PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah penting bagi memastikan negara kembali berada di landasan yang betul, kata Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Jika gagal, dibimbangi penyalahgunaan kuasa yang berlaku sebelum ini akan berterusan. Malaysia boleh melakukannya kerana telah menunjukkan kepada dunia, daripada sebuah negara miskin, membangun menjadi Harimau Asia.

“Itu kejayaan kita, Malaysia boleh, kita boleh, orang Melayu boleh. Tetapi kalau dapat penyangak sebagai pemimpin, segala-galanya tak boleh.

“Sebab itulah kita jangan salah gunakan kuasa kita, kuasa mengundi. Apabila kita ada pilihan raya, undilah parti yang baik dan tolaklah parti penyangak, parti yang menipu, yang mencuri duit dan sebagainya,” kata Dr. Mahathir.

Beliau yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berkata demikian ketika berucap pada Perasmian Jelajah Sayang Bangsa di Jalan Pasir Putih, di Ipoh, malam tadi, lapor Astro Awani.

Menurut beliau, pihaknya akan mendedahkan lebih banyak kesalahan yang dilakukan kerajaan sekarang dengan buktinya sekali.

Beliau berharap mereka akan dihadapkan ke mahkamah dan menerima hukuman yang sewajarnya.

Katanya, parti Pejuang dan Gerakan Tanah Air akan terus berjuang untuk semua rakyat Malaysia, termasuk kaum-kaum lain di negara ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here