Author: Wartawan WartaRakyat

  • PAS tolak kerjasama perkara membabitkan dosa – Hadi Awang

    PAS tolak kerjasama perkara membabitkan dosa – Hadi Awang

    PAS bertegas tidak akan mengadakan sebarang kerjasama dalam perkara dosa seperti meneruskan permusuhan serta kemungkaran.

    Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Pas tidak boleh memejamkan mata terhadap kemungkaran seperti rasuah, politik wang, politik mahu jawatan, salah laku dan salah urus kerana meraikan kemungkaran semata-mata menjaga hati dan kepentingan yang salah sehingga meninggalkan prinsip.

    Sehubungan itu, beliau berkata, Pas menolak sesiapa sahaja yang mengambil pendekatan yang terpesong daripada konsep ta’awun yang berlandaskan petunjuk al-Quran.

    “Pas memperkenal pendekatan mengikut petunjuk al-Quran berkonsepkan Keluarga Malaysia Masyarakat Majmuk. Pas menolak sebarang agenda perpaduan kaum yang sempit dan mempunyai wawasan yang terhad.

    “Pada masa sama, Pas sedia berbincang dengan semua pihak yang menunjukkan tanda keikhlasan untuk mencari jalan penyelesaian supaya kembali kepada Islam.

    “Hal ini penting bagi mengatasi masalah umat yang besar, bukan sekadar agenda politik yang sempit, jangka masa pendek dan tidak beristiqamah bersama Islam,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Muktamar Tahunan PAS Ke-69, di Kompleks Pas Kedah, lapor BH Online.

    Turut hadir, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai; Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

  • Pas sifatkan PRU-15 bapa segala pilihan raya

    Pas sifatkan PRU-15 bapa segala pilihan raya

    Oleh BADLISHAH MAT

    SETIAUSAHA Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyifatkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sebagai ‘bapa’ kepada segala pilihan raya.

    Beliau berkata, PRU-15 akan menyaksikan cabaran besar untuk parti itu menetapkan strategi dan hala tujunya.

    Justeru katanya, Muktamar Tahunan Pas ke-68 yang berlangsung hari ini dan esok akan menjadi medan penting untuk parti itu mempersiapkan parti termasuk jenteranya.

    “Muktamar Pas kali ini merupakan muktamar terakhir sebelum PRU-15 yang disifatkan sebagai bapa segala pilihan raya.

    “Oleh itu semua perwakilan diminta mengambil kesempatan ini untuk memberi pandangan dan idea bagaimana membuat persiapan terutama strategi dan calon bagi mendapat sokongan rakyat,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada Muktamar Tahunan Pas Ke-68 di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut, Alor Setar, hari ini.

    Turut hadir Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Chai.

    Takiyuddin berkata, saranan itu demi mempertahankan kemenangan kerusi yang sedia ada dan tambah bilangan kerusi.

    Namun katanya, persiapan dan strategi khusus berkaitan PRU-15 akan diperincikan oleh pimpinan parti selepas muktamar berkenaan.

    “Apa pun juga arahan berkaitan persiapan strategi yang khusus akan kita perincikan apabila tiba masanya. Kita serahkan kepada parti,” katanya.

    Katanya, Pas harus berada dalam keadaan bersedia untuk PRU-15 demi memenangkan parti termasuk mempertahankan kerajaan negeri di bawah pimpinannya di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

    “Begitu juga, meskipun Pas dan PN masih berperanan dalam kerajaan Persekutuan, namun kita lihat ketidaktentuan hala tuju yang menentukan PN untuk mengkaji tentang masa depan kita terutama untuk hadapi PRU-15.

    “Kita serahkan kepada pimpinan untuk menentukan kedudukan kita,” katanya.

  • Muktamar Pas:Isu MN tidak disentuh secara langsung

    Muktamar Pas:Isu MN tidak disentuh secara langsung

    Oleh BADLISHAH MAT

    ISU berkaitan Muafakat Nasional (MN) tidak disentuh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang ketika menyampaikan ucapan dasarnya pada Muktamar Tahunan Pas ke-68, hari ini.

    Berucap sempena muktamar tersebut di Kompleks Pas, Kota Sarang Semut, Alor Setar, Ahli Parlimen Marang itu bagaimanapun berkata, Pas sedia berbincang dengan semua pihak yang menunjukkan tanda-tanda keikhlasan untuk mencari jalan penyelesaian supaya kembali kepada Islam.

    “Pas bertanggungjawab mengajak perpaduan umat untuk melakukan islah daripada kesilapan kerajaan terdahulu dan berusaha menyatukan parti Melayu Islam yang berselerak dengan pendekatan yang berpecah sebelum ini.

