Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

AHLI Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir mendedahkan menerima pesanan suara berbaur ugutan pada Khamis dan Jumaat lalu.

Dakwanya, ugutan itu diterima melalui peti mesej Facebook dipercayai mempunyai kaitan dengan insiden kebakaran bangunan Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Johor di Larkin Idaman, Johor Bahru, awal pagi ini.

“Individu tersebut telah menghantar satu mesej bertulis dan 27 mesej suara berbaur ugutan, bahasa kesat serta makian.

“Mesej itu saya sedari hari ini. Terdapat suara lelaki dan berdasarkan percakapan daripada mesej itu, dia merujuk kepada kes yang berlaku di mahkamah minggu lepas.

“Saya telah pergi ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan hari ini untuk membuat laporan terhadap kejadian ugutan tersebut. Saya sudah serahkan kepada polis untuk siasatan lanjut,” katanya di Pejabat PKR Cabang Johor Bahru, hari ini.

Pejabat PKR Cabang Johor Bahru di Johor Bahru terbakar hampir 10 peratus dalam kejadian pada pagi tadi.

Kejadian yang dipercayai berlaku kira-kira pukul 6 pagi mengakibatkan bahagian pintu ‘roller shutter’ di hadapan pejabat itu rosak teruk selain kesan asap dan debu kelihatan di luar dan dalam bangunan.

Berkenaan insiden itu, Akmal Nasir berkata, hasil pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) premis berhampiran dan tinjauan di tempat kejadian mempercayai kebakaran dimulakan dengan lima biji tayar dibakar depan pintu pejabat itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan ada menerima laporan berhubung dua kejadian berkenaan.

Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api atau bahan letupan dengan niat hendak membinasakan rumah dan sebagainya.

“Laporan polis berhubung kes ugutan baharu diterima dan kita akan membuka siasatan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here