Author: Wartawan WartaRakyat

  • PBM tunggu keputusan rasmi BN, kata Zuraida

    PBM tunggu keputusan rasmi BN, kata Zuraida

    PARTI Bangsa Malaysia (PBM) sedang menunggu keputusan rasmi Barisan Nasional (BN) sama ada boleh menyertai gabungan itu atau sebaliknya.

    “Beberapa pertemuan yang diadakan bersama kepimpinan tertinggi BN menunjukkan hasil positif

    “Tunggulah pengumuman rasmi daripada kita atau BN tidak lama lagi, namun beberapa siri pertemuan yang diadakan menunjukkan hasil positif,” kata Presidennya, Datuk Zuraida Kamaruddin.

    Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis Pelancaran Nurseri dan Perladangan Komuniti di Plus IntervestSdn Bhd di Jempol hari ini.

    Sebelum ini, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir mengesahkan gabungan parti itu masih memperhalusi permohonan PBM untuk menjadi komponennya.

  • PRU-15:Belum tentu Razali melawan Muhyiddin di Pagoh

    PRU-15:Belum tentu Razali melawan Muhyiddin di Pagoh

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MASIH terlalu awal untuk menentukan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Razali Ibrahim bertanding di kerusi Parlimen Pagoh sekali gus bertembung dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pucuk pimpinan parti akan tentukan Razali bertanding di kawasan mana.

    “Ini memerlukan persetujuan kepimpinan tertinggi parti. Semua kerusi akan ditentukan pucuk pimpinan UMNO apabila sampai masanya,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

    Razali yang juga bekas Ahli Parlimen Muar dikatakan akan berpindah kawasan dan bertanding di Parlimen Pagoh sekali gus menyaksikan pertembungan dengan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu pada PRU-15.

    Kerusi Parlimen Pagoh kini disandang Muhyiddin yang menang pada PRU14 dengan majoriti 6,927 undi menewaskan calon Pas dan UMNO.

    Sementara Razali yang menang tiga penggal berturut-turut pada PRU-11, PRU-12 dan PRU-13 tewas pada PRU-14, dikalahkan oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menang dengan majoriti 6,953 atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR).

  • JKM kunseling pelakon remaja dakwa dicabul bapa-Rina Harun

    JKM kunseling pelakon remaja dakwa dicabul bapa-Rina Harun

    JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah mengadakan sesi kaunseling bersama pelakon remaja yang mendakwa dicabul bapanya, Isnin lalu.

    Pihak JKM turut membawa seorang kaunselor pada sesi menyantuni pelakon berkenaan di kediaman mangsa.

    Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, JKM sudah mengadakan sesi kaunseling dengan menyantuni pelakon itu dan mengambil beberapa tindakan susulan dari segi emosi dan sebagainya.

    “Pihak JKM juga akan mengadakan sesi kaunseling susulan selepas ini. Saya kira bapa dan pelakon itu juga masing-masing sudah membuat laporan polis, jadi biar pihak berkuasa jalankan siasatan mereka,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Dasar dan Pelan Tindakan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial Kebangsaan (Pekerti) 2022-2025 di Putrajaya, hari ini.

    Sementara itu, Ketua Pengarah JKM, Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata, pihaknya akan mengadakan sesi kaunseling seterusnya dalam masa terdekat.

    “JKM juga akan melihat bantuan lain yang sewajarnya kepada pelakon berkenaan yang turut memaklumkan pendapatannya ketika ini hanya ‘cukup makan’,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Ditanya desakan Presiden Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Malaysia, Datuk Dr. Raj Karim supaya pihak menemubual pelakon remaja itu dikenakan tindakan kerana mengeksploitasi golongan berkenaan demi mengejar tontonan yang tinggi, Shaharuddin berkata, perkara itu perlu diajukan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

    “Untuk tindakan mengikut Akta Kanak-Kanak, kita perlu memperhalusi dan bekerjasama dengan SKMM yang mempunyai bidang kuasa menyekat kandungan tertentu,” katanya.

    Baru-baru ini, pelakon remaja itu mendedahkan sikap buruk bapanya ketika ditemubual dalam satu program di YouTube.

