Author: Wartawan WartaRakyat

  • Ketua Penolong Pegawai Daerah Tanah Sepang didakwa rasuah

    Ketua Penolong Pegawai Daerah Tanah Sepang didakwa rasuah

    KETUA Penolong Pegawai Daerah Tanah Sepang didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini atas dua pertuduhan melibatkan wang suapan sejumlah RM7,000 bagi membantu sebuah syarikat kontraktor mendapatkan projek penurapan semula jalan, dua tahun lalu.

    Tertuduh, Mohd. Asraf Redzuan, 39, mengaku tidak bersalah meminta rasuah sejumlah RM5,000 daripada Nor Samsyul Serian, 44, dan RM2,000 sebagai upah secara berasingan pada 11 November 2020 dan 24 Februari 2021, lapor Sinar Harian.

    Suapan itu adalah sebagai dorongan bagi membantu syarikat Delima Teguh Enterprise mendapatkan kerja-kerja menurap semula Lorong Orkid 4 dan Lorong Kenanga 1, Kampung Batu 10, Kebun Baru, Daerah Kuala Langat dengan harga kerja RM95,362.80.

    Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.

    Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun, denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.

    Hakim Rozilah Salleh membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan dua syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan melaporkan diri pada minggu pertama setiap bulan di pejabat SPRM terdekat.

    Mahkamah kemudian menetapkan 27 Oktober untuk sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Mohd. Aliff Shahruzaman manakala tertuduh diwakili Nik Muammer Hurrie Mohamad Sukri.

  • Ada tiga saksi lihat Bella didera Siti Bainun

    Ada tiga saksi lihat Bella didera Siti Bainun

    SAKSI pendakwaan pertama kepada pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali mengakui di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini bahawa bukan hanya seorang sahaja penghuni rumah bonda iaitu Yasmin Nahar Mahmood melihat remaja perempuan Sindrom Down, Bella didera Siti Bainun.

    Sebaliknya, pembantu pengurus syarikat swasta Zurianty Sudin, 39, itu memberitahu terdapat tiga lagi penghuni lain melihat kejadian itu yang berlaku di sebuah kondominium di Wangsa Maju pada tahun lalu.

    Memetik laporan Harian Metro, Zurianty yang juga rakan baik kepada Siti Bainun berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam Mohammad Farhan Maaruf yang mewakili Siti Bainun, yang mana beliau tidak bersetuju dengan cadangan peguam itu yang mengatakan hanya Yasmin melihat Siti Bainun mendera Bella.

    Mohammad Farhan: Selain Yasmin (penghuni Rumah Bonda, Yasmin Nahar Mahmood), dalam pengetahuan puan tiada seorang pun pernah nampak dengan mata sendiri Bainun dera Bella?

    Zurianty: Tidak setuju.

    Mohammad Farhan: Puan tahu wujudnya individu selain Yasmin memang nampak Bainun dera Bella?

    Zurianty: Ya, selepas saya buat laporan.

    Mohammad Farhan: Maklumkan kepada mahkamah individu berkenaan.

    Zurianty: Individu yang tinggal dalam rumah itu (kondomininium tersebut) ialah Eyna, Aida dan Balqis… mereka yang tinggal bersama Siti Bainun dan Bella sepanjang tempoh itu.

    Sebelum ini dalam prosiding terdahulu Yasmin Nahar, 19, yang juga saksi pendakwaan kelima memberitahu mahkamah bahawa Bella didera Siti Bainun dan kejadian itu sejak Mac 2021 hingga 24 Jun 2021 (sehingga saksi pendakwaan pertama menemui Bella).

    Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung lagi esok.

    Siti Bainun Ahd Razali , 30, menghadapi dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

    Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

  • ‘’Pas segar bugar, kekal aktif…Pergimu tak dirindui’’, kata Sanusi

    ‘’Pas segar bugar, kekal aktif…Pergimu tak dirindui’’, kata Sanusi

    “Kita tanpa Khairuddin, Pas (tetap) segar (dan) bugar, dan (kekal) aktif (serta) lincah di medan politik, medan dakwah dan tarbiah dan pendidikan tanpa Khairuddin, (masih) lincah (dan) tetap aktif tanpa sebarang kelayuan,  Pergimu (juga) tidak dirindui,” katanya.

