SEORANG warga emas dipercayai terjatuh di Sungai Kedah di Alor Setar, semalam, ditemukan lemas hari ini.

Lelaki berusia 65 tahun itu ditemukan pihak bomba terapung berhampiran muara sungai tersebut pukul 7.01 pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan menggunakan kaedah pencarian di permukaan air.

“Mayat lelaki itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat lelaki itu dan operasi mencari dan menyelamat sudah selesai.

Dalam kejadian semalam, lelaki itu dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Kedah, kira-kira 10 pagi.

Berdasarkan maklumat daripada anak, lelaki itu adalah pesakit psikiatri dan mendapat rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar, namun tidak pernah keluar merayau seorang diri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here