PENYANYI dan pelakon, Ziha Salleh bersedia menerima kritikan dan pertikaian netizen apabila diumumkan sebagai pemenang kategori Lagu Pop Etnik Terbaik menerusi lagu Adat Kasih di Anugerah Industri Muzik ke-23, malam tadi.

Ziha tiada masalah untuk membaca segala komen netizen mengenai kemenangan yang diraih bagi memperbaiki diri menjadi lebih baik.

“Saya sudah lalui macam-macam perkara sepanjang tujuh tahun berkecimpung dalam industri seni. Jadi, mesti ada pertikaian netizen. Saya nak tahu apa kata netizen dan akan saya ambil sebagai pengajaran. Apa yang baik saya teruskan, manakala yang kurang baik saya perbaiki.

“Sebenarnya, lagu ini saya dedikasikan kepada ibu bapa saya. Saya membesar di Johor Bahru dan bermula sebagai penari zapin. Bapa saya pun gemarkan lagu genre tradisional. Insya-Allah, selepas ini saya akan teruskan usaha untuk keluar dengan karya yang irama Malaysia dan etnik kreatif,” katanya.

Ditanya mengenai perasaannya selepas menewaskan beberapa penyanyi ternama seperti Anakanda nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza, Kucuma ( Wany Hasrita & Datuk Jamal Abdillah), Intan Payung (Bunga ft Noraniza Idris) dan Sang Purnama (Wany Hasrita & Wani Syaz), Ziha tidak pernah menjangka anugerah itu akan menjadi miliknya.

“Apabila tercalon, saya tak harap menang kerana yang tersenarai semuanya hebat-hebat. Saya hanya menyampaikan lagu ciptaan Aubrey Suwito dan Tinta ini dengan sehabis baik.

“Saya terkejut dan bersyukur, tak sangka boleh meraih trofi ini dan menewaskan calon-calon lain yang berbakat. Dulu saya pernah menyertai program realiti di sebuah stesen televisyen berbayar pada 2014. Selepas itu, saya banyak berlakon dan lagu ini menjadi ‘comeback’ untuk saya,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Selain kategori Lagu Pop Etnik Terbaik, Ziha turut membawa pulang trofi Kulit Single / Album terbaik menewaskan Salammusik (Borak), Amylea (Kendati), Razak A’ai (Radio) dan Dayang Nurfaizah (Belagu).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here