ARTIS veteran tanahair, Datuk M. Daud Kilau yang dilaporkan kritikal selepas mengadu sesak nafas kelmarin, mula sedar dan mahu makan seperti biasa.
Perkembangan itu disahkan anaknya, Ahmad Zaini, 51, dan memaklumkan, bapanya mula menunjukkan perkembangan positif berbanding sebelum ini.
“Datuk sudah sedar dan boleh makan, semalam dia tak boleh makan dan minum,” katanya memetik laporan Astro Awani.
Difahamkan sebelum ini beliau hanya diberi minum susu melalui saluran ke hidung.
Sementara itu, isteri M. Daud Kilau, Datin Rohani Awang Ngah, 62, berkata, keadaan suaminya masih lemah.
Bagaimanapun, katanya, penyanyi veteran itu sudah boleh diajak bersembang tetapi tidak lama.
“Bila saudara mara datang, dia bersembang juga, tapi tidak boleh lama-lama. Bila dia rasa penat, dia akan pejamkan mata semula dan tidur,” ujarnya.
Penyanyi berusia 84 tahun itu sebelum ini dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan telah dimasukkan ke Hospital Teluk Intan pada tengah malam Rabu selepas mengalami sesak nafas.