TIGA rakan didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini, atas tuduhan menipu seorang ahli perniagaan berhubung permit kerja warga asing membabitkan jumlah RM192,000, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Tan Teck Loke, 41, Shah Effendy Wahyu, 40, dan S. Sellathurai, 59, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohd. Zulhilmi Ibrahim.

Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama menipu Lim Zhen Peng, 31, dengan memperdayakannya untuk percaya bahawa mereka boleh menguruskan permit kerja warga asing dengan mengemukakan 32 visa dan Visa Dengan Rujukan (VDR) daripada Jabatan Imigresen yang kononnya telah diuruskan, sedangkan urusan itu tidak wujud.

Perbuatan tertuduh itu mendorong mangsa membayar RM192,000 secara berperingkat melalui bank milik tertuduh pertama, Teck Loke dan mangsa tidak akan membayar jika tahu dia diperdayakan sedemikian, lapor Harian Metro.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Nakhoda 16, Taman Ungku Tun Aminah, Skudai di sini, antara 7 Ogos hingga 27 Ogos 2019.

Bagi perbuatan itu, ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir menawarkan jaminan sebanyak RM30,000 terhadap ketiga-tiga tertuduh, namun dibantah barisan peguam yang mewakili mereka.

Peguam Goh Sze Han yang mewakili Teck Loke berkata, anak guamnya yang juga seorang perunding projek hanya berpendapatan RM4,000 sebulan dan menanggung dua anak kecil masing-masing berusia enam dan lapan tahun.

Shah Effendy pula yang diwakili peguam Mohamad Azrulsani Othman bekerja sebagai penjual air di Kuala Lumpur menanggung keluarga dengan tiga anak berusia 10, 12 dan 14 tahun.

Peguam S. Selvam yang mewakili Sellathurai pula memberitahu tertuduh menjalankan perniagaan kedai runcit dengan pendapatan RM5,000.

Ketiga-tiga peguam turut memberitahu semua tertuduh memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan kes itu dan tertuduh secara rela hadir ke balai polis apabila dipanggil pegawai penyiasat untuk memberi keterangan, semalam.

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Oktober depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here