Author: Wartawan WartaRakyat

  • Warga emas maut dalam kebakaran rumah bersebelahan tokong

    Warga emas maut dalam kebakaran rumah bersebelahan tokong

    SEORANG lelaki warga emas ditemukan maut selepas terperangkap dalam kebakaran membabitkan dua rumah dan sebuah tokong di Jalan Merah 1/4, Bukit Merah, Menglembu di Ipoh, hari ini.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memberitahu, mangsa, Loo Kin Chan@Loo Kok Chan, 78, ditemukan dalam salah sebuah rumah terbabit dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

    “Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pukul 5.25 pagi.

    “Kebakaran melibatkan dua rumah kelas B yang masing-masing musnah terbakar 80 peratus dan sebuah tokong terbakar 20 peratus.

    “Anggota bertindak membuat pemadaman dengan menggunakan aliran air. Operasi turut dibantu oleh pasukan daripada BBP Ipoh hingga api berjaya dipadam sepenuhnya,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada jam 8.55 pagi

  • Najib kekal sebagai Ahli Parlimen Pekan – Azhar Azizan

    Najib kekal sebagai Ahli Parlimen Pekan – Azhar Azizan

    STATUS Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Ahli Parlimen Pekan buat masa ini tidak berubah, kata Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.

    Memetik laporan Astro Awani, Azhar berkata, berikutan petisyen pengampunan telah difailkan dalam tempoh 14 hari daripada tarikh keputusan Mahkamah Persekutuan, kuat kuasa kehilangan kelayakan sebagai Ahli Parlimen hanya akan dimuktamadkan apabila petisyen pengampunan yang difailkan 2 September lalu dibereskan atau ditolak.

    “Ini bermakna status Yang Berhormat Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak sebagai Ahli Parlimen Pekan pada masa ini tidak berubah dan akan hanya dimuktamadkan apabila petisyen pengampunan itu dibereskan,” kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

    Mengulas lanjut, Azhar Azizan berkata, mengikut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, mana-mana Ahli Parlimen yang disabit atas kesalahan oleh mahkamah di Persekutuan dan dihukum penjara untuk tidak kurang daripada setahun atau didenda sebanyak kurang RM2,000, individu berkenaan akan hilang kelayakan sebagai seorang Ahli Parlimen.

    Jelas beliau, kuat kuasa Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan adalah tertakluk kepada 48(4) Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 53(2) Perlembagaan Persekutuan

    Beliau dalam masa sama memaklumkan menerima serahan beberapa dokumen termasuk salinan permohonan pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan ke atas Najib, bertarikh 1 September.

    Turut diterima ialah salinan surat daripada Tetuan Shafee & Co bertarikh sama, yang melampirkan permohonan pengampunan tersebut yang diaku terima oleh Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri pada 2 September.

    Selain itu, Azhar Azizan juga menerima salinan Perintah Jenayah termeterai masing-masing bagi kes rayuan Najib di Mahkamah Persekutuan bertarikg 23 Ogos 2022.

    Mahkamah Persekutuan sebelum ini mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib, yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

  • Kes rasuah, AMLA: Mahkamah kekal 9 daripada 13 pertuduhan terhadap Abdul Azeez

    Kes rasuah, AMLA: Mahkamah kekal 9 daripada 13 pertuduhan terhadap Abdul Azeez

    MAHKAMAH Rayuan sebulat suara menolak permohonan rayuan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim untuk membatalkan 13 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapinya.

    Hakim Datuk Abu Bakar mewakili panel tiga hakim ketika membacakan keputusan itu berkata, mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan perayu untuk membatalkan empat pertuduhan melibatkan pengubahan wang haram.

    Dengan keputusan itu, Abdul Azeez hanya akan meneruskan perbicaraan untuk sembilan pertuduhan ketka sebutan kes pada 7 September ini di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

    Pada Januari 2019, Ahli Parlimen Baling itu didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 13 pertuduhan berkaitan projek pembinaan lebuh raya dan naik taraf jalan raya di Kedah dan Perak.

    Ia membabitkan tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta dan 10 pertuduhan pengubahan wang haram.

    Projek tersebut melibatkan Lebuhraya Persisiran Pantai Baru, kerja-kerja menaik taraf Jalan Persekutuan FT005 (Teluk Intan ke Kampung Lekir, Perak).

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di Bank CIMB cawangan Menara UAB pada 8 Disember 2010 dan Affin Bank Berhad, Setiawalk, Pusat Bandar Puchong, Selangor pada 13 Jun 2017 serta 10 April 2018.

    Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Abdul Azeez didakwa melakukan kesalahan itu di Lembah Klang di antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018, lapor Astro Awani.

