dilaporkan berkata, Ebit Lew berdepan pertuduhan membuat penghantaran gambar dan perkataan lucah dengan bermaksud mengaibkan kehormatan seseorang melalui aplikasi WhatsApp.

    Katanya, semua pertuduhan adalah bagi kesalahan yang didakwa berlaku di daerah Tenom, Sabah, di antara Mac hingga Jun 2021 terhadap seorang perempuan Melayu.

    Pada Julai tahun lalu, siasatan terhadap Ebit Lew dilakukan selepas polis menerima laporan daripada beberapa individu mendakwa pendakwah itu melakukan gangguan seksual.

    Susulan laporan itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    Ebit Lew dirakam percakapan bagi membantu siasatan pada Ogos dan Oktober tahun lalu dan beliau berkata, dakwaan itu berunsur fitnah kejam ke atas dirinya.

  • Jangan biarkan ‘kleptokrat’ kembali berkuasa – Muhyiddin

    Jangan biarkan ‘kleptokrat’ kembali berkuasa – Muhyiddin

    KESEMUA  ahli dan pimpinan Perikatan Nasional (PN) perlu memastikan rakyat tidak memilih Barisan Nasional (BN), sehingga membiarkan golongan ‘kleptokrat’ kembali mentadbir negara, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Pengerusi PN yang juga bekas Perdana Menteri itu berkata, ketika ini parti yang beliau pimpin mempunyai peluang untuk cemerlang dalam pilihan raya umum akan datang.

    Tegasnya lagi, jika dibiarkan BN menang, maka pengalaman lalu akan berulang termasuk urus tadbir negara yang ‘amat merosakkan’.

      “This is going to be a very big challenge… satu cabaran yang besar. Yang akan kita hadapi kerana apa yang disebut Ketua Pemuda kita tadi, dia kata… kita kalau boleh sebaik mungkin ada pertandingan satu lawan satu.

    “Tetapi soal berbangkit siapa yang satu itu dan siapa satu lagi. Kerana di hadapan kita bukan satu atau dua, ada tiga, empat dan lima (gabungan parti).

    “Kalau formula is one vs one, siapa nak bergabung dengan kita untuk satu lawan satu. Ada kata yang satu itu BN. Tetapi kita nak tentukan BN jangan menang dan biarkan kleptokrasi jangan kembali urus dan tadbir negara, kerana pengalaman lalu amat merosakkan,” katanya ketika menyampaikan ucapan penutup sempena Konvensyen PN 2022, di sini, hari ini.

    Muhyiddin berkata, sama ada soalnya satu lawan satu atau satu lawan lima (penjuru), PN akan menentang siapa sahaja lawannya dan memastikan sokongan berpihak kepada mereka.

    Pada sidang media selepas itu, , Muhyiddin berkata, selaku Pengerusi PN, beliau memberikan kata putus untuk bergabung atau tidak dengan mana-mana parti.

    “Saya tak kata nak gabung dan tak gabung. Tapi idea itu disuarakan Ketua Pemuda PN, walaupun sebelum itu beberapa bulan lalu ada orang kata reaksi dari pelbagai pihak parti selain dalam PN, yang menyuarakan kemungkinan gabungan.

    “Saya sedar, ia bukan satu perkara yang mudah, tetapi kalau itu menjadi formula untuk kita mengalahkan BN, apa cara kita boleh kompromi, bukan semata-mata soal prinsip, tetapi juga amalan,” katanya lagi.

    Beliau turut menegaskan, penggunaan  satu logo PN pada PRU-15 adalah jalan terbaik bagi parti itu, kata Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Beliau menambah, ia terbukti dengan peningkatan peratus undi dan sokongan terhadap parti itu di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

    “Memang ada cadangan penggunaan logo masing-masing di PRU-15 nanti, contohnya penggunaan logo Pas di Terengganu. Tetapi bagi saya jalan yang terbaik adalah penggunaan satu logo, iaitu logo PN,” katanya ketika ditanya isu penggunaan logo PN pada PRU-15 nanti.