    Demikian komen sinis Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang menegaskan, parti itu sentiasa ‘segar-bugar’ dan aktif walaupun tanpa keberadaan bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali.

    Bercakap kepada wartawan di Alor Setar, Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah, perjuangan Pas dalam medan dakwah, tarbiah dan pendidikan juga tetap ‘lincah’ seperti sebelum-sebelum ini.

    Berhubung cadangan Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus itu supaya pemimpin UMNO dan Pas membaiki hubungan dalam Muafakat Nasional (MN), beliau berkata, perkara itu sudah dilakukan pimpinan dah ahli-ahli Pas dengan lebih awal termasuk turut menjadi usul yang dipersetujui dalam Muktamar Pas Pusat Kali-68 awal bulan ini.

    Status FB… Harap-harap tak ada yang ‘koyak’

    Sementara itu Sanusi berkata, beberapa status yang dimuat naik di laman media sosial Facebooknya kebelakangan ini, hanyalah seloka dan gurauan semata-mata tanpa ada kaitan dengan yang hidup mahu pun mati.

    Beliau yang merupakan Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) berkata, seloka serta gurauan yang dimuat naiknya itu bagaimanapun terselit mesej tertentu untuk dijadikan bahan berfikir.

    “Tafsir sendiri-sendirilah (status dimuat naik di Facebook), tak ada kaitan dengan yang hidup dan mati. Semua hantaran itu seloka dan gurauan saja tetapi ada selit mesej dan bahan untuk berfikir.

    “Janganlah kita seronok kerana menang dan berdukacita kerana kalah tanpa memikirkan ibrah atau pengajaran daripada kejadian itu. Kena fikir dan renung balik yang menang siapa dan yang kalah siapa?

    “Selain itu kena tengok juga kenapa kita kalah dan pasal apa kita menang? Begitu juga macam mana boleh menang?,” katanya.

    Beberapa status dimuat naik Muhammad Sanusi kebelakangan ini menjadi tumpuan peminat bola sepak tanah air setelah beliau secara berterus-terang menyatakan sokongannya kepada Terengganu FC dalam final Piala FA menentang JDT, Sabtu lalu.

    Selepas mengucapkan tahniah sambil menempelak pemain JDT kerana didakwa tak pandai cakap Johor, Muhammad Sanusi hari ini menukilkan pula pantun berbunyi:-

    Kalau takut dilambung ombak

    Jangan berumah di tepi pantai

    Disangka ayamnya menang pak kadok melompat bersorak

    Disuruh berkokok nak bunyi eerrkkk! pun tak pandai. 

    Dalam pada itu, Muhammad Sanusi mendakwa, beliau tidak mempunyai niat untuk memecah belahkan mana-mana pihak dengan status-status dimuat naiknya itu.

    “Tak adalah (niat memecah-belah), nak pecah belahkan siapa? Siapakah yang terpecah dan terbelah dengan pantun itu? Itu cuma bahan berfikir. Harap-harap tak ada yang ‘koyak’ dan kalau ‘terkoyak’, pandai-pandailah tampal,” katanya.

  • Peragut tidak sempat larikan diri diberkas orang awam

    Peragut tidak sempat larikan diri diberkas orang awam

    SEORANG lelaki ditahan orang awam selepas disyaki terlibat dalam kejadian ragut di Taman Tunku Miri, pagi kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada pukul 11 pagi.

    Beliau berkata, suspek berusia lingkungan 20-an telah diserahkan kepada polis bagi siasatan lanjut.

    “Suspek telah cuba melarikan diri tetapi berjaya dikejar oleh orang awam yang berada di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, memetik laporan Utusan TV.

    Jelasnya, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan polis telah berjaya menjumpai semula barangan yang diragut oleh suspek.

    Alexson berkata, pihaknya menasihati masyarakat agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian ini sehingga boleh menggangu siasatan polis.