  • Sehari selepas dimasukkan ke hospital, Najib hadir di mahkamah

    Sehari selepas dimasukkan ke hospital, Najib hadir di mahkamah

    DATUK Seri Najib Razak hadir di mahkamah hari ini walaupun sebelum ini dilapor dimasukkan ke hospital bagi menjalani pemeriksaan kesihatan.

    Bekas Perdana Menteri itu
    yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang tiba sekitar pukul 8.50 pagi di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Najib, 69 tahun, dilihat memakai sut berwarna gelap dan diiringi pegawai penjara bagi menghadiri prosiding di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, lapor Astro Awani.

    Turut kelihatan hadir, isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

    Semalam media melaporkan, pegawai Najib mengesahkan beliau dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) baru-baru ini.

    Bagaimanapun, keadaan Najib dilapor stabil dan sedang melalui kesemua siasatan perubatan yang diperlukan.

    Najib menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.

  • Pendapatan pempengaruh sosial lebih banyak berbanding peguam

    Pendapatan pempengaruh sosial lebih banyak berbanding peguam

    JIKA anda bermimpi untuk memperoleh gaji sebanyak enam angka, mungkin sudah tiba masa anda membuat lebih banyak hantaran di Instagram.

    Mail Online melaporkan, pendapatan sejam bintang media sosial khasnya di United Kingdom (UK) kini lebih mahal berbanding peguam dan jurutera perisian.

    Dan menurut kajian, pempengaruh sosial UK menerima bayaran tertinggi di dunia.

    Pempengaruh sosial Britain menghasilkan pendapatan 117.48 pound (RM605) sejam atau 137,000 pound (RM705,513)jika mereka bekerja sepenuh masa.

    Ia lebih 30,000 pound (RM154,479) berbanding pendapatan seorang peguam iaitu 109,000 pound (561,274) manakala jurutera perisian dan akauntan masing-masing dibayar 136,000 pound (700,305) dan 101,000 pound (RM520,076).

    Future of Creativity Adobe menjalankan kajian terhadap 9,000 pencipta kandungan di Britain, Amerika Syarikar (AS),Sepanyol, Perancis, Jerman, Australia, Jepun, Korea Selatan dan Brazil.

    Ia mendedahkan semakin banyak masa diluangkan pempengaruh untuk berkongsi kandungan, semakin mereka rasa gembira.

    Kajian itu dibuat ketika beberapa pengaruh menghadapi tekanan untuk mengurangkan hantaran dalam talian selepas didapati ‘menjengkelkan’ orang ramai dengan menonjolkan gaya hidup mewah ketika kos sara hidup meningkat.

    Pemenang tempat kedua rancangan Love Island, Molly-Mae Hague, 23, dengan 6.4 juta pengikut Instagram, mencetuskan kontroversi kerana mengatakan ‘setiap orang mempunyai 24 jam yang sama setiap hari’ apabila bercakap tentang kejayaannya.

    Hague, pengarah kreatif jenama fesyen Pretty Little Thing, mempunyai nilai bersih 6 juta pound (RM30.8 juta).

    Dan bekas bintang Love Island, Megan Barton-Hanson, 28, dikatakan memperoleh pendapatan sehingga 800,000 pound (RM4,119,442) sebulan daripada hantaran OnlyFansnya.

  • Polis masih kesan pemandu Proton Wira Aeroback langgar pegawai Imigresen

    Polis masih kesan pemandu Proton Wira Aeroback langgar pegawai Imigresen

    Oleh BADLISHAH MAT

    POLIS masih mengesan pemandu kereta yang terbabit kejadian langgar lari sehingga menyebabkan kematian seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Kilometer 83.4 PLUS, Gurun di Kedah pagi semalam.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, pemandu kereta jenis Proton Wira Aeroback itu melarikan diri dari lokasi kejadian dan tidak tampil untuk membuat laporan sehingga kini.

    Katanya, kereta berwarna perak terbabit dengan nombor pendaftaran TAC 6688 itu berjaya dikesan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Plaza Tol Gurun ketika suspek melaluinya selepas kejadian.

    “Kita sedang meneliti dan menyemak nombor pendaftaran kereta untuk mengetahui sama ada pemiliknya sendiri yang memandu atau individu lain menggunakan kenderaan itu semasa kejadian,” katanya.

    Tambah beliau, orang ramai yang mengetahui maklumat pemandu dan kenderaan itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Juzaili Ismail di talian 019-5586668 atau Pejabat Pertanyaan Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kuala Muda di talian 04-4232222 untuk membantu siasatan.