    Pelakon remaja itu mendakwa bapanya melakukan gangguan seksual terhadapnya, selain turut memperlakukan ibunya dengan teruk.

    Selepas kisah itu tular, suspek yang menetap di Kedah membuat satu laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bandar Baharu pada Ahad lalu untuk menafikan dakwaan anaknya itu.

    Semalam, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat mengesahkan bapa pelakon terbabit ditahan pada pukul 2.25 petang, Selasa lalu.

    Wan Azlan berkata, suspek yang berusia 43 tahun ditahan di kediamannya di Kedah sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya.

    Katanya, polis turut merampas telefon bimbit milik suspek dan akan dihantar ke Jabatan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk dianalisa.

  • Kesilapan bank, lelaki terkejut dalam akaun ada RM222.7 bilion

    Kesilapan bank, lelaki terkejut dalam akaun ada RM222.7 bilion

    SEORANG lelaki di Louisiana terkejut selepas £43 bilion (RM222.7 billion) dimasukkan ke dalam akaun banknya secara tidak sengaja.

    Darren James berkata dia terpegun selepas isteri menghubunginya bahawa terdapat £43.4 bilion yang disalurkan secara tiba-tiba.

    Kesilapan yang aneh daripada pihak bank tersebut memberikan kekayaan sementara kepada James dan menjadikannya manusia ke-25 terkaya di dunia ketika itu.

    “Ia pelik kerana saya tak pernah melihat duit sebanyak itu dalam hidup saya.  Kami mula berfikir siapa yang akan datang mengetuk pintu rumah kami kerana kami tidak mempunyai kenalan sekaya itu ,” kata James kepada Channel FOX 9.

    Darren James

    Bagaimanapun James memahami bahawa wang itu bukan miliknya dan sebagai bekas penguatkuasa undang-undang dia memahami, kalau dia terus menyimpannya ia boleh dianggap mencuri.

    “Kami tahu duit itu bukan milik kami jadi kami tidak boleh buat apa-apa dengannya,” kata James yang merupakan ejen hartanah.

    James kemudiannya menghubungi Bank Chase bagi melaporkan apa yang berlaku.

    Bank itu tidak mendedahkan dari mana sumber wang berkenaan dan tidak menyatakan bagaimana kesilapan itu terjadi.

    James berkata jika dia diberikan rezeki untuk menerima wang sejumlah itu, dia akan cuba untuk membantu orang lain.

    “Saya akan gunakan untuk membantu orang lain – bagi orang harapan bahawa masih terdapat kebaikan di dunia ini. Itu impian saya,”

  • “Saya Masuk GV Bukan Sebab Duit” – Shila Amzah

    “Saya Masuk GV Bukan Sebab Duit” – Shila Amzah

    PENYERTAAN Shila Amzah dalam Gegar Vaganza musim ke-9 menerima kritikan ramai apabila ada yang mengatakan penyanyi itu tidak layak kerana masih aktif menyanyi.

    Memetik BH Online, Shila berkata, dia menyertai GV9 kerana mahu perbaiki diri serta menjadikan program itu tempat untuk berkarya.

    “Saya masuk GV9 bukan sebab duit. Ini kerana saya melihat program realiti ini boleh menjadi platform yang sesuai untuk seseorang penyanyi berkarya.

    “Sebelum ini, saya menyertai pertandingan seperti The Masked Singer dan Anugerah Juara Lagu, tetapi kedua-dua pertandingan itu mempunyai konsep berbeza,” katanya.

    Sudah lali dengan kritikan, Shila berkata dengan menyertai program tersebut sekaligus membantunya untuk meningkatkan keyakinan diri.

    “Setiap minggu kita akan cuba menampilkan persembahan terbaik dan mencabar kreativiti sendiri. Sebagai penyanyi, program GV9 membantu saya untuk lebih yakin, sekali gus memberi kepuasan kepada diri sendiri.

    “Jika nak cakap takut pada kritikan, saya sudah lalui pelbagai kontroversi. Saya juga tak kisah dikritik dari segi nyanyian kerana lebih baik kritikan soal kerja berbanding peribadi,” katanya.

    Dalam pada itu, Shila mengakui takut dengan penyingkiran namun dia akan tetap bersikap positif jika perjalanannya dalam pertandingan itu terhenti ataupun tewas.

