SEKURANG-KURANGNYA 10 orang terbunuh dan 15 lagi cedera akibat ditikam dalam kejadian di dua komuniti terpencil di wilayah Saskatchewan, tengah Kanada, semalam.

BBC melaporkan mangsa ditemukan di 13 lokasi di komuniti James Smith Cree Nation dan kampung berhampiran, Weldon di wilayah itu.

Penduduk diingatkan untuk mencari perlindungan ketika operasi memburu besar-besaran dilancarkan bagi memburu suspek.

“Jangan tinggalkan lokasi selamat, berhati-hati ketika membenarkan orang tidak dikenali masuk kediaman anda,” ciap Polis Saskatchewan.

Katanya, pusat pemeriksaan telahdiwujudkan untuk memeriksa identiti pengembara dan pemandu dingatkan tidak menumpangkan orang tidak dikenali.

Perintah berkurung juga dikuatkuasakan di James Smith Cree Nation, sebuah komuniti dihuni kira-kira 2,000 orang penduduk.

Penolong Pesuruhjaya Polis Diraja Kanada, Rhonda Blackmore berkata, polis kini memburu dua suspek yang disyaki terlibat dalam insiden itu.

Menurutnya, selain 10 individu yang terbunuh, sebanyak 15 mangsa cedera dihantar ke beberapa hospital.

“Kami sedang giat memburu kedua-dua suspek dan menyiasat lokasi kejadian,” kata Blackmore.

Lapor AFP, amaran orang berbahaya yang menamakan suspek Damien Sanderson dan Myles Sanderson telah dikeluarkan.

Blackmore berkata polis menerima panggilan pada pukul 5.40 pagi waktu tempatan mengenai insiden tikaman di James Smith First Nation, diikuti beberapa panggilan lagi berhubung insiden itu.

Pihak berkuasa percaya “sesetengah mangsa menjadi sasaran suspek manakala yang lain diserang secara rawak.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here