Author: Wartawan WartaRakyat

  • ‘Tunggu…tunggu’ kata PM mengenai PRU-15

    ‘Tunggu…tunggu’ kata PM mengenai PRU-15

    DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob enggan mengulas mengenai spekulasi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) didakwa diawalkan susulan perbincangan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam tadi.

    Perdana Menteri meminta semua supaya menunggu mengenai tarikh pilihan raya umum itu.

    “Tunggu…tunggu,” katanya ringkas ketika ditanya mengenai pembubaran Parlimen bagi memberi laluan PRU-15 diadakan, lapor BH Online.

    Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada Taklimat Khas Presiden di hadapan lebih 2,000 ahli parti itu berkata, MKT akan berbincang mengenai desakan supaya PRU-15 diadakan segera.

    Namun, MKT yang bermesyuarat malam tadi masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung hasil mesyuarat terbabit setakat ini.

    Media sebelum ini melaporkan Bajet 2023 yang sepatutnya dibentangkan pada 28 Oktober ini akan dibentang tiga minggu lebih awal.

    Ia dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada 7 Oktober ini, selepas diputuskan dalam Mesyuarat Kabinet Jumaat lalu.

    Perkara itu disahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

    Beliau turut mengesahkan perjalanan Takwim Dewan Rakyat yang menggariskan mesyuarat ketiga penggal kelima bermula Oktober ini juga diawalkan.

    Perkembangan itu membuka spekulasi bahawa PRU-15 mungkin diadakan dalam masa terdekat.

  • Akmal Nasrullah dakwa terima ugutan sebelum pejabat PKR JB dibakar

    Akmal Nasrullah dakwa terima ugutan sebelum pejabat PKR JB dibakar

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    AHLI Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir mendedahkan menerima pesanan suara berbaur ugutan pada Khamis dan Jumaat lalu.

    Dakwanya, ugutan itu diterima melalui peti mesej Facebook dipercayai mempunyai kaitan dengan insiden kebakaran bangunan Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Johor di Larkin Idaman, Johor Bahru, awal pagi ini.

    “Individu tersebut telah menghantar satu mesej bertulis dan 27 mesej suara berbaur ugutan, bahasa kesat serta makian.

    “Mesej itu saya sedari hari ini. Terdapat suara lelaki dan berdasarkan percakapan daripada mesej itu, dia merujuk kepada kes yang berlaku di mahkamah minggu lepas.

    “Saya telah pergi ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan hari ini untuk membuat laporan terhadap kejadian ugutan tersebut. Saya sudah serahkan kepada polis untuk siasatan lanjut,” katanya di Pejabat PKR Cabang Johor Bahru, hari ini.

    Pejabat PKR Cabang Johor Bahru di Johor Bahru terbakar hampir 10 peratus dalam kejadian pada pagi tadi.

    Kejadian yang dipercayai berlaku kira-kira pukul 6 pagi mengakibatkan bahagian pintu ‘roller shutter’ di hadapan pejabat itu rosak teruk selain kesan asap dan debu kelihatan di luar dan dalam bangunan.

    Berkenaan insiden itu, Akmal Nasir berkata, hasil pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) premis berhampiran dan tinjauan di tempat kejadian mempercayai kebakaran dimulakan dengan lima biji tayar dibakar depan pintu pejabat itu.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan ada menerima laporan berhubung dua kejadian berkenaan.

    Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api atau bahan letupan dengan niat hendak membinasakan rumah dan sebagainya.

    “Laporan polis berhubung kes ugutan baharu diterima dan kita akan membuka siasatan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

  • RUU Antilompat dibentang di sidang DUN Khas Sabah dalam waktu terdekat – Hajiji

    RUU Antilompat dibentang di sidang DUN Khas Sabah dalam waktu terdekat – Hajiji

    KERAJAAN Sabah akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) pindaan perlembagaan berkaitan antilompat parti pada persidangan khas Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam masa terdekat.

    Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Kabinet Negeri bersetuju untuk membawa perkara itu ke Persidangan DUN selepas Dewan Rakyat meluluskan pindaan perlembagaan yang menghalang wakil rakyat bertukar parti, baru-baru ini.