    Kejadian pada 9.23 pagi semalam, Timbalan Penolong Pengarah Imigresen di Depot Tahanan Sementara Sungai Bakap, Muhammad Nizam Shamsudin, 46 maut di tempat kejadian apabila motosikal jenis Kawasaki KLE650 yang ditunggang di lorong kiri dilanggar dari belakang.

    Rempuhan kuat itu menyebabkan Muhamad Nizam hilang kawalan lalu terjatuh di lorong kecemasan sebelum disahkan meninggal dunia akibat kecederaan serius di kepala.

    Rakan setugas mangsa, Zaili Nizam Muhammad, 43, yang juga Tmbalan Penolong Pengarah Kanan Imigresen di depot sama sedang menunggang sebuah lagi motosikal jenis sama di belakang mangsa.

    Zaili Nizam mengalami patah kaki kanan selepas motosikalnya merempuh motosikal milik Muhammad Nizam.

    Sementara itu, Zaidy berkata, kedua-dua pegawai Imigresen dan suspek terbabit dipercayai dalam perjalanan ke Gurun ketika kejadian.

    6)

  • Pemandu e-hailing didakwa tikam bekas kekasih

    Pemandu e-hailing didakwa tikam bekas kekasih

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG pemandu e-hailing didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas pertuduhan menikam dan mencederakan bekas kekasihnya di Masai di sini pada 31 Ogos lalu.

    Tertuduh, Mohamad Noor Faiz Md. Hairi yang berusia 29 tahun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Siti Noraida Sulaiman.

    Bagi pertuduhan pertama, Mohamad Noor Faiz didakwa telah menikam bekas kekasihnya, Sheery Hazmah Yasib, 34, di Apartment Meridin

    Bayvue, Taman Sierra Perdana, Masai dengan sebilah pisau pada jam 12.57 tengah hari, 31 Ogos lalu.

    Atas pertuduhan itu, tertuduh boleh didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan dikenakan penjara selama 20 tahun atau boleh dihukum mati jika kecederaan dilakukan tertuduh serta tertakluk kepada hukuman penjara seumur hidup.

    Pertuduhan kedua pula, dia didakwa mencederakan mangsa yang bekerja sebagai akauntan menggunakan sebilah pisau di lokasi dan masa yang sama.

    Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama 20 tahun dan denda atau sebat.

    Dalam rayuannya, tertuduh memohon agar jaminan terhadap dirinya dapat dikurangkan kerana hanya bekerja sebagai seorang pemandu e-hailing tanpa pendapatan tetap selain turut menanggung empat ahli keluarga.

    Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh dijamin sebanyak RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan, selain menetapkan beberapa syarat tambahan iaitu tertuduh dilarang berjumpa dengan mangsa atau saksi, tertuduh perlu melapor diri di Balai Polis berhampiran sebulan sekali dan juga perlu menyerahkan pasport antarabangsa miliknya.

    Siti Noraida kemudiannya menetapkan tarikh 6 November ini untuk sebutan semula kes bagi lantikan peguam dan juga penyerahan dokumen termasuk laporan perubatan mangsa.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Idayu Salim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • Serangan tikam secara rambang di Kanada ragut 10 nyawa

    Serangan tikam secara rambang di Kanada ragut 10 nyawa

    SEKURANG-KURANGNYA 10 orang terbunuh dan 15 lagi cedera akibat ditikam dalam kejadian di dua komuniti terpencil di wilayah Saskatchewan, tengah Kanada, semalam.

    BBC melaporkan mangsa ditemukan di 13 lokasi di komuniti James Smith Cree Nation dan kampung berhampiran, Weldon di wilayah itu.

    Penduduk diingatkan untuk mencari perlindungan ketika operasi memburu besar-besaran dilancarkan bagi memburu suspek.

    “Jangan tinggalkan lokasi selamat, berhati-hati ketika membenarkan orang tidak dikenali masuk kediaman anda,” ciap Polis Saskatchewan.

    Katanya, pusat pemeriksaan telahdiwujudkan untuk memeriksa identiti pengembara dan pemandu dingatkan tidak menumpangkan orang tidak dikenali.

    Perintah berkurung juga dikuatkuasakan di James Smith Cree Nation, sebuah komuniti dihuni kira-kira 2,000 orang penduduk.

    Penolong Pesuruhjaya Polis Diraja Kanada, Rhonda Blackmore berkata, polis kini memburu dua suspek yang disyaki terlibat dalam insiden itu.

    Menurutnya, selain 10 individu yang terbunuh, sebanyak 15 mangsa cedera dihantar ke beberapa hospital.

