Author: Wartawan WartaRakyat

  • KPM selesaikan 30 peratus isu pemilikan tanah tapak sekolah 

    KPM selesaikan 30 peratus isu pemilikan tanah tapak sekolah 

    HAMPIR 30 peratus pemilikan tanah daripada lebih 2,000 tapak sekolah bermasalah di seluruh negara sudah diselesaikan.

    Ia dilakukan Kementerian Pendidikan (KPM) melalui proses pemutihan ke atas pemilikan tanah yang digunakan untuk pembinaan sekolah di seluruh negara.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin, berkata semakan mendapati ada pembayaran premium bagi sesetengah tanah berkenaan sudah diselesaikan sejak 1980-an, namun kerajaan belum menerima geran daripada pemilik asal, menyebabkan pemilikan tidak ditukar.

    “Berikutan itu, projek dirancang kerajaan tidak dapat diteruskan.

    “KPM sudah selesaikan hampir 30 peratus. Bila saya masuk ke KPM, kita cuba memahami masalah asal mengapa projek (pembangunan) sangkut dan kita dapati antara komponen yang ada adalah isu membabitkan pemilikan tanah belum selesai.

    “Kami putuskan untuk melakukan pemutihan tanah ini dan ia dilaksanakan di seluruh negara, membabitkan lebih 10,000 sekolah.

    “Daripada jumlah itu, lebih 2,000 sekolah berdepan masalah status tanah,” katanya pada sidang media selepas Majlis Transformasi Pendidikan: Infrastruktur Pendidikan yang Selamat dan Kondusif, di Sekolah Alam Shah, memetik laporan BH Online.

    Beliau berkata, ada isu membabitkan tanah diwakafkan pemilik sudah lama meninggal dunia tanpa pemindahan hak milik tanah teratur, menyebabkan timbul masalah.

    Justeru, Radzi berkata, KPM bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi menyelesaikan semua masalah berkaitan pemilikan tanah terutama yang sudah selesai pembayaran sewajarnya.

    “Ia bagi memastikan semua perkara berbangkit tidak wujud pada masa depan dan pembinaan sekolah serta bangunan baharu dapat dilaksanakan dengan teratur.

    “Kita mahu menyusun sistem ini bagi memudahkan perancangan masa depan,” katanya.

    Ketika di Parlimen bulan lalu, Radzi memaklumkan KPM sedang menjalankan proses pemutihan ke atas pemilikan tanah yang digunakan untuk pembinaan sekolah di seluruh negara.

    Ia susulan banyak pemilikan tanah membabitkan pembinaan sekolah KPM yang sudah, sedang dan akan dilaksanakan dikenal pasti bukan milik Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) atau kerajaan.

    Beliau dilaporkan berkata, proses pemutihan perlu dibuat bagi memastikan semua pemilikan tanah bagi pembinaan sekolah seliaan KPM adalah milik JKPTG atau kerajaan.

  • Pemandu Grab tidak mengaku jadi ‘bapa ayam’

    Pemandu Grab tidak mengaku jadi ‘bapa ayam’

    SEORANG lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Georgetown hari ini atas empat pertuduhan menjadi dalang dalam kegiatan pelacuran bulan lalu.

    Tertuduh, Lee Eng Seng, 45, yang juga pemandu kenderaan e-hailling Grab membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Mohammad Khalid Abd. Karim.

    Mengikut kertas pertuduhan, Eng Seng didapati hidup sepenuhnya atau sebahagiannya daripada hasil persundalan di C.Y. Choy Heritage Hotel, No. 171 Jalan C.Y. Choy pada 30 Ogos lalu.

    Keempat-empat pertuduhan dilakukan di tempat dan tarikh yang sama antara pukul 5.55 petang hingga 8 malam.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 372A(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan sebat dan juga boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 untuk kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis terdekat setiap bulan sehingga kes selesai.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Shahrezal Mohd. Shukri manakala tertuduh diwakili peguam Tey Yi Kai.