    Katanya, langkah itu sejajar komitmen kerajaan negeri untuk mewujudkan kestabilan politik di Sabah setelah sekian lama berdepan keadaan politik yang tidak menentu.

    “Kita menyokong anti lompat parti dan kita akan bentangkan di DUN tidak lama lagi. Apa yang berlaku dulu itu, dululah, sekarang kita mahukan kestabilan politik di Sabah.

    “Kabinet sudah bersetuju untuk membawa pindaan perlembagaan itu pada persidangan khas DUN untuk mewujudkan anti lompat parti supaya kita boleh tidur lena.

    “Tidak lagi kena jaga sana sini, lompat sana sini. Apa yang lepas cukuplah, kita mahu kestabilan politik,” katanya ketika melancarkan Program Jelajah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Parlimen Keningau Di Dewan Masyarakat Keningau, pada Ahad, seperti dilaporkan Astro Awani.

    Jelajah pertama GRS selepas dilancarkan pada Mei lalu itu turut dihadiri pemimpin tertinggi parti komponen GRS daripada Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).

    Beliau berkata, satu lagi pencapaian kerajaan negeri ialah penyerahan kuasa kawal selia tenaga elektrik dan bekalan gas daripada kerajaan Persekutuan kepada negeri selewat-lewatnya tahun hadapan.

    Menurutnya, agensi-agensi berkaitan dalam kerajaan Persekutuan dan negeri sedang membuat tindakan susulan untuk persiapan dari aspek teknikal dan perundangan kerana hala tuju ini akan melibatkan proses perundangan di kedua-dua peringkat iaitu Parlimen dan DUN Sabah.

    Katanya, sebagai persiapan kerajaan Negeri akan menubuhkan Suruhanjaya Tenaga Negeri Sabah.

  • PRU-15:Belum tentu Rafizi bertanding di Johor

    PRU-15:Belum tentu Rafizi bertanding di Johor

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PELANTIKAN Rafizi Ramli sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Johor pada 4 Ogos lalu bukan penentu untuk Timbalan Presiden PKR itu untuk bertanding di Johor pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

    Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, perkara itu juga masih belum diputuskan dan ketika ini bekas Ahli Parlimen Pandan itu bukan sahaja Pengerusi MPN di Johor tetapi juga di Wilayah Persekutuan.

    “Keputusan parti meletakkan Timbalan Presiden dan Naib-Naib Presiden memimpin PKR negeri adalah langkah strategik yang diambil selepas pemilihan parti baru-baru ini.

    “Langkah ini dibuat supaya segala arahan, maklumat dan gerak kerja strategik negeri akan dimaklumkan terus daripada peringkat pusat ke negeri,” katanya.

    Beliau yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata demikian kepada pemberita di Pejabat PKR Cabang Johor Bahru, di Taman Larkin, Johor Bahru, hari ini.

    Dalam pada itu, beliau berkata, MPN Johor akan mengadakan mesyuarat pada Rabu ini bagi membincangkan persiapan menghadapi PRU-15.

    Katanya, Rafizi akan mengetuai mesyuarat yang turut disertai ketua cabang, pimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK) negeri dan Ketua Wanita PKR negeri.

    Akmal Nasrullah Nasir berkata, itu merupakan pertemuan rasmi pertama Rafizi dengan jentera PKR negeri.

    “Sebelum ini ia dilakukan secara maya, kami sudah menyatakan susunan kepimpinan di peringkat negeri yang akan dibentuk nanti.

    “Saya jangka mesyuarat itu nanti lebih khusus bincang persiapan menghadapi PRU-15. Timbalan Presiden akan ambil maklum balas daripada kepimpinan cabang dan negeri yang akan dibentuk dalam soal rundingan agihan kerusi,” katanya.

    Dalam pada itu, Akmal Nasrullah berkata, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai pengaruh bukan sahaja di kerusi tradisinya.

    “Jika betul tempat dan tujuannya, Insya-Allah beliau (Anwar) mampu memberi kemenangan kepada PKR. Dari segi sejarahnya Anwar bertanding di Permatang Pauh, namun kini di Port Dickson.

    “Ia membuktikan pengaruh Anwar bukan sahaja di kawasan tradisinya,” katanya.