    “Selalunya perkara paling saya takut menyertai pertandingan adalah penyingkiran. Jika boleh saya nak elak perkara ini berlaku pada saya. Seandainya tewas saya tetap bangga sebagai peserta paling muda dan bersaing bukan dengan calang-calang penyanyi,” katanya.

  • Tiga rakan mengaku tidak bersalah tipu ahli perniagaan

    Tiga rakan mengaku tidak bersalah tipu ahli perniagaan

    TIGA rakan didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini, atas tuduhan menipu seorang ahli perniagaan berhubung permit kerja warga asing membabitkan jumlah RM192,000, tiga tahun lalu.

    Tertuduh, Tan Teck Loke, 41, Shah Effendy Wahyu, 40, dan S. Sellathurai, 59, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohd. Zulhilmi Ibrahim.

    Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama menipu Lim Zhen Peng, 31, dengan memperdayakannya untuk percaya bahawa mereka boleh menguruskan permit kerja warga asing dengan mengemukakan 32 visa dan Visa Dengan Rujukan (VDR) daripada Jabatan Imigresen yang kononnya telah diuruskan, sedangkan urusan itu tidak wujud.

    Perbuatan tertuduh itu mendorong mangsa membayar RM192,000 secara berperingkat melalui bank milik tertuduh pertama, Teck Loke dan mangsa tidak akan membayar jika tahu dia diperdayakan sedemikian, lapor Harian Metro.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Nakhoda 16, Taman Ungku Tun Aminah, Skudai di sini, antara 7 Ogos hingga 27 Ogos 2019.

    Bagi perbuatan itu, ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir menawarkan jaminan sebanyak RM30,000 terhadap ketiga-tiga tertuduh, namun dibantah barisan peguam yang mewakili mereka.

    Peguam Goh Sze Han yang mewakili Teck Loke berkata, anak guamnya yang juga seorang perunding projek hanya berpendapatan RM4,000 sebulan dan menanggung dua anak kecil masing-masing berusia enam dan lapan tahun.

    Shah Effendy pula yang diwakili peguam Mohamad Azrulsani Othman bekerja sebagai penjual air di Kuala Lumpur menanggung keluarga dengan tiga anak berusia 10, 12 dan 14 tahun.

    Peguam S. Selvam yang mewakili Sellathurai pula memberitahu tertuduh menjalankan perniagaan kedai runcit dengan pendapatan RM5,000.

    Ketiga-tiga peguam turut memberitahu semua tertuduh memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan kes itu dan tertuduh secara rela hadir ke balai polis apabila dipanggil pegawai penyiasat untuk memberi keterangan, semalam.

    Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Oktober depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

  • M Daud Kilau kritikal akibat paru-paru berair

    M Daud Kilau kritikal akibat paru-paru berair

    RAJA Gelek Malaysia, Datuk M. Daud Kilau, dimasukkan ke Hospital Teluk Intan (HTI) di Teluk Intan, selepas mengadu sesak nafas pad apukul 12 tengah malam tadi.

    Menurut anaknya, Ahmad Zaini, 51, berkata, bapanya yang berusia 84 tahun dibawa ke HTI sebelum doktor mengesahkannya dalam keadaan kritikal dan mempunyai masalah paru-paru berair.

    “Bapa saya kini dalam pemantauan doktor dan memerlukan bantuan pernafasan. Doktor mengesahkan pada keluarga bahawa Dato (Md Daud Kilau) kritikal (paru paru berair) pada 2 pagi.

    “Kami sekeluarga membenarkan doktor untuk membuat CPR (Bantuan Pernafasan Kecemasan) dan memasukkan tiub bagi membantu pernafasannya apabila jantungnya terhenti,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Kata Ahmad Zaini, bapanya masih memerlukan bantuan pernafasan dan dalam keadaan) separuh sedar tapi masih kritikal.

    Penyanyi lagu malar segar, Sirih Pinang dan Cek Mek Molek itu sebelum ini pernah dimasukkan ke HTI selepas mengadu sesak nafas dan menjalani prosedur pembedahan angioplasty di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur, dua tahun lalu.