    Mahkamah turut menetapkan 13 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

  • Khairy berseloroh akan bertanding di Kedah

    Khairy berseloroh akan bertanding di Kedah

    Oleh BADLISHAH MAT

    AHLI Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin secara berseloroh berkata, beliau mungkin bertanding di Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

    Khairy berkata demikian ketika ditanya sama ada beliau akan menerima pelawaan UMNO di negeri lain untuk bertanding kerusi Parlimen di tempat mereka.

    “Hari ini saya berada di sini untuk berbincang dan berunding dengan Yang Amat Berhormat Menteri Besar (Kedah). Mak saya daripada Kedah.

    “Ada mesejlah saya datang hari ini, macam-macam saya bawa hari ini,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pecah Tanah Projek Bangunan Tambahan Hospital Sultanah Maliha (HSM), di sini, hari ini.

    Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor juga secara berseloroh mengalu-alukan Khairy untuk bertanding di negeri ini.

    “Dialu-alukan. Ada sebut sebelum ini Alor Setar, tak dengar (berita itu)? Dekat Kedah, eloklah,” ujarnya.

    Semalam, Khairy berkata, beliau akan mengadakan perbincangan secara tertutup bersama Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mengenai siapa yang akan bertanding kerusi Rembau pada PRU15.

    Sebelum ini, Menteri Kesihatan itu mengunci mulut dan enggan mengulas mengenai cadangan untuk bertanding bagi kerusi Seremban pada pilihan raya itu.

    Laporan itu selepas beliau mengumumkan akan memberi laluan kepada Mohamad bagi kerusi Rembau dan akan mengikut keputusan parti tetapi menyatakan perkara ini akan menyebabkan beliau tiada tempat yang jelas untuk bertanding.

    Susulan itu, terdapat cadangan daripada Pemuda UMNO Seremban agar Khairy menjadikan Seremban sebagai pengganti kepada Rembau.

  • Ifa Raziah akur disingkirkan, tidak kisah diketawakan orang

    Ifa Raziah akur disingkirkan, tidak kisah diketawakan orang

    PENYANYI yang menerima kritikan dan kecaman ekoran nyanyiannya yang dikatakan sumbang baru-baru ini, Ifa Raziah terpaksa akur apabila tersingkir pada minggu keempat program realiti nyanyian, Terpaling Juara.

    Menerusi sebuah video yang dimuat naik di Instagram rasmi Terpaling Juara, Ifa berkata dirinya percaya bahawa rezeki masih ada diluar serta menganggap ianya sudah menjadi kebiasaaan dan adat pertandingan.

    Katanya, penyingkirannya seolah sudah dapat dijangkakan dan harus diterima dengan hati terbuka.

    “Setiap minggu, Ifa akan bersiap sedia untuk tersingkir, rezeki saya hanya setakat minggu keempat sahaja.

    “Ini la adatnya ada kalah dan menang, ada yang lebih bagus daripada kita”, jelasnya.

    Penyanyi yang berusia 47 tahun itu menyatakan dia percaya bahawa kecaman yang dilontarkan netizen kepadanya tidak akan melunturkan semangat kerana masih ramai yang memberikan sokongan terus bangkit di dalam industri.

    “Yang ketawakan aku pun macam itu juga hidup kau. Aku ada produk sendiri dan kaya juga,” ujarnya lagi.

    Menerusi tinjauan di ruangan komen media sosial, rata-rata netizen terus melontarkan kecaman selain memerli dengan meluahkan rasa syukur sebaik sahaja mendapat tahu penyanyi tersebut tidak layak ke minggu seterusnya.

    “Tengok terpaling juara sebab nak tunggu Ifa Raziah tersingkir je”, luah penguna Instagram, @_eyraaashazal di ruangan komen.

    “Alhamdulillah, tersingkir pun tetap berlagak,” ujar @arif_90.

    Selain itu, seorang lagi pengguna media sosial, @daniellhzry turut menyifatkan kenyataan Ifa Raziah itu seolah-olah seperti tidak menerima kenyataan.

