Author: Wartawan WartaRakyat

  • Sedih jika MN terbubar, harap gabungan asal jadi kenyataan – Othman

    Sedih jika MN terbubar, harap gabungan asal jadi kenyataan – Othman

    Oleh BADLISHAH MAT

    TIMBALAN Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Othman Aziz secara terbuka mengakui beliau sedih sekiranya kerjasama parti itu dengan Pas di bawah payung Muafakat Nasional (MN) akan terbubar begitu sahaja yang bukan sekadar merangkumi negeri itu tetapi di seluruh negara.

    Othman berpendapat, ketika ini terdapat gangguan tertentu di peringkat pucuk pimpinan yang secara tidak langsung menggagalkan usaha mengukuhkan kerjasama kedua-dua parti itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    “Saya seperti sediakala sentiasa berharap UMNO dengan Pas janganlah berpecah. Saya nak kalau boleh kita semua pihak berusaha keras memastikan gabungan asal MN menjadi kenyataan.

    “Namun saat-saat ini saya melihat bahawa ada sedikit gangguan pihak-pihak tertentu, pucuk pimpinan di atas dan sebagainya. Ini amat menyedihkan, namun saya masih berharap sangat supaya Pas dan UMNO ini janganlah berpecah,” katanya selepas merasmikan Program Kayuhan Basikal Semarak Merdeka Peringkat Kubang Pasu di Sekolah Kebangsaan (SK) Pida Tiga, hari ini.

    Bagaimanapun, Othman yang juga Ketua UMNO Bahagian Jerlun menyerahkan perkara itu kepada pertimbangan kedua-dua kepimpinan UMNO dan Pas supaya dapat meneliti dan bertolak ansur mengenai kerjasama itu.

    Beliau turut mengajak untuk kedua-dua parti itu melupakan sengketa lama dan bergerak ke hadapan dan belajar apa yang berlaku pada PRU lalu agar negara tidak terlepas kepada pihak yang mungkin tidak ada simpati kepada bangsa, agama dan negara.

    “Itulah pentingnya UMNO, Pas ini bergerak bersama-sama. Namun apa pun kita (kepimpinan) di bawah ini menerima apa jua keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan,” katanya

    Tambah Othman, sebelum ini terdapat perbincangan antara UMNO dan Pas khususnya di Kedah mengenai kerusi yang akan ditandingi, namun ia telah terhenti sejak dua tahun lalu sehingga ke hari ini.

    “Kalau ada bijaksana di atas pucuk pimpinan (UMNO) mengarahkan kami sekali lagi duduk bersama (Pas) kita boleh buat benda itu, tak ada masalah kerana kita boleh bertolak ansur.

    “Namun apa pun Barisan Nasional (BN) tetap bersedia sama ada bersama dengan Pas atau pun tidak bersama dengan Pas. Tetapi sebagai orang Islam kita amat-amat mengharapkan kerjasama ini menjadi realiti,” katanya.

    Dalam pada itu, BN Kedah meletakkan sasaran untuk menang di sekurang-kurangnya satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi setiap 15 kawasan Parlimen di negeri itu supaya dapat membantu membentuk kerajaan negeri selepas PRU15.

    Othman berkata, BN menyasarkan jumlah itu sekiranya mereka perlu bertanding solo, namun sehingga kini masih meletakkan harapan agar pucuk pimpinan memikirkan semula kerjasama bersama parti lain terutamanya Pas.

    “BN kedah pertama sekali sasaran kita nak sekurang-kurangnya satu Parlimen beri satu DUN. Jadi kita ada 15 Parlimen, maka kita akan capai 15 kerusi DUN. Kalau salah satu Parlimen tak mampu hadiahkan kepada BN satu kerusi DUN, maka sudah tentu kawasan itu bermasalah.

    “Tetapi pada masa sama kita harap kawasan-kawasan Parlimen ini boleh beri lebih daripada satu kerusi DUN. Maka melalui andaian itu kita harap dapat majoriti mudah untuk mewujudkan kerajaan BN secara solo,” katanya.