    Pada 11 Ogos Anwar yang merupakan Ketua Pembangkang dilaporkan masih mengkaji beberapa cadangan berkaitan kerusi bakal ditandingi beliau pada PRU-15

    Katanya, terdapat beberapa negeri yang dicadangkan untuk beliau bertanding antaranya Perak, Johor dan Pulau Pinang.

    Namun beliau menafikan sudah membuat ketetapan untuk memilih Parlimen Tambun sebagai kawasan untuk bertanding pada PRU akan datang.

  • Konvensyen PN bukti komitmen bawa aspirasi rakyat

    Konvensyen PN bukti komitmen bawa aspirasi rakyat

    KONVENSYEN Perikatan Nasional (PN) yang berlangsung di Maeps, Serdang, semalam disifatkan menjadi bukti bahawa gabungan parti berkenaan komited dalam merealisasikan aspirasi rakyat di negara ini.

    Ketua Penerangan PN Wilayah Persekutuan, Mahathir Mohd. Rais berkata, konvensyen yang bertemakan mengangkat suara rakyat bakal menjadi salah satu penentu keberkesanan strategi yang sedang dilaksanakan.

    Katanya, menerusi ucapan dasar Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu parti itu bergerak seiring kehendak universal dengan menjamin wujudnya keadilan dan ketelusan sekaligus membina keyakinan rakyat dalam memilih pemimpin.

    “Pemimpin yang dipilih mewakili mereka perlu mengutamakan pembangunan yang lestari dengan mengambilkira konsep pengagihan kekayaan negara secara adil dan saksama,” katanya dalam satu kenyataan.

    Selain itu katanya, menerusi perbahasan perwakilan PN Wilayah Persekutuan, Kapten (B) Suhaimi Yahya menggesa Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk mewujudkan badan khas bagi mengesan pelajar pelajar kurang berkemampuan yang cemerlang untuk dibantu.

    “Penekanan ini adalah selaras dengan dasar penubuhan MRSM untuk memberi peluang kepada pelajar Bumiputera bandar dan luar bandar yang cemerlang untuk mendapat pendidikan yang berkualiti.

    “MARA harus proaktif dalam usaha memastikan para pelajar cemerlang berlatarbelakangkan keluarga berpendapatan rendah (B40) dan berpendapatan pertengahan (M40) terutamanya dari luar bandar diberi keutamaan untuk mendapat pendidikan menengah terbaik di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM),” katanya.

    Antara lain katanya, PN Wilayah Persekutuan turut mencadangkan kerajaan tubuhkan perbadanan perumahan mampu milik kebangsaan yang berperanan untuk merancang, menyelaras dan melaksana plan tindakan serta cadangan perumahan mampu milik di kawasan bandar.

    “Kerajaan juga harus mewujudkan garis panduan seperti pelaksanaan Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR), Program Khas Perumahan Kos Rendah (PKPKR) dan pelbagai projek-projek sektor swasta supaya kemudahan perumahan kos rendah yang disediakan hanya diberikan kepada golongan sasaran sahaja,” katanya sebagaimana dilaporkan SatuBerita.

    Katanya, PN turut komited untuk menambah baik penyampaian perkhidmatan awam dan swasta agar dapat merealisasikan pelaksanaan dasar-dasar pembangunan negara yang cekap dan berkesan demi kesejahteraan rakyat.

    “Dengan cabaran ekonomi kos hidup rakyat, pekerjaan dan kesejahteraan sepanjang pandemik Covid-19, PN telah membuktikan bahawa ia mampu melawan kekuatan pembangkang dengan menjadi parti yang mendokong konsep ‘welfare state’ yang lebih memberi manfaat kepada rakyat dan negara,” ujarnya.

    Dalam pada itu, Mahathir menyeru akar umbi PN untuk menjadi suara rakyat sertaperlu menerapkan selain mengamalkan budaya berfikir secara matang bagi menekankan aspek kepimpinan.

    “Kesimpulannya, Perikatan Nasional memahami realiti kehidupan rakyat dan keperluan jajaran politik baru. Anjakan paradigma dari segi pendekatan politik dan cara memperkasakan agama bangsa dan negara adalah perlu,” katanya lagi.