    “Jawapan nak cover malu padahal sebelum ni bukan main dia lah yang paling gah haha”, komennya, lapor SatuBerita.

  • Ziha seakan tak percaya tundukkan nama-nama besar

    Ziha seakan tak percaya tundukkan nama-nama besar

    PENYANYI dan pelakon, Ziha Salleh bersedia menerima kritikan dan pertikaian netizen apabila diumumkan sebagai pemenang kategori Lagu Pop Etnik Terbaik menerusi lagu Adat Kasih di Anugerah Industri Muzik ke-23, malam tadi.

    Ziha tiada masalah untuk membaca segala komen netizen mengenai kemenangan yang diraih bagi memperbaiki diri menjadi lebih baik.

    “Saya sudah lalui macam-macam perkara sepanjang tujuh tahun berkecimpung dalam industri seni. Jadi, mesti ada pertikaian netizen. Saya nak tahu apa kata netizen dan akan saya ambil sebagai pengajaran. Apa yang baik saya teruskan, manakala yang kurang baik saya perbaiki.

    “Sebenarnya, lagu ini saya dedikasikan kepada ibu bapa saya. Saya membesar di Johor Bahru dan bermula sebagai penari zapin. Bapa saya pun gemarkan lagu genre tradisional. Insya-Allah, selepas ini saya akan teruskan usaha untuk keluar dengan karya yang irama Malaysia dan etnik kreatif,” katanya.

    Ditanya mengenai perasaannya selepas menewaskan beberapa penyanyi ternama seperti Anakanda nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza, Kucuma ( Wany Hasrita & Datuk Jamal Abdillah), Intan Payung (Bunga ft Noraniza Idris) dan Sang Purnama (Wany Hasrita & Wani Syaz), Ziha tidak pernah menjangka anugerah itu akan menjadi miliknya.

    “Apabila tercalon, saya tak harap menang kerana yang tersenarai semuanya hebat-hebat. Saya hanya menyampaikan lagu ciptaan Aubrey Suwito dan Tinta ini dengan sehabis baik.

    “Saya terkejut dan bersyukur, tak sangka boleh meraih trofi ini dan menewaskan calon-calon lain yang berbakat. Dulu saya pernah menyertai program realiti di sebuah stesen televisyen berbayar pada 2014. Selepas itu, saya banyak berlakon dan lagu ini menjadi ‘comeback’ untuk saya,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Selain kategori Lagu Pop Etnik Terbaik, Ziha turut membawa pulang trofi Kulit Single / Album terbaik menewaskan Salammusik (Borak), Amylea (Kendati), Razak A’ai (Radio) dan Dayang Nurfaizah (Belagu).

  • Wanita didakwa terima deposit tanpa lesen sah lebih RM850,000

    Wanita didakwa terima deposit tanpa lesen sah lebih RM850,000

    SEORANG peniaga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sik pada Isnin, atas 22 pertuduhan menerima deposit berjumlah keseluruhan RM876,375 tanpa lesen sah, sejak April lalu.

    Tertuduh, Norsyazwany A. Rahim, 23, dari Kampung Landak Hilir, Kupang, Baling, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim, Najwa Che Mat.

    Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa menerima deposit daripada 22 individu secara berasingan, berjumlah di antara RM2,500 hingga RM489,000 tanpa lesen sah, mengikut Seksyen 10, Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758).

    Tertuduh yang juga ibu kepada dua anak, didakwa melakukan kesalahan itu di beberapa lokasi berasingan sekitar Baling di antara 10 April hingga 2 Ogos tahun ini.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 137(1) akta sama, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga maksimum 10 tahun atau denda maksimum RM50 juta atau kedua-duanya sekali.

    Memetik laporan Berita Harian, pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Ikmal Affandi Zulkifli, manakala tertuduh diwakili peguam, Mohamad Salihen Mastor.

    Pihak pendakwaan kemudian meminta mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM214,000 ke atas tertuduh bagi kesemua pertuduhan.