  • Rasuah: Pembantu penguat kuasa dipenjara 14 hari, denda RM10,000

    Rasuah: Pembantu penguat kuasa dipenjara 14 hari, denda RM10,000

    SEORANG pembantu penguat kuasa dihukum penjara 14 hari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen, di Seremban, atas kesalahan meminta dan menerima wang rasuah daripada peniaga kedai rokok elektronik.

    Memetik laporan Berita Harian, Hakim Rushan Lutfi Mohamed menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Norhisham Saharuddin, 49, mengaku bersalah atas kesalahan yang didakwa dilakukan antara 2020 hingga 2022 itu.

    Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara empat bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda berkenaan.

    Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang juga pembantu penguat kuasa di Majlis Daerah Rembau didakwa meminta dan menerima rasuah RM1,050 daripada peniaga kedai vape sekitar Rembau.

    Perbuatan itu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang iaitu mengeluarkan saman kepada pemilik kedai atas kesalahan berniaga tanpa lesen.

    Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali.

  • Presiden UMNO disiasat mengikut Akta Hasutan

    Presiden UMNO disiasat mengikut Akta Hasutan

    POLIS menjalankan siasatan terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung ucapannya ketika Taklimat Khas Presiden UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

    Ketua Komunikasi Korporat Bukit Aman, A. Skandaguru berkata, ia berikutan 12 laporan diterima ke atas Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berhubung ucapannya.

    Menurut beliau, kes dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) D5, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman.

    “Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam satu kenyataan.

    Semalam, Pengarah Biro Mobilisasi Amanah, Mohd Sany Hamzan membuat laporan polis terhadap Zahid di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

    Sany berkata, Zahid secara terbuka dengan niat yang jelas mencaci, menghina dan memfitnah Badan Kehakiman Negara, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Yang di-Pertuan Agong berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Najib Razak, minggu lalu.

    Selain itu, wanita Pakatan Harapan (PH) turut membuat laporan sama pukul 3 petang hari ini.

    Sabtu lalu, UMNO menganjurkan taklimat khas presiden antara lain menyentuh kesiapsiagaan parti itu menghadapi pilihan raya umum ke-15 serta solidariti ke atas Datuk Seri Najib Razak.

    Dalam ucapannya, Ahmad Zahid secara terbuka dengan niat yang jelas mencaci, menghina dan memfitnah Badan Kehakiman Negara, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Yang di-Pertuan Agong berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Datuk Seri Najib Razak, minggu lalu.

    Antara inti pati taklimat adalah menunjukkan solidariti ahli UMNO kepada Najib yang dihukum penjara selama 12 tahun selepas didapati bersalah dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

  • Kerjasama UMNO-Pas mesti di seluruh negara, turut libatkan Bersatu – Tuan Ibrahim

    Kerjasama UMNO-Pas mesti di seluruh negara, turut libatkan Bersatu – Tuan Ibrahim

    DATUK Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tawaran UMNO untuk bekerjasama dengan Pas mesti diperluas ke seluruh negara dan bukannya di negeri-negeri tertentu.

    Pada masa sama Timbalan Presiden Pas itu menegaskan, kerjasama itu juga perlu melibatkan Bersatu untuk menyatukan semua parti utama Melayu-Islam.

    “Saya beritahu, kalau nak pakat, pakat satu negara. You tak boleh pakat tempat you suka, tempat you tak suka you lawan, mana boleh. Di Kelantan, Terengganu nak lawan Pas tapi di Selangor nak kawan, mana boleh. Kalau nak kawan, kawan betul-betul. Kalau nak lawan, lawan betul-betul,” katanya dalam wawancara bersama saluran Youtube FengRenGuan.

    Pada Mei lalu, Pengerusi BN Selangor  Tan Sri Noh Omar berkata UMNO  dan Pas akan mengelak daripada bertanding di kerusi yang sama di negeri itu, dengan harapan untuk menumbangkan Pakatan Harapan.

    Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang itu berkata, dengan strategi itu, UMNO dan Pas mensasarkan untuk memenangi sekurang-kurangnya 30 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor.

    Tuan Ibrahim seterusnya mengingatkan, parti itu tidak akan memberi autonomi kepada Pas negeri untuk memutuskan kerjasama dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Beliau berkata,  parti itu menggunakan pendekatan yang sama di kubu kuatnya di Pantai Timur dan Pantai Barat.