  • 15 Ketetapan Konvensyen Perikatan Nasional 2022

    15 Ketetapan Konvensyen Perikatan Nasional 2022

    Bahawasanya Parti Perikatan Nasional dengan penuh kesungguhan dan iltizam, kea rah mewujudkan kerajaan yang Prihatian Rakyat dan Berintegriti serta Malaysia yang sejahtera, mendokkong ucapan dasar Pengerusi Perikatan Nasional dan telah merumuskan ketetapan seperti berikut;

    1) Menjadikan prinsip PRIHATIN RAKYAT, BERINTEGRITI DAN BEBAS RASUAH sebagai landasan utama perjuangan Perikatan Nasional;

    2) Memperkukuh kesatuan antara parti-parti anggota Perikatan Nasional dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke- 15 (PRU-15) untuk menjadikan PN sebagai parti pilihan rakyat;

    3) Menghormati Perlembagaan Persekutuan sebagai bimbingan Kerajaan dalam menjunjung kemuliaan institusi Raja- Raja Melayu, kebebasan badan kehakiman dan kedaulatan undang-undang;

    4) Memperkukuh hubungan persaudaraan antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak dengan terus menghormati Perjanjian Malaysia 1963 serta menyeimbangkan pembangunan negara secara holistik dan menyeluruh dengan mengoptimumkan potensi ekonomi dan sosial setiap negeri di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak;

    Block B4, Level 3, Solaris Dutamas Publika, No. 1, Jalan Dutamas 1, 50480 Kuala Lumpur

      5) Memperkukuh hubungan antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri berlandaskan prinsip Federalisme yang berpandukan Perlembagaan Persekutuan;

    6) Membangunkan ekonomi berimpak tinggi untuk meningkatkan pendapatan rakyat dan seterusnya menjadikan Malaysia sebagai negara maju, makmur dan sejahtera;

    7) Memperkasa masyarakat majmuk dengan berlaku adil dan prihatin kepada semua rakyat tanpa mengira kaum, agama dan golongan termasuk Melayu, Cina, India, Sikh, Kadazan, Dusun, Iban, Murut, orang asal, warga emas, wanita, belia, kanak-kanak dan warga OKU;

    8) Memelihara khazanah negara dan melindungi alam sekitar termasuk hutan, sumber mineral dan sungai daripada ancaman kerakusan bagi mengelakkan ketirisan hasil dan kejadian bencana;

    9) Meningkatkan kecekapan tadbir urus kewangan dan penyampaian perkhidmatan institusi-institusi Kerajaan tanpa campur tangan politik atau salah guna kuasa;

    10) Menubuhkan agensi sehenti tunggal (single one stop agency) jaringan sosial rakyat bagi menyelaras pemberian bantuan kebajikan, penyediaan peluang kerjaya, peningkatan kemahiran, pembasmian kemiskinan yang menyeluruh serta pengukuhan kegiatan ekonomi sara diri, termasuk golongan anak muda dan wanita;

     11) Meningkatkan ketersambungan infrastruktur dan infostruktur digital ke seluruh pelusuk negara bagi memperkasa masyarakat bermaklumat dan berpengetahuan;

    12) Memajukan sektor pendidikan dengan digitalisasi, mengurangkan jurang pencapaian pendidikan bandar dan luar bandar, mempercepat penyediaan dan pembaikan infrastruktur serta memperkukuhkan ekosistem pendidikan, termasuk kurikulum bagi memperkasa kemenjadian murid;

    13) Memperkasa peluang melanjutkan pelajaran dan TVET serta menyediakan pekerjaan berpendapatan tinggi bagi anak muda dan wanita serta menampilkan calon-calon boleh menang dalam kalangan wanita dan anak muda dengan kuota sekitar 30% untuk PRU-15;

    14) Memastikan calon Perikatan Nasional bersih, berintegriti dan bebas rasuah dengan mewajibkan mereka melepasi tapisan SPRM, PDRM dan LHDN serta mengisytihar harta dan tiada kes mahkamah seterusnya membuat aku janji untuk menolak jenayah rasuah dan salah guna kuasa; dan

    15) Mempersiap siaga seluruh jentera parti di setiap kawasan Parlimen dan DUN di seluruh negara untuk meraih kemenangan dalam PRU-15 serta mematuhi segala keputusan yang dibuat oleh Majlis Pimpinan Tertinggi Perikatan Nasional berhubung PRU-15.