    Bagaimanapun, Mohamad Salihen memohon agar jaminan dikurangkan berikutan tertuduh hanya berniaga sambilan dengan pendapatan tidak menentu selain perlu menguruskan dua anak berusia dua tahun dan lapan bulan yang masih menyusu.

    Najwa kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 bagi 21 pertuduhan manakala satu pertuduhan ditawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan jumlah keseluruhan wang jaminan ialah RM115,000 bersama dua penjamin.

    Mahkamah turut memerintahkan agar tertuduh melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan dan pasport antarabangsa diserah kepada mahkamah serta menetapkan kes disebut semula pada 23 November depan.

    Tertuduh bagaimanapun, gagal membayar jaminan dan dihantar ke Penjara Pokok Sena.

    Sementara itu, Mohamad Salihen yang ditemui selepas prosiding, berkata pihaknya akan memfailkan rayuan semakan di Mahkamah Tinggi Sungai Petani terhadap jumlah jaminan yang ditetapkan hari ini.

  • TFC tewas kerana psikologi, pemain kurang agresif kejar bola?

    TFC tewas kerana psikologi, pemain kurang agresif kejar bola?

    APA sudah jadi dengan prestasi dan semangat para pemain skuad Terengganu FC (TFC), kenapa terlalu cepat mengalah?

    Begitulah antara pertanyaan demi pertanyaan diluahkan oleh para peminat dan penyokong bola sepak Terengganu sebaik sahaja skuad tersebut tewas 1-3 kepada Johor Darul Ta’zim dalam perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil malam semalam.

    Keputusan tersebut sekaligus meleburkan impian peminat dan penyokong Terengganu untuk menyaksikan Piala FA edisi 2022 berjaya di bawa pulang ke bumi Penyu selepas 11 tahun berlalu.

    Dalam perlawanan yang berlangsung malam semalam kesemua pemain pada awalnya turun dengan semangat kental, namun dilihat longlai dan kurang bermaya sehingga bolos tiga gol, iaitu jumlah jaringan agak besar bagi satu-satu perlawanan di peringkat final.

    Walaupun terdapat pengulas sukan memuji persembahan ditunjukkan para pemain muda TFC, namun ia berlainan pula dengan penerimaan peminat dan penyokong TFC.

    Malah, banyak pihak menyifatkan aksi yang ditunjukkan oleh para pemain TFC malam tadi seakan tidak bermaya dan tidak konsisten sehingga menampakkan jurang berat sebelah.

    Selain itu, aksi pemain juga banyak yang gagal menutup ruang menyebabkan mereka bolos tiga kali, manakala fungsi jentera tengah pula seakan lumpuh.

    Begitu juga dengan penjaga gol TFC, Rahadiazli Rahalim yang dikatakan gagal membaca pergerakan pemain lawan ketika tewas gol pertama.

    Tindakan Rahadiazli meninggalkan posisi jauh ke hadapan membawa padah apabila pada minit 34 gawangnya dibolosi.

    Bagaimanapun, pengulas sukan Ahmad Shahrul Azhar yang juga merupakan bekas pemain kebangsaan percaya penjaga gol muda tersebut mempunyai masa hadapan lebih cemerlang sekiranya terus di beri peluang beraksi.

    “Usah bimbang dan kecewa, kita berharap akan terus dapat melihat kelibat penjaga gol muda ini dalam aksi final akan datang” ulas beliau.

    Bagi pengendali TFC Nafuzi Zain pula terpaksa akur dengan kekalahan tersebut memandangkan jurang kualiti cukup jauh antara pemain Skuad Penyu dengan JDT menjadi punca pasukannya kempunan untuk menjulang Piala FA 2022.

    Namun, beliau berbangga kerana anak buahnya yang masih muda mendapat pengalaman berguna bagi membantu mengembangkan prestasi dan karier masing-masing.

    Ini kerana dalam perlawanan tersebut, TFC menyenaraikan ramai pemain muda manakala JDT pula dibarisi pemain berpengalaman dan sudah acap kali beraksi di perlawanan akhir.