    “Seterusnya menyatukan kalangan bukan Islam yang tidak ekstrem bagi membentuk sebuah negara masyarakat majmuk yang sejahtera,” katanya.

    Perkara itu kataya, sangat penting bagi mengatasi masalah umat yang besar, bukan sekadar agenda politik yang sempit, jangka masa pendek dan tidak beristiqamah bersama Islam.

    “Kerjasama dalam perpaduan ini ada sempadannya, hanya dalam perkara kebaikan dan taqwa, seperti perpaduan umat berlandaskan tali Allah (Islam) yang menegakkan adil kepada semua, melakukan kebajikan dan meninggalkan yang salah kembali ke pangkal jalan,” katanya.

    Selain itu, beliau berkata, Majlis Syura Ulama dan Pas Pusat akan diberikan mandat untuk meneliti setiap perkara berkaitan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tidak lama lagi serta pasca pilihan raya tersebut.

    “Mandatnya diserahkan kepada Majlis Syura Ulama dan Pas Pusat untuk membuat penelitian dan keputusan dalam urusan berkaitan hukum, dasar dan strategi bagi menghadapi pilihan raya dan segala kemungkinan selepas pilihan raya demi memastikan Islam terus memimpin, termasuk urusan penentuan kerusi dan calon dalam menghadapi PRU-15,” katanya.

    Turut hadir Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Chai.

  • Sumpah baiah lebih berkesan daripada RUU antilompat parti-Hadi Awang

    Sumpah baiah lebih berkesan daripada RUU antilompat parti-Hadi Awang

    PRESIDEN Pas, Abdul Hadi Awang menganggap sumpah baiah yang diamalkan terhadap calon parti itu pada setiap pilihan raya lebih berkesan berbanding rang undang-undang (RUU) antilompat parti yang baru diperkenalkan.

    Tegas beliau, walaupun sifat iman dan takwa terletak dalam hati manusia, namun Islam menetapkan bahawa tiada siapa pun yang dapat mengatasi hukumnya.

    “Perkara ini ditegaskan dalam perlembagaan Pas bahawa hukum Allah dan rasulnya adalah sumber tertinggi yang mewajibkan kepada para pemimpin utama dan calon pilihan raya untuk melafazkan sumpah dan baiah, sehingga mengatasi segala undang-undang bagi memelihara integriti.

    “Langkah ini lebih berkesan daripada undang undang lompat parti yang baru sahaja diperkenalkan,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar presiden sempena Muktamar Pas ke-68 di Kompleks Pas, Kota Sarang Semut, Alor Setar, hari ini.

    Turut hadir Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Chai.

    Pada 28 Julai lalu, Dewan Rakyat meluluskan RUU antilompat parti yang menggariskan tindakan terhadap ahli parlimen yang berbuat demikian.

    RUU berkenaan antara lain menyatakan ahli parlimen akan kehilangan kerusi jika mereka bertindak keluar parti atau tidak lagi menjadi ahlinya, namun ahli parlimen yang dibuang parti tidak akan hilang kerusi.

    Untuk rekod Pas sejak sekian lama mengamalkan baiah iaitu sumpah taat setia kepada parti dengan bersumpah atas nama Allah.

    Ia bagi menghalang wakil rakyatnya meninggalkan parti itu dan menyertai parti lain selepas menang dalam pilihan raya.

    Sementara itu, Abdul Hadi berkata, Pas sepatutnya diberi lebih kepercayaan dengan adanya ikatan baiah yang menurutnya lebih hebat daripada undang-undang yang ‘luput tarikhnya’.

    Malah tegas Ahli Parlimen Marang itu, wakil rakyat yang tidak memelihara integriti pasti akan melompat sendiri kerana kepanasan walaupun ‘berada dalam bilik berhawa dingin’, atau dipecat ekoran masalah disiplin.

    “Parti tidak rosak, terus maju dan subur berkembang, sentiasa menambahkan ahli, kawasan, cawangan dan penyokong.

    “Pas membuktikan pelaksanaan yang berkesan dapat dilaksanakan di negeri-negeri yang diperintah di Kelantan, Terengganu dan Kedah, dan melalui beberapa kementerian yang ditugaskan walaupun dengan bidang kuasa yang terbatas,” katanya memetik laporan MalaysiaKini.

  • PRU-15:Pas ikrar pertahan 3 negeri-Abdul Hadi

    PRU-15:Pas ikrar pertahan 3 negeri-Abdul Hadi

    PAS berikrar mempertahankan tiga negeri yang dipimpin parti itu iaitu Kelantan, Kedah dan Terengganu pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).