  • Penyanyi, pelakon Aman Shah meninggal dunia

    Penyanyi, pelakon Aman Shah meninggal dunia

    PENYANYI dan pelakon Aman Shah Abu Kassim meninggal dunia pada usia 68 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) sebentar tadi akibat masalah jantung.

    Berita sedih berkenaan dikongsi rakan-rakan penggiat seni antaranya komposer Fauzi Marzuki dan pelakon Anne Abdullah dalam media sosial Facebook masing-masing.

    Anne memberitahu, Allahyarham berada dalam keadaan kritikal pagi tadi sebelum menghembuskan nafas terakhir selepas Zohor hari ini.

    Sementara itu, pelakon Lizawati Hamdan yang berada di IJN dan turut mengesahkan perkara terbabit.

    “Saya baru melihat jenazahnya sebentar tadi. Allahyarham dimasukkan ke IJN sejak Rabu lalu dan punca kematiannya akibat masalah jantung,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Aman amat diingati peminat dengan lagunya Kepulangan Yang Dinanti yang sering dimainkan semasa ketibaan Hari Raya Aidilfitri.

  • Suami isteri diikat, tiga lelaki Indonesia larikan barang kemas

    Suami isteri diikat, tiga lelaki Indonesia larikan barang kemas

    POLIS sedang memburu tiga lelaki warga Indonesia dipercayai terlibat kes pecah rumah dan samun bersenjata yang mengakibatkan kerugian RM41,000 di sebuah rumah di Presint 11, di Putrajaya, pukul 3.30 pagi tadi.

    Kejadian berkenaan disedari isteri mangsa setelah lampu bilik tidur dinyalakan penjenayah terbabit.

    Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, terdapat tiga lelaki dipercayai warga Indonesia berdasarkan loghat pertuturan mereka ketika itu.

    “Salah seorang daripada suspek memegang sebilah parang. Ketiga-tiga mereka memakai pakaian gelap dan ski mask sebelum bertindak mengikat suami isteri itu dengan wayar.

    “Suspek kemudian menyelongkar bilik tidur sebelum melarikan dua gelang tangan, sebentuk cincin emas, seutas rantai leher, 20 utas jam tangan, wang tunai anggaran RM2,000 dengan keseluruhan kerugian yang dialami RM41,000,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Beliau berkata, mangsa lelaki adalah penjawat awam yang tinggal bersama isteri dan tiga anak.

    “Rumah mangsa adalah kuarters kerajaan jenis semi D dua tingkat. Siasatan awal mendapati suspek dipercayai masuk dari pintu sliding berikutan pemeriksaan yang mendapati pintu itu dalam keadaan terbuka.

    “Usaha mengesan tiga suspek terbabit masih dijalankan termasuk melaksanakan Op Tutup. Pasukan forensik polis dan unit anjing pengesan (K9) juga dihantar ke lokasi kejadian untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

  • PH perlu nilai prinsip, kejujuran sebelum terima Muda

    PH perlu nilai prinsip, kejujuran sebelum terima Muda

    MAJLIS Presiden Pakatan Harapan (PH) perlu menilai prinsip dan kejujuran Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) sebelum diterima sebagai salah satu parti komponen dalam gabungan itu.

    Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, pandangan akar umbi khususnya di peringkat cabang parti perlu diambil kira pucuk pimpinan sebelum membuat keputusan sama ada diterima atau sebaliknya.

    “Muda berhasrat mahu menyertai PH menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), namun pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berlaku pelanggaran kerusi antara PKR dan Muda di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin.

    “Dari segi kejujuran politik dan semangat mengangkat isu rakyat cukup penting, bukan soal hendak berdepan PRU-15 sahaja. Sepatutnya hasrat itu ditunjukkan sebelum pilihan raya lagi,” katanya pada sidang akhbar di Johor Bahru, hari ini.

    Pada 6 September lalu, Muda sebulat suara bersetuju untuk menyertai PH sebagai salah satu parti komponen dalam gabungan itu.

    Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pihaknya terbuka untuk mengadakan perbincangan secara rasmi dengan Majlis Presiden PH berhubung perkara itu.

    Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah berkata, PKR Cabang Johor Bahru mempersoalkan kenapa sekarang baru seolah-olah berminat sertai PH.

    “Bagi kami isunya bukan hendak masuk PRU tetapi prinsip perjuangan itu perlu jauh lebih mendalam,” katanya yang juga Ketua Cabang Johor Bahru merangkap Ahli Parlimen Johor Bahru.

    “Cuma akar umbi di Johor khususnya di johor bahru, kami tidak payah cakap, sudah terang lagi bersuluh. Kita menempuh pelbagai kesusahan, pilihan raya bukan seminggu dua punya kerja,” katanya.

    Menurut Akmal, keputusan berkaitan parti yang mahu menyertai PH perlu mencapai konsensus atau persetujuan daripada parti kompenan lain.

    Berdasarkan pengalaman lalu katanya, PH pernah menerima dan menolak kemasukan parti baru dalam gabungan ini, selepas penilaian dan konsesus PH dicapai di peringkat Majlis Presiden PH.

    “Cuma bagi saya kita juga faham perkara ini perlu melalui proses. Walaupun pandangan itu bagi saya ketara (menolak) terutama dalam kalangan akar umbi dan anak muda tetapi proses di peringkat Majlis Presiden PH perlu dihormati.

    “Oleh sebab itu dalam beberapa prinsip akan diambil kira Majlis Presiden PH sebelum membuat sebarang pertimbangan. Isu ini bukan soal PKR bukan soal anak muda PKR tetapi PH secara keseluruhan,” katanya.

  • Ejen jualan kosmetik diculik di Tumpat

    Ejen jualan kosmetik diculik di Tumpat

    SEORANG wanita yang juga ejen jualan kosmetik dipercayai diculik dari kediamannya di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, Tumpat petang semalam.

    Mangsa, Rosnazirah Mohd Naim, 36, dilapor dilarikan tiga lelaki tidak dikenali pada jam 4.10 petang dengan menaiki kereta jenis Toyota Vios.

    Berita Harian melaporkan, waris wanita itu yang enggan dikenali, ketika dihubungi, mendakwa tiga lelaki itu datang ke rumah sebelum seorang daripada mereka mengetuk pintu dan memberi salam.

    “Pintu dibuka oleh mangsa dan lelaki itu bertanya adakah mangsa bernama Azi. Mangsa mengiyakannya lalu dia terus diheret keluar dan dimasukkan ke dalam kereta. Tiga lelaki itu didakwa turut menunjukkan pistol masing-masing kepada bapa dan anak perempuan mangsa yang berada dalam rumah, selain mengugut jika mereka buat apa-apa tindakan.

    “Bapanya yang melihat Azi diheret masuk ke dalam kereta cuba menyelamatkannya, namun seorang daripada lelaki itu didakwa turut mengacu sebilah pisau ‘Rambo’ menyebabkan bapa mangsa berundur dan hanya mampu melihat anaknya dilarikan,” katanya.

    Dia berkata, pihaknya menerima maklumat bahawa Rosnazirah dibawa ke arah Pengkalan Kubor, iaitu kawasan sempadan negara, menyebabkan suami mangsa bergegas ke sana, namun isterinya gagal ditemui.

    “Ada penduduk setempat mendakwa nampak seorang wanita dibawa sekumpulan lelaki menaiki bot menuju negara jiran, Toyota Vios dinaiki mereka turut ditemukan di sebuah pangkalan haram di situ.

    “Suami mangsa menjejaki isterinya ke negara jiran dan belum pulang sehingga hari ini. Apa yang kami tahu, Azi tiada musuh dan kami juga tidak menerima sebarang panggilan meminta wang tebusan setakat ini.

    “Tidak pasti jika ada yang tidak berpuas hati dengannya sepanjang dia menjalankan perniagaan kosmetik. Ibu dan bapa mangsa masih terkejut, bersedih dengan kejadian ini,” katanya memaklumkan mereka turut solat sunat hajat berdoa Rosnazirah ditemukan selamat.