    “Hingga setakat ini kita tak ada autonomi. Bermakna bahawa polisi kita adalah sama, (di) Pantai Timur atau Pantai Barat, sama. Tak ada autonomi untuk setiap negeri, tetapi fleksibiliti untuk memilih rakan partner dalam politik, itu kita ambil kira kekuatan yang ada. Sebagai contoh, kalau kita nak menang di Selangor, kalau Pas dengan UMNO tak berpakat saya rasa akan kekal pada PH. Jadi UMNO pun tahu situasi itu dan UMNO nak pakat dengan Pas di Selangor,” katanya.

  • Jeritan selamatkan wanita warga asing yang dikurung 3 hari dalam sebuah rumah

    Jeritan selamatkan wanita warga asing yang dikurung 3 hari dalam sebuah rumah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JERITAN seorang wanita warga asing yang meminta tolong semasa dikurung dalam sebuah rumah selama tiga hari, berjaya menyelamatkannya apabila seorang jiran menyedarinya lalu menghubungi polis.

    Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Mohd. Sohaimi Ishak berkata, kejadian di Taman Pasir Putih, Pasir Gudang itu berlaku terhadap mangsa yang dikatakan dijanjikan pekerjaan sebagai pembantu rumah.

    “Mangsa yang berusia 37 tahun itu dikurung seorang lelaki dan seorang wanita warga tempatan dalam rumah berkenaan.

    “Seorang wanita yang merupakan jiran suspek menyedari kejadian tersebut pada pukul 11.45 pagi selepas terdengar mangsa menjerit meminta tolong sebelum memaklumkan perkara itu kepada anggota polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, bertindak atas maklumat pada pukul 1.30 petang sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam telah membuat pemeriksaan di rumah berkenaan.

    “Pihak polis menyelamatkan mangsa yang dikurung dalam rumah dalam keadaan pintu dikunci dengan mangga dari luar,” katanya.

    Susulan itu pada pukul 3.30 petang semalam hingga 9.42 malam tadi, pihaknya menahan seorang wanita dan seorang lelaki tempatan berusia 36 dan 38 tahun di dua lokasi berasingan di Pasir Gudang.

    Menerusi serbuan itu katanya, enam telefon bimbit pelbagai jenama dirampas dan semakan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai sebrang rekod jenayah lampau.

    Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa ditawarkan bekerja sebagai pembantu rumah tetapi telah dikurung sementara mendapatkan pekerjaan berkenaan.

    “Jiran suspek berkenaan yang berusia 34 tahun pada masa sama turut membuat laporan polis pada pukul 3.45 petang semalam,” katanya.

    Mohd. Sohaimi berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan juga denda.

    Beliau menambah, kedua-dua suspek direman selama lima hari bermula Selasa hingga 3 September ini mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ).

  • Baru empat tahun, Afiyah disahkan hidap penyakit sukar ditemui

    Baru empat tahun, Afiyah disahkan hidap penyakit sukar ditemui

    BERAT mata memandang berat lagi bahu memikul. Ibu bapa mana yang tidak sedih apabila anak yang dikandungnya selama 9 bulan disahkan menghidap penyakit yang sukar ditemui dalam kalangan kanak-kanak.

    Portal satuberita melaporkan, Afiyah Mikayla Mohd Azri, 4, disahkan menghidap penyakit Juvenile Myelomonocytic Leukemia (JMML) pada 16 Ogos 2022.

    Leukemia myelomonocytic Juvenile (JMML) adalah sejenis jenis kanser darah yang agresif, menjejaskan bayi dan kanak-kanak; menyumbang kurang daripada 1% leukemia kanak-kanak.

    Umur purata kanak-kanak pada diagnosis adalah 2 tahun, dan adalah jarang berlaku untuk melihat kes-kes pada kanak-kanak berumur lebih dari enam tahun.

    Tanda-tanda dan gejala JMML berkaitan dengan pengumpulan sel-sel yang tidak normal di dalam sumsum tulang dan organ seperti kulit pucat, jangkitan pemyakit, pendarahan tidak normal, perut bengkak (splenomegaly), demam, kurang selera makan, batuk dan pembangunan terbantut.