    “Kami sedang giat memburu kedua-dua suspek dan menyiasat lokasi kejadian,” kata Blackmore.

    Lapor AFP, amaran orang berbahaya yang menamakan suspek Damien Sanderson dan Myles Sanderson telah dikeluarkan.

    Blackmore berkata polis menerima panggilan pada pukul 5.40 pagi waktu tempatan mengenai insiden tikaman di James Smith First Nation, diikuti beberapa panggilan lagi berhubung insiden itu.

    Pihak berkuasa percaya “sesetengah mangsa menjadi sasaran suspek manakala yang lain diserang secara rawak.”

  • Dua nelayan ditemukan lemah selepas hilang malam tadi

    Dua nelayan ditemukan lemah selepas hilang malam tadi

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    DUA nelayan yang hilang di Sungai Telor, Kota Tinggi sejak malam tadi dijumpai selamat tetapi berada dalam keadaan lemah pada pagi tadi.

    Wan Nain Wan Abd. Kadir, 44 tahun dan Nik Norzi Abd. Rahman, 48 tahun, ditemukan anggota bomba pada jarak 700 meter pukul 7.40 pagi.

    Menurut Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, Kanan II Asmiza Zaini, mereka ditemukan di tepi jalan utama di Kampung Sungai Telor dan seorang daripadanya cedera.

    “Anggota bomba dari Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) EMRS merawat luka kaki mangsa sebelum diserahkan kepada polis,” katanya dalam satu kenyataan di Johor Bahru hari ini.

    Terdahulu katanya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada pukul 9.24 malam tadi.

    Susulan itu seramai tujuh anggota dari BBP berkenaan dikejarkan ke tempat kejadian dengan satu EMRS.

  • UMNO perlu bergerak ke hadapan, tumpu menang PRU15

    UMNO perlu bergerak ke hadapan, tumpu menang PRU15

    EXCO PEMUDA UMNO MALAYSIA, NOOR AZALEEN AMBROS MAHU PARTI ITU BERGERAK KE HADAPAN DALAM KES DAN ISU DATUK SERI NAJIB RAZAK DAN MEMBERI TUMPUAN KEPADA PILIHAN RAYA UMUM KE-15 (PRU-15). BERIKUT ADALAH KENYATAAN PENUH BELIAU YANG JUGA KETUA PEMUDA UMNO BAHAGIAN PASIR GUDANG.

    1. UMNO berhak untuk bersedih sebagai menzahirkan rasa simpati atas apa yang berlaku kepada Datuk Seri Najib.
    2. Justeru, sama-samalah kita terus berdoa agar keluarga Datuk Seri Najib diberi segala kekuatan dan ketabahan untuk berdepan dengan segala dugaan atas ketentuan ke atas beliau.
    3. Sejarah panjang UMNO telah membuktikan bahawa UMNO dan segala isi perjuangannya tidak sesekali terbelenggu dengan mana-mana individu.
    4. Bahkan, individulah yang terpaksa bersandar dan berpaut pada UMNO untuk bertaut dan bergayut pada dahan kuasa.
    5. Sejauh mana pun hebatnya karisma dan pengaruh individu dalam UMNO, bakti dan jasa yang ditabur hanya telah dimungkinkan kerana dokongan UMNO kepada mereka.
    6. Rentetan daripada apa yang berlaku ke atas DS Najib, UMNO perlu segera ‘move on’ dan mara.
    7. Situasi kini menjadikan UMNO tidak punya banyak pilihan. Dan pilihan yang ada pada UMNO pula sangat terhad.
    8. Segala tumpuan dan fokus tidak lain selain untuk menang mutlak dalam PRU-15. Dan segera ‘move on’ adalah antara pilihan terhad yang ada.
    9. Agar UMNO tidak terbelenggu dengan ‘the actual big picture’ yang perlu diberikan fokus dan tumpuan.
    10. Tatkala Datuk Seri Najib telah buktikan bahawa parti tidak pernah sesekali dijadikan alat atau perisai untuk beliau berlindung, apatah lagi membela diri.
    11. UMNO pula telah buktikan bahawa parti tidak juga sesekali kompromi soal nilai dan integriti.
    12. Segeralah ‘move on’ bagi menjamin kemenangan parti.
    13. Yang akan memungkinkan segala kepincangan institusi kini, termasuklah penumpuan kuasa berlebihan kepada Peguam Negara dapat diperbaiki.
    14. Bidang kuasa dan budi bicara Peguam Negara dan Pendakwa Raya perlu dicerai, dan dijadikan janji pembaharuan institusi oleh parti.

    Noor Azleen Ambros
    Exco Pemuda UMNO Malaysia