    Terdahulu tular rakaman video dari kamera litar tertutup (CCTV) dari kediaman mangsa yang berdurasi 2 minit 51 saat memaparkan kejadian penculikan itu.

    SEMENTARA ITU, Bernama melaporkan Ketua Polis Daerah Tumpat ACP Amran Dolah berkata dalam kejadian pukul 5.10 petang itu, mangsa dipercayai dilarikan oleh empat suspek lelaki menggunakan sebuah kereta jenis Toyota Vios berwarna perak.

    “Suspek juga dikatakan bersenjatakan pistol dan ketika kejadian kereta yang dipandu dilihat menghala ke Wakaf Bharu, Tumpat. Polis Tumpat mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian itu dan kes masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Amran berkata orang ramai yang terjumpa dengan kenderaan terbabit diminta memaklumkan segera kepada Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan menerusi talian 09-7450999 atau Gerakan Daerah 09-7257222 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat.

    “Saya memohon kerjasama daripada orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan pihak polis,” katanya.

  • Wanita Malaysia diculik ‘kekasih’ dalam talian diselamatkan polis Filipina

    Wanita Malaysia diculik ‘kekasih’ dalam talian diselamatkan polis Filipina

    PERTEMUAN seorang wanita Malaysia dengan ‘kekasih’ dalam taliannya bertukar menjadi mimpi ngeri apabila lelaki itu sebaliknya menculik dan meminta wang tebusan lebih RM23,000 daripada keluarganya.

    Free Malaysia Today yang memetik laporan Manila Bulletin melaporkan, wanita itu yang identitinya tidak didedahkan, berkenalan dengan lelaki yang dikenali sebagai “Jerry” melalui aplikasi janji temu dan terbang ke Filipina pada Isnin lepas untuk menemuinya.

    Ketua Polis Filipina Rodolfo Azurin berkata, mangsa dibawa “Jerry” dari lapangan terbang ke Carmona di Cavite, sebuah wilayah di Luzon, di mana dia ditahan,

    Katanya, mangsa kemudian dipaksa menghantar mesej kepada keluarganya di Malaysia untuk meminta wang tebusan kira-kira 300,000 peso (RM23,760) agar dia dibebaskan.

    Tanpa disedari penculik, mangsa menghantar gambaran “Jerry” dan seorang lagi lelaki serta kenderaan yang mereka gunakan ketika menjemputnya di lapangan terbang.

    Berdasarkan maklumat itu, polis Filipina melancarkan operasi menyelamat bagi membebaskan mangsa dan menahan dua suspek, seorang daripadanya ialah rakyat Malaysia.

    Dua suspek itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Filipina di bandar Quezon.

  • Suri rumah mengaku tidak bersalah toreh bekas suami

    Suri rumah mengaku tidak bersalah toreh bekas suami

    SEORANG suri rumah mengaku tidak bersalah Mahkamah Majistret Melaka hari ini, atas pertuduhan memukul dan mencederakan bekas suaminya dengan menoreh belakang mangsa menggunakan pisau.

    Norhayati Serurahman, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapat Majistret Muhammae Izwan Mohamed Noh.

    Berdasarkan pertuduhan, Norhayati didakwa mencederakan Mohamad Sabri Hussin, 33 dengan cara menoreh belakang badan mangsa dengan pisau selepas berlaku perselisihan faham antara mereka.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di rumah bernombor 37-4 Kampung Tambak Sebelong, Kandang pada jam 2.45 pagi, Mei tahun lalu, lapor Sinar Harian.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 322/326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM4,000 jika sabit kesalahan.

    Berdasarkan fakta kes, Norhayati telah bertengkar sebelum menumbuk muka dan menoreh belakang badan bekas suaminya dengan pisau hingga cedera.

    Dia juga dipercayai mengancam untuk membunuh Mohamad Sabri.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fikri Hakim Zamri manakala tertuduh tidak diwakli peguam.

    Mahkamah membenarkan Norhayati diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.