  • PRU15: Blogger Cucu Mat Kilau terima 5 tawaran, bakal tanding 3 DUN di Pahang

    PRU15: Blogger Cucu Mat Kilau terima 5 tawaran, bakal tanding 3 DUN di Pahang

    BLOGGER kontroversi, Mohd. Shukri Mohd. Ramli atau lebih dikenali dengan gelaran Cucu Mat Kilau (CMK) memaklumkan akan bertanding di tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pahang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Menurut Mohd. Shukri, keputusan itu bukan lagi atas tiket calon Bebas, sebaliknya mewakili parti politik yang mempunyai jentera kuat.

    “Beberapa tawaran sudah diterima daripada parti politik seperti Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Gerakan Tanah Air (GTA) serta Parti Rakyat Malaysia untuk menjadi calon kerana mereka tidak mempunyai calon berwibawa.

    “Ada lima kapal (parti) yang boleh saya tumpang, sudah pastinya kapal yang ingin saya tumpang menuju ke pulau (kawasan) yang selamat. Saya tidak boleh tumpang kapal yang sudah bocor, nakhoda ada dua tiga sebab haluan bercelaru.

    “Saya kena buat pilihan tepat dalam masa terdekat. Selepas itu, saya akan dibawa untuk berjumpa kepimpinan parti yang telah dipilih dan mereka bawa usul ini ke dalam mesyuarat negeri untuk buat ketetapan,” katanya ketika sidang akhbar di Kuantan, hari ini.

    Mohd. Shukri sebelum ini adalah ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum mengumumkan keluar daripada parti itu pada Februari 2011.

    Beliau pernah bertanding pada PRU-12 di kerusi DUN Kemayan dalam Parlimen Bera; kerusi DUN Semambu (Parlimen Indera Mahkota) pada PRU-13 dan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chini pada tahun 2020.

    Mohd. Shukri berkata, beliau sedang memilih kerusi bakal ditandingi dalam PRU15 akan datang seperti yang ditawarkan.

    Katanya, lima tawaran kerusi DUN antaranya Chenor, Pulau Tawar, Teruntum, Semambu dan Pulau Manis, namun sasarannya adalah kerusi DUN Teruntum, DUN Semambu dan DUN Pulau Manis.

    “Saya pilih tiga kerusi DUN di Parlimen Kuantan dan Pekan ini sebab lebih mudah hendak suarakan masalah rakyat Pahang, tapi kalau ditawarkan juga (bertanding) kerusi Parlimen, saya tidak menolak.

    “Konsep saya tidak mahu kacau rumah tangga yang sudah ada, tetapi jika pemimpin atas bersungguh untuk saya bertanding kerusi Parlimen saya menerimanya,” ujar beliau sebagaimana dilaporkan Sinar Harian.

    Ditanya kenapa tidak menyertai Pejuang dan GTA, Mohd. Shukri berkata, keputusan muktamad menyertai mana-mana parti masih belum dibuat, jadi beliau bebas mempertimbangkan gabungan mana paling sesuai dengan agenda perjuangannya.

    “Saya ada bertemu dengan (Datuk Seri) Mukhriz Mahathir (Presiden Pejuang) dan (Datuk Dr.) Ibrahim Ali (Presiden Putra) baru-baru ini, dan mereka ada mempelawa saya bersama mereka.

    “Kemungkinan itu masih ada, tapi semua pilihan masih di atas meja dan bila sampai masa, saya akan umum,” tegas Mohd. Shukri.

    Dalam pada itu, Mohd. Shukri turut membayangkan untuk bersara dari dunia politik jika tewas dalam PRU-15.

    “Ini adalah percubaan terakhir saya, jika kalah juga, maknanya saya sudah ‘tak laku’ dan bolehlah saya tumpukan kepada kerja lain.

    “Sejak terbabit dalam politik pada tahun 1998, saya tidak pernah menyesal dalam memperjuangkan nasib rakyat serta isu alam sekitar.

    “Tahun ini agak mencabar bagi saya kerana disaman RM1 juta oleh kerajaan Pahang akibat pendedahan saya buat berkaitan isu banjir di sekitar Bentong hujung tahun lalu,” katanya.