    Bagi penulis, dalam sesuatu perlawanan bola sepak, selain teknikal dan taktikal perkara utama perlu diserap dan ditekankan juga kepada pemain ialah melibatkan motivasi dan psikologi.

    Ia penting kerana ia sekurang-kurangnya dapat mengatasi masalah tekanan apatah lagi ketika berhadapan dengan sebuah pasukan lebih bagus seperti JDT.

    Malah, penulis masih ingat pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) suatu ketika dahulu pernah mengambil pendekatan ini di mana antara penceramah motivasi ketika itu ialah Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail.

    Apapun, walaupun gagal merangkul juara Piala FA, penulis berharap semua pihak sama ada pengurusan, pemain, peminat dan penyokong setia TFC dapat menerima keputusan ini dengan hati terbuka.

    Malah kemaraan sehingga ke peringkat final merupakan suatu perkara amat membanggakan.

    Jadikanlah keputusan ini sebagai suatu pengalaman terbaik untuk meneruskan perjuangan akan datang, khususnya dalam aksi Liga Super di samping harapan langkahan ke final Piala Malaysia.

    Tidak mustahil TFC akan kembali bertemu dengan JDT dalam aksi final Piala Malaysia pula?

    Penulis juga ingin melihat suatu hari nanti lebih ramai pemain Penyu berjaya menyarung jersi pasukan kebangsaan sepertimana pernah dibuktikan antaranya seperti Yahaya Jusoh, Zulkifli Hamzah, Yunos Alif, Abdah Alif, Zuber Ibrahim, Mubin Mokhtar, Ariffin Osman, Marzuki Yusof dan Zulharisham Awang.

    Dalam aksi Piala FA malam tadi, JDT memperoleh gol awal menerusi pemain kebangsaan berusia 20 tahun, Arif Aiman Hanapi, dan pemain import kelahiran Brazil, Bergson Da Silva.

    Arif Aiman dengan tenang menggunakan kaki kirinya untuk gol sulung perlawanan pada minit ke-34.

    Sementara gol kedua JDT dijaringkan oleh Bergson pada minit ke 63 menerusi sepakan penalti setelah dia diterjah oleh Rahadiazli.

    Gol saguhati TFC pula diperoleh pada minit ke 76 menerusi jaringan Tchetche Herman sebelum Bergson menjaringkan gol pemusnah pada minit ke 78 menjadikan kedudukan 3-1.

  • “Tak ada siapa pernah menyangka”, Syamsul teruja Mat Kilau hampiri RM100 juta

    “Tak ada siapa pernah menyangka”, Syamsul teruja Mat Kilau hampiri RM100 juta

    PENGARAH filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, Syamsul Yusof menzahirkan keterujaannya apabila filem arahannya berjaya mencatat kutipan pecah panggung sebanyak RM97 juta.

    Menerusi Instagram miliknya, Syamsul berkata, filem tempatan kini mampu pergi jauh dan menyaingi filem-filem dari Hollywood.

    “Tak ada sesiapa yang pernah menyangka. Dari dulu, saya yakin pelakon dan pengarah filem kita mampu pergi jauh dan boleh menyaingi Hollywood dalam carta ‘All Time International Malaysia Box Office’ (Filem Antarabangsa Malaysia Pecah Panggung Sepanjang Zaman). Kita boleh.

    “Dengan izin Allah, ia berlaku! Filem Mat Kilau sudah mengatasi semua filem Hollywood seperti Star Wars, The Avengers, Jurassic World, Furious 7, Spiderman dan Transformers untuk kutipan tiket di Malaysia.

    “Sekarang, filem kita menjadi tuan di bumi sendiri,” katanya dalam hantaran itu lagi.

    Dalam pada itu, Syamsul turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa menyokong karya-karya dihasilkannya selama ini.

    Malah, Syamsul mengajak masyarakat agar terus ke pawagam bagi menonton filem Malaysia dari semua penerbit dan pengarah hebat yang lain.

