PRESIDEN Pas, Abdul Hadi Awang menganggap sumpah baiah yang diamalkan terhadap calon parti itu pada setiap pilihan raya lebih berkesan berbanding rang undang-undang (RUU) antilompat parti yang baru diperkenalkan.

Tegas beliau, walaupun sifat iman dan takwa terletak dalam hati manusia, namun Islam menetapkan bahawa tiada siapa pun yang dapat mengatasi hukumnya.

“Perkara ini ditegaskan dalam perlembagaan Pas bahawa hukum Allah dan rasulnya adalah sumber tertinggi yang mewajibkan kepada para pemimpin utama dan calon pilihan raya untuk melafazkan sumpah dan baiah, sehingga mengatasi segala undang-undang bagi memelihara integriti.

“Langkah ini lebih berkesan daripada undang undang lompat parti yang baru sahaja diperkenalkan,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar presiden sempena Muktamar Pas ke-68 di Kompleks Pas, Kota Sarang Semut, Alor Setar, hari ini.

Turut hadir Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Chai.

Pada 28 Julai lalu, Dewan Rakyat meluluskan RUU antilompat parti yang menggariskan tindakan terhadap ahli parlimen yang berbuat demikian.

RUU berkenaan antara lain menyatakan ahli parlimen akan kehilangan kerusi jika mereka bertindak keluar parti atau tidak lagi menjadi ahlinya, namun ahli parlimen yang dibuang parti tidak akan hilang kerusi.

Untuk rekod Pas sejak sekian lama mengamalkan baiah iaitu sumpah taat setia kepada parti dengan bersumpah atas nama Allah.

Ia bagi menghalang wakil rakyatnya meninggalkan parti itu dan menyertai parti lain selepas menang dalam pilihan raya.

Sementara itu, Abdul Hadi berkata, Pas sepatutnya diberi lebih kepercayaan dengan adanya ikatan baiah yang menurutnya lebih hebat daripada undang-undang yang ‘luput tarikhnya’.

Malah tegas Ahli Parlimen Marang itu, wakil rakyat yang tidak memelihara integriti pasti akan melompat sendiri kerana kepanasan walaupun ‘berada dalam bilik berhawa dingin’, atau dipecat ekoran masalah disiplin.

“Parti tidak rosak, terus maju dan subur berkembang, sentiasa menambahkan ahli, kawasan, cawangan dan penyokong.

“Pas membuktikan pelaksanaan yang berkesan dapat dilaksanakan di negeri-negeri yang diperintah di Kelantan, Terengganu dan Kedah, dan melalui beberapa kementerian yang ditugaskan walaupun dengan bidang kuasa yang terbatas,” katanya memetik laporan MalaysiaKini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here