    Memetik laporan Rotikaya, Afiyah merupakan anak kepada Marini (37), dan Mohd Azri (37) ini hanya boleh menerima rawatan untuk JMML dengan Transplantasi Sumsum Tulang (BMT) sahaja.

    Proses chemotherapy hanya akan dijalankan selepas penderma sumsum tulang yang sepadan ditemui, prosedur BMT dilakukan bertujuan untuk mengganti sumsum tulang yang rosak dengan sumsum tulang yang baru.

    Bagaimanapun Afiyah bakal menerima rawatan awal dengan memasukkan sel darah merah yang baru ke dalam badannya bagi menyokong sistem badannya.

    Tiada daya upaya bagi Marini dan Azri apabila melihat anak kesayangan mereka menderita sebegini selain memohon doa kepadaNya dan doa pembaca untuk sama-sama berdoa kesembuhan anak perempuan mereka.

    Bagi pembaca yang mahu menghulurkan bantuan boleh salurkan di akaun CIMB Pertubuhan Amal Kebajikan Rotikaya: 8604675654.

  • Pas buat keputusan muktamad tiada kerjasama dengan PH

    Pas buat keputusan muktamad tiada kerjasama dengan PH

    PAS membuat keputusan muktamad tidak akan mengadakan sebarang kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Takiyuiddin Hassan berkata, pendirian itu dibuat mesyuarat Jawatankuasa Harian Pas Pusat, semalam.

    “Pas secara tegas tidak akan mengadakan sebarang kerjasama dengan Pakatan Harapan mahupun mana-mana parti komponennya dalam menghadapi PRU-15, termasuklah cadangan konsep ‘khemah besar’,” katanya kenyataan, hari ini.

    Keputusan Pas itu dilihat secara tidak langsung menjawab kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam yang mahu pimpinan parti pembangkang mempertimbangkan kerjasama untuk menentang Barisan Nasional (BN) dalam PRU-15).

    Muhyiddin berkata, cadangan itu bukan semata-mata kepentingan politik tetapi pandangan yang disuarakannya itu adalah bagi memastikan masa depan negara yang lebih selamat.

    Kata beliau, rakyat bimbang negara akan kembali terjerumus dalam kancah kleptokrasi, rasuah serta salah guna kuasa yang dilakukan kerajaan (BN).

    Bagaimanapun Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli menegaskan, tidak akan ada sebarang kerjasama dengan PN dalam PRU-15.

    Takiyuddin dalam kenyataan itu juga memberitahu,  antara perkara lain yang dimuktamadkan dalam mesyuarat itu ialah Pas tetap mengutamakan konsep penyatuan ummah dan perpaduan nasional dalam setiap langkah dan pendirian politiknya.

    “Pas amat optimis pendekatan penyatuan ummah tersebut boleh dicapai melalui kolaborasi parti-parti utama di negara ini yang berteraskan konsep perpaduan Melayu-Islam dan bumiputra kerana ia adalah formula paling berkesan serta diterima oleh majoriti rakyat Malaysia,’’ katanya.

    Selain itu katanya, Pas juga mengambil pendekatan bersikap terbuka dalam mencari formula terbaik bagi mewujudkan kerjasama politik dengan pihak yang mengutamakan perpaduan serta keharmonian dalam menghadapi PRU15.

    Keputusan itu kata Takiyuddin diambil oleh Pas demi kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini.

    “Perkara-perkara di atas akan turut diberikan tumpuan semasa Muktamar Tahunan PAS Ke-68 yang akan diadakan di Alor Setar, Kedah pada 3 dan 4 September 2022,” katanya

    Mengenai pembubaran Parlimen, Takiyuddin memaklumkan kerajaan negeri yang diterajui Pas juga tidak akan membubarkan Dewan-Dewan Undangan Negeri masing-masing lebih awal dari bulan Mac tahun depan.

    Katanya, tindakan itu dibuat atas dasar pertimbangan untuk memberi penumpuan yang lebih perlu kepada aspek pemulihan dalam kehidupan rakyat terutama dalam bidang perekonomian selain dari kesihatan.

  • Lelaki maut pacuan empat roda rempuh treler

    Lelaki maut pacuan empat roda rempuh treler

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki meninggal dunia maut selepas pacuan empat roda dipandunya terbabas dan melanggar sebuah treler yang sedang parkir di tepi Jalan Senangin 6, Harvest Green Industrial Park, Taman Pasir Putih di Pasir Gudang hari ini.

    Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Mohd. Sohaimi Ishak berkata, kejadian tersebut berlaku pada pukul 4.30 pagi dan mengakibatkan mangsa, Jagatish Kumar Ramasi, 20, tersepit di tempat duduknya.

    “Pihak polis mendapatkan bantuan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

    “Bagaimanapun mangsa yang mengalami kecederaan parah meninggal dunia di tempat kejadian. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Sementara itu, Komander Operasi dari BBP Pasir Gudang, Pegawai Bomba Kanan II Noor Azhan Ahmad berkata, seramai lapan anggota dengan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

    “Kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kenderaan pancuan empat roda jenis Mitsubishi Triton melanggar treler yang sedang parkir di tepi jalan.

    “Mangsa yang merupakan pemandu Mitsubishi Triton tersepit. Pihak bomba bertindak mengeluarkan mangsa tersebut dengan menggunakan peralatan khas,” katanya.

    Katanya, mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi menyelamatkan mangsa selesai pada pukul 4.50 pagi. – SB

  • Bekas imam Masjidilharam dipenjara 10 tahun kritik acara hiburan

    Bekas imam Masjidilharam dipenjara 10 tahun kritik acara hiburan

    MAHKAMAH Rayuan Arab Saudi telah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun kepada bekas imam Masjidil Haram dan pendakwah terkemuka , Sheikh Saleh Al Talib.

    Memetik laporan Astro Awani, pihak berkuasa Saudi menahan Sheikh Saleh pada Ogos 2018, selepas didakwa menyampaikan khutbah yang mengkritik badan kerajaan yang bertanggungjawab mengawal selia industri hiburan di negara itu.

    Beliau dipercayai mengecam konsert dan acara hiburan yang menyimpang daripada norma agama dan budaya mereka dalam khutbahnya.

    “Mahkamah Rayuan Jenayah Khusus di Riyadh, menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun kepada Imam Masjidil Haram, Syeikh Saleh Al Talib, sekaligus membatalkan keputusan pembebasan terhadapnya,” kata Pertubuhan untuk Demokrasi di Dunia Arab (Dawn) melalui Twitter, pada Isnin.

    Penahanan Sheikh Saleh dilakukan ketika Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman meneruskan usaha mereformasi masyarakat dengan menahan ulama dan imam terkemuka yang mengkritik agenda pembaharuan.

    Sheikh Saleh mempunyai pengikut yang ramai di seluruh dunia, dengan ribuan menonton khutbah dan bacaan al-Qurannya di YouTube.

  • 110 bungkus air ketum dirampas, dua lelaki ‘kempunan’

    110 bungkus air ketum dirampas, dua lelaki ‘kempunan’

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    HASRAT dua lelaki untuk ‘menikmati’ air ketum musnah selepas anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan menyerbu satu ‘port’ ketum di sebuah rumah di Kangkar Tebrau, Johor Bahru, semalam.

    Dua lelaki terbabit yang berusia 25 dan 28 tahun dicekup dalam serbuan pada pukul 5.30 petang.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya merampas 110 bungkus plastik lutsinar berisi cecair yang disyaki air ketum semuanya 110 liter.

    “Suspek yang ditahan dipercayai datang ke lokasi serbuan untuk minum, pihak polis sedang mengesan tuan rumah terbabit yang tiada semasa serbuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Hasil serbuan pihaknya berjaya merampas dua tong plastik yang digunakan untuk menyimpan 110 bungkus plastik berkenaan dengan setiap satu bungkus dianggarkan berisi satu liter.

    “Dalam serbuan sama, sebuah bag yang mengandungi 13 botol cecair disyaki ubat batuk ‘kodien’ seberat 1.2 liter turut dirampas,” katanya.

    Katanya, hasil semakan dibuat mendapati salah suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dibawah seksyen 12 (3) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

    Menurut beliau, hasil ujian saringan awal air kencing terhadap kedua suspek adalah negatif dari sebarang jenis dadah.

    Kedua-dua suspek katanya, ditahan reman bermula hari ini hingga 2 September ini.

    Kes disiasat dibawah seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.