    “Terima kasih daripada kami, pasukan Mat Kilau dan terima kasih kerana terus menyokong karya-karya saya selama ini sejak filem pertama. Teruslah ke pawagam menonton filem Malaysia daripada semua penerbit dan pengarah filem hebat yang lain, okay? Sokong!” katanya.

    Sementara itu, Syamsul menjelaskan, Mat Kilau masih ditayangkan di pawagam negara ini dan tidak mustahil ia boleh mencecah kutipan sebanyak RM100 juta.

    Dalam pada itu, Mat Kilau kini ditayangkan di Indonesia sejak 31 Ogos lalu.

    Kejayaan itu sekali gus meletakkan Mat Kilau menjadi filem dengan kutipan tertinggi di negara ini mengatasi Avengers: End Game sebanyak RM87 juta.

  • ”Hentikan tohmahan, dukung prinsip kebebasan kehakiman- Sultan Selangor

    ”Hentikan tohmahan, dukung prinsip kebebasan kehakiman- Sultan Selangor

    Baginda turut sokong titah Agong bahawa pengampunan tidak boleh diberi sewenang-wenangnya.

    SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini meminta rakyat memahami bahawa proses pengampunan perlu dilaksanakan mengikut lunas undang-undang dan prosedur yang telah diperuntukan di bawah Perlembagaan dan Undang-Undang berkaitan dengannya.

    Sehubungan itu baginda dalam satu kenyataan dalam Facebook Sultan Selangor Official menzahirkan sokongan padu Beta terhadap titah Yang di-Pertuan Agong pada 5 September 2022 berkaitan dengan kuasa prerogatif pengampunan yang tidak boleh dilaksanakan sewenang-wenangnya demi kepentingan pihak tertentu.

    Berikut kenyataan penuh Sultan Sharafuddin:

    Beta mengikuti dengan rapat dan mengambil perhatian terhadap perkembangan isu-isu yang berkaitan dengan sistem pentadbiran keadilan negara sejak kebelakangan ini.

    Beta menyeru rakyat agar sentiasa menghormati kedaulatan undang-undang dan kebebasan Badan Kehakiman (Judiciary) yang merupakan teras dan paksi kepada kedaulatan sistem demokrasi raja berperlembagaan yang diamalkan di negara ini.

    Perlembagaan Persekutuan telah meletakkan martabat Institusi Kehakiman di satu tahap yang tinggi sebagai sebuah Badan Kehakiman yang bebas dan berwibawa. Badan Kehakiman merupakan benteng terakhir yang perlu dipertahankan bagi memastikan pentadbiran keadilan dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.

    Rakyat perlu mengambil maklum bahawa Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayan dan Mahkamah Tinggi adalah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong setelah mendapat nasihat daripada Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja Raja sebagaimana peruntukan Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.

    Malah Perdana Menteri sebelum memberikan nasihat kepada Yang di-Pertuan gong berkaitan dengan lantikan seseorang Hakim hendaklah terlebih dahulu berunding dengan Ketua Hakim Negara dan perl mendapat pengesyoran dari Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman. Proses lantikan seseorang hakim yang perlu melalui proses yang teliti ini menunjukkan Badan Kehakiman berbeza dengan institusi-institusi kerajaan yang lain dan menggambarkan betapa pentingnya peranan Badan Kehakiman di dalam sistem pemerintahan Negara.

    Kebebasan kehakiman membawa pengertian bahawa para hakim yang mengadili sesuatu kes dapat menärsirkan undang-undang bersandarkan semata-mata kepada fakta dan keterangan tanpa rasa takut, pilih kasih dan bebas dari sebarang pengaruh yang tidak dingini.

    Seorang Hakim telah mengangkat sumpah untuk mengamalkan kesamarataan, memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan serta bebas dari segala bentuk tekanan dalaman dan luaran. Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memperuntukkan bahawa semua rakyat aadalah sama rata di sisi undang-undang.