  • Tiada siapa kebal undang-undang jika terbukti bersalah di mahkamah

    Tiada siapa kebal undang-undang jika terbukti bersalah di mahkamah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    HUKUMAN yang diterima Datuk Seri Najib Razak selepas didapati bersalah menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd perlu dijadikan pengajaran terutama pemimpin Melayu supaya tidak terlibat salah guna kuasa atau rasuah.

    Pengerusi Pertubuhan Warisan Melayu Negeri Johor, Datuk Abd Rahman Yunos berkata, mereka perlu sedar dan mengambil iktibar bahawa tiada pemimpin yang kebal daripada dikenakan tindakan undang-undang sekiranya terbukti bersalah.

    “Mereka yang salah tetap salah, semua kena akur, jangan dipertikaikan, mahkamah sudah membuat keputusan menerusi sembilan hakim, ini (dilakukan demi) menegakkan Rukun Negara dan kedaulatan undang-undang.

    “Kalau kita tidak hormat (keputusan mahkamah berhubung kes Najib), apa maknanya kita ada Rukun Negara dan undang-undang,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang dan Pemberian Sumbangan Kepada Anak Yatim di Bandar Seri Alam, Johor Bahrum, hari ini.

    Abd Rahman menyampaikan sumbangan wang tunai kepada anak yatim selepas pelancaran Kempen Kibar Jalur Genilang dan Pemberian Sumbangan Kepada Anak Yatim di Bandar Seri Alam, Johor Bahru

    Turut hadir Naib Pengerusi Pertubuhan Warisan Melayu Negeri Johor, Zamrin Hamzah dan Ketua Penerangannya, Datuk Jamali Paiman.

    Pada Selasa, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

    Sementara itu, Abd Rahman melahirkan rasa sedih kerana pemimpin Melayu terus bercakaran dan berebut kuasa daripada membela nasib rakyat terutama orang Melayu yang masih ketinggalan dan miskin.

    Katanya, mereka mengutamakan kepentingan diri dan kelompok mereka tanpa memikirkan apa yang sedang berlaku terutama senario negara ketika ini.

    Abd Rahman melekatkan Jalur Gemilang selepas pelancaran Kempen Kibar Jalur Genilang dan Pemberian Sumbangan Kepada Anak Yatim di Bandar Seri Alam, Johor Bahru

    Menerusi Pertubuhan Warisan Melayu Negeri Johor, beliau berkata, semua pemimpin politik daripada UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) disatukan dan menjadi ahlinya.

    Sementara itu, dalam ucapannya beliau mendakwa, orang Melayu masih dijajah minda mereka walaupun negara sudah mengecap kemerdekaan selama lebih 65 tahun.

    Itu sebabnya kata beliau, mereka masih terus bergaduh sesama sendiri yang akhirnya merugikan malah tidak menguntungkan mana-mana pihak.

  • PRU awal, UMNO mungkin lebih baik atau lebih teruk – Rosol

    PRU awal, UMNO mungkin lebih baik atau lebih teruk – Rosol

    Oleh BADLISHAH MAT

    UMNO tidak mungkin dapat berkuasa semula walaupun mendesak agar Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan segera selepas merasakan kini adalah waktu terbaik buat mereka untuk menang.

    Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Rosol Wahid berkata, tindakan UMNO itu sebenarnya ibarat terjun ke dalam lubang yang digali sendiri.

    Beliau berkata, masih banyak masalah rakyat yang belum diselesaikan oleh kerajaan ketika ini dan tiada jaminan PRU-15 akan menyelesaikan kesemua perkara itu.

    “Masalah-masalah ekonomi, harga barang belum selesai, Covid-19 pun sama. Kemudian isu buruh asing, memang banyak masalah. Jadi seolah-olahnya kalau buat (PRU-15) sekarang, saya rasa dia seolah-olah macam gali lubang, terjun sendiri.

    “Tapi bagi orang yang ada agenda lain dikira ini masa terbaik. Walhal itu bukan terbaik pun. Mungkin lepas pada ini lebih teruk lagi. Tak ada orang tahu.

    “Dia ada dua kemungkinan, mungkin lebih baik atau mungkin lebih teruk,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Jelajah Kepenggunaan KPDNHEP Kedah di Kolej Vokasional Langkawi, di Langkawi, hari ini.

    Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu berkata, desakan terbabit dipercayai dibuat bagi menyelesaikan isu mahkamah yang dihadapi sebahagian pemimpin parti berkenaan.

    Namun, Rosol yakin, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob lebih memahami masalah yang dihadapi kerana mempunyai ‘bird’s eye view’ mengenai isu yang melanda negara.

    “Pemimpin ini dia tengok macam bird’s eye view seperti burung. Dia tengok semua sekali di mana ada lurah, di mana ada bukit, di mana ada lembah dan sebagainya dia tahu. Orang lain (hanya) tengok ke atas, jadi tak tahu masalah,” ujarnya.

  • Majlis Tertinggi PN tentukan kerjasama dengan pembangkang masuki PRU-15

    Majlis Tertinggi PN tentukan kerjasama dengan pembangkang masuki PRU-15

    KESEDIAAN Perikatan Nasional (PN) membuka pintu kerjasama dengan gabungan parti pembangkang lain bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) adalah untuk mengelak berlaku pertandingan tiga penjuru.

    Timbalan Pengerusi PN, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai, berkata PN berusaha untuk elak daripada pertandingan tiga penjuru yang membabitkan pertandingan dengan Barisan Nasional (BN).

    Beliau yang juga Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) berkata, bagaimanapun keputusan mengenai kerjasama itu akan diputuskan oleh Majlis Tertinggi PN.

    “Perkara ini (kerjasama dengan parti pembangkang) dibangkitkan oleh perwakilan pada Konvensyen PN semalam dan ia cetuskan sebagai langkah untuk mengelak berlakunya saingan tiga penjuru membabitkan dengan BN pada PRU-15.

    “Bagaimanapun perkara berkaitan strategi, rancangan atau kerjasama dengan gabungan mana, semuanya itu akan ditentukan oleh Majlis Tertinggi PN.

    “Itu yang ditegaskan Pengerusi PN (Tan Sri Muhyiddin Yassin) semalam kerana secara prinsipnya PN mahukan kemenangan besar pada pilihan raya ini,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

    Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Negeri Ke-47, Wanita dan Pemuda Ke-35 GERAKAN Negeri Sembilan di Seremban 2, di Seremban, hari ini.

    Yang turut hadir, Pengerusi Perhubungan Gerakan Negeri Sembilan, Datuk Choong Vee Hing.

    Pada Konvensyen PN di Serdang semalam, Muhyiddin dilaporkan berkata bahawa semua pimpinan parti pembangkang perlu mempertimbang membuka semula pintu rundingan dengan PN, jika masing-masing sepakat bahawa musuh utama dalam PRU-15 adalah BN.

    Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyarankan langkah itu bagi mengelakkan BN kembali berkuasa dan mengulangi amalan salah guna kuasa serta rasuah dalam pentadbiran negara.

    Dalam pada itu, Dominic berkata, parti itu sudah bersedia untuk menghadapi PRU-15 dan sudah melantik Ketua Badan Perhubungan Kawasan sebagai penggerak utama jentera parti di peringkat kerusi Parlimen di setiap negeri.

    Beliau berkata, mereka yang dilantik sebagai ketua badan berkenaan tidak semestinya dipilih sebagai calon PRU-15 namun boleh jadi calon jika prestasinya baik.

    “Bagaimanapun dari segi calon memang kita sudah kenal pasti dan mempunyai senarai namun mereka yang akan dipilih akan ditentukan kepemimpinan tertinggi PN nanti,” katanya.

  • Kenyataan Azalina bukti sikap sebenar UMNO dan BN – Radzi

    Kenyataan Azalina bukti sikap sebenar UMNO dan BN – Radzi

    PANDANGAN Penasihat Undang-Undang Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said bahawa Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob patut pilih ‘orang mereka’ untuk jadi Peguam Negara, hanya menunjukkan sikap parti itu yang sebenar.

    Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mohd Radzi Md Jidin berkata, kenyataan itu secara tidak langsung membuktikan bagaimana era UMNO dan Barisan Nasional (BN) sering mengawal penjawat awam mengikut kehendak mereka.

    “Tindakan ini sama sekali berbeza dengan era Perikatan Nasional (PN) di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sentiasa memastikan kelinciran tugas penjawat awam di semua peringkat.