  • PRU15: PN Selangor sepakat formula agih kerusi

    PRU15: PN Selangor sepakat formula agih kerusi

    PERIKATAN Nasional (PN) secara asasnya telah selesai melakukan rundingan pembahagian kerusi antara parti komponen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Gerakan bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).

    Naib Pengerusi PN Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, kesepakatan itu dicapai melalui satu formula agihan kerusi yang melihat Bersatu serta Pas masing-masing bertanding sembilan Parlimen, manakala Gerakan empat.

    “Kita setuju pada dasarnya di mana kawasan Pas nak bertanding kita beri kepada Pas, dan Bersatu ambil kawasan yang nak bertanding. Begitu juga dengan Gerakan,” katanya kepada FMT.

    Katanya, fokus gabungan itu ketika ini adalah memantapkan kerjasama jentera tiga parti Bersatu, Pas dan Parti Gerakan (Gerakan) di peringkat kawasan membabitkan 22 Parlimen seluruh Selangor.

    “PN Selangor juga telahpun menubuhkan pengerusi badan perhubungan kawasan di semua kawasan Parlimen dan kita sedang berusaha untuk menubuhkan jentera di peringkat kawasan Parlimen melibatkan tiga parti (iaitu) Pas, Bersatu dan Gerakan,” katanya.

    Rashid berkata, gelombang kerusi majoriti Melayu yang sebelum ini memihak kepada PH tidak lagi berlaku, dan peluang PN untuk menang cerah di samping sokongan kerusi bukan Melayu semakin meningkat.

    “Kalau berdasarkan PRU-14 kebanyakan kawasan Melayu…sokong PH, kerana ada tsunami disebabkan kelemahan yang dilakukan pemimpin UMNO waktu itu. Jadi sekarang ini tsunami kepada PH tidak ada lagi, peluang PN menang ada.

    “Kita juga akan jadikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri kerana kita tahu semasa Muhyiddin menjadi Perdana Menteri pelbagai usaha dilakukan dalam usaha membawa negara keluar dari wabak Covid-19 termasuk pelbagai bentuk bantuan diberikan, jadi rakyat melihat semua itu,” katanya.

    PN Selangor diketuai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam menghadapi PRU-15.

  • APMM tahan 2 bot tunda dikendali warga Myanmar, Indonesia

    APMM tahan 2 bot tunda dikendali warga Myanmar, Indonesia

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Perak menahan dua bot nelayan tempatan (BNT) kelas B, pada kedudukan 5.3 dan 5.2 batu nautika barat daya Tanjung Lomba-Lomba, Isnin lalu.

    Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohd Hambali Ya’akup berkata, tangkapan dilakukan semasa pihaknya melakukan rondaan rutin di sekitar perairan Pulau Sembilan.

    Menurutnya, hasil pemeriksaan awal pukul 7.15 pagi Isnin mendapati, bot pertama dikendalikan tiga kru termasuk tekong warga tempatan.

    “Seorang kru warga Indonesia dan seorang Myanmar, berumur lingkungan 41 hingga 49 tahun, sedang menangkap ikan kurang dari lapan batu nautika.

    “Pemeriksaan lanjut mendapati, kedua-dua kru warga asing itu tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya memetik laporan Astro Awani, hari ini.

    Beliau berkata, hasil pemeriksaan bagi tangkapan bot kedua pula mendapati, bot yang dikendalikan tiga kru termasuk tekong warga tempatan dan dua orang kru warga Indonesia berumur lingkungan 38 hingga 55 tahun juga melakukan kesalahan yang sama.

    “Tekong dan kru disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen dengan melakukan aktiviti menangkap ikan kurang daripada jarak yang dibenarkan dan Akta Imigresen 1959/63.

    “Kesemua kru, bot serta 300 kilogram ikan pelbagai jenis dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Kampung Acheh, Sitiawan untuk proses penahanan, siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.

    Dalam perkembangan lain, APMM Perak berjaya menahan sebuah bot pukat tunda kelas B pada kedudukan 8.8 batu nautika barat Pulau Talang, Perak sekitar pukul 10.30 pagi pada 2 September lalu.

    Katanya, bot berkenaan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 iaitu menggunakan warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan dan Akta Imigresen 1959/63.