    Ini bermakna bahawa rakyat, tidak mengira status, jawatan, bangsa dan keturunan adalah tertakluk dan bertanggungjawab kepada undang- undang yang sama.

    Pepatah ada menyatakan bahawa apabila seseorang hakim membuat sesuatu keputusan ianya hendaklah diputuskan atas dasar without

    fear or favour. Penghakiman yang’ dibuat tanpa sebarang bentuk desakan tau pengaruh menggambarkan satu bentuk sistem pentadbiran keadilan yang adil dan saksama. Setiap rakyat di Negara ini berkehendakkan keadilan, kesaksamaan serta ketelusan daripada

    Badan Kehakiman atas sesuatu kes yang diadili. Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk sentiasa memelihara nama baik Badan Kehakiman agar ianya tidak tercemar dari sebarang bentuk pengaruh dan tekanan.

    Beta mengambil kesempatan di sini juga untuk mengingatkan pihak Eksekutif agar sentiasa mendukung penuh prinsip kebebasan kehakiman dan mengelak dari sebarang cubaan untuk mempengaruhi proses pentadbiran keadilan Badan Kehakiman.

    Kebebasan Badan Kehakiman memerlukan sokongan, dokongan kefahaman dan iltizam dari semua pihak terutama dari pihak Eksekutif.

    Sehubungan dengan itu, Beta menyeru semua pihak berganding bahu dengan mengambil langkah-langkah ke arah mempertahankan dan menjamin kebebasan Badan Kehakiman demi kesejahteraan dan kemakmuran Negara. Rakyat periu memberi sepenuh kepercayaan kepada sistem kehakiman negara tanpa perlu melemparkan tohmahan yang tidak berasas tanpa mengetahui fakta dan alasan-alasan penghakiman terhadap sesuatu kes.

    Sebarang tohmahan yang tidak berasas in akan mengundang persepsi negatif terhadap kebebasan Badan Kehakiman dan pasti menghakis keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap sistem pentadbiran keadilan negara. Keadaan ini juga akan secara tidak langsung menjejaskan nama baik Negara di peringkat antarabangsa.

    Sukacita juga Beta menzahirkan sokongan padu Beta terhadap Titah Ucapan D.Y.M.M.Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 5 September 2022 berkaitan dengan kuasa prerogatif pengampunan yang tidak boleh dilaksanakan sewenang-wenangnya demi kepentingan pihak tertentu.

    Rakyat perlu memahami proses pengampunan perlu dilaksanakan mengikut lunas undang-undang dan prosedur yang telah ditetapkan di bawah Perlembagaan dan Undang-Undang berkaitan dengannya.

  • Bekas renjer menang saman, dapat ganti rugi RM330,000

    Bekas renjer menang saman, dapat ganti rugi RM330,000

    SEORANG bekas anggota renjer Kem Desa Pahlawan di Kota Bharu menang tuntutan saman berjumlah RM330,000 terhadap Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana melakukan penahanan secara salah terhadapnya selama 311 hari pada Ogos 2014 hingga Julai 2015.

    Keputusan itu diputuskan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas terhadap tuntutan yang difailkan oleh plaintif, Muhammad Maliki Abdul Halim, 35, lapor Sinar Harian.

    Plaintif pada 2 Mei 2018 memfailkan tuntutan ganti rugi itu dengan menamakan Pegawai Memerintah Batalion Kelima Rejimen Renjer Diraja, Leftenan Kolonel Shaifullizan Abd Aziz sebagai defendan pertama, pihak berkuasa sidang Panglima Briged Kelapan Infantari Malaysia (kedua), Panglima Angkatan Tentera (ketiga) dan kerajaan Malaysia (keempat).

    Berdasarkan penyataan tuntutan itu, operasi pencegahan dadah dilaksanakan pada 29 Mac 2014 ke atas 26 anggota termasuk plaintif dan mendapati urin mengandungi pelbagai jenis dadah termasuk metamphetamine dan amphetamine.