    “Sewaktu PN perintah dua tahun, tanyalah pegawai awam, kakitangan awam, pegawai tinggi kerajaan, boleh tanya mereka kerajaan mana yang paling harmoni sekali dengan kakitangan awam, hormati tugas kakitangan awam, bidang kuasa kakitangan awam.

    “Kerana kita ingin lihat kakitangan awam boleh bergerak seiring dengan kerajaan dengan suasana begitu harmoni. Tidak ada kakitangan awam yang tak dibawa ke mahkamah seperti yang terjadi sekarang,” katanya memetik laporan Astro Awani, hari ini.

    Beliau yang juga Menteri Kanan Pendidikan mengulas mengenai ucapan Azalina pada acara Taklimat Presiden UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC), yang menyebut kedudukan Peguam Negara perlu dijawat oleh ‘orang’ Perdana Menteri.

    “Sesiapa pun jadi Perdana Menteri, Peguam Negara mesti ‘orang dia’ sebab dilantik. Peguam Negara mesti ikut suara kepimpinan negara,” katanya seperti dipetik media semalam.

    Mengulas lanjut, Mohd. Radzi berkata, akhir-akhir ini banyak kes mahkamah memerlukan penjawat awam termasuk pegawai tinggi hadir bagi memberi keterangan bagi membantu siasatan.

    Perkara itu, tegasnya, tidak berlaku di zaman PN kerana kerajaan pimpinan Muhyiddin sentiasa mementingkan tatacara kerja dan integriti dalam kalangan penjawat awam.

    Selain itu, Mohd. Radzi turut menyentuh mengenai Majlis Taklimat Presiden UMNO itu yang dilihat tidak berpuas hati dengan institusi kehakiman yang mengekalkan sabitan 12 tahun penjara dan denda RM210 juta ke atas bekas Presiden mereka, Datuk Seri Najib Tun Razak.

    “Apa yang ditekankan, perbezaan konvensyen PN dengan Taklimat UMNO di PWTC, jauh berbeza. Kami bercakap tentang integriti, kesejahteraan rakyat, bagaimana kita nak bantu bina Malaysia yang jauh lebih baik.

    “Apa diceritakan di PWTC pula ialah kenapa tak tukar Peguam Negara, merendah-rendahkan keputusan Mahkamah Persekutuan. Itu membezakan keutamaan dalam konteks antara PN dan BN. Sebab itu Tan Sri Muhyiddin cakap semalam, beza PN dan BN macam langit dengan bumi,” katanya.

  • Suspek tumbuk, tekup muka wanita hingga pengsan sebelum samun

    Suspek tumbuk, tekup muka wanita hingga pengsan sebelum samun

    SEORANG lelaki yang bertindak ganas menyerang seorang wanita dengan menekup muka dan menariknya sebelum melakukan samun di hadapan lif disebuah pangsapuri di Jalan Metro Perdana Kepong, Kuala Lumpur, semalam, sudah diberkas polis.

    Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, dalam kejadian pada jam 12.45 tengah malam, suspek, 35, menunggu di hadapan pintu lif, sebelum bertindak menekup muka dan menarik mangsa sehingga ke tepi tangga.

    “Suspek telah menumbuk muka mangsa berusia 28 tahun itu sehingga menyebabkan pendarahan di hidung dan bengkak di muka.

    “Suspek kemudian bertindak menekup mulut mangsa sehingga pengsan dan telah membawa lari wang tunai sebanyak RM150.

    “Selepas kejadian itu, mangsa telah mendapatkan rawatan di wad Hospital Kuala Lumpur. Pemeriksaan pegawai perubatan mengesahkan mangsa mengalami kesan bengkak di muka dan pendarahan dalam kedua-dua belah mata,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Eng Lai berkata, sepasukan anggota polis berjaya memberkas suspek terbabit pada pukul 4 petang pada hari sama.

    “Suspek tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan jenayah lampau dan ujian saringan awal air kencingnya mendapati negatif,” jelasnya.

    Katanya, suspek direman lima hari bermula Ahad hingga Khamis bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

    “Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes ini boleh menyalurkannya dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-40482222,” katanya sebagaimana dilaporkan Sinar Harian.