POLIS menjalankan siasatan terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung ucapannya ketika Taklimat Khas Presiden UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Ketua Komunikasi Korporat Bukit Aman, A. Skandaguru berkata, ia berikutan 12 laporan diterima ke atas Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berhubung ucapannya.

Menurut beliau, kes dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) D5, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman.

“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Pengarah Biro Mobilisasi Amanah, Mohd Sany Hamzan membuat laporan polis terhadap Zahid di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Sany berkata, Zahid secara terbuka dengan niat yang jelas mencaci, menghina dan memfitnah Badan Kehakiman Negara, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Yang di-Pertuan Agong berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Najib Razak, minggu lalu.

Selain itu, wanita Pakatan Harapan (PH) turut membuat laporan sama pukul 3 petang hari ini.

Sabtu lalu, UMNO menganjurkan taklimat khas presiden antara lain menyentuh kesiapsiagaan parti itu menghadapi pilihan raya umum ke-15 serta solidariti ke atas Datuk Seri Najib Razak.

Dalam ucapannya, Ahmad Zahid secara terbuka dengan niat yang jelas mencaci, menghina dan memfitnah Badan Kehakiman Negara, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Yang di-Pertuan Agong berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Datuk Seri Najib Razak, minggu lalu.

Antara inti pati taklimat adalah menunjukkan solidariti ahli UMNO kepada Najib yang dihukum penjara selama 12 tahun selepas didapati bersalah dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here