Author: Wartawan WartaRakyat

  • Latiff dakwa difitnah, hantar surat peguam kepada juruaudit projek LCS

    Latiff dakwa difitnah, hantar surat peguam kepada juruaudit projek LCS

    PEGUAM kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Latiff Ahmad telah menghantar surat tuntutan kepada juruaudit di sebalik laporan audit forensik yang melibatkan beliau  dalam projek kapal tempur pesisir (LCS).

    Portal Malaysiakini melaporkan, firma guaman Chetan Jethwani & Co, melalui surat tuntutannya bertarikh 7 Sept, menuntut juruaudit menarik balik kenyataan berunsur fitnah dalam tempoh 48 jam atau menghadapi tindakan undang-undang dan mengeluarkan permohonan maaf kepada Latiff.

    Ketika dihubungi awal hari ini, peguam Chetan Jethwani mengesahkan bahawa firmanya menghantar surat tuntutan kepada Pengarah Alliance IFA (M) Sdn Bhd Prabhat Kumar.

    Bagaimanapun katanya berkata pihak yang diwakilinya masih belum menerima sebarang maklum balas daripada juruaudit berkenaan.

    “Kami boleh mengesahkan ada surat tuntutan (yang dihantar kepada juruaudit), tetapi kami belum menerima maklum balas lagi. Saya bukan dalam kedudukan untuk mendedahkan kandungan surat tuntutan itu, ia adalah sulit,” katanya.

    Semalam, dilaporkan Latiff mengancam prosiding undang-undang terhadap audit forensik mengancam untuk memulakan prosiding undang-undang terhadap juruaudit jika dia ‘gagal, enggan atau lalai’ untuk menjawab dalam tempoh 48 jam mulai 7 Sept.

    “Kamu akan sedar bahawa kenyataan kamu adalah tidak benar dan sangat memfitnah anak guam kami (Latiff), mengheret anak guam kami ke dalam skandal awam dan menjadi perkara mendesak.

    “Kenyataan kamu telah menyebabkan banyak isu terhadap keluarga anak guam kami dan rakyat yang diwakilinya,’’ Chetan dipetik berkata dalam surat tuntutan itu.

    Chetan merujuk pelbagai kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berdasarkan laporan audit forensik, yang dibuat secara dalam talian berikutan keputusan Kabinet untuk menukar status klasifikasi sulit pada 17 Ogos.

    Rafizi mendakwa Zainab Mohd Salleh – wanita yang dikatakan di belakang dua syarikat luar pesisir dikaitkan dengan projek LCS – sebagai isteri kedua Abdul Latiff. Pun begitu, menteri itu telah menyangkal dakwaan Timbalan Presiden PKR itu.

    Laporan audit itu atas arahan Boustead Heavy Industries Corporation (BHIC), syarikat induk Boustead Naval Shipyards (BNS), kontraktor utama projek LCS.

    Surat itu menuntut Prabhat menulis ke BHIC untuk membuat pembetulan apa yang didakwanya sebagai kandungan tidak tepat dalam laporan forensik.

    “BHIC tidak sepatutnya memberikan laporan yang salah kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara,” kata Chetan.

  • Neelofa nafi bayi tular di TikTok anaknya

    Neelofa nafi bayi tular di TikTok anaknya

    PEJAM celik, Muhammad Bilal kini sudah mencecah tujuh bulan dan sememangnya ramai yang menantikan untuk melihat wajah anak sulung kepada selebriti terkenal, Neelofa.

    Baru-baru ini tular foto di kongsikan seorang pengguna TikTok yang bertanyakan adakah bayi tersebut merupakan anak kepada selebriti itu.

    Menerusi perkongsian itu, pengguna tersebut dilihat menjawab persoalan daripada pengikutnya yang meminta untuk berkongskan wajah sebenar Bilal.

    Tidak menyatakan kesahihan gambar tersebut, pengguna itu bertanyakan semula adakah bayi tersebut sama ada anak kepada selebriti itu atau tidak.

    Perkongsian pengguna itu mendapat perhatian Neelofa yang tampil meninggalkan komen. Neelofa memuji kecomelan bayi itu namun menafikan gambar itu adalah anaknya, menurut SatuBerita memetik laporan Rotikaya.