    Menurut Presiden Pas, Abdul Hadi Awang, usaha tersebut penting kerana tiga negeri itu merupakan ‘negeri pengkalan’ bagi melaksanakan agenda Islam mengikut bidang kuasa negeri.

    Selain itu katanya, kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang telah dimenangi di beberapa negeri juga perlu diberikan perhatian.

    “Menarik sokongan rakyat seramai mungkin mesti dilakukan dengan apa jua cara melalui kefahaman dan kesedaran, termasuk khidmat masyarakat dan kegiatan sosial

    “Ahli Pas juga digesa supaya terus wala’ kepada keputusan parti walaupun berbeza pandangan selagi ia tidak menyalahi syarak.

    “Jangan berkelahi di cawangan, kawasan, negeri, dewan-dewan dan pusat. Kita mesti bersatu padu dalam jemaah ini dan jangan berpecah.

    “Perbezaan pendapat adalah perkara biasa, yang penting menjaga adab dalam perbezaan. Mesti taat dan wala’ kepada keputusan parti dan kepimpinan, sama ada suka atau tidak, senang atau susah, selagi mana tidak menyalahi syarak,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ucapan dasar presiden Muktamar Tahunan PAS kali ke-68 di Kompleks Pas Kedah, hari ini.

    Katanya, Pas juga perlu melakukan persediaan bagi mengisi kemenangan yang berintegriti berbekalkan iman, ilmu dan akhlak yang mulia.

    “Di sini peranan calon yang layak sangat penting dengan memenuhi syarat ‘boleh Menang’, ‘boleh Diterima’, dan ‘boleh Mentadbir’ bagi mengisi kemenangan dalam memimpin negara dan negeri,” ujarnya memetik laporan Free Malaysia Today (FMT).

    Kata Hadi, jentera pilihan raya perlu menyantuni warga emas kerana parti itu mengambil kira saiz pengundi golongan itu yang semakin meningkat di setiap Parlimen atau DUN.

  • Shahir AF kini bergelar suami kepada Jaskin

    Shahir AF kini bergelar suami kepada Jaskin

    PENYANYI Shahir AF selamat diijabkabulkan dengan Jaskin Jaludin, 30, yang berlangsung di Dewan Bizmilla Wedding Centre, One City, Subang Jaya, Selangor tepat pukul 9.10 malam tadi.

    Dengan hanya sekali lafaz, Shahir atau nama penuhnya Ahmad Shahir Zawawi, 34 sah menjadi suami kepada Jaskin yang berasal dari Sabah.

    Pasangan itu telah dinikahkan oleh bapa perempuan Jaludin Nongche yang disaksikan oleh jurunikah Muhammad Hakimi Mustapai.

    Pengantin perempuan menerima RM300 sebagai mas kahwin dan wang hantaran sebanyak RM20,000 daripada pihak Shahir.

    Selain itu, pihak pengantin lelaki menyerahkan lima dulang hantaran kepada pihak perempuan dan turut dibalas dengan tujuh dulang oleh pihak Jaskin.

    Pelantun lagu ‘Dia Yang Kau Pilih’ itu yang ditemui Gempak mengalirkan air mata kesyukuran kerana bersyukur akhirnya akad nikahnya berjalan lancar.

    “Alhamdulilah syukur akhirnya semua berjalan lancar seperti yang kami rancangkan,” katanya menurut Astro Awani yang memetik laporan portal hiburan Gempak yang ditemui ketika majlis akad berkenaan.

    Pasangan itu berkenalan pada Mei sebelum bertunang pada Julai lalu di kediaman Jaskin di Tawau, Sabah.

    Shahir dan Jaskin berkenalan dan mengenali antara satu sama lain selama empat bulan sebelum mendirikan rumah tangga.

    Pasangan ini bakal diraikan dalam satu majlis resepsi keesokkan harinya di lokasi yang sama. Ia bakal dihadiri oleh keluarga, sahabat handai dan rakan media.

  • Jadikan kes rasuah Najib dan Rosmah sebagai iktibar-Bekas Hakim Mahkamah Tinggi

    Jadikan kes rasuah Najib dan Rosmah sebagai iktibar-Bekas Hakim Mahkamah Tinggi

    RAKYAT perlu mengambil iktibar kes dan jenayah rasuah yang boleh memakan diri sama seperti yang dihadapi oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

    Bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Tan Sri Mohamad Ariff Md. Yusof berkata, individu yang mahu ‘menghalalkan’ rasuah dengan alasan tidak akan diketahui oleh sesiapa perlu berfikir semasak-masaknya sebelum kemudaratan menimpa diri.

    “Jangan ambil ringan tentang perkara-perkara melibatkan rasuah seperti yang disebut hakim dalam penghakiman. Rasuah kalau tidak dibendung akan menjadi satu pandemik,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Warta Rakyat pada 23 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.

    Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib sememangnya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

    Kelmarin, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara berjumlah 30 tahun dan denda RM970 juta, atau penjara 10 tahun, ke atas Rosmah selepas beliau didapati bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

    Rosmah dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan.

    Beliau dituduh meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi Abang Samsudin, yang ketika itu Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd melalui bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor, sebagai ganjaran membantu Jepak Holdings memperoleh projek bernilai RM1.25 bilion itu.

    Pada 18 Feb tahun lepas, Rosmah diperintah membela diri terhadap ketiga-tiga pertuduhan tersebut selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap beliau.

  • Warga emas ditemukan lemas di Sungai Kedah

    Warga emas ditemukan lemas di Sungai Kedah

    SEORANG warga emas dipercayai terjatuh di Sungai Kedah di Alor Setar, semalam, ditemukan lemas hari ini.

    Lelaki berusia 65 tahun itu ditemukan pihak bomba terapung berhampiran muara sungai tersebut pukul 7.01 pagi tadi.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan menggunakan kaedah pencarian di permukaan air.

    “Mayat lelaki itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat lelaki itu dan operasi mencari dan menyelamat sudah selesai.

    Dalam kejadian semalam, lelaki itu dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Kedah, kira-kira 10 pagi.

    Berdasarkan maklumat daripada anak, lelaki itu adalah pesakit psikiatri dan mendapat rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar, namun tidak pernah keluar merayau seorang diri.

  • Pendedahan LCS: Polis ambil keterangan Rafizi 3 petang ini

    Pendedahan LCS: Polis ambil keterangan Rafizi 3 petang ini

    TIMBALAN Presiden PKR, Rafizi Ramli, mengesahkan dipanggil polis untuk dirakam keterangan susulan pendedahan beliau mengenai projek kapal tempur pesisir (LCS).

    Perkara itu dimaklumkan Rafizi menerusi hantaran di Facebook yang turut memuat naik surat arahan menghadiri siasatan polis.

    Katanya, beliau akan hadir pukul 3 petang ini di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.

    “Saya dipanggil polis untuk dirakam kenyataan berikutan laporan polis yang dibuat minggu ini.

    “Saya harap pihak polis juga bertindak secepat mungkin (seperti ini) untuk menyiasat laporan dibuat Sdr (Saudara) Akmal Nasir (Pengarah Strategi PKR, Akmal Nasrullah Mohd Nasir) terhadap Latiff Ahmad (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr. Abd Latiff Ahmad), mengenai pendedahan laporan forensik LCS yang menamakannya sebagai terbabit dalam kontrak-kontrak pertahanan,” katanya, lapor BH Online, hari ini.

    Sebelum ini, Rafizi menjelaskan bersedia untuk dipanggil susulan laporan dibuat terhadapnya berkaitan dakwaannya mengenai projek LCS.

    Polis bagaimanapun memaklumkan Timbalan Presiden PKR itu dijangka dipanggil minggu depan.

    Selasa lalu, satu laporan polis dibuat oleh Pegawai Tugas-Tugas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Sayed Ahmad Mui’izzuddin Al-Sayed Mohamad terhadap Rafizi.

    Laporan itu dibuat susulan kenyataan Rafizi yang mengaitkan Abd. Latiff dan seorang wanita bernama Zainab Mohd. Salleh didakwa isteri keduanya, turut terbabit dalam penyelewengan projek LCS.

    Susulan laporan polis itu, Abdul Latiff dipanggil untuk diambil keterangan kelmarin.

    Sementara itu, Eng Lai berkata, pihaknya mengesan dua video berkaitan kenyataan Rafizi yang dimuat naik menerusi akaun TikTok dan Instagram miliknya pada 25 Ogos lalu.

  • Muhyiddin hadiri Muktamar Tahunan Pas ke-68

    Muhyiddin hadiri Muktamar Tahunan Pas ke-68

    Oleh BADLISHAH MAT

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir ke Muktamar Tahunan Pas kali ke-68 di Kompleks Pas Kedah, hari ini.

    Muktamar membuka tirai hari ini setelah dua hari muktamar sayap-sayap parti dijalankan di sekitar negeri Kedah sejak Khamis lalu.

    Sesi hari pertama yang bermula kira-kira pukul 9 pagi ini dimulakan dengan pemeriksaan perbarisan kehormat Jabatan Amal oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

    Abdul Hadi akan menyampaikan ucapan dasar beliau pagi ini yang dinantikan oleh ahli dan perwakilan parti itu terutama dalam soal perpaduan ummah dan Muafakat Nasional (MN).