    Sementara itu, netizen lain turut meninggalkan komen mendakwa perempuan di dalam gambar tersebut adalah adik kepada suami Neelofa iaitu PU Riz namun bersama anak buahnya. Malah, perempuan dalam gambar tersebut dipercayai adik kepada PU Riz turut menjawab bahawa bayi tersebut bukan Bilal.

    Neelofa dan Haris mendirikan rumah tangga pada 27 Mac 2021. Pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Muhammad Bilal pada Januari lalu.

  • Laut China Selatan:  ‘’Kenapa kita berdiam lagi’’ – ADUN Kota Sentosa

    Laut China Selatan:  ‘’Kenapa kita berdiam lagi’’ – ADUN Kota Sentosa

    ‘’Kita bukan hendak bergaduh atau lakukan provokasi sebaliknya tindak tanduk buli ini jangan kita biarkan.’’

    Itulah penegasan ADUN Kota Sentosa, Wilfred Yap Yau Sin ketika mengulas pencerobohan China di ruang udara dan perairan Malaysia di Laut China Selatan yang jelas mencabul kedaulatan negara ketika ini.

    Katanya, sebagai wakil rakyat, beliau sering berdepan dengan aduan nelayan semakin tertekan kerana mata pencarian mereka terjejas dengan adanya aktiviti latihan ketenteraan di Laut China Selatan sehingga mereka berpatah balik.

    Wilfred Yap Yau Sin

    “Ada juga kisah nelayan kita terpaksa beralih arah ke kawasan perikanan laut bergelora dan tidak begitu sesuai dengan kapasiti bot memandangkan tempat kebiasaan mereka kini ada banyak kapal peronda atau adanya latihan ketenteraan.

    “Terdapat juga dakwaan datang pula nelayan haram dari China lakukan aktiviti perikanan di kawasan pertikaian Kepulauan Spratley ini. Apakah ini semua tidak membimbangkan kita semua? Kedaulatan kita di ceroboh, rakyat kita hilang mata pencarian. Jangan diam diri yang akhirnya akan mudaratkan kita,’’ katanya

    Tegas beliau, kerajaan perlu mengambil pendirian tegas dengan tidak membiarkan aktiviti pencerobohan dan provokasi ketenteraan tidak berterusan di Laut China Selatan.

    “Mengapa kita berdiam lagi, kita perlu lakukan sesuatu untuk tangani ini dengan segera. Setiap negara ada kedaulatan yang perlu dijaga dan dihormati,’’ tegas beliau lagi.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Alwa Dris pula be`rkata, Malaysia mesti berani menyatakan pendirian berhubung isu keselamatan perairan negara.

    Wisma Putra kata Alwa, tidak seharusnya mengambil sikap berdiam diri berhubung isu itu kerana ia hanya akan meningkatkan lagi kebimbangan rakyat di Sabah dan Sarawak yang berdepan pencerobohan itu.

    “Wisma Putra harus lebih tegas dalam menangani isu pencabulan kedaulatan negara ketika ini, kita jangan berkompromi dalam perkara itu,’’ tegasnya.

    Alwa Dris

    Beliau berkata, isu tersebut sudah banyak kali dibangkitkan oleh wakil rakyat dari Sabah dan Sarawak sejak beberapa tahun kebelakangan ini, namun tiada penyelesaian konkrit malah terus berlarutan.

    Tambah Alwa, sepatutnya sudah tiba masanya untuk tindakan diambil bagi menangani isu itu dan bukannya terus berdiam diri hanya kerana mahu menjaga hati segelintir pihak.

    Tegas  beliau, Laporan Ketua Audit Negara Siri 3 (2018) telah memberi amaran melalui angka pencerobohan oleh China sebanyak 89 kali bermula pada 2016 hingga 2019.

    ‘’Manakala media antarabangsa CNN pula pernah melaporkan Kementerian Luar China menggambarkan latihan ketenteraannya di Laut China Selatan diadakan dalam wilayah negaranya,’’ kata Alwa.

  • Mayat remaja perempuan ditemukan tersangkut celah batu

    Mayat remaja perempuan ditemukan tersangkut celah batu

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    REMAJA perempuan yang hilang semasa mandi bersama-sama lima rakannya di Pantai Tanjung Balau, Bandar Penawar, Kota Tinggi pagi tadi sudah dtemukan mayatnya di celah batu.

    Mayat Nurish Qhalisya Suhailizam yang berusia 13 tahun ditemukan pada pukul 2.37 petang tadi.

    Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, mangsa ditemui pasukan penyelamat pada jarak kira-kira 50 meter dari lokasi mangsa yang berusia 13 tahun itu dilaporkan lemas.

    “Mayat dijumpai tersangkut di celah batuan di kawasan lokasi penemuan. Untuk makluman, lokasi kejadian ini ada terdapat kawasan berbatu.

    “Mangsa telah dicamkan oleh ahli keluarga dan kini dihantar ke Hospital Kota Tinggi (HKT) bagi proses bedah siasat dan operasi mencari serta menyelamat sudah dihentikan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

    Dalam kejadian itu, selain Nurish Qhalisya, dua beradik, Mohd. Asyraf Syazwan Mohd. Fairuz, 7, dan Nur Azrin Syazwani, 13, dilaporkan kritikal dan kini dibawah pemantauan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HKT.

    Tiga lagi mangsa, Siti Alesya Qistina Mustafa, Siti Nur Alysya Abdullah dan Nur Zurin Hafeeza Mohd Azhari yang semuanya berusia 13 tahun dilaporkan selamat.

    Hussin berkata, siasatan awal mendapati mangsa dan lima yang lain datang ke pantai berkenaan untuk beriadah dan bermandi-manda.

    “Mereka yang terbabit dalam tragedi tersebut mendapat izin daripada ahli keluarga dan ketika kejadian, cuaca mendung dan air tenang, namun dipercayai sedang mulai surut,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai yang hadir ke kawasan rekreasi khususnya kawasan pantai, supaya berhati-hati dan menjaga keselamatan ahli keluarga agar musibah seperti ini tidak berulang.

  • M. Daud Kilau sudah sedar, mula makan seperti biasa

    M. Daud Kilau sudah sedar, mula makan seperti biasa

    ARTIS veteran tanahair, Datuk M. Daud Kilau yang dilaporkan kritikal selepas mengadu sesak nafas kelmarin, mula sedar dan mahu makan seperti biasa.

    Perkembangan itu disahkan anaknya, Ahmad Zaini, 51, dan memaklumkan, bapanya mula menunjukkan perkembangan positif berbanding sebelum ini.

    “Datuk sudah sedar dan boleh makan, semalam dia tak boleh makan dan minum,” katanya memetik laporan Astro Awani.

    Difahamkan sebelum ini beliau hanya diberi minum susu melalui saluran ke hidung.

    Sementara itu, isteri M. Daud Kilau, Datin Rohani Awang Ngah, 62, berkata, keadaan suaminya masih lemah.

    Bagaimanapun, katanya, penyanyi veteran itu sudah boleh diajak bersembang tetapi tidak lama.

    “Bila saudara mara datang, dia bersembang juga, tapi tidak boleh lama-lama. Bila dia rasa penat, dia akan pejamkan mata semula dan tidur,” ujarnya.

    Penyanyi berusia 84 tahun itu sebelum ini dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan telah dimasukkan ke Hospital Teluk Intan pada tengah malam Rabu selepas mengalami sesak nafas.

  • 6 kontraktor didakwa palsu dokumen tender kantin

    6 kontraktor didakwa palsu dokumen tender kantin

    ENAM kontraktor termasuk pasangan suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah di Tawau, hari ini atas pertuduhan memalsukan dokumen untuk mendapatkan tender menyewa dan menguruskan kantin sekolah rendah, lima tahun lalu.

    Tertuduh Masri Nulhadi, 45 dan isterinya, Asmah Moong, 42; Darwin Mohd.. Kembal, 32; Mohd. Nasir Mohammad, 34; Abdul Jalil Mohd Hassan, 52, dan Mohd Hafiz Irawan, 34, membuat pengakuan itu dan memohon untuk dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

    Mereka didakwa menggunakan dokumen palsu sebagai tulen untuk mendapatkan tender berkenaan bagi tempoh 1 Januari 2018 hingga 31 Disember 2019 di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Semporna antara 24 Oktober dan 1 November 2017.

    Kesemua tertuduh masing-masing berdepan dengan tiga pertuduhan kecuali Mohd Hafiz, yang didakwa dengan empat pertuduhan, lapor Harian Metro.

    Mereka didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 468 yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

    Bagaimanapun, hakim membenarkan kesemua tertuduh masing-masing diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin tempatan namun perlu membayar deposit RM5,000 kecuali Masri dan isterinya Asmah yang diperintahkan membayar deposit RM4,000.

    Tertuduh juga dikenakan syarat tambahan iaitu perlu melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Tawau setiap dua bulan serta dilarang mengganggu saksi.

    Mahkamah juga menetapkan 1 dan 2 Disember hadapan untuk serahan dokumen dan sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Rekhraj Singh, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

  • FELCRA Berhad laksana projek kedua Kompleks Ternakan Ayam Bersepadu di Padang Terap

    FELCRA Berhad laksana projek kedua Kompleks Ternakan Ayam Bersepadu di Padang Terap

    KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menerusi agensinya FELCRA Berhad melaksanakan projek kedua Kompleks Ternakan Ayam Bersepadu bernilai RM20 juta di Padang Terap.

    Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, projek ternakan ayam sistem tertutup di Kampung Kubang Palas itu dijadual mula beroperasi pada bulan Oktober tahun depan.

    “Pembinaan kompleks ternakan ayam ini merupakan strategi serampang dua mata yang tidak hanya memfokuskan kepada janaan ekonomi setempat sahaja, sebaliknya ia merupakan aktiviti bagi membantu menjamin keselamatan bekalan makanan dalam negara.

    Projek ini juga merupakan inisiatif untuk meningkatkan kualiti kehidupan yang lebih baik di kawasan luar bandar yang akan menyediakan pelbagai peluang pekerjaan selain menjana rantaian ekonomi.”

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan tapak dan taklimat Projek Ternakan Ayam di sini hari ini.

    Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Nerang, Mohammad Yusoff @ Munir Zakaria, Ahli Lembaga Pengarah FELCRA, Datuk Seri Ghazali Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA, Datuk Mat Roni Zakaria.

    Jelas Mahdzir, kompleks ternakan ayam itu dibina di atas tanah berkeluasan 10 hektar dan mampu mengeluarkan 250 ribu ekor ayam sepusingan atau 1.5 juta ekor setahun.

    “Saya menaruh harapan dengan pelaksanaan projek ini, anak-anak muda di Padang Terap tidak perlu lagi berhijrah ke bandar untuk bekerja sebaliknya boleh menetap di sini dan mendapatkan sumber pendapatan menerusi peluang pekerjaan yang ditawarkan.”

    Selain itu tambah Mahdzir, projek ternakan ayam itu turut memberi ruang kepada usahawan bimbingan FELCRA untuk terlibat secara aktif di dalam rangkaian pengeluaran dan pembekalan ayam.

    Untuk rekod, FELCRA turut melaksanakan projek Kompleks Ternakan Ayam Bersepadu yang pertama di Kampung Tanjung Seratus, Rompin, Pahang.

  • Dua maut, satu parah kereta masuk longkang

    Dua maut, satu parah kereta masuk longkang

    DUA remaja maut sementara seorang lagi rakan mereka parah apabila kenderaan dinaiki mereka hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam longkang di Jalan Pondok Labu-Taman Selasih, dekat Kulim, pukul 3.51 pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Kulim, Superitendan Mohd. Redzuan Salleh, semua mangsa menaiki kereta jenis Perodua Viva datang dari arah pekan Kulim ke Taman Selasih.

    Sebaik tiba di satu selekoh katanya, pemandu kenderaan dipercayai hilang kawalan lalu terbabas masuk ke longkang di bahu kanan jalan.

    “Pemandu dan penumpang hadapan berusia 18 tahun mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi penumpang di bahagian belakang mengalami kecederaan parah di muka dan kepala.

    “Mayat kedua-dua mangsa yang maut dihantar ke Hospital Kulim untuk bedah siasat sementara mangsa yang cedera dirujuk ke hospital sama untuk rawatan lanjut,” katanya memetik laporan Astro Awani.

    Mohd. Redzuan berkata, polis masih menyiasat dan mengenal pasti identiti ketiga-tiga mangsa.

    Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

  • Najib tarik balik saman terhadap kerajaan, teruskan saman Tommy

    Najib tarik balik saman terhadap kerajaan, teruskan saman Tommy

    DATUK Seri Najib Tun Razak menarik balik saman terhadap kerajaan Malaysia berhubung dakwaan menyalahgunakan kuasa dalam beberapa kes termasuk kesalahan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan menuntut ganti rugi lebih RM1.9 juta.

    Namun bekas Perdana Menteri itu meneruskan saman terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas selaku defendan pertama.

    Notis Pemberhentian itu difailkan oleh Tetuan Raj, Ong & Yudistra, peguamcara Najib selaku plaintif, semalam.

    Menerusi notis itu, Najib sepenuhnya menggugurkan tindakan saman terhadap defendan kedua, kerajaan Malaysia dengan tiada perintah mengenai kos.

    Ketika prosiding, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili Najib memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya mahu menghentikan saman sivil terhadap kerajaan, namun tiada sebarang alasan atas tindakan diambil anak guamnya itu.

    Sementara itu, peguam, Alan Adrian Gomez yang mewakili Thomas berkata, terpulang kepada plaintif untuk meneruskan atau menarik balik tindakan berkenaan.

    Susulan itu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Bache bertanya mengenai kesan yang akan timbul susulan penarikan balik saman itu terhadap defenden kedua.

    Alan berkata, meskipun kerajaan bukan lagi pihak yang disaman, ia masih disifatkan bertanggungjawab secara vikarius.

    Ahmad kemudiannya merekodkan penarikbalikan saman tersebut.

    Dalam prosiding ini, Najib yang hadir di mahkamah dengan memakai sut kelabu berkemeja putih, duduk dalam keadaan tetang di galeri awam serta diawasi pegawai dari Penjara Kajang.

    Turut kelihatan isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor.

    Sebelum ini, Najib memfailkan saman di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada 22 Oktober 2021 dengan menamakan Thomas dan kerajaan Malaysia selaku defendan pertama dan kedua.

    Dalam pernyataan tuntutan, Najib, 69, mendakwa beliau telah dituduh di mahkamah membabitkan kes 1MDB, International Petroleum Investment Company (IPIC), salah guna kuasa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) dan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

    Ahli Parlimen Pekan itu mendakwa pertuduhan-pertuduhan yang dikenakan terhadapnya sebahagian daripada perbuatan yang telah dirancang lebih awal oleh Thomas dan ia juga selaras dengan rancangan kerajaan Pakatan Harapan ketika itu.

  • Kontraktor ditahan polis, ugut penyelia tapak projek

    Kontraktor ditahan polis, ugut penyelia tapak projek

    HANYA kerana syarikatnya tidak dilantik untuk kerja baik pulih menurap jalan di sebuah sekolah di Semenyih menyebabkan seorang lelaki tergamak mengugut penyelia tapak.

    Bagaimanapun tindakan lelaki berusia 40 tahun itu mengundang padah apabila dia ditahan polis semalam.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pada pukul 9.32 pagi Selasa lalu, wanita berusia 27 tahun yang bekerja sebagai penyelia tapak ketika berada di pejabatnya di Pusat Perniagaan Taman Dagang menerima mesej suara melalui aplikasi WhatsApp dari suspek yang dikenali.

    Katanya, dalam mesej suara itu, suspek didakwa memaki hamun dengan perkataan lucah, berbaur perkauman serta diugut akan menyerangnya di tempat kerja.

    “Dipercayai punca kejadian, suspek tidak berpuas hati dengan mangsa berikutan tidak melantik syarikat suspek untuk menjalankan kerja-kerja baik pulih premis (penurapan tar jalan) di sebuah Sekolah di Semenyih.

    “Susulan itu, pada jam 1.15 tengah hari semalam, sepasukan polis menahan suspek bekerja sebagai kontraktor di tepi jalan Uranus U5/127, Shah Alam,” katanya, lapor Harian Metro, hari ini.

    Beliau berkata, turut dirampas telefon yang digunakan semasa kejadian.

    “Suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau dalam kesalahan dadah dan jenayah.

    “Suspek juga mempunyai rekod masih kehendaki bagi kesalahan dadah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban malah hasil ujian air kencing juga dapati positif dadah methamphetamine,” katanya.

    Menurutnya, suspek direman empat hari sehingga